|
Lelaki beristeri 38 meninggal dunia
Jun 14, 2021 @ 11:55am
NEW DELHI: Seorang lelaki India dari Mizoram yang dipercayai mengetuai keluarga terbesar di dunia, dengan 38 isteri dan 89 anak, meninggal dunia pada usia 76 tahun.
Menurut Anadolu Agency (AA), Ketua Menteri Mizoram, Zoramthanga, mengumumkan kematian Ziona Chana, yang merupakan penduduk kampung Baktawng Tlangnuam, dalam sebuah posting di Twitter.
"Dengan berat hati, #Mizoram mengucapkan selamat tinggal kepada Mr Zion-a (76), yang dipercayai mengetuai keluarga terbesar di dunia, dengan 38 isteri dan 89 anak," katanya.
Zoramthanga berkata Mizoram dan Baktawng Tlangnuam menjadi tarikan utama pelancong kerana keluarga berkenaan.
Chana adalah ketua agama disebut "Chana Pawl," yang diasaskan oleh bapanya pada 1942, yang membenarkan poligami.
Menurut pegawai, Chana, yang turut mempunyai ramai cucu, meninggal petang semalam.
"Dia dibawa ke hospital di daerah lain dan laporan yang diterima mengatakan dia meninggal dunia hari ini," kata Timbalan Pesuruhjaya Daerah Serchhip, Kumar Abhishek, kepada Anadolu Agency.
Lal Thanhawla, bekas Ketua Menteri Mizoram dan pemimpin politik kanan dari parti Kongres Nasional India, mengatakan kepada Anadolu Agency: "Kematiannya (Chana) adalah kerugian yang sangat besar bagi semua orang ... keluarga itu sangat berdisiplin dan ada banyak perkara yang perlu dipelajari daripada mereka." - BERNAMA
|
|