CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3625|Reply: 7

[SEJARAH] Perbicaraan MONA FENDI

[Copy link]
Post time 17-9-2021 03:33 PM From the mobile phone | Show all posts |Read mode
Edited by FanTasyCreaTioN at 17-9-2021 09:33 PM

Hari pertama (12.9.1994) Mona Fandey dibawa ke mahkamah

PASANGAN bomoh, Maznah Ismail atau Mona Fandey dan suaminya, Mohd Affendy Abdul Rahman serta pembantu mereka, Juraimi Husin tenang ketika tuduhan terhadap mereka dibacakan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada hari pertama perbicaraan - 12 September 1994.

Aku dapat melihat riak wajah mereka dengan jelas dari tempat duduk media. Pada waktu tuduhan dibacakan aku mesti tengok reaksi mereka untuk dilaporkan dalam akhbar. Mereka memang 'cool' ketika itu. Lagipun, itu baru tuduhan sehingga mahkamah memutuskan mereka bersalah atau tidak.

Mereka yang menghadapi tuduhan pindaan membunuh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Talam, Datuk Idros @ Mazlan Idris, Julai tahun lalu, faham dengan tuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa, M Muthualagu dan mahu dibicarakan.

(Pindaan dibuat ke atas tarikh pembunuhan iaitu dari di antara jam 11malam 2 Julai 1993 hingga 13 Julai 1993 kepada di antara jam 10 malam 2 Julai 1993 hingga 12 tengah malam 8 Julai 1993).

Juraimi adalah tertuduh pertama perbicaraan itu, Affendy (tertuduh kedua) dan Mona (tertuduh ketiga).

Mona dan Affendy yang berdiri bersebelahan ketika tuduhan itu dibaca bercakap sesama sendiri selepas tuduhan dibaca. Juraimi pula hanya berdiam dan memandang ke arah peguambelanya.

Dalam perbicaraan itu, Mona dan Affendy diwakili oleh Gulam Mustaffa Nadar Ali Khan, sementara Juraimi pula oleh Karam Singh Bahl dengan dibantu Ikmal Hisam Idris.

Affendi masuk ke mahkamah

Timbalan Pendakwaraya Zakaria Sam dengan dibantu Timbalan Pendakwaraya AC Fernandis dan Saiful Edris Zainuddin pula bertindak sebagai pendakwaraya dalam perbicaraan yang didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mokhtar Sidin.

Mokhtar juga menetapkan perbicaraan dijalankan terus menerus dari jam 9 pagi hingga 2 petang serta memperuntukkan waktu rehat tidak lebih 15 minit.
                                             
Peraturan itu bagi memastikan kelancaran perjalanan perbicaraan. Memang mencabar membuat liputan kes ini. Aku dan seorang lagi wartawan kena buat transkrip percakapan dalam mahkamah. Kadang-kadang ada juga perkataan yang 'miss' kerana percakapan mereka kurang jelas.

Dalam hal ini, kalau tak minta bantuan rakan media lain, aku merujuk pada hakim, pendakwa raya atau peguam bela. Tapi ada kalanya kena 'marah' juga dengan hakim.

Ada kalanya pendakwa raya dan peguam bela pinjam nota aku. Tapi, apapun aku cukup seronok membuat liputan kes ini. Aku tumpang bangga menjadi - part of the history.

Macam aku kata tadi perbicaraan ini cukup mencabar pada semua pihak. Semua orang mahukan perbicaraan berjalan lancar. Hakim Datuk Mokhtar Sidin beberapa kali menegur pihak pendakwaraya dan peguambela supaya tidak membazir masa dan memastikan perbicaraan berjalan lancar.

Berbalik pasal Mona Fandey ada 'member’ bertanya cantik ke si Mona tu. Entahlah...sambung episod 2
https://bm.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&tid=1272068&mobile=2

Sumber :
http://chemranggi360.blogspot.com/p/misteri-mona-fendy-2.html?m=1
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 17-9-2021 03:40 PM From the mobile phone | Show all posts

EPISOD 2 PERBICARAAN MONA FENDI

CANTIK ke si Mona Fandey? Persoalan itu sukar untuk dijawab. Pada aku cantik atau tidak terpulang kepada mata orang yang memandangnya.

Tapi apapun, Maznah Ismail atau Mona Fandey yang muncul kali pertama di khalayak ramai selepas lebih lapan bulan - pada 12 September 1994 - memang berbeza dengan penampilannya sebelum itu. Pada mata aku, dia pada masa itu kelihatan semakin cantik dan seksi.

