KUCHING: Lebih banyak aktiviti dan produk tarikan pelancongan akan dibenarkan beroperasi berkuatkuasa 1 Oktober ini di bawah Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata bagi tujuan itu garis panduan (SOP) lengkap dikeluarkan kementerian hari ini.
Katanya, bermula daripada 1 Oktober ini penginapan di hotel dan rumah tumpangan atau homestay termasuk fasilitinya seperti surau, kolam renang, dewan dan sebagainya dibenarkan di buka.
Selain itu katanya, aktiviti di premis tarikan pelancongan seperti muzium, kampung budaya, galeri seni dan kraf, pentas kebudayaan juga dibenarkan dibuka.
“Sarawak kini boleh mengadakan aktiviti pelancongan khas seperti bermain golt, menyelam, berbasikal, pelayaran dan sebagainya termasuk rentas hutan, mendaki gunung dan bukit.
“Bagaimanapun semua aktiviti yang dibenarkan ini adalah tertakluk kepada SOP yang ditetapkan pihak berkuasa relevan seperti Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS),” katanya pada sidang media hari ini.
Tambah Abdul Karim perniagaan seperti spa, refleksiologi, pusat urut, khidmat pedicure/medicure juga boleh beroperasi dengan pematuhan SOP yang dikeluarkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan SOP.
Bagi acara perniagaan pula katanya, ia dibenarkan di Sarawak tetapi terhad kepada mesyuarat, insentif korporat dan persidangan sahaja dengan maksimum 100 orang sahaja atau 50 peratus daripada kapasiti tempat acara.
“Kementerian saya akan bekerja rapat dengan JPBNS dan pemain industri acara perniagaan dan pelancongan bagi memantau aktiviti pelancongan di seluruh Sarawak dari masa ke masa bagi memastikan SOP dipatuhi,” katanya.
SOP lengkap bagi pembukaan semula sektor pelancongan boleh didapati menerusi laman web kementerian iaitu mtac.sarawak.gov.my dan laman web JPBNS.
Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting, Setiausaha Tetap Kementerian Hii Chang Kee dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak Sharzede Salleh Askor.
utusanborneo.com.my/2021/09/29
|