CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 127888|Reply: 542

~MERGED~ Parti Komunis Malaya/Komunis Malaya

[Copy link]
Post time 30-7-2005 12:54 AM | Show all posts |Read mode
err...ada sesape nak share kisah PKM....

[ Last edited by  amazed at 27-5-2009 06:12 ]
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 30-7-2005 01:40 AM | Show all posts
OK nie yg mok nik ada mengenai PKM..hendak bincang mengenai  PKM nie kena tengok berperingkat2 perkembangannya

Parti Komunis Malaya

Pengenalan

Ideologi komunis tiba di Tanah Melayu pada tahun1920-an terutamanya di sekitar tahun 1925. Imigran Cina telah membawa buku-buku dan risalah-risalah mengenai ajaran komunis dan disebarkan di kalangan orang Cina di Tanah Melayu. Hasil dari kegiatan mereka, guru-guru dan murid-murid sekolah Cina telah menubuhkan Liga Belia Komunis di Singapura pada tahun 1926. Sehingga 1927, komunis di Tanah Melayu bergerak di sebalik Parti Kuomintang (KMT) kerana wujudnya kerjasama antara Parti Komunis China (PKC) dan KMT di China. Perpecahan KMT-PKC pada tahun 1927 telah menyebabkan PKC menghantar 5 orang wakilnya ke Tanah Melayu. Mereka telah berjaya menubuhkan Parti Komunis Nanyang di Singapura pada tahun 1927. Agen-agen komintern yang tiba di Tanah Melayu pada tahun 1928 telah mencadangkan supaya Parti Komunis Nanyang disusun semula. Pada 6 April 1930, satu persidangan komunis telah diadakan di Singapura dan hasilnya lahirlah Parti Komunis Malaya (PKM) yang beribu pejabat di Singapura.

[ Last edited by mok_nik on 29-7-2005 at 12:47 PM ]
Reply

Use magic Report

Post time 30-7-2005 01:42 AM | Show all posts
Perkembangan PKM 1930-1941

PKM telah diarah untuk menyelia gerakan komunis di Thailand dan Indonesia selain menjalankan kegiatannya di Tanah Melayu. PKM telah diletakkan di bawah Biro Komunis Antarabangsa Timur Jauh yang berpusat di Shanghai. Sejak ditubuhkan, PKM terpaksa menjalankan kegiatan mereka secara sulit kerana parti ini diharamkan disebabkan kegiatan anti-British yang dijalankan dianggap mengganggu ketenteraman awam.

Sejak 1930 agen-agen komintern mula dihantar ke Tanah Melayu untuk membantu kegiatan PKM. Pada Jun 1931, seorang agen kanan komintern dari Parsi iaitu Joseph Dacroux telah tiba di Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, beliau telah ditangkap tidak lama selepas ketibaannya di Singapura. Penangkapan dan pengakuannya telah mendedahkan maklumat penting mengenai PKM sehingga menyebabkan ramai anggota dan pemimpin termasuk 14 ahli jawatankuasa PKM ditangkap. Peristiwa ini telah melemahkan PKM.

Sejak tahun 1932, kegiatan PKM mulai pulih apabila mereka diarah untuk melatih pemimpin dan anggota baru. Pada 6 Mac 1933 satu mesyuarat jawatankuasa pusat PKM telah diadakan di Singapura untuk merangka perlembagaan PKM. Mesyuarat tersebut telah membuat ketetapan bahawa matlamat utama perjuangan PKM ialah menguasai Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis Malaya.

Sejak itu, mereka menjalankan gerakan aktif, mempengaruhi kesatuan-kesatuan sekerja, sekolah-sekolah Cina dan pertubuhan Cina. Mereka telah berjaya menimbulkan kegelisahan di kalangan pekerja semasa berlakunya kemelesetan ekonomi 1930-an. Bagi melumpuhkan ekonomi dan politik Tanah Melayu supaya PKM mudah merampas kuasa, mereka telah mempengaruhi kesatuan-kesatuan sekerja melakukan permogokan. Akibatnya banyak permogokan berlaku di Tanah Melayu termasuk Singapura pada 1936-1937. Sebagai contoh, satu permogokan besar berlaku di lombong bijih timah Batu Arang, Selangor pada 1937 di mana 6000 pekerja telah berjaya merampas lombong tersebut dari pihak majikan. Berikutan dengan peristiwa permogokan, kerajaan telah mengisytiharkan Banishment Ordinance pada tahun 1937 yang mengharamkan permogokan. Akibatnya ramai pemimpin dan anggota PKM ditangkap kerana melanggar undang-undang tersebut. Mereka ini sama ada dipenjarakan atau dihantar pulang ke China. Peristiwa ini sekali lagi melemahkan PKM.

