CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3230|Reply: 4

Legenda ular besar Langkawi

[Copy link]
Post time 23-7-2021 09:50 PM | Show all posts |Read mode
Legenda ular besar Langkawi


KISAH raksasa digelar 'ular besar' dimuatkan dalam buku Malay Kingship in Kedah: Religion, Trade, and Society.
PEGAWAI tentera British Sherard Osborne yang terbabit dalam perang Kedah pada sekitar 1838, pernah mencatatkan satu kisah pelik mengenai kewujudan seekor haiwan raksasa di Langkawi, pada zaman silam.

Mengikut catatannya, kisah raksasa berupa ular itu diceritakan kepada beliau oleh seorang penduduk tempatan dan cerita itu turut membabitkan upacara mengorbankan manusia untuk dijadikan makanan haiwan ganas berkenaan.

Catatan Osborne mengenai raksasa digelar 'ular besar' itu dimuatkan dalam buku Malay Kingship in Kedah: Religion, Trade, and Society (Kerajaan Melayu di Kedah: Agama, Perdagangan dan Masyarakat).

Mengikut catatan itu, sebelum ketibaan Islam di Kedah, raja yang ingin menaiki takhta di negeri itu perlu mengorbankan puteri daripada kalangan kerabat diraja kepada seekor ular besar yang bersarang di Pulau Langkawi.

Upacara khurafat itu juga turut dilakukan jika Kerajaan Kedah terbabit dalam peperangan dengan negeri lain.

Puteri sunti itu dikorbankan sebagai makanan ular besar dan sebagai balasan, haiwan ganas itu akan menjaga keselamatan perairan Kedah daripada ancaman angkatan laut musuh.

Ular besar itu juga tidak akan mengganggu penduduk Melayu di Kedah, sebaliknya hanya menjadikan orang Siam, Mergui dan haiwan lain sebagai makanannya.

Ular terbabit diceritakan teramat besar hinggakan kepalanya saja sudah setinggi pokok yang ada di pulau berkenaan.

Seterusnya, apabila Islam tiba di Kedah, raja dan penduduk negeri itu menganut agama Islam dan upacara mengorbankan manusia kepada ular besar akhirnya dihentikan.

Bagaimanapun, tindakan itu menimbulkan kemarahan ular raksasa. Ular ganas itu mengamuk dan memakan ramai penduduk dan haiwan ternakan sehingga menyebabkan pulau itu sunyi bagai tidak berpenghuni.

Raja dan penduduk mula diasak kerisauan dan ketakutan lantaran kekejaman haiwan ganas itu tidak dapat dihentikan. Selepas lama mencetuskan angkara, akhirnya Allah SWT mengutuskan bantuanNya menerusi kehadiran seorang ulama dari Tanah Arab.

Ulama Arab itu menyatakan bahawa petaka angkara ular besar itu sebenarnya hanyalah dugaan Allah SWT bagi menguji tahap keimanan penduduk terhadap agama Islam yang baru dianuti mereka.

Walaupun segelintir penduduk kembali kufur, ternyata masih ramai rakyat Kedah berpegang teguh dengan akidah Islam dan ulama berkenaan menyatakan bahawa dia akan menamatkan kezaliman makhluk kejam itu.

Lalu ulama itu bersama beberapa penduduk Kedah yang menemaninya mula menuju ke sarang ular besar itu di Langkawi.

Sebaik tiba di pulau berkenaan, beliau mengambil wuduk, memakai serban hijau, menjunjung al-Quran dan berdoa supaya ular besar berkenaan mati atau diusir dari kawasan itu.

Sebaik melihat kelibat ulama terbabit, ular besar mula menyerang dan menelan jasad tokoh Arab itu.

Bagaimanapun, sesuatu tidak diduga berlaku apabila ular besar berkenaan menggelupur kesakitan selepas menelan ulama terbabit.

Dalam keadaan terseksa, ular besar itu melarikan diri ke arah gunung di pulau berkenaan dan tidak pernah muncul mengganggu manusia lagi.

Kisah dicoretkan Osborne itu sememangnya misteri dan menimbulkan kebingungan dalam kalangan pembaca, tambahan pula ia membabitkan kewujudan spesies ular raksasa yang tidak pernah ditemui di mana-mana pelosok dunia sebelum ini.

Walaupun kisah itu dicatatkan Osborne sejak ratusan tahun lalu, tidak ramai pihak termasuk penduduk jati Langkawi yang mengetahui kewujudan cerita berkenaan.

Tidak seperti kisah legenda Mahsuri yang diperturunkan sejak beberapa generasi di Langkawi, kisah ular besar bagaikan hilang dalam kemodenan pulau pelancongan itu.

Penduduk lama Langkawi, Saidin Mat Isa, 63, mengakui ada beberapa kisah ular yang diceritakan kepadanya sepanjang membesar di pulau legenda itu tetapi beliau tidak pernah mendengar kisah ular raksasa yang memakan puteri raja.

Beliau berkata, antara cerita ular yang pernah didengarnya berlaku penghujung abad ke-19 apabila penduduk terjumpa ular yang amat besar di gunung di pulau berkenaan.

"Mengikut cerita, lelaki terbabit nampak ular yang amat besar di Gunung Raya. Mulut ular itu terbuka luas dan tak dapat ditutup kerana terpacak lembing di dalamnya.

"Selepas ternampak ular itu, lelaki terbabit terus lari balik. Cerita ular yang itu saja yang saya dengar, kisah ular besar sebelum kedatangan Islam di Kedah saya tak boleh cerita lebih sebab saya tak tahu," katanya.

Jika ular besar yang ditemui penghujung abad ke-19 itu adalah ular sama dalam catatan Osborne, maka pastinya haiwan raksasa itu adalah makhluk luar biasa kerana masih hidup selama ratusan tahun.

Hingga kini, kesahihan cerita dalam catatan Osborne tidak dapat dipastikan lantaran tiada jasad ataupun tinggalan tulang ular besar ditemui di Langkawi.

Bagaimanapun, kisah itu tetap diiktiraf sebagai sebahagian daripada warisan legenda di Langkawi kerana cerita mitos secara lisan mahupun catatan silam turut diterima sebagai sebahagian daripada sumber sejarah.

Lebih penting, sekiranya kisah ular besar itu benar-benar berlaku, maka ada persamaan antara penduduk Melayu sebelum ketibaan Islam dengan tamadun purba lain di seluruh dunia iaitu wujudnya upacara mengorbankan manusia kepada unsur mistik.

Antaranya tamadun purba Aztec di Mexico dikatakan kerap melakukan upacara korban manusia, malah dilaporkan pernah membunuh hingga 80,400 mangsa dalam satu upacara mengikut kepercayaan mereka.

Sumber:https://www.bharian.com.my

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 24-7-2021 12:04 AM From the mobile phone | Show all posts
aku anak jati langkawi pn xtau. ka aku xambk tau. eh lebih krg la
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-7-2021 10:29 PM | Show all posts
matbad replied at 24-7-2021 12:04 AM
aku anak jati langkawi pn xtau. ka aku xambk tau. eh lebih krg la

ada  kepala ular besar ni terbiar kt sana
Reply

Use magic Report

Post time 25-7-2021 11:42 PM | Show all posts
Ni mitos semata2..
Reply

Use magic Report

Post time 26-7-2021 01:38 AM From the mobile phone | Show all posts
Baru tau citer ni tp x de bukti
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 05:26 PM GMT+8 , Processed in 0.140345 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list