View: 862|Reply: 1
|
Tiga pingat termasuk emas pertama dalam jangkauan
[Copy link]
|
|
Kuala Lumpur: Satu pingat sudah diperoleh menerusi gangsa sumbangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan kini tinggal dua termasuk kilauan emas pertama perlu diburu bagi memenuhi sasaran ditetapkan kontinjen negara di Olimpik Tokyo 2020.
Ketika temasya sukan terbesar dunia itu semakin menuju ke penghujungnya, ada sesetengah pihak mungkin membayangkan sasaran itu tampak sukar dipenuhi, namun sebenarnya prospek pingat negara selepas badminton hanya akan bermula Rabu ini menerusi acara terjun 10 meter (m) platform individu wanita serta berbasikal trek.
Dalam acara terjun, Pandelela Rinong serta Cheong Jun Hoong akan beraksi di peringkat saringan di Pusat Akuatik Tokyo sebelum 18 penerjun terbaik akan layak ke separuh akhir.
Pandelela pastinya berharap dapat mengubat kekecewaan gagal mempertahankan perak acara 10m platform seirama yang dimenanginya bersama Jun Hoong di Rio 2016 apabila menduduki tempat terakhir ketika bergandingan dengan Leong Mun Yee, pada kali ini.
Tuah mungkin memihak kepadanya menerusi acara 10m platform individu wanita selepas memenangi gangsa menerusi acara sama di London 2012.
Jun Hoong pula dilihat mampu memberikan harapan kilauan pingat selepas menjalani latihan secara berasingan bersama jurulatih dari China, Yang Zhuliang.
Juara dunia di Kejohanan Akuatik Dunia 2017 di Budapest, Hungary itu dikatakan berada pada prestasi terbaik ketika ini dan hanya akan mula membuktikan kemampuannya, Rabu ini.
Paling dinanti-nantikan tentunya di Velodrom Izu apabila dua jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom bakal memulakan aksi mereka menerusi acara pecut, Rabu ini.
Beban dipikul di bahu Azizul cukup berat apabila dia disandarkan untuk memenangi pingat emas pertama negara, namun pelumba yang mendapat gelaran 'The Pocket Rocketman' itu dilihat tenang dan bersedia menyahut cabaran itu.
Pada penampilan keempatnya di temasya Olimpik, pemenang pingat gangsa Rio 2016 itu dilihat mempunyai pakej sempurna untuk memburu emas.
Kelibat Shah Firdaus tidak boleh dipandang remeh kerana dia mampu menghadirkan sesuatu meskipun bakal membuat penampilan kali pertama di Sukan Olimpik.
Melihat situasi semasa ketika ini, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, tidak mustahil Malaysia mampu mencapai sasaran cukup berani itu.
Namun, katanya, segala-galanya bergantung kepada prestasi semasa atlet yang menjadi sandaran utama seperti Azizul dan Pandelela.
"Harapan sekarang ini sememangnya terletak di bahu Azizul dengan mengharapkan Shah dapat membantunya. Untuk terjun pula pastinya Pandelela dan Jun Hoong menjadi tumpuan.
"Tapi sejak kebelakangan ini saya lihat prestasi atlet terjun tidak berapa baik. Olimpik adalah pentas berbeza dan saya harap kedua-dua mereka dapat membuktikan sesuatu.
"Kedua-duanya mempunyai pengalaman terutama Pandelela yang pernah menang gangsa di London 2012 dalam acara sama dan kemudian perak di Rio bersama Jun Hoong," katanya.
sumber : HMetro
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
GANDINGAN badminton beregu lelaki negara, Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik menyumbangkan pingat gangsa di Tokyo 2020, Sabtu lalu. FOTO EPA |
|
|
|
|
|
|
| |
|