Apabia Jepun menyerang China pada tahun 1937, PKM memainkan peranan penting dalam membangkitkan perasaan anti-Jepun di kalangan orang Cina di Tanah Melayu. PKM telah menjalankan kutipan derma dan menggalakkan pemuda Cina di Tanah Melayu kembali ke China untuk menentang Jepun. Akibat dari kegiatan mereka, PKM mula mendapat sokongan ramai terutamanya daripada orang-ornag Cina. Buktinya pada tahun 1939, PKM sudah mempunyai anggota berdaftar seramai 37 ribu orang. Semasa Peperangan China-Jepun, PKC telah mengarahkan PKM menghentikan kegiatan anti-British dan bekerjasama dengan British untuk menentang Jepun. Arahan ini telah menimbulkan perpecahan di kalangan pemimpin dan anggota PKM kerana golongan radikal mahu mengambil kesempatan ini mencapai matlamat menguasai Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis Malaya. Akibatnya, komintern telah mengarahkan Setiausaha Agong Lai Teik menyatupadukan anggota PKM. Lai Teik telah berjaya meyakinkan mereka bahawa kerjasama dengan British hanya sebagai muslihat dalam usaha untuk mencapai matlamat PKM.
Reply

Use magic Report

Post time 30-7-2005 01:44 AM | Show all posts
Perkembangaan PKM 1941-1945

Apabila Jepun menyerang Tanah Melayu sikap orang ramai terutamanya orang Cina terhadap PKM telah berubah. PKM mula mendapat sanjungan dan pengikut yang ramai kerana PKM dianggap sebagai pelindung orang Cina daripada penindasan Jepun. Semasa Jepun menguasai Tanah Melayu, anggota PKM telah melarikan diri ke dalam hutan dan bekerjasama dengan British dengan menyertai Malayan Anti-Japanese Union (MAJU) yang dianjurkan oleh British. Sebelum Tanah Melayu dikuasai oleh Jepun, anggota-anggota PKM yang dipenjarakan oleh British telah dibebaskan oleh British dengan harapan PKM yang anti-Jepun akan bekerjasama dengan British untuk menentang Jepun. PKM telah menubuhkan pasukan tentera anti-Jepun yang dikenali sebagai Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA). Mereka mendapat latihan dan bantuan seperti makanan, senjata dan perubatan dari Pasukan Berikat. MPAJA juga mengadakan hubungan baik dengan pasukan 136 yang ditubuhkan oleh British. Henry Miller dalam bukunya “The Jungle War in Malaya” menegaskan terdapat kira-kira 200 anggota PKM mendapat latihan dari British sebelum jatuhnya Singapura pada 15 Februari 1942. Semasa pendudukan Jepun, PKM melakukan serangan hendap ke atas tentera Jepun dan menjalankan pengintipan untuk British. Pengalaman yang diterima semasa pendudukan Jepun amat menguntungkan PKM terutamanya ke arah menjayakan matlamat perjuangan mereka.

Apabila Jepun menyerah kalah, anggota PKM keluar dari hutan dan mengambil alih pentadbiran sebelum ketibaan pihak British. Pemerintahan PKM berlangsung selama 2 minggu dan dikenali sebagai “Bintang Tiga”. Mereka telah merayakan kekalahan Jepun sebagai kemenangan mereka dan mendakwa merekalah bertanggungjawab mengalahkan Jepun di Tanah Melayu. Mereka telah merampas senjata tentera Jepun untuk digunakan dalam perjuangan mereka. Seterusnya, mereka telah melakukan kekejaman ke atas orang yang enggan bekerjasama dengan mereka lebih-lebih lagi yang menjadi “tali barut” Jepun. Akibat tindakan PKM, berlakulah pergaduhan di antara kaum Melayu dengan Cina terutamanya di Perak dan Johor selepas pemerintahan Jepun.

