CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

1234
Return to list New
Author: Eminem

Kesenian Tarian (merged: fleurzsa, grugals, belanga)

[Copy link]
Post time 3-6-2008 03:38 PM | Show all posts
Kisah Tersirat Tarian Istana


WARNA-WARNI... Tarian ini menjadi sebahagian daripada keistimewaan Citrawarna 2008. Foto: Mahayudin Mohamad

Oleh Siti Nooralina Ahmad

PUTRAJAYA, 3 Jun (Bernama) -- Bertemakan "Alam Flora dan Fauna", Citrawarna 2008 yang dilancarkan dengan acara gilang-gemilang pada 24 Mei lepas sekali lagi mewarnai kalendar tanah air.

Di sebalik lenggok gemalai upacara pelancaran itu, tersirat kisah yang melambangkan kayanya budaya Melayu dan halusnya seni yang diungkap melalui tarian.

Tarian telah lama bertapak dalam masyarakat Melayu sejak zaman raja-raja dahulu kala dan merupakan satu daripada bentuk hiburan yang dipersembahkan oleh dayang-dayang istana kepada sultan dan pemerintah.

Selain mencerminkan adat resam serta budaya bangsa, tarian juga dilihat sebagai satu cara untuk melahirkan emosi sama ada sedih, gembira, marah atau kecewa menerusi gerak tari dan iringan muzik.

TARIAN ASYIK

Tarian Asyik, yang menceritakan dunia sepasang kekasih dengan menampilkan gerak-geri lemah lembut dan penuh tertib, merupakan sejenis tarian Melayu klasik daerah di Kelantan.

Tarian ini menjadi sebahagian daripada keistimewaan Citrawarna 2008.

"Istimewanya tarian ini kerana buat pertama kalinya ianya dipertonton untuk tatapan khalayak ramai tidak seperti kebiasaannya di mana tarian ini khas ditarikan untuk raja-raja khususnya Raja Kelantan dan Patani," kata pereka tari, Norzaini Sulaiman.

Norzaini, yang lebih dikenali sebagai Jai, adalah pereka tari daripada Adsuria Sdn Bhd, iaitu syarikat yang telah dua tahun berturut-turut mengelolakan Citrawarna.

Jai berkata, Tarian Asyik dimulai dengan sepuluh orang penari masuk ke dewan tarian terlebih dahulu, lalu duduk bersimpuh dengan tertibnya.

Kemudian tampillah Puteri Asyik dan mereka pun mula menari. Tarian Asyik kebiasaannya dipersembahkan pada upacara berkaitan perkahwinan seperti malam berinai dan malam berinai besar di istana.

TARIAN TIMANG BURUNG

Menurut fakta sejarah, Tarian Timang Burung mula diperkenalkan di Terengganu selepas Tengku Mariam iaitu seorang puteri di Pahang, mengahwini Tengku Sulaiman yakni putera kepada Tengku Zainal Abidin dari Terengganu.

Tarian ini adalah sebuah tarian Melayu klasik dan antara 33 tarian gamelan yang masih wujud pada zaman ini.

"Pada zaman dahulu, ada seorang raja yang telah kehilangan burung kesayangan baginda lalu baginda tidak jemu-jemu mencari burungnya tetapi pulang dengan tangan kosong," Jai memulakan cerita. Menurut Jai lagi, Tarian Timang Burung tercipta apabila raja bertitah supaya sejenis tarian dihasilkan untuk meniru pergerakan burung peliharaan baginda yang hilang bagi menggembirakan hatinya yang sedang berduka.

"Gerak tari tarian diraja Terengganu ini mengisahkan pergerakan burung-burung dan perjalanan hidup fauna itu," kata pembantu pereka tari, Nur Salawati.

Tarian ini diperindah lagi dengan iringan bunyi "kicauan burung" oleh persembahan muzik gamelan.

TARIAN RAKYAT PELENGKAP ACARA

Selain daripada tarian istana, tarian rakyat yang merupakan tarian wajib untuk majlis-majlis kebudayaan turut menjadi pelengkap acara pada malam pelancaran Citrawarna 2008.

Menurut Jai lagi, terdapat lapan tarian rakyat yang berasal dari lapan negeri termasuk Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Kelantan.

"Kami juga membawa pembaharuan dalam Citrawarna 2008 menerusi Tarian Beca Ballet. Tarian ini melibatkan penarik beca yang membawa seorang gadis yang menari sambil menggunakan payung."

Pergerakan pelbagai corak menarik yang terhasil menerusi beca yang dihiasi lampu berwarna-warni dan bunga-bungaan amat memikat penonton.

Selain itu, Citrawarna tahun ini turut menampilkan 18 jenis tarian dari pelbagai kaum termasuk tarian tradisional kaum Cina dan India.

PENCARIAN PENARI

Usaha mengumpulkan lebih kurang 1,500 penari seluruh Malaysia bukanlah semudah yang disangka. Ia memerlukan perancangan yang teratur bagi menghasilkan acara yang cukup baik untuk dipertonton kepada dunia.

"Selama dua minggu, saya mengembara dari satu negeri ke satu negeri termasuk Sabah dan Sarawak untuk memilih penari-penari yang terbaik di Malaysia.

"Kami juga mengadakan beberapa sesi perjumpaan bagi mendapatkan ilham yang menarik dan seterusnya kata sepakat dalam merealisasikan acara ulung ini," kata Jai lagi.

Kebanyakan penari merupakan penari dari Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penari kebudayaan negeri.

PUJIAN SULTAN

Latihan diadakan bertempat di hadapan Istana Kehakiman di Putrajaya bermula pada jam 2 petang dan berakhir pada 11 malam, dan berjalan sepanjang dua minggu sebelum Citrawarna 2008 bermula.

Hasil penat lelah selama sembilan jam berlatih setiap hari ternyata membuahkan hasil apabila persembahan mereka mendapat pujian daripada Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang mewakili Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merasmikan Citrawarna 2008.

Acara yang dihadiri kira-kira 50,000 penonton turut disiarkan secara langsung di Australia, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Macau, New Zealand, Filipina, Singapura dan Taiwan.

-- BERNAMA
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 3-6-2008 04:40 PM | Show all posts
yang ni tarian gemalan kan?


Reply

Use magic Report

Post time 3-6-2008 04:47 PM | Show all posts
tari canggung

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 08:29 PM GMT+8 , Processed in 0.167720 second(s), 25 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list