Kuala Lumpur: Pasangan pelayar wanita negara, Juni Karimah Noor Jamali dan Nuraisyah Jamil masih gagal memperbaiki kedudukan acara International 470 Sukan Olimpik Tokyo di Teluk Enoshima hari ini apabila berada di tempat tercorot pada aksi sebentar tadi. Juni Karimah dan Noraisyah menamatkan perlumbaan ketujuh di tangga ke-20 daripada 21 pasukan sebelum mengakhiri saingan kelapan di tangga tercorot. Ia menyaksikan mereka gagal memperbaiki kedudukan selepas melalui lapan perlumbaan sekali gus harapan untuk berada dalam kelompok 10 terbaik sudah tertutup. Aksi yang kurang konsisten dipamerkan oleh dua pelayar wanita itu menyaksikan mereka masih lagi tidak dapat membiasakan diri dengan keadaan angin di Jepun. Pada saingan itu, pasangan pelayar dari Jerman, Luise Wanser dan Anastasiya Winkel berjaya menduduki tempat pertama manakala Nikole Barnes dan Lara Dallman-Weiss mewakili Amerika Syarikat berada di kedudukan kedua. Namun, mereka masih lagi berpeluang memperbaiki kedudukan apabila akan turun pada perlumbaan kesembilan dan ke 10 yang berlangsung esok. sumber : HMetro
|