Apabila British kembali ke Tanah Melayu, mereka telah mengambil alih pentadbiran dari Bintang Tiga dan MPAJA dibubarkan. Anggota-anggota MPAJA diminta menyerahkan senjata mereka kepada British. Pada 1 Disember 1945, 6800 anggota MPAJA telah menyerahkan senjata mereka dan dibayar sagu hati sebanyak $350 seorang. Walau bagaimanapun, dipercayai masih ramai anggota MPAJA yang tidak menyerahkan senjata kerana mereka tidak yakin dengan dasar British terhadap PKM.
Reply

Use magic Report

Post time 30-7-2005 01:45 AM | Show all posts
Perkembangan PKM 1945-1948

PKM telah menuntut supaya mereka diberi hak dalam pentadbiran. Kerana mengenangkan jasa PKM bekerjasama dengan British menentang Jepun, PKM telah diterima sebagai parti yang sah. Sejak itu, PKM mula menubuhkan cawangannya di seluruh Tanah Melayu untuk menambahkan anggotanya. Sejak tahun 1945, PKM berusaha mencapai matlamat menguasai Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis Malaya melalui perlembagaan. PKM akan menganjurkan “Gerakan Massa” untuk memaksa British memberi Tanah Melayu berkerajaan sendiri dan kemerdekaan. PKM juga menjalankan gerakan secara aktif mempengaruhi parti-parti politik, kesatuan-kesatuan sekerja, pertubuhan Cina dan sekolah Cina. Untuk mendapat sokongan pekerja, PKM telah menubuhkan Kesatuan Buruh Am dan untuk mendapat sokongan belia, PKM menubuhkan Liga Belia Demokratik Baru pada tahun 1946. Bagi menguasai kesatuan sekerja, PKM telah menubuhkan Kesatuan Sekerja Pusat, contohnya, PKM yang menubuhkan Pan-Malayan Federation of Trade Union (PMFTU) telah menguasai semua kesatuan sekerja yang bergabung di bawah PMFTU. Bagi melumpuhkan ekonomi supaya memudahkan PKM merampas kuasa, mereka telah mempengaruhi kesatuan sekerja melakukan permogokan. Akibatnya 300 permogokan telah dipengaruhi oleh PKM telah berlaku di Tanah Melayu dan Singapura pada 1946-1947. Bagi menghadapi permogokan tersebut, British telah melaksanakan undang-undang kesatuan sekerja yang mendorong pemimpin parti politik supaya tidak menjadi pemimpin kesatuan sekerja. Tindakan tersebut telah menghancurkan PMFTU yang dikuasai oleh PKM.

Pada 15 Februari 1946, PKM telah menganjurkan satu perarakan besar di Singapura bagi memperingati kekalahan British di tangan Jepun pada 15 Februari 1942. Tujuannya ialah menjatuhkan maruah British serta menunjukkan kekuatan PKM. Pada 22 Disember 1946, PKM telah menyertai AMCJA bagi menggagalkan penubuhan PTM. Pada 6 Mac 1947, satu mesyuarat jawatankuasa pusat PKM telah diadakan di Singapura bagi mengkaji semula dasar dan taktik PKM. Setiausaha Agong PKM, iaitu Lai Teiktidak menghadirinya dan beliau telah hilang diri bersama-sama wang parti. Akibatnya, pimpinan PKM jatuh ke tangan golongan radikal pimpinan Ong Boon Hua yang lebih dikenali sebagai Chin Peng. Pada 18 dan 19 Februari 1948, satu persidangan komunis telah diadakan di Calcutta, India dan dihadiri oleh perwakilan komunis dari Asia serta Australia. PKM diwakili oleh Lee Soong. Persidangan Calcutta telah membuat ketetapan bahawa pemberontakan bersenjata mesti dijalankan bagi menjayakan matlamat perjuangan komunis.
Reply

