BATU GAJAH: Kerajaan Perak menjangkakan pembukaan Pulau Pangkor kepada pengunjung pada 1 November depan berpandukan gelembung hijau pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, bagaimanapun keputusan itu tertakluk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan dibentangkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Katanya, ia kerana terdapat kriteria yang belum dipenuhi khususnya membabitkan vaksinasi selain menunggu penyelarasan jumlah sebenar penduduk yang sudah divaksin.
Beliau berkata, ketiadaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di pulau bebas cukai itu menyebabkan pemberian vaksin banyak dilakukan melalui program jangkauan luar (outreach) komuniti dalam pada sebahagian besar penduduk pulau mendaftar untuk divaksin di PPV Lumut.
"Setakat Isnin lalu, hanya 87 individu daripada kira-kira 5,900 penduduk termasuk penggiat industri pelancongan yang berdaftar dengan program vaksinasi 'outreach' di Pulau Pangkor masih belum divaksin disebabkan masalah tertentu seperti sedang menjalani kuarantin serta menghidapi penyakit tertentu.
"Jadi kita nak selaraskan semula mana yang sudah divaksin di PPV Lumut dan mana yang sudah buat (divaksin) dengan PPV 'Outreach' di Pulau Pangkor supaya kita boleh buktikan yang Pulau Pangkor sudah mencapai 80 peratus imuniti kelompok," katanya.