Mona tidak kelihatan seperti umurnya yang menjangkau hampir 40 tahun pada waktu itu. Ada yang kata Mona bukan 38 tahun, tetapi sebenarnya lebih 50 tahun. Tertuduh ketiga kes itu memang mendapat perhatian ramai ketika tiba di mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang - tempat perbicaraan kesnya.

Malah, ketika dia keluar mahkamah untuk menaiki trak, orang ramai yang berdiri di luar pagar mahkamah berteriak: "Mona makin lawa! Mona makin lawa!"

Mona hanya membalas dengan senyuman berikutan pujian orang ramai itu. Beberapa anggota polis, saksi dan wakil media massa juga berpendapat Mona semakin anggun dan berseri-seri. Mona pada hari itu mengikat rambutnya dengan riben biru muda, menampakkan lehernya yang jinjang.

Dia yang memakai blaus merah berbintik hitam tanpa lengan serta seluar ketat berwarna hitam tersenyum lebar melihat reaksi orang ramai menjerit-jeritkan namanya.

Dia yang memakai rantai manik berwarna ungu gelap dan gelang tangan merah berjalur hitam kelihatan sihat dan riang berbanding tertuduh kedua, Mohd Affendy Abdul Rahman, dan Juraimi Husin (tertuduh pertama).

Aku juga masih ingat pada hari kedua perbicaraan Affendy turut memuji-muji kecantikan isterinya. Aku tengok Mona cukup gembira dengan pujian suaminya. Pada aku Mona ada aura tersendiri. Kata orang dia pakai 'pemanis'. Almaklumalah seorang bomoh.

Tapi itu aku tak pasti. Itukan cakap-cakap orang. Mana boleh pakai. Tapi yang pasti dalam keterangan di mahkamah dia mengaku membuat pembedahan plastik. Yang ini bukan cakap-cakap kosong, tetapi fakta dalam mahkamah.

Cerita pasal Mona bergaya pun menjadi perhatian ramai. Ada yang suka dan tidak kurang menyampah. Adatlah di dunia ini - tak semua orang suka pada apa yang kita buat walaupun tak ada kena mengena dengan mereka.

Dalam hal ini Mona berhak memakai pakaian yang disukainya pada perbicaraan. Bagaimanapun, Hakim Makhamah Tinggi, Datuk Mokhtar Sidin, yang mendengarperbicaraan itu boleh meminta Mona berpakaian lebih sopan, jika berpendapat pakaian tertuduh itu tidak sesuai dengan suasana mahkamah. Alasannya Mona hanyalah tertuduh kes itu dan dan belum dibuktikan bersalah. Mona mempunyai kebebasan untuk memakai pakaian yang disukainya di samping berhias.

Mona hanya tahanan polis yang dipercayai terbabit dengan kes bunuh dan bukannya banduan yang perlu memakai pakaian yang disediakan oleh pihak penjara. Selagi tiada teguran daripada Mokhtar, selagi itu Mona boleh memakai pakaian yang diminatinya.

Apapun pada aku si Mona ni pandai menjaga imejnya. Pakaiannya walaupun tidak begitu banyak dia pandai memadankannya. Tetapi kadang kala'over' pula aku tengok. Ada ketikanya tidak kena tempat. Ada beberapa kali pakaiannya nampak seksi dan terpaksa ditutup dengan selendang dan jaket. Memang si Mona ni suka glamour kot.

Aku masih ingat apabila persoalan itu dikemukakan kepadanya sewaktu dia dibawa keluar dari lokap Balai Polis Temerloh ke Penjara Kajang selepas sehari didapati bersalah.

Aku dapat bercakap dengannya - tak sampai seminit minit pun. Itu pun dah kira bagus kerana mengikut peraturan tidak boleh cakap pun dengan dia. Tapi berlaku secara spotan ketika aku mengikutinya dari belakang ketika dibawa ke trak.

Tak silap aku menegurnya wah glamourlah Mona. Tak sangka pula dia membalas dengan berkata : "Saya tak mahu glamour (melaram). Dari dulu pun saya tak glamour."

Ditanya jika tidak mahu glamour mengapa pula berpakaian cantik, Mona berkata:

"Yalah, takkan hendak telanjang pulak."

Menurutnya lagi, dia mahu tersenyum ketika dalam tahanan sementara menanti rayuannya dan hukuman selepas itu. "Saya mahu tersenyum kepada semua orang. Senyum bagi orang tengok," katanya.