Use magic Report

Post time 30-7-2005 01:46 AM | Show all posts
Perkembangan PKM 1948-1954

Berikutan dengan keputusan Calcutta, PKM mula mengubah dasar dan taktiknya sejak tahun 1948. Sejak itu, PKM berusaha untuk mencapai matlamat melalui pemberontakan bersenjata. Langkah ini juga diambil akibat kegagalan PKM untuk mencapai matlamat melalui perlembagaan yang dijalankans sejak tahun 1945. PKM menubuhkan pasukan tentera antu-British yang dikenali sebagai Malayan People Anti British Army (MPABA) yang di bawah pimpinan pengerusi jawatankuasa pusat tentera PKM iaitu Law Yew. Antara pemimpin lain ialah Law Lee dan Yeng Kuow. Kebanyakan anggota MPABA terdiri daripada bekas anggota MPAJA. Bagi menjayakan matlamatnya, PKM akan menggunakan strategi Mao Tze Tung. Mengikut strategi ini, PKM akan menguasai kawasan pedalaman di mana kawalan kerajaan amat lemah. Kawasan ini akan diwujudkan sebagai kawasan bebas daripada kawalan kerajaan. Dari kawasan ini, PKM akan menyerang dan menguasai bandar-bandar di sekitarnya dan seterusnya menyerang dan menguasai seluruh Tanah Melayu. Bagi melumpuhkan ekonomi, PKM mempengaruhi kesatuan sekerja mengadakan permogokan. Akibatnya banyak permogokan berlaku di Tanah Melayu termasuk Singapura pada bulan Mei dan Jun 1948. PKM meneruskan usaha meresapi parti politik, kesatuan sekerja, sekolah Cina dan pertubuhan Cina. Dalam keganasan tersebut, PKM telah berjaya membunuh 3 orang pengurus ladang berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak pada 16 Jun 1948. Berikutan dengan peristiwa itu, kerajaan mengisytiharkan Darurat di seluruh Tanah Melayu pada 17 Jun 1948 dan Undang-undang Darurat dikeluarkan pada 23 Julai 1948 di mana PKM diharamkan. Akibat pengisytiharaan Darurat, anggota PKM melarikan diri ke dalam hutan untuk meneruskan perjuangan. Mereka menyerang pasukan keselamatan dan juga orang awam terutamanya peladang-peladang dan pelombong-pelombong Eropah. Pejabat-pejabat kerajaan terutamanya Balai Polis menjadi sasaran PKM. Mereka memusnahkan sistem hubungan jalan raya dan jalan keretapi. PKM juga menyerang ladang-ladang bijih timah di mana pokok getah dan jentera perlombongan dimusnahkan untuk menyekat pengeluaran bagi melumpuhkan ekonomi Tanah Melayu. Dalam usaha untuk mendapat bantuan, PKM menubuhkan pasukan propaganda “Min Yuan” yang terdiri daripada setinggan-setinggan Cina yang tinggal di pinggir hutan. Edger O. Balance dalam bukunya “The Communist Insurgent War 1948-1964” menegaskan terdapat antara 30-40 ribu anggota “Min Yuan” pada peringkat awal pemberontakan PKM. Dalam usaha untuk menakutkan orang ramai dan menjejaskan pasukan keselamatan, PKM menjalankan kempen membunuh pegawai tinggi kerajaan. Akibat dari kempen itu, mereka telah berjaya membunuh Pesuruhjaya Tinggi British, Henry Gurney pada 6 Oktober 1951 semasa beliau dalam perjalanan ke Bukit Fraser.

Pada September 1951, satu mesyuarat jawatankuasa pusat PKM diadakan di Pahang untuk mengkaji semula taktik PKM. Apabila menyedari keganasan mereka lakukan menimbulkan kebencian orang ramai terhadap PKM menyebabkan mereka berusaha untuk mengelakkan serangan ke atas orang awam. Sejak September 1951, serangan hanya dilakukan ke atas pasukan keselamatan, orang Eropah, pengintip kerajaan dan bekas anggota PKM yang berpaling tadah. Pada 1950-an, mereka meneruskan usaha meresapi parti politik, kesatuan sekerja, sekolah Cina dan pertubuhan Cina. Menjelang tahun 1954, ternyata perjuangan PKM menemui kegagalan kerana ramai anggotanya dibunuh, ditangkap atau menyerah diri.
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 30-7-2005 01:49 AM | Show all posts
Dasar dan Taktik PKM (1945-1954)

