|
Jangan cuba palsukan sijil vaksin - Gabenor Jakarta
September 5, 2021 @ 11:21am
JAKARTA: Masyarakat diingatkan untuk tidak cuba memalsukan sijil vaksin COVID-19 bagi mengelak sekatan lebih ketat dikenakan oleh pihak berkuasa.
Gabenor Jakarta, Anies Baswedan menyifatkan pemalsuan sijil vaksin antara isu kemanusiaan yang dihadapi ketika ini.
"Jangan lakukannya (palsukan sijil vaksin). Lebih mudah mendapatkan vaksin daripada berusaha mendapatkan sijil vaksin palsu kerana mereka harus membayar untuk pihak yang memalsukannya.
"Datang saja ke tempat vaksinasi di mana sahaja kerana ia adalah percuma dan mudah," katanya ketika meninjau pemberian vaksinasi dos ketiga di Hospital Fatmawati, semalam.
Beliau juga meminta orang ramai untuk tidak memperoleh sijil vaksin secara haram kerana kerajaan menyediakan perkhidmatan vaksinasi yang sentiasa dibuka dengan kos berpatutan.
"Mendapatkan sijil vaksin palsu adalah menyusahkan, tetapi mendapatkan vaksin adalah sesuatu yang mudah. Mengapa anda mahu yang palsu," katanya.
Memetik laporan antaranews.com, Polis Metro Jaya sebelum ini menahan dua individu didakwa menjual sijil pelalian COVID-19 dalam talian yang dikaitkan dengan aplikasi pedulilindungi.id.
Mereka dikenal pasti sebagai HH (30) dan FH (23).
Ketua Inspektor Jeneral Polis Metro Jaya, Fadil Imran, berkata modus operandi suspek ialah mereka mempunyai akses ke data populasi.
"Suspek juga memiliki akses ke P-Care dan bekerjasama dengan rakannya untuk menjual kepada orang ramai," katanya.
Fadil mendedahkan bahawa kes itu dikesan selepas pegawai menemui akaun Facebook dengan nama Tri Putra Heru yang menawarkan perkhidmatan membuat sijil vaksinasi tanpa diinokulasi tetapi disatukan dengan aplikasi pedulilindungi.id.
"Ketika berhubung dengan akaun itu, didapati ia memperdagangkan sijil vaksin tanpa inokulasi dan dapat dihubungkan ke pedulilindungi.id dengan harga satu sijil vaksin Rp320 ribu (RM93)," katanya. - AGENSI
|
|