Tapi yang aku tahu ketika dibawa ke Penjara Kajang dia membawa lima beg plastik yang berisi pakaian dan aksesorinya. Ada lagi cerita pasal Mona cantik ni. Tunggu cerita Mona buat pembedahan plastik.

CERITA Mona Fandey cantik, lawa, menawan, anggun dan seksi rupa-rupanya menjadi perhatian bukan saja dalam mahkamah, malah di luar sana. Aku sebenarnya pernah tengok gambar Mona ketika dia menjadi penyanyi. Aku tak mahulah komen buruk pasal orang lain. Lagipun siapalah aku nak komen orang tu cantik atau tidak. Aku bukannya pakar kecantikan, tapi sekadar wartawan cabuk. Nanti bebudak sekarang cakap cantik ke dia nak mengata orang. Tapi, hakikatnya Mona tidaklah semenawan ketika perbicaraan kesnya.

Lain benar Mona yang aku tengok dalam akhbar, majalah dan tv dengan Mona ketika 1994. Tak tahulah aku - dia tu kan bomoh 'handal'. Tak mahu aku buruk sangka. Dapat dosa aje.

Tapi, sewaktu perbicaraan mahkamah diberitahu bahawa Mona pernah menjalani pembedahan plastik di bahagian muka, dahi dan hidung di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Motifnya tentulah supaya kelihatan lebih muda dan cantik.

Pembedahan oleh pakar bedah plastik, Dr Wong Kang Shen di Hospital Tung Shin, Jalan Pudu itu dijalankan pada 15 Julai 1993.

Dr Wong memberitahu Mahkamah Tinggi Temerloh bahawa kos rawatan untuk pembedahan itu lebih RM13,000. Menurutnya, pelanggannya itu, Maznah Ismail, menemuinya di pejabatnya di Plaza KL pada 5 Julai 1993 untuk mendapatkan penerangan mengenai pembedahan berkenaan. "Dalam pertemuan itu, dia (Mona) meminta saya menjadikannya lebih muda dan cantik," katanya. Dr Wong berkata, pembedahan untuk menegangkan kulit muka dan dahi serta hidung itu berjalan hampir lima jam.

Pembedahan itu adalah dari belakang teling kanan, merentasi atas kepala dan ke bawah bahagian belakang teling kirinya. Dr Chua menyifatkan pembedahan itu sebagai biasa, walaupun agak intensif. Doktor pakar itu juga memberitahu mahkamah, Mona keluar dari hospital itu dua hari kemudian.

Bersambung di esisod 3
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 17-9-2021 03:50 PM From the mobile phone | Show all posts

EPISODE 3 PERBICARAAN MONA FENDI

Edited by Daftpunk_shine at 17-9-2021 04:02 PM

AKU diberi peluang melihat foto-foto gambar rajah keratan badan Datuk Mazlan Idris yang dipotong dan juga cebisan tulang keratan. Aku tidak tergamak hendak melihatnya kali kedua. Malam tu aku tak boleh tidur terbayang-bayang apa yang dilihat siangnya. Dalam keterangan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 23 November 1994 tertuduh pertama kes ini, Juraimi Husin mengaku menetak leher Datuk Mazlan.

"Saya tetak leher Datuk Mazlan dengan kapak sebanyak tiga kali baru kepalanya putus selepas mendapat isyarat tangan daripada Affandi (Mohd Affandi Abdul Rahman)," kata Juraimi dalam keterangan membela diri.

Menurutnya, dia kemudian memotong sendi dan melapah kulit serta daging Mazlan setelah mendapat arahan lanjut daripada Affandi. Bagaimanapun, tertuduh pertama itu tidak dapat ingat berapa bahagian dia memotong tulang dan daging mayat Mazlan. (Perunding Kanan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Abdul Rahman Yusof dalam keterangannya memberitahu mahkamah mayat Mazlan dipotong 18 bahagian).

"Tulang dan daging itu kemudian saya masukkan ke dalam basin dan mencurahkannya ke dalam lubang stor rumah yang sudah digali sejak seminggu lalu dan menimbusnya.

"Saya kemudian menyimen lubang itu pada keesokan harinya (3 Julai 1993)," akuan itu ketika disoal peguambelanya, Karam Sigh Bahl. Kejadian itu, menurut Juraimi, dilakukan atas rancangan dan arahan Maznah Ismail atau Mona Fandey (tertuduh ketiga) dan Affandi (kedua) di rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, pada 2 Julai 1993. Pembunuhan itu selesai dalam tempoh kira-kira tiga setengah jam dengan persedian dilakukan seminggu sebelum itu. Juraimi berkata, Mazlan ke rumah itu kira-kira jam 10 malam dengan memandu kereta bernombor pendaftaran CAA 5115 bersama Affandi.