Dasar PKM

1.  1945-1948

Setelah PKM mula diterima sebagai parti yang sah, PKM telah menubuhkan cawangannya di seluruh Tanah Melayu bagi menambahkan keanggotaannya. Sejak tahun 1945, PKM berusaha mencapai matlamat menguasai Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis Malaya melalui perlembagaan. Oleh itu, PKM telah menganjurkan “Gerakan Massa” untuk memaksa British memberi Tanah Melayu berkerajaan sendiri dan kemerdekaan. PKM juga menjalankan gerakan secara aktif untuk mempengaruhi parti politik, kesatuan sekerja, sekolah Cina dan pertubuhan Cina.

2.   1948-1954

Dalam tahun 1948, PKM memasuki zaman baru kerana ia telah mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah negara komunis di Tanah Melayu melalui satu revolusi bersenjata. Faktor-faktor yang menyebabkan perubahan dasar ini ialah:

a. Kegagalan mencapai matlamat melalui perlembagaan

Beberapa ahli Sejarah berpendapat bahawa pemberontakan PKM meletus akibat kegagalan polisi perdamaian bersatu. PKM telah gagal untuk mencapai cita-citanya melalui cara-cara perlembagaan antara tahun 1945-1948. Justeru itu, PKM terpaksa menggunakan cara-cara lain seperti kekerasan untuk menggulingkan Kerajaan British di Tanah Melayu.

b.  Perubahan pucuk pimpinan

Ahli-ahli Sejarah seperti Noel Barber berpendapat bahawa krisis dalam PKM sendiri telah mengakibatkan pemberontakan komunis 1948. Pada bulan Mac 1947, Setiausaha Agung PKM, Lai Teik, telah menghilangkan diri dengan wang parti. Peristiwa ini telah menyebabkan pucuk pimpinan PKM jatuh ke tangan golongan radikal pimpinan Chin Peng. Mengikut pendapat Chin Peng, dasar yang lebih aktif perlu dilaksanakan bagi memulihkan semangat perjuangan komunis.

c.  Persidangan di Calcutta

Ahli-ahli Sejarah seperti Harny Miller pula berpendapat keputusan PKM untuk memberontak adalah dipengaruhi oleh keputusan Kongres Pemuda Komunis Asia yang diadakan di Calcutta pada 18 dan 19 Februari 1946. Kongres tersebut telah mengarah parti-parti komunis untuk mengadakan pemberontakan bersenjata bagi mencapai matlamat mereka.
Reply

Use magic Report

Post time 30-7-2005 01:50 AM | Show all posts
Taktik PKM

1.  1945-1948

Untuk mencapai matlamat, PKM telah menubuhkan cawangan di seluruh Tanah Melayu, misalnya PKM telah menubuhkan Kesatuan Buruh Am untuk mendapat sokongan pekerja dan Liga Belia Demokratik Baru untuk mendapat sokongan belia. Untuk menguasai kesatuan sekerja, PKM telah menubuhkan Pan-Malayan Federation of Trade Union (PMFTU) yang berjaya menguasai semua kesatuan sekerja yang bergabung di bawah PMFTU. Bagi melumpuhkan ekonomi dan memudahkan PKM merampas kuasa, PKM telah mempengaruhi kesatuan sekerja melakukan permogokan. Akibatnya, 300 permogokan yang dipengaruhi PKM telah berlaku di Tanah Melayu dan Singapura pada tahun 1946-1947.

PKM juga menceburkan diri dalam kegiatan dan pergerakan politik misalnya PKM telah menentang rancanagn pembentukan PTM pada tahun 1948. Pada pendapat mereka, pembentukan PTM sudah pasti menggagalkan rancangan PKM untuk menubuhkan Republik Komunis Malaya, maka pada 22 Disember 1946, PKM telah menyertai All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) bagi menentang rancangan pembentukan PTM.

2.  1948-1954

Bagi mencapai matlamat, PKM telah menubuhkan pasukan tentera anti-British yang dikenali sebagai Malayan People Anti British Army (MPABA) di bawah pimpinan pengerusi jawatankuasa pusat tentera PKM iaitu Law Yew. Antara pemimpin lain ialah Law Lee dan Yeng Kuow. Kebanyakan anggota MPABA terdiri daripada bekas anggota MPAJA.

