View: 1879|Reply: 0
|
Azab zalimi orang beriman
[Copy link]
|
|
Azab zalimi orang beriman
BALASAN nikmat syurga menanti golongan yang beristiqamah di dalam melaksanakan dan mempertahankan syariat Islam.
Al-Buruj iaitu surah ke-85 di dalam al-Quran adalah nama salah satu dari 114 surah yang terkandung di dalam al-Quran. Ia dinamakan dengan al-Buruj kerana di awal surah tersebut Allah SWT bersumpah demi langit serta gugusan bintang-bintang dan hari pembalasan yang dijanjikan, bahawa sesungguhnya golongan yang menentang syariat Islam serta bertindak menzalimi orang yang beriman akan menerima pembalasan azab yang pedih dan menyakitkan di akhirat kelak.
Penentangan terhadap dakwah dan risalah Islam berlaku semenjak zaman nabi-nabi terdahulu sehinggalah pada zaman Nabi Muhammad SAW. Bentuk-bentuk penentangan tersebut termasuk tindakan kezaliman, penindasan, serangan dengan kata-kata kecaman, penghinaan, makian dan fitnah. Lazimnya golongan yang mempunyai niat jahat, tidak bertimbang rasa dan tidak mempunyai pengetahuan yang benar tentang agama mudah terjerumus ke dalam perbuatan kezaliman.
Menzalimi atau melakukan penganiayaan sesama manusia adalah perbuatan yang dibenci oleh Allah SWT sama ada dengan menyinggung kehormatan, menyakiti fizikal dan emosi serta merampas harta orang lain.
Peristiwa kezaliman yang dilakukan ke atas orang beriman dirakamkan di dalam al-Quran seperti ayat 4 hingga 8 surah al-Buruj menceritakan tentang kezaliman oleh golongan ashabul ukhdud yang menggali parit api untuk menyeksa orang beriman kerana tekad mempertahankan keimanan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Celakalah kaum yang menggali parit, (parit) api yang penuh dengan bahan bakaran, (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya, sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman. Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!"
Selain itu, perbuatan menentang ajaran Islam melalui kata-kata ejekan dan sindiran berlaku pada zaman kaum Thamud sebagaimana firman Allah di dalam al-Quran surah al-A'raf ayat 76 yang bermaksud: "Orang-orang yang sombong takbur itu berkata: "Sesungguhnya kami tetap ingkar akan orang yang kamu beriman kepadanya."
Selepas mereka menolak seruan dakwah Nabi Saleh AS, maka ditunjukkan bukti kenabian seperti yang diminta dan diperingatkan bahawa ancaman azab akan dikenakan sekiranya enggan mentaati seruan tersebut, namun mereka tetap tidak percaya dan menolak kenabian Nabi Saleh AS.
Selain daripada peristiwa kezaliman dan penentangan yang dilakukan oleh orang kafir terhadap orang yang beriman, al-Quran juga menceritakan perihal golongan yang menzalimi diri sendiri dengan perbuatan mengingkari syariat dan akidah Islam.
Kezaliman juga bermaksud apabila seseorang hamba melakukan pelbagai bentuk dosa, keburukan dan kemaksiatan kepada Allah dan Rasul-Nya.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 57 yang bermaksud: "Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu 'Mann' dan 'Salwa', (serta Kami berfirman): "Makanlah daripada makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri."
Perbuatan zalim yang mesti dijauhi oleh setiap Muslim ialah kezaliman kepada Penciptanya dengan kufur kepada Allah seperti maksud al-Quran surah al-Baqarah ayat 254 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat) serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim."
Kezaliman seorang Muslim juga berlaku apabila mengamalkan perbuatan syirik atau menyekutukan Allah sebagaimana firman-Nya dalam surah Luqman ayat 13 yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: "Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."
Penentangan ke atas ajaran Islam pada zaman kini berlaku dalam pelbagai bentuk, rupa dan jenama baharu. Perbuatan mempertikai, mempersenda, meragui akidah Islam tanpa hujah dan nas yang sahih, tidak meyakini dan merendah-rendahkan kemuliaan syariat Islam sama ada melalui ucapan mahupun tindakan bakal mengundang kemurkaan Allah SWT.
Firman Allah dalam surah al-An'am ayat 153 yang bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa."
Justeru kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenar dengan menerima akidah dan tunduk serta patuh kepada syariat agar terselamat daripada ancaman azab dan siksaan yang dijanjikan oleh Allah SAW. Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 85 yang bermaksud: "Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan ia pada Hari Akhirat kelak dari orang-orang yang rugi."
Masih belum terlewat untuk melakukan taubat kepada Allah SWT seperti tuntutan di dalam al-Quran surah Hud ayat 3 yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (daripada perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepada-Nya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab Hari Kiamat yang besar (huru-haranya)."
Balasan nikmat syurga menanti golongan yang beristiqamah di dalam melaksanakan dan mempertahankan syariat Islam di dalam segenap aspek kehidupan.
Nabi Muhammad SAW mengumpamakan orang yang kekal istiqamah dengan syariat Islam di dalam situasi akhir zaman yang penuh mencabar seperti memegang bara api sebagaimana hadis riwayat Anas bin Malik RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: "Akan datang kepada manusia satu zaman di mana orang yang sabar daripada kalangan manusia yang berpegang dengan agamanya seperti seorang yang menggenggam bara api." (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)
Sumber:https://www.hmetro.com.my
|
|
|
|
|
|
|
| |
|