"Mazlan kemudian diminta menyalin pakaian dan memakai kain saja oleh Mona sebelum masuk ke dalam bilik air.

"Sebelum itu, Affandi yang membawa dua biji bantal dan selimut sudah berada dalam bilik berkenaan," katanya menceritakan dengan tenang apa yang berlaku sejak mula dia berkenalan dengan pasangan bomoh itu sehingga pembunuhan Mazlan.

Juraimi berkata, Mazlan kemudian diarah berbaring dengan Mona duduk di bahagian kepalanya sambil meletakkan bunga pada dahi mangsa.

Katanya, ketika Mazlan baring, Affandi ada berkata: "Datuk (Mazlan) baring, nama ada suara ghaib berkata, duit sebanyak ini akan jatuh.

“ Menurutnya, Affandi yang duduk di sebelah Mona pula menutup mata Mazlan dengan tangannya.

"Tertuduh kedua itu kemudian memadam lampu dan menyalakan lilin. Affandi kemudian menutup mata Mazlan dengan tangan sambil berkata kepada saya:

"Rong (Gondrong), tetak biar kena tepat, jangan salah tempat, kalau tidak habislah."

Kemudian Affandi memberi isyarat tangan dan saya menetak leher Mazlan," kata Juraimi. Gondrong adalah nama panggilan Juraimi.

KETIKA perbicaraan kes pembunuhan Datuk Mazlan Idris di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1994 - keterangan saksi pendakwa Dr Abdul Rahman Yusof - aku kira paling menarik.

Dr Abdul Rahman yang pada waktu itu Perunding Kanan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur memberi keterangan selama tiga jam 18 minit di mahkamah.

Tugas dia memang mencabar membuat bedah siasat jadad Datuk Mazlan. Ia bukan pertama kali dia menjalankan bedah siasat mayat, tetapi kali ini berlainan sekali. Beberapa tahun selepas kes itu, aku bertemua semula Dr Abdul Rahman secara kebetulan ketika menyaksikan satu perembahan di Istana Budaya. Pada waktu itu, dia masih mengenali aku.

Aku pula ingat-ingat lupa wajahnya. Selepas memperkenalkan dirinya, aku bertanya khabarnya. Kami hanya sempat berbual ringkas. Tapi dia ada memberitahu selepas kes Mona Fandey, keadaannya tidak 'stabil'. Dia kemudian dihantar ke luar negara sebelum kembali bekerja di HKL.

Dr Abdul Rahman dalam keterangan di mahkamah turut ditunjukkan tiga senjata tajam iaitu sebilah kapak dan dua bilah parang untuk mendapatkan pengesahan sama ada senjata itu boleh menyebabkan kecederaan hingga membawa kematian.

Dr Abdul Rahman memberitahu kapak yang matanya berukur 17 sentimeter itu boleh menyebabkan kecederaan sehingga membawa maut.

Sebelum itu, beliau meminta izin mahkamah untuk mengukur kapak berkenaan apabila Timbalan Pendakwaraya, Zakaria Sam, bertanya sama ada senjata boleh digunakan bagi memancung.

Dr Abdul Rahman memberitahu mahkamah, senjata yang berat seperti parang panjang, kapak dan pedang boleh digunakan bagi memancung, sebagaimana kecederaan yang dialami oleh Mazlan.

ZAKARIA: Parang kecil ini boleh menyebabkan kecederaan sehingga membawa kepada kematian mangsa?

DR ABDUL RAHMAN: Senjata ini (sambil mengukur) mempunyai blade (mata) sepanjang 35 sentimeter daripada handle (hulu). Lebarnya adalah lebih kurang 4.5 sentimeter.

ZAKARIA: Bolehkah senjata itu membawa maut kepada mangsa?

DR ABDUL RAHMAN: Saya rasa agak sukar walaupun boleh untuk hasilkan luka pada bahagian leher.

ZAKARIA: Adakah senjata ini boleh menyebabkan kecederaan sehingga membawa maut? (sambil menunjukkan parang panjang).

DR ABDUL RAHMAN: Parang ini blade (mata) berukuran 30.3 sentimeter panjang. Lebarnya lima sentimeter.

ZAKARIA: Bolehkah ia menyebabkan kecederaan yang membawa maut?

DR ABDUL RAHMAN: Tidak sesuai kerana ia ringan.

