CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2744|Reply: 8

'Pakej bermalam jumpa hantu'

[Copy link]
Post time 11-8-2021 01:25 PM | Show all posts |Read mode
'Pakej bermalam jumpa hantu'


Rumah Agnes Keith terletak di lokasi strategik atas bukit, di Jalan Istana, Sandakan. (Foto ihsan Pejabat Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah)

RUMAH Agnes Keith, sebuah rumah lama di bandar Sandakan yang pernah diduduki seorang penulis dari Amerika Syarikat, Agnes Newton Keith menyimpan banyak memori lama dan kisah misteri belum terungkai sehingga kini.

Tersergam indah di atas bukit di Jalan Istana, Sandakan, rumah setingkat diperbuat daripada kayu itu juga popular dengan kisah seram pernah dilalui dan diceritakan sendiri oleh penghuninya, termasuk Agnes, lebih separuh abad lalu.

Antara catatannya, Agnes pernah menceritakan sering ternampak lembaga wanita tinggi lampai bersama seorang bayi sepanjang tinggal di rumah berkenaan dari tahun 1934 hingga 1952.

Kisah seram itu juga diceritakan oleh penghuni selepas Agnes termasuk seorang pembantu rumah yang mengatakan pernah terserempak dengan wanita sedang berdiri di anak tangga ketika tinggal di rumah itu pada 1967 hingga 1968.

Dibuka selepas pelancongan dibenarkan


Gambar lama menunjukkan suasana penghuni Rumah Agnes Keith ketika era kolonial.

Benar atau tidak, hanya penghuni yang pernah tinggal di rumah, kini dijaga Jabatan Muzium Sabah sahaja yang tahu mengenai kisah menyeramkan di sebalik keindahan seni bina dan reka bentuk era kolonial rumah berkenaan.

Malah, ada mengatakan kisah misteri dan seram itu masih berlaku hingga ke hari ini dan ia menjadi antara tarikan pengunjung untuk melawat ke Rumah Agnes Keith sejak dibuka pada 2004.

Menyedari potensi itu, Jabatan Muzium Sabah merancang mewujudkan pakej pelancongan seram atau `dark tourism' khusus untuk peminat kisah misteri dan cerita seram.

Tawaran itu dijangka dibuka selepas aktiviti pelancongan dibenarkan semula apabila pandemik COVID-19 semakin pulih, terbuka kepada sesiapa berani dan teringin merasai pengalaman seram.

Ketika mengumumkan perkara itu baru-baru ini, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata Jabatan Muzium Sabah akan membangunkan program e-Seram dengan membenarkan pengunjung bermalam di Rumah Agnes Keith.

"Ia akan memberi peluang kepada pengunjung bermalam di rumah terbabit bagi merasai sendiri kehidupan Agnes Newton Keith bersama suaminya, Harry Keith dan anak mereka, George pernah tinggal di rumah itu.

"Ketika ini, program itu ditangguhkan berikutan pandemik sejak tahun lalu," katanya.

Wujudkan e-Seram


Suasana bilik tidur yang luas di Rumah Agnes Keith.

Selain Rumah Agnes Keith, banyak lagi lokasi di Sabah menyimpan sejarah peperangan, kemusnahan atau tragedi boleh dijadikan sebagai tarikan pelancongan.

Jafry berkata, e-Seram adalah satu cadangan untuk menambah nilai setiap destinasi pelancongan di Sabah menerusi kaedah penceritaan atau 'story-telling', dengan menonjolkan cerita, mitos dan legenda kepada pelancong.

Kisah misteri jadi tarikan

Program itu tidak menjejaskan nilai warisan Rumah Agnes Keith, malah ia diyakini dapat menarik lebih ramai pengunjung terutama mempunyai minat mendalam terhadap sejarah dan kisah misteri.

Katanya, 'dark tourism' sebenarnya sudah lama wujud di Sabah seperti pembukaan Tugu Peringatan Perang Kundasang di Ranau pada 1962, menceritakan kisah sedih 'Death March' tentera Australia dan British yang dijadikan tahanan perang Jepun di Sandakan.

Istilah 'dark tourism' pada asalnya dicetuskan dua profesor dari Glaslow Caledonian University, Malcolm Foley dan John Lennon pada 1996 yang membawa maksud pelancongan berteraskan kegelapan.

"Destinasi dikunjungi menyimpan sejarah seperti peperangan, kemusnahan atau tragedi terjadi pada satu masa dahulu.

"Kita mempunyai banyak tempat pelancongan menarik, pulau yang cantik, gunung yang indah, namun, di sebalik keindahan ini ada satu jenis pelancongan tidak kurang menarik iaitu melawat kawasan mencatat sejarah, tragedi, kekejaman, ataupun mengerikan dan ia dikenali sebagai 'dark tourism'," katanya.

Berdasarkan catatan Jabatan Muzium Sabah, rumah itu sudah ada apabila Agnes mengikuti suaminya bertugas sebagai Pegawai Konservasi Hutan di Sandakan pada 1934 dan mereka adalah penghuni kedua di rumah berkenaan sehingga tercetus Perang Dunia Kedua pada 1942.

Rumah berkenaan dikatakan rosak ketika perang tetapi dibina semula pada 1946 sebelum diduduki semula oleh Agnes bersama suami dan seorang anak mereka, sekembalinya dari Amerika Syarikat ke Sandakan selepas perang tamat.

Agnes menamakan rumah yang dibina semula itu sebagai Newlands dan mereka tinggal di sana hingga 1952 sebelum digantikan Pegawai Konservasi Hutan lain dengan yang terakhir Tom Bayles, pada 1968.



Gambar lama menunjukkan antara individu yang pernah tinggal di Rumah Agnes Keith dari zaman kolonial hingga akhir 1970-an.
Kekalkan reka bentuk

Difahamkan, rumah itu terus didiami pegawai lain sebelum ditinggalkan kosong selepas 1992 dan dijadikan sarang aktiviti tidak sihat termasuk penagih dadah sehinggalah diambil alih Jabatan Muzium Sabah pada 2001.

Jabatan Muzium Sabah dengan kerjasama Jabatan Muzium dan Antikuiti Negara kemudiannya melaksanakan pembaikan dan pemulihan dengan mengekalkan reka bentuk luaran dan dalaman asal sama seperti ketika Agnes tinggal di rumah itu hampir seabad yang lalu.

Menariknya, segala perabot dan peralatan dipamerkan dalam rumah itu juga semua dari era kolonial, selain pelbagai dekorasi barangan antik dan gambar lama memaparkan kehidupan Agnes dan keluarganya serta suasana di Sandakan ketika itu.

Tidak ketinggalan catatan mengenai kisah seram yang pernah dilalui penghuni rumah itu turut disediakan untuk bacaan dan pengetahuan pengunjung.

Rumah itu kemudiannya dinamakan Rumah Agnes Keith sebagai penghargaan terhadap Agnes yang membantu memperkenalkan Sabah atau ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara melalui buku bertajuk Land Below The Wind menceritakan mengenai masyarakat tempatan dan alam semula jadi Sabah, pada 1939.

Bagi peminat kisah seram atau aktiviti paranormal, peluang untuk merasai sendiri pengalaman bermalam di rumah itu, terletak satu kilometer dari pusat bandar Sandakan.

Malah, inisiatif Jabatan Muzium Sabah itu mungkin dapat merungkai misteri di sebalik kisah itu, sama ada benar-benar berlaku hingga ke hari ini atau hanya khayalan dan rekaan semata-mata.


Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin (tiga kiri) meninjau suasana Rumah Agnes Keith di Sandakan yang akan dijadikan destinasi pelancongan seram.

INFO

Catatan kisah seram Rumah Agnes Keith

* "Saya tidak percaya hantu, tetapi setiap hari saya melihat seorang wanita tinggi lampai mengucapkan selamat tinggal kepada suaminya, mengambil bayinya dan turun ke jalan seorang diri, berdiri di hujung jalan dan menoleh ke belakang," -Agnes Keith

* Rosemary, isteri GL Carson tinggal dari tahun 1955 hingga 1967 menceritakan kisah pintu bilik ditutup beberapa kali, disusuli bunyi orang berjalan pada satu subuh ketika tinggal berseorangan sebelum ternampak lembaga wanita berdiri di hujung katil sambil merenung ke arahnya.

* Seorang pembantu rumah yang bekerja ketika Tom Bayles tinggal pada 1967 hingga 1968 menceritakan pernah terserempak dengan wanita sedang berdiri di anak tangga.

Sumber:https://www.bharian.com.my

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 11-8-2021 01:30 PM | Show all posts
patutnya film conjuring shooting kt umah ni... baru la real...
Reply

Use magic Report

Post time 11-8-2021 01:40 PM From the mobile phone | Show all posts
Aku berminat tapi kenot go there laa buat masa ni
Reply

Use magic Report

Post time 11-8-2021 01:43 PM From the mobile phone | Show all posts
Oo ni hantu omputih.
Sesapa yg hati kering sila la pegi

Reply

Use magic Report

Post time 11-8-2021 01:58 PM From the mobile phone | Show all posts
aku pelik kenapa mat pet tak terjejas dgn hantu ya? mana2 sarang hantu mesti pernah jadi sarang mat pet.

adakah hantu pun meluat dgn perangai mereka?
Reply

Use magic Report

Post time 11-8-2021 01:59 PM From the mobile phone | Show all posts
tak faham knp suka betul nk buat mcm ni.. igt seronok ke.. org yg skrg kn x berminat pun nak cari2 ni. yg tak pernah kena kacau n buat content je suka cari makhluk ghaib ni.....
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 11-8-2021 02:30 PM From the mobile phone | Show all posts
Sapa la berminat tidoq kat sini?
Reply

Use magic Report

Post time 1-9-2021 01:49 AM From the mobile phone | Show all posts
Tinot7 replied at 11-8-2021 02:30 PM
Sapa la berminat tidoq kat sini?

Aku berminat.  Nak bawak bini aku 5th honeymoon sini.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 1-9-2021 02:17 PM From the mobile phone | Show all posts
igetso replied at 1-9-2021 01:49 AM
Aku berminat.  Nak bawak bini aku 5th honeymoon sini.

Selamat berhanimun
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 09:52 PM GMT+8 , Processed in 0.137890 second(s), 34 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list