
Sufian (tiga kanan) ketika merasmi gerbang Night Street Market yang diliputi lampu LED.
LIMBANG: Kerajaan negeri memperuntuk RM2 juta melalui Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) untuk projek memperindah bandar Limbang melalui kerja menghias lampu-lampu jalan jenis Diod Pemancar Cahaya (LED) yang dijangka siap hujung tahun ini.
Walikota Majlis Daerah Limbang (MDL) Kaunselor Sufian Mohat berkata, projek mengambil masa enam bulan bermula Mei lalu memfokus untuk mengindahkan lagi bandar Limbang.
Beliau berkata projek di bawah NRDA itu dilaksanakan oleh MDL meliputi keseluruhan bandar Limbang merangkumi depan balai polis hingga ke kawasan bulatan kerbau di Jalan Buangsiul dan sekitarnya.
“Kita berterima kasih kepada kerajaan negeri keran memperuntuk RM2 juta di bawah NRDA untuk melaksana projek mengindahkan bandar Limbang melalui pengindahan lampu-lampu jalan di sekitar bandar,” katanya ketika merasmi gerbang Night Street Market yang terlibat dengan pengindahan lampu pada Selasa.
Hadir sama, wakil Setiausaha MDL Mohammad Syamil Jumain.
Sufian berkata lagi projek itu apabila siap nanti akan memberi kesejahteraan, pengindahan bandar dan keselesaan kepada masyarakat setempat dan pengunjung yang datang.
“Lampu-lampu ini bermotif budaya, kaum dan bangsa di Limbang, bukan saja menarik tetapi mampu mengindahkan lagi bandar Limbang,” ujarnya lagi.
Beliau mahu masyarakat di Limbang untuk sama-sama menjaga harta benda awam termasuk tidak melakukan vandalisme.
“MDL ada undang- undang, jika terdapat bukti ke atas individu yang melakukan kerosakan mahupun vandalisme ke atas harta benda awam terutama milik MDL, mereka boleh dikenakan kompaun dan tindakan lebih tegas,”katanya.
Jelasnya lagi orang awam perlu bersama-sama menjaga harta benda awam dan menyokong usaha pihaknya dalam mengindahkan lagi bandar Limbang serta meningkatkan kesejahteraan kepada masyarakat.
utusanborneo.com.my/2021/09/29
|