ZAKARIA: Pada kecederaan lain, daripada tiga senjata yang mana mungkin menyebabkan kecederaan lain?

DR ABDUL RAHMAN: Ketiga-tiga boleh menyebabkan kecederaan lain iaitu seperti luka hiris pada abdomen.

KISAH buah zakar Datuk Mazlan Idris hilang mendapat perhatian ramai baik di dalam atau luar mahkamah. Aku ingat lagi bagaimana orang ramai berminat dengar kisah ini. Tahu ajelah - yang hilang itu benda sulit. Pelbagai persoalan ditimbulkan. Ke mana perginya, apa hendak dibuat dengan benda tu. Dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Temerloh, Dr Abdul Rahman Yusof yang ketika itu Perunding Kanan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, berkata kedua-dua buah zakar pada jasad yang ditemui dalam lubang di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub pada 22 Julai 1993, didapati hilang.

Dr Abdul Rahman membuat keterangan hasil pemeriksaan dan bedah siasat terhadap jasad yang kemudian dicam sebagai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Talam, Datuk Idros

Menurutnya, pemeriksaan terhadap jasad itu, mendapati sistem saluran kencing si mati adalah baik dan tidak mempunyai kelainan. "Semua organ dalam sistem itu diperiksa dan saya mendapati tiada kelainan.

"Kelenjar prostate tidak membesar, keadaan kemaluan adalah baik dan bersunat serta kedua-dua buah zakar sudah hilang," katanya.

Dr Abdul Rahman juga mendapati bahagian kulit betis kedua-dua bahagian kiri dan kanan, serta otot-otot lengan kanan si mati hilang.

"Saya juga mendapati lapisan dinding lemak pada abdomen jasad itu telah tiada.

"Saya juga mendapati hepar (hati), pundi hempedu, buah pinggang dan usus pada jasad itu dalam proses pembusukan," katanya.

Dr Abdul Rahman juga memberitahu mahkamah bahawa jasad itu telah dicerai-ceraikan kepada 18 bahagian, termasuk lima bahagian ketulan daging.

Katanya, bahagian kepala telah dipisahkan daripada bahagian badan pada leher. Sementara, bahagian badan tercerai daripada kedua-dua tangan pada bahagian ketiak, serta kedua-dua kaki pula tercerai pada pangkal paha.

Menurutnya, bahagian tangan kanan terpisah kepada tiga bahagian iaitu pada pergelangan tangan dan siku, sementara tangan kiri pula terpisah kepada dua bahagian pada bahagian siku.

Katanya, kaki kiri dan kanan jasad itu terputus kepada tiga bahagian iaitu pada pangkal paha, lutut dan buku lali. Aku rasa lepas habis baca cerita ni, ramai tak 'jumpa' kisah pasal buah zakar tu. Aku terangkan sikit, mana tahu ada yang 'confuse' - yang hilang tu buah zakar. Dalam bahasa mudah telurnya, batangnya masih ada. Aku pun nak tahu ke mana perginya buah zakar tu. Siapa yang mengambilnya, untuk apa. Hingga selesai keterangan dan kes ini tamat, aku sendiri tak menemui jawapannya. Aku ingat engkau orang fikirkan sendiri apa yang boleh dilakukan dengan buah zakar tu..

Bersambung di espisod 4
Reply

Use magic Report

Post time 17-9-2021 04:20 PM | Show all posts
kenapa xsekalikan je dlm 1 benang..kan senang
Reply

Use magic Report

Post time 17-9-2021 09:32 PM | Show all posts
Daftpunk_shine replied at 17-9-2021 03:50 PM
AKU diberi peluang melihat foto-foto gambar rajah keratan badan Datuk Mazlan Idris yang dipotong dan ...
Tolong satu kan jer cerita yang sama dalam satu Thread ...

Terimakasih ...


Reply

Use magic Report

Post time 17-9-2021 10:54 PM From the mobile phone | Show all posts
Dulu dah ade cite ni..seram uols. Iols dah khatam. Scary
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 18-9-2021 07:32 PM | Show all posts
Dkt mana sambungan?
Reply

Use magic Report

Post time 20-9-2021 01:12 PM | Show all posts
Normabaru replied at 17-9-2021 04:20 PM
kenapa xsekalikan je dlm 1 benang..kan senang

panjang sgt kott ceritanya... kalau tak silap, ada word count limit.. giteww..
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

19-4-2024 11:22 AM GMT+8 , Processed in 0.594490 second(s), 38 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list