Tokyo: Bintang badminton India, P.V. Sindhu berharap dia dapat memberi inspirasi kepada generasi baharu selepas memenangi pingat perak pada 2016 dan menambah koleksi pingat gangsa di Olimpik Tokyo, hari ini. Juara dunia itu menewaskan pemain China, He Bingjiao 21-13, 21-15 untuk menambah satu lagi koleksi kemenangannya, lima tahun selepas menamatkan saingan tempat kedua di Sukan Olimpik Rio. Kini dia berharap negara kedua di dunia yang mempunyai antara jumlah penduduk yang ramai dapat memanfaatkan pencapaiannya untuk mendorong lebih ramai pemain berjaya dalam permainan badminton. "Saya pasti ramai remaja dan masyarakat akan mendapat motivasi untuk bekerja keras dan bangkit," katanya. "Saya yakin kita mampu melakukannya. Jika saya boleh melakukannya, semua orang boleh melakukannya." Sindhu mensasarkan menjadi pemain tunggal dari India untuk memenangi pingat emas perseorangan di Olimpik, tetapi tewas kepada pemain Taiwan, Tai Tzu-ying dalam separuh akhir. Katanya, dia berasa sedih kerana gagal melakukan lebih baik daripada pingat perak 2016. Tetapi dia berjaya mengubat kekecewaan itu dengan memenangi gangsa. "Saya terpaksa melupakan semua emosi saya untuk perlawanan ini dan hanya memberikan yang terbaik," katanya. "Saya sangat gembira dan saya fikir sudah melakukan yang terbaik. Memperoleh pingat buat negara sememangnya detik yang dibanggakan buat saya dan semua orang di luar sana." Sindhu meneruskan kecemerlangan memenangi pingat perak Olimpik 2016 dengan menjuarai kejohanan dunia pada 2019. Katanya, dia sememangnya mengintai peluang untuk merangkul pingat emas Olimpik sekali lagi di Paris 2024 dan akan berusaha untuk memperbaiki prestasi. sumber : HMetro
|