CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1762|Reply: 0

Pelihara kesucian Islam

[Copy link]
Post time 1-9-2021 10:20 PM | Show all posts |Read mode
Pelihara kesucian Islam


SETIAP Muslim hendaklah memaknai kemerdekaan itu dengan pembebasan daripada segala bentuk kesyirikan yang dapat menyimpangkannya dari jalan fitrah. FOTO BERNAMA

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Semalam genap ulang tahun kemerdekaan negara tercinta ke-64 dengan membawa tema Malaysia Prihatin. Detik kemerdekaan sangat bermakna buat seluruh warga Malaysia tidak kira bangsa dan agama dalam mengecapi nikmat kebebasan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Hari ini, kita dapat menghirup udara kebebasan daripada penjajah yang didambakan oleh semua masyarakat di sesebuah negara.

Usia 64 tahun kemerdekaan bukanlah usia yang masih muda, malah sudah mencapai peringkat kedewasaan. Dalam kedewasaan ini, pelbagai perubahan berlaku dengan pesat dan membangun di negara kita. Kita selaku rakyat Malaysia pasti menginginkan kehidupan yang kita nikmati ini berterusan dan berkekalan tanpa ada kekacauan, peperangan atau pertelingkahan yang boleh menggugat keselamatan serta keamanan negara.

Oleh itu, selaku umat Islam apakah erti kemerdekaan yang sebenar? Bagaimana cara untuk menghayati pengorbanan yang diperjuangkan oleh tokoh kemerdekaan terdahulu? Benarkah kita sudah merdeka secara hakiki? Bagaimana mengisi hati kita dengan erti merdeka saat ini?

Menghayati erti kemerdekaan negara dengan hifz din

Hifz din bermaksud memelihara kesucian agama Islam dengan memastikan ia didaulat, diamalkan, melindungi daripada sebarang bentuk penyelewengan dan pencemaran serta melaksanakan usaha pencegahan secara berterusan bagi mengelakkan pengikutnya meninggalkan ajaran Islam. Hifz din juga termasuk dalam satu daripada aspek maqasid syariah yang perlu dipelihara selain jiwa, akal, harta dan nasab.

Imam al-Syatibi dalam kitabnya al-Muwafaqat menjelaskan pemeliharaan kesucian agama Islam terbahagi kepada dua aspek. Pertama, dari sudut memastikan ajaran Islam dilaksana sama ada yang berkaitan fardu ain atau fardu kifayah. Kedua, agama Islam mestilah dipelihara daripada sebarang bentuk penyelewengan dengan memastikan penganutnya menjauhi dosa kecil, dosa besar serta perkara bidaah.

Sehubungan itu, sesuai dengan erti kemerdekaan iaitu kebebasan maka Islam menuntut umatnya bebas daripada pemikiran yang boleh merosakkan akidah dan berjalan di atas landasan fitrahnya iaitu keimanan serta keislaman. Islam adalah agama kesejahteraan yang diturunkan oleh Allah SWT kepada semua nabi. Kedatangan Nabi Muhammad SAW adalah sebagai pelengkap kepada kesempurnaan agama Islam dengan diwahyukan al-Quran kepada baginda SAW.

Allah SWT menjelaskan Islam adalah agama yang diredai-Nya. Apabila Allah SWT reda maka segala yang termaktub sebagai ajaran Islam adalah benar dan tiada keraguan padanya.

Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah adalah Islam." (Surah ali-Imran ayat 19)

Berkata seorang ulama tersohor di Nusantara, Al-Fadhil Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin, Islam adalah agama yang indah, sempurna dan kaya dengan pelbagai perbendaharan yang mewangi. Namun, ramai daripada kalangan umat Islam tidak mengetahuinya lantaran tidak mengenal agama Islam itu dengan kaca mata yang benar.

Hari ini, kita dapat melihat berapa banyak isu yang berlaku yang menyimpang daripada akidah yang sahih. Contohnya, pengaruh dan ancaman liberalisme sememangnya diketahui sebagai agenda berbahaya kepada umat Islam kerana menerapkan kefahaman kebebasan melampau.

Berkata Ustaz Engku Ahmad Fadzil Engku Ali dalam Webinar Mendepani Cabaran Liberalisme dan Pluralisme di Malaysia anjuran Kolej Islam As Sofa baru-baru ini, gerakan yang dibawa dari Barat ini sebenarnya bertujuan menyesatkan umat Islam supaya menjadi murtad dan menunjukkan Islam sebagai agama yang batil. Ancaman radikal yang cuba dikembangkan oleh golongan ini bukan saja memurtadkan orang Islam sebaliknya semua tunduk kepada ajaran lain.

Fahaman ini juga turut mentafsir agama mengikut kehendak atau kesesuaian agenda mereka dalam acuan yang menyeleweng sama ada dari segi akidah atau hukum syarak. Penolakan terhadap peraturan agama dengan menganggap akal rasional sudah mencukupi untuk memahami kalamullah tanpa perlu berpandukan kepada golongan ulama serta mempertikaikan hukum-hakam yang sudah tetap dalam Islam.

Oleh itu setiap Muslim hendaklah memaknai kemerdekaan itu dengan pembebasan daripada segala bentuk kesyirikan yang dapat menyimpangkannya daripada jalan fitrah. Kemerdekaan yang dituntut kepada seseorang Muslim adalah terbebasnya seorang hamba itu daripada segala sistem kehidupan yang tidak bersumberkan aturan Islam sebenar dan sunah Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian pada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu) lalu Allah menyatukan di antara hati kamu sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara." (Surah ali-Imran ayat 103)

Marilah kita bersama menghayati erti kemerdekaan dengan mempertahankan maruah negara agar kekal berdaulat, beragama dan harmoni dengan melaksanakan tuntutan agama Islam dalam perkara akidah, syariat dan ihsan terhadap semua aspek kehidupan. Keamanan hidup dan bernegara ini pasti akan lebih berkesan apabila semua penghuni sesebuah negara sentiasa mengingati Allah SWT dengan mendaulatkan Islam sebagai agama Rabbaniyyah.

Penulis Ketua Eksekutif Kolej Islam As Sofa

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... hara-kesucian-islam

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-12-2024 01:20 PM GMT+8 , Processed in 0.194219 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list