Edited by JohnyEnglish at 14-6-2021 11:51 AM
Lelaki dituduh seret kucing di atas jalan
TELUK INTAN: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menyeret seekor kucing di atas jalan pada 3 Jun lalu.
Azizul Salahuddin, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Adilah Mokhtar.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara tidak munasabah menyebabkan penderitaan yang tidak perlu kepada haiwan dengan menyeret seekor kucing di atas jalan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Attaduri, Langkap, kira-kira jam 6.30 petang. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum bawah akta sama yang memperuntukkan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimah Che Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S Kumaresan. Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin, dan menetapkan sebutan semula kes pada 14 Julai depan.
|