CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4029|Reply: 2

Bawa 10 liter air

[Copy link]
Post time 4-8-2021 07:02 PM | Show all posts |Read mode


GUNUNG Raung yang terletak di sempadan Banyuwangi, Jember dan Daerah Bondowoso, Wilayah Timur Jawa, Indonesia antara gunung yang memerlukan kemahiran teknikal untuk ditakluki.
Namanya jarang disebut pendaki dari Malaysia dan ia juga diakui sukar untuk ditakluki selain ketiadaan sumber air sepanjang perjalanan.
Namun, semua itu tidak mematahkan semangat 18 pendaki yang mencabar diri untuk menawan Puncak Raung Sejati iaitu puncak tertinggi antara puncak Bendera, Puncak 17 dan Puncak Tusuk Gigi di gunung terbabit.
Gunung setinggi 3,344 meter dari paras laut itu antara gunung berapi yang masih aktif di Pulau Jawa dan sehingga kini statusnya masih pada paras waspada.
Keunikan gunung berkenaan adalah kalderanya (kawah) yang berbentuk elips dengan kedalamannya sekitar 500 meter selain puncak tertinggi ialah Puncak Sejati.
Ia antara kawah kedua terbesar di Indonesia selepas kawah Gunung Tambora di Nusa Tenggara.
Dari kota Surabaya, penulis dan rakan pendaki lain memulakan perjalanan ke Pos Pendakian Desa Kalibaru dengan menaiki van yang mengambil masa kira-kira lapan jam.
Kami berehat seketika di dusun Wonorejo, di kaki gunung untuk menikmati hidangan makan malam di rumah Pak Soeto.
Malah kami turut diberikan taklimat oleh penunjuk arah berpengalaman, Pak Joe mengenai aspek keselamatan dan teknik pengendalian peralatan.
Penulis dan rakan pendaki turut dimaklumkan antara cabaran Gunung Raung ialah perlu membawa bekalan air 10 liter setiap seorang dan tidak menggunakan khidmat 'porter.'
Selepas solat Subuh dan sarapan, kami memulakan perjalanan ke Pos 1 pada ketinggian 980 meter dari paras laut dan setiap pendaki mempunyai pilihan untuk membonceng 'ojek' selama hampir 40 minit melalui jalan kebun serta kampung.
Pendakian hanya bermula dari Pos 1 menuju ke Pos 2 dan ketika melalui kebun kopi serta koko milik penduduk tempatan, bau aroma benar-benar menusuk hidung kami.

KAWAH Gunung Raung jelas kelihatan jika tiada kabus. (gambar hiasan). Lewat petang, barulah kami semua sampai di Pos 2 yang berketinggian 1,431 meter dari paras laut.
Selepas berehat seketika, kami meneruskan pendakian pada awal pagi menuju ke Pos 3 dan perjalanan diakui semakin mencabar dengan laluan yang licin selain penuh dengan pokok berduri.
Setibanya di Pos 3, pendaki disambut dengan hujan lebat dan angin kuat selain kawasan itu memiliki keluasan yang amat terhad untuk memuatkan tiga khemah.
Malam itu suhu jatuh mendadak, penulis dan rakan pendaki lain 'berperang' dengan mental melawan kesejukan serta angin dalam memaksa  merehatkan diri seketika.
Dalam kedinginan pagi, kami kemudian meneruskan pendakian menuju ke Pos 4 dan penulis akui semakin lelah tambahan pula dengan bebanan yang dibawa.
Selepas penat mendaki, jam 4.30 petang akhirnya kami tiba di Pos 4. Masing-masing menarik nafas lega dan ceria walaupun keletihan.
Kami mengambil kesempatan itu untuk berehat dan menikmati makanan serta kopi panas sambil mendengar cerita oleh Pak Joe.
Penulis dan rakan pendaki lain dikejutkan Pak Joe seawal pagi untuk memulakan pendakian dan selepas mempersiapkan diri, kami memulakan misi menakluk puncak.
Puncak Bendera adalah puncak pertama yang kami lalui dan ia adalah kawasan berbatu.
Sekali sekala dalam perjalanan itu kami ternampak Puncak Sejati dan ia membuatkan kami lebih bersemangat untuk menaklukinya.
Untuk ke Puncak 17 pula, memerlukan kemahiran teknikal 'abseiling dan repelling' dinding setinggi 10 meter dan di sini, kekuatan lengan, tangan, pinggul serta kaki pendaki akan diuji.

PENDAKI dari Malaysia yang berjaya menawan Puncak Sejati, Gunung Raung, Indonesia. Dari Puncak 17, pendaki dapat melihat laluannya yang agak sempit dan tirus selebar satu meter menuju ke Puncak Sejati.
Di kiri dan kanan laluan itu adalah jurang, tidak hairanlah jika ramai yang menggelarkan ia sebagai laluan 'Siratul Mustaqim.'
Ada ketikanya pendaki juga terpaksa merendahkan posisi badan dan merangkak kerana tiupan angin yang begitu kuat.
Selain itu, pendaki perlu berhati-hati dengan batu yang dipijak kerana terdapat banyak batuan berselerakan yang menggelongsor ke bawah.
Dari kejauhan kelihatan puncak-puncak runcing yang dipanggil Puncak Tusuk Gigi.
Kedengaran suara pendaki lain dari atas memberikan amaran terdapat batu-batu kecil yang turut 'berterbangan' dari arah mereka.
Ada satu insiden berlaku ketika pendakian ke Puncak Sejati di mana batu yang dipaut rakan pendaki terlepas dan melayang ke bawah, jatuh hampir terkena pada dua pendaki lain.
Kedua-dua rakan pendaki itu bagaimanapun berjaya mengelak batu sebesar bola sepak berkenaan dan kami semua menarik nafas lega kerana  semuanya selamat serta tiada kecederaan berlaku.
Pendakian diteruskan dan selepas lebih lima jam mendaki, kami akhirnya berjaya tiba di Puncak Sejati.
Perasaan penulis dan rakan pendaki lain ketika itu sukar digambarkan dan hilang lelah kami apabila melihat keindahan ciptaan yang Maha Esa.
Sesekali terdengar 'suara guruh' dari kawah seolah-olah ia meraung.
Puncak Sejati dengan pemandangan kalderanya yang seluas hampir satu kilometer persegi sememangnya menyajikan pemandangan yang begitu indah jika tiada kabus menghalang.
Selepas berehat dan merakam gambar kenangan, penulis dan pendaki kemudian bergerak turun menuju ke Pos 4.
Meskipun ia adalah satu trip pendakian yang sukar namun penulis akui cukup berbaloi dengan pengalaman dan pemandangan disajikan.
Kenangan sepanjang menjayakan misi menawan Puncak Raung- Sejati itu juga masih kekal terpahat dalam ingatan sehingga kini meskipun ia sudah bertahun lamanya.
Ia adalah satu kisah pengalaman yang mahal, terima kasih Gunung Raung.

https://www.hmetro.com.my/santai/2021/03/680401/bawa-10-liter-air



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 5-8-2021 07:30 AM | Show all posts
penat la panjat bukit
i suka pi air terjun
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 5-8-2021 04:27 PM | Show all posts
xpdckelate replied at 5-8-2021 07:30 AM
penat la panjat bukit
i suka pi air terjun

Kena trek dan panjat2 sikit kan?
You pg air terjun mana?
Nak ikut



Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: ExploRasa


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-12-2024 07:49 PM GMT+8 , Processed in 0.169948 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list