Moscow: Jawatankuasa Olimpik Russia (ROC), hari ini, mempertahankan perenangnya, Evgeny Rylov selepas perenang Amerika Syarikat (AS), Ryan Murphy menimbulkan keraguan terhadap kemenangannya dalam acara 200 meter (m) kuak lentang lelaki di Tokyo 2020. Murphy yang menduduki tempat kedua di belakang Ryblov selepas atlet ROC itu memenangi pingat emas keduanya di Tokyo 2020 berkata, perlumbaan itu mungkin 'tidak bersih'. Rylov, 24, berkata dia terkejut dengan komen aneh perenang AS itu. Pasukan ROC tidak dibenarkan menggunakan lagu kebangsaan atau bendera Russia di Tokyo 2020 selepas dakwaan salah guna dadah, tetapi lebih 330 atlet Russia dibenarkan bertanding di bawah nama ROC. "Sebahagian pesaing mahu merendahkan kejayaan kami," tulis ROC menerusi Twitter, hari ini. "Ya kami berada di sini, di Olimpik dan kami ada hak. Sama ada sesetengah orang suka atau tidak." "Masalahnya, ramai yang masih memperkatakan perkara sama iaitu berkaitan salah guna dadah dan Russia," kata ROC. ROC turut merujuk kepada propaganda dalam bahasa Inggeris dilemparkan di peringkat saringan oleh atlet yang tewas di tangan mereka. "Kami tidak akan memujuk kamu. Kami akan memaafkan mereka yang lemah. Tuhan mungkin hakim bagi mereka, tetapi Tuhan yang membantu kami," kata ROC. Bercakap kepada agensi berita Russia, RIA Novosti, pemangku Pengarah Agensi Anti-Dadah Russia (RUSADA) menegaskan, Rylov disahkan bebas dadah sebelum ke Tokyo 2020. "Kami menguji atlet ini tiga kali pada 2021. Dia turut bersaing di kolam renang antarabangsa, jadi persekutuan renang antarabangsa turut melakukan ujian terhadapnya," kata Mikhail Bukhanov. Rylov menulis di Instagram menyatakan dia ada bercakap dengan Murphy selepas sidang media dan yakin komen itu kerana salah faham. "Kami sedar sukan ini sepatutnya bersih daripada dadah," katanya. Kemenangan Rylov menamatkan dominasi AS dalam acara itu selepas mereka menang emas dalam acara 200m kuak lentang dalam enam edisi Sukan Olimpik terakhir. Rylov turut menambah koleksi di Tokyo selepas menang perak acara 4x200m berganti-ganti dan dua emas bagi 100m dan 200m kuak lentang. sumber : HMetro
|