|
KARAKTER luar biasa dipamerkan setiap atlet kontinjen Tokyo 2020 negara dalam mengharungi temasya sukan terbesar dunia yang berlangsung dalam suasana norma baharu berikutan pandemik Covid-19 ternyata menyentuh hati Ketua kontinjen Malaysia (CDM), Datuk Lee Chong Wei.
Malah bekas pemain badminton nombor satu negara itu menyifatkan edisi Tokyo 2020 kali ini tidak hanya menuntut kekuatan fizikal untuk berdaya saing tetapi juga mental bagi mengharungi cabaran dalam dan luar diri masing-masing semasa mengalas tanggungjawab untuk negara.
“Pada saya, Tokyo 2020 seharusnya diiktirafkan sebagai Olimpik paling sukar apabila persiapan terganggu menjelang temasya, dengan stadium sukan yang sepi disebabkan pandemik Covid-19.
“Akan tetapi, skuad Malaysia berjaya menyerikan dan menyatukan rakyat Malaysia dengan persembahan yang terbaik. Pedih hati Chong Wei melihat air mata rakan-rakan seperjuangan dalam temasya ini.
“Saya tahu, rakyat tahu, negara tahu, anda semua telah melakukan yang terbaik demi bendera di dada. Syabas dan tahniah, boys and girls! Sekali lagi membuktikan yang Malaysia sememangnya.... BOLEH!,” kata Chong Wei yang dimuatnaik di laman Facebooknya.
Pada masa Chong Wei juga berterima kasih kepada semua atlet kontinjen negara pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 kali ini kerana telah memberikan komitmen terbaik masing-masing.
“Khairul, Syaqiera, Azreen, Hup Wei, Zii Jia, Aaron, Wooi Yik, Soniia, Mei Kuan, Meng Yean, Peng Soon, Liu Ying, Azizul, Shah Firdaus, Dhabitah, Yan Yee, Pandelela, Jun Hoong, Mun Yee, Farah, Phay Xing.
“Khairulnizam, Shazrin, Nuraisyah, Juni Karimah, Suryani, Welson, Jing En, Kelly Tan and Gavin Green. Saya mewakili Team Malaysia dan rakyat Malaysia mengucapkan terima kasih kepada anda semua.
“Walaupun berbezanya agama, berbezanya adat, dan dengan negara dalam kemelut pandemik dan politik, kamulah yang menunjukkan melalui sukan di pentas dunia bahawa orang Malaysia ini kuat dan taat sayang kepada negara tercinta, negara kita, Malaysia kita. Bak lagu Ella, dan frasa ini 100 peratus tepat menusuk hati - Engkau terunggul, wajar standing in the eyes of the world,” katanya.
Untuk rekod, Tokyo 2020 pada kali ini kontinjen negara mengakhiri saingan dengan dua pingat - pingat perak diraih jaguh basikal trek, Datuk Azizulhasni Awang dan pingat gangsa dimenangi beregu badminton lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/a ... -kontinjen-Malaysia
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|