PKM juga menggunakan strategi Mao Tze Tung dalam perjuangan mereka. Mengikut strategi ini, PKM akan menyerang dan menguasai kawasan pedalaman di mana kawalan Kerajaan British amat lemah. Kawasan ini akan diwujudkan sebagai kawasan bebas daripada kawalan kerajaan. Dari kawasan ini, PKM akan menyerang dan menguasai bandar-bandar di sekitarnya dan seterusnya menguasai seluruh Tanah Melayu.

Bagi melumpuhkan ekonomi, PKM mempengaruhi kesatuan sekerja mengadakan permogokan. Akibatnya permogokan berlaku di Tanah Melayu termasuk di Singapura pada bulan Mei dan Jun 1948. PKM juga meneruskan usaha meresapi parti-parti politik, kesatuan sekerja, sekolah Cina dan pertubuhan Cina.

Dalam keganasan tersebut, PKM telah berjaya membunuh 3 peladang Eropah di Sungai Siput, Perak. Peristiwa ini telah menyebabkan Darurat diisytiharkan di seluruh Tanah Melayu pada 17 Jun 1948. Pada 23 Julai 1948, Undang-undang Darurat dikeluarkan. Undang-undang ini telah mengharamkan PKM. Akibatnya anggota PKM lari ke dalam hutan untuk meneruskan perjuangan mereka. Mereka telah menyerang pasukan keselamatan dan orang awam terutamanya peladang-peladang dan pelombong-pelombong. Mereka juga memusnahkan sistem perhubungan jalan raya dan jalan keretapi. Dalam usaha mendapat bantuan, PKM menubuhkan pasukan propaganda “Min Yuan” yang terdiri daripada setinggan-setinggan Cina yang tinggal di pinggir hutan.

Pada September 1951, satu mesyuarat jawatankuasa pusat PKM diadakan di Pahang. Apabila menyedari bahawa keganasan yang mereka lakukan menimbulkan kebencian orang ramai, PKM telah mengubah taktik perjuangan mereka, iaitu hanya menyerang pasukan keselamatan, orang Eropah, pengintip dan bekas anggota PKM yang berpaling tadah. Menjelang tahun 1954, perjuangan PKM mengalami kegagalan.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 30-7-2005 01:52 AM | Show all posts
Sebab-sebab PKM memberontak

1.  Persidangan di Calcutta

Pada 18 dan 19 Februari 1948, satu persidangan komunis telah diadakan di Calcutta, India. Persidangan tersebut telah dihadiri oleh perwakilan komunis dari Asia dan Australia. Pihak PKM telah diwakili oleh Lee Soong. Persidangan tersebut telah membuat ketetapan bahawa pemberontakan bersenjata mesti dijalankan bagi menjayakan matlamat perjuangan komunis. Akibatnya PKM mula mengubah dasar mereka dan melakukan pemberontakan bersenjata di seluruh Tanah Melayu.

2.   Kegagalan mencapai matlamat melalui perlembagaan

Sejak tahun 1945, PKM telah diterima sebagai parti yang sah di Tanah Melayu. Sejak itu, PKM mula berusaha untuk mencapai matlamat mereka melalui perlembagaan. PKM telah menganjurkan beberapa rancangan dan salah satu daripada rancangan tersebut ialah rancangan “Barisan Bersatu”. Di bawah rancangan ini, PKM akan bekerjasama dengan semua pihak. Selain itu, PKM juga menubuhkan cawangan-cawangan di seluruh Tanah Melayu untuk mendapat sokongan orang ramai, misalnya PKM telah menubuhkan Kesatuan Buruh Am dan Liga Belia Demokratik Baru untuk mendapat sokongan pekerja dan belia. Walaupun PKM telah diterima sebagai parti yang sah, tetapi ia masih menghadapi tekanan dari British, misalnya pada tahun 1937, British telah mengisytiharkan Undang-undang Kesatuan Sekerja yang melarang pemimpin parti politik menjadi pemimpin kesatuan sekerja. Akibatnya, PKM gagal mencapai matlamat melalui perlembagaan. Justeru itu, PKM mula melakukan pemberontakan di seluruh Tanah Melayu.

3.   Perubahan pucuk pimpinan

Perubahan pucuk pimpinan PKM telah membawa kepada pemberontakan bersenjata. Secara amnya, anggota PKM dapat dibahagikan kepada 2 golongan, iaitu yang bersifat sederhana dan radikal. Golongan sederhana dipimpin oleh Lai Teik manakala golongan radikal dipimpin oleh Chin Peng. Pada 6 Mei 1947, suatu mesyuarat jawatankuasa pusat PKM telah diadakan di Singapura. Dalam mesyuarat itu, Setiausaha Agong PKM, iaitu Lai Teik tidak menghadirkan dirinya dan hilangkan diri bersama-sama dengan wang parti. Peristiwa ini menyebabkan pucuk pimpinan jatuh ke tangan Chin Peng. Chin Peng berpendapat bahawa dasar pemberontakan bersenjata adalah penting untuk mencapai matlamat PKM. Akibatnya tidak berapa lama selepas itu, PKM mula memberontak.

4.  Pengalaman yang menguntungkan

PKM juga mempunyai pengalaman yang menguntungkan mereka ke arah pemberontakan. Pengalaman tersebut telah diperolehi semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Semasa pendudukan Jepun, PKM telah menubuhkan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) dan pasukan ini telah mendapat latihan dan bantuan seperti makanan, pakaian, senjata dan perubatan dari pasukan Berikat. Henry Miller dalam bukunya “The Jungle War In Malaya” menegaskan bahawa terdapat kira-kira 200 anggota PKM yang mendapat latihan dari British sebelum jatuhnya Singapura pada 15 Februari 1942. Selain itu, PKM juga melakukan serangan hendap ke atas Jepun dan hal ini membolehkan PKM memperolehi pengalaman dalam perang hutan. Apabila Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945, anggota PKM telah keluar dari hutan dan mengambil alih pentadbiran di Tanah Melayu. Pada masa yang sama, mereka juga merampas senjata Jepun. Walaupun senjata tersebut kemudiannya diminta serah balik oleh British, tetapi dipercayai ramai anggota PKM yang tidak berbuat demikian. Dengan itu, PKM bukan sahaja mempunyai pengalaman, tetapi juga mempunyai senjata yang mencukupi untuk membolehkan mereka memberontak.

5.  Kejayaan parti komunis di negara-negara lain

Kejayaan parti-parti komunis di negara-negara lain telah mendorong PKM melakukan pemberontakan. Parti-parti komunis tersebut yang mengamalkan dasar pemberontakan telah berjaya menguasai beberapa kawasan, misalnya Parti Komunis China (PKC) di China telah berjaya menguasai sebahagian China. Parti Komunis Korea telah berjaya menguasai sebahagian Korea dan Parti Komunis Vietnam berjaya menguasai sebahagian Vietnam.

6.  Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu (PTM)

Penubuhan PTM pada 1 Februari 1948, telah mempercepatkan lagi proses pemberontakan. Pada dasarnya, PKM menyokong Malayan Union. Maka penubuhan jawatankuasa kerja pada 25 Julai 1946 telah menimbulkan penentangan PKM. Apabila jawatankuasa kerja mengemukakan laporan mereka yang mempunyai draf perlembagaan PTM pada 11 Disember 1946, PKM turut menentang draf perlembagaan tersebut. Dalam usaha penentangan tersebut, PKM telah menyertai All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) pada 22 Disember 1946. Mereka telah melaksanakan hartal di seluruh Tanah Melayu pada 19 Oktober dan 20 Oktober 1947 untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap draf perlembagaan PTM dan menunjukkan kekuatan mereka. Namun bantahan tersebut tidak dipedulikan oleh British dan PTM telah ditubuhkan secara rasminya pada 1 Februari 1948. Dengan penubuhan PTM, PKM sedar rancangan mereka untuk menubuhkan Republik Komunis Malaya telah gagal. Dengan itu, PKM mengubah dasar perjuangan mereka dengan melakukan pemberontakan.

7.   Keputusan Sidang Dleno IV

Pada 17-21 Mac 1948, satu persidangan Dleno IV telah diadakan di Singapura. Persidangan tersebut telah diwakili oleh Lawrence Sarkey dari Australia. Persidangan tersebut telah membuat 3 resolusi iaitu:

a.  Perjuangan kemerdekaan mesti dijalankan melalui Revolusi Rakyat dan bagi Tanah Melayu, ia mesti dipimpin oleh PKM.

b.  Cara perlembagaan merupakan cara menyerah yang tidak akan berjaya menjayakan matlamat PKM. Cara pemberontakan mesti dijalankan.

c.   Disiplin dalam PKM perlu diperketatkan dan imej PKM perlu dipulihkan berikutan dengan peristiwa Lai Teik yang menghilangkan diri bersama wang parti.
Reply

Use magic Report

Post time 30-7-2005 01:54 AM | Show all posts
Langkah-langkah Kerajaan Menghadapi Pemberontakan PKM

1.  Undang-undang Darurat

Berikutan dengan pembunuhan 3 peladang Eropah di Sungai Siput, Perak pada 16 Jun 1948, kerajaan telah mengisytiharkan drurat di seluruh Tanah Melayu pada 17 Jun 1948. Undang-undang Darurat telah dikeluarkan pada 23 Julai 1948 dan diperkemaskan pada Julai 1949. Mengikut Undang-undang Darurat, kerajaan diberi kuasa untuk menangkap dan menahan tanpa perbicaraan, mereka yang disyaki terlibat dalam kegiatan PKM. Kerajaan juga diberi kuasa untuk membuang negeri mereka yang dianggap kehadirannya membahayakan keselamatan Tanah Melayu. Berikutan dengan pengisytiharaan Darurat, PKM diharamkan dan diikuti dengan pengharaman ke atas parti-parti kiri yang merupakan penyokong kuat PKM seperti Malayan Democratic Union, API dan AWAS. Sekatan kebebasan juga diperkenalkan di kawasan-kawasan yang terlibat dengan kegiatan PKM. Penduduk-penduduk di kawasan ini dikawal oleh pasukan keselamatan dan dikenakan perintah kurung serta catuan makanan. Akta Pendaftaran mula dilaksanakan yang mewajibkan mereka yang berumur 12 tahun keatas, memiliki kad pengenalan. Tujuannya ialah memudahkan usaha mengesan anggota PKM.

Perlaksanaan Undang-undang Darurat telah memberi tamparan terhadap pejuang PKM. Pada tahun 1949, 6000 orang telah ditangkap dan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan PKM. Pada tahun 1950, 70000 orang telah dihantar balik ke negeri China. Pengharaman PKM telah menghalang usaha mereka ke arah mencapai matlamat mengusai Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis Malaya. Pengharaman ke atas parti-parti kiri menyebabkan PKM kehilangan punca sokongan dan bantuan. Sekatan kebebasan yang dikenakan menyulitkan kegiatan PKM.

2. Rancangan Briggs

Apabila Harold Briggs menjadi pengarah gerakan menentang PKM sejak 3 April 1950, beliau menjalankan rancangan penempatan semula. Di bawah rancangan ini, penduduk yang tinggal di pinggir-pinggir hutan dan dianggap sebagai punca sokongan PKM telah dipindahkan ke kampung-kampung baru. Kampung-kampung baru ini telah dipagar dan dikawal rapi oleh pasukan keselamatan. Menjelang tahun 1954, 550000 orang dipindah ke 550 kampung baru. Antara mereka, 86% terdiri daripada orang Cina, 9% orang Melayu, 4% orang India dan 1% bangsa lain. 84% daripada kampung-kampung baru terletak di Pantai Barat Semenanjung. Penduduk-penduduk kampung baru juga dikenakan sekatan kebebasan seperti perintah kurung dan catuan makanan.

Perlaksanaan Rancangan Briggs menyulitkan lagi kegiatan PKM. Mereka yang dipaksa menyokong PKM telah diberi perlindungan dan yang secara sukarela menyokong PKM dapat dihalang berbuat demikian. Rancangan Briggs telah melumphkan kegiatan “Min Yuan”. Akibatnya PKM terputus bekalan makanan, ubat, senjata, pakaian dan sebagainya menyebabkan mereka terpaksa keluar untuk mendapatkan bekalan. Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa menