London: Fernando Alonso akan terus berlumba sehingga berusia 41 tahun apabila menandatangani kontrak baharu setahun bersama Alpine.
Bulan lalu juara dunia berganda berusia 40 tahun itu kembali ke grid buat kali pertama musim ini dalam tempoh dua tahun.
Dia menduduki tempat keempat di Grand Prix Hungary - pusingan terakhir sebelum rehat musim panas dan kini berada di tempat ke-11 dalam carta keseluruhan.
Pelumba Sepanyol yang muncul juara 32 kali dalam 322 penampilan kelmarin berkata: ''Saya sangat gembira mengesahkan penyambungan kontrak dengan pasukan Alpine F1 sehingga 2022.
'Saya seperti berada di tempat sendiri sebaik bersama pasukan ini dan saya dialu-alukan dengan tangan terbuka.
'Ia musim yang sukar kepada sesiapa sahaja tetapi kami menunjukkan kemajuan sebagai satu pasukan dan keputusan di Hungary contoh terbaik apa yang saya maksudkan.
'Kami menyasarkan lebih banyak memori positif untuk baki musim ini tetapi juga tahun depan yang mungkin beberapa peraturan baharu diperkenalkan di F1.''
Dia akan bergandingan dengan pemenang sensasi GP Hungary, Esteban Ocon yang mengikat kontrak baharu tiga tahun dengan pasukan Enstone pada Jun lalu.