CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1925|Reply: 0

Kewujudan naga mungkin imaginasi manusia semata-mata

[Copy link]
Post time 23-7-2021 09:48 PM | Show all posts |Read mode
Kewujudan naga mungkin imaginasi manusia semata-mata


KISAH legenda naga terkenal di Malaysia ialah Naga Seri Gumum yang didakwa mendiami Tasik Chini di Pekan, Pahang.

MISTERI kewujudan naga sebagai makhluk mistik bersaiz besar yang memiliki kuasa sakti sememangnya mencetuskan fenomena membingungkan di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Hal ini disebabkan jasad makhluk mistik itu masih gagal ditemui di mana-mana pelosok dunia tetapi kisah legenda membabitkan naga wujud dan diceritakan dalam budaya pelbagai bangsa di seluruh dunia.

Di Malaysia, terdapat sekurang-kurangnya dua kisah naga yang wujud dalam mitos kepercayaan masyarakat negara ini.

Kisah legenda naga terkenal pastinya Naga Seri Gumum yang didakwa mendiami Tasik Chini di Pekan, Pahang. Kewujudan naga dalam tasik kedua terbesar di Malaysia itu tercetus berdasarkan dakwaan penduduk yang terserempak makhluk berkenaan.

Antara cerita yang kerap disebarkan kononnya berlaku pada tahun 1986 apabila seorang lelaki ingin menangkap ikan mendapati dua `ular besar' terlekat pada jaringnya. Ular itu dibunuh dan ketika pulang ke pangkalan, lelaki terbabit melihat tiga bahagian badan naga besar muncul di permukaan air.

Akibat membunuh `ular besar' itu, lelaki terbabit kononnya terkena tulah sehingga menyebabkan badannya gatal dan berkudis selama 13 tahun.

Sejak itu, beberapa lagi penduduk terutama Orang Asli Tasik Chini mendakwa terserempak naga di tasik itu yang digambarkan seperti ular tetapi kepalanya sebesar kepala lembu dan lilitan badannya sebesar tayar motosikal.

Selain Tasik Chini, segelintir penduduk Langkawi turut percaya suatu ketika dulu, terdapat seekor naga mendiami pulau legenda terkenal di Kedah itu.

Penduduk lama Langkawi, Saidin Mat Isa, 63, berkata mengikut kisah diceritakan kepadanya ketika kecil, makhluk itu digelar Naga Putih dan dilahirkan di Padang Mat Sirat sekitar penghujung abad ke-19.

"Naga itu pada asalnya dilahirkan sebagai kembar seorang bayi lelaki. Walaupun bukan manusia, naga itu tetap dijaga keluarganya," katanya.

Beliau berkata, sebaik dilahirkan, naga terbabit dibela dalam besen berisi air dan diberi makanan bertih. Naga Putih kemudian dibesarkan dalam perigi seterusnya lubuk sebelum dilepas ke laut apabila dewasa.

Menurut Saidin, ketika hidup dalam laut, Naga Putih merantau sehingga ke Indonesia dan bertarung dengan Naga Hitam di perairan negara itu.

"Sebelum bertarung dengan Naga Hitam, Naga Putih muncul dalam mimpi ibu bapanya dan memberitahu jika masih hidup, akan kembali ke Langkawi tetapi jika mati, maka ia meminta diadakan majlis tahlil untuknya," katanya.

Saidin berkata, dalam pertarungan itu, Naga Putih mengalahkan Naga Hitam dan kembali ke Langkawi sekitar tahun 1940-an. Sebaik tiba, Naga Putih menyusuri sungai Padang Mat Sirat sehingga melimpah dan kawasan kampung dinaiki air.

"Naga Putih kemudian kembali ke laut untuk bertarung sekali lagi dengan Naga Hitam dan selepas itu, ia tak kembali lagi. Mungkin Naga Putih mati dalam pertarungan itu," katanya.

Misteri membabitkan naga sememangnya membingungkan kerana selain Malaysia, cerita membabitkan makhluk itu turut wujud di banyak negara lain sekali gus membuktikan ia bukan sekadar kepercayaan atau mitos bangsa tertentu saja.

Malah, seperti juga budaya sesuatu kaum pribumi yang berbeza dari satu benua ke benua lain, ciri dan gambaran naga juga berlainan mengikut legenda setempat. Terdapat lebih 30 jenis naga yang berbeza fizikal dan peranan dalam pelbagai legenda dan kebudayaan di seluruh dunia.

Antara perbezaan fizikal naga mengikut bangsa adalah masyarakat Cina cenderung mengatakan ia memiliki badan ular, muka seakan kuda, tanduk seperti rusa, kuku helang, sisik ikan dan mampu terbang.

Masyarakat Barat pula menggambarkan naga menyerupai dinosaur tetapi memiliki kepak untuk terbang. Kebanyakan naga digambarkan sebagai reptilia dan menetas daripada telur.

Di Thailand pula, terdapat ukiran naga berbentuk ular tetapi memiliki tujuh kepala, manakala naga di Vietnam menggabungkan imej buaya, ular, biawak dan burung.

Selain jasad fizikal menggerunkan, naga juga diceritakan memiliki kuasa mistik yang belum ditemui pada mana-mana haiwan dalam katalog biologi dunia.

Berdasarkan kisah legenda, naga dikatakan mampu mengeluarkan semburan api untuk merentungkan apa saja. Naga juga mampu terbang pantas, manakala sesetengahnya menyelam dalam air.

Ada juga kisah naga menyimpan mutiara di mulutnya dan mutiara itu kononnya menghasilkan kuasa sakti untuk memberikan pelbagai kelebihan kepada sesiapa yang memperolehnya.

Dalam usaha merungkai misteri naga, beberapa teori dikemukakan antaranya ada pihak percaya makhluk itu berasal daripada alam mistik.

Bagaimanapun, ada juga penyelidik yang berpandangan naga mungkin spesies haiwan purba yang hidup sezaman dengan dinosaur tetapi sudah pupus.

Teori itu dikemukakan berdasarkan gambaran naga dalam legenda Barat, yang memiliki fizikal menyamai dinosaur.

Sekitar tahun 300 Sebelum Masihi (SM), satu rangka aneh ditemui di Wucheng, Wilayah Sichuan di China dan ahli sejarah purba China, Chang Qu, mencatatkan rangka itu diyakininya sebagai rangka naga.

Bagaimanapun, ada penyelidik yang mengkaji sejarah penemuan itu yakin rangka itu sebenarnya fosil dinosaur dan bukannya naga.

Teori lain mengenai naga ialah makhluk itu sebenarnya tidak pernah wujud dan gambaran serta pelbagai cerita pelik mengenai naga sebenarnya berasal daripada imaginasi manusia semata-mata.

Sumber:https://www.bharian.com.my

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 01:18 AM GMT+8 , Processed in 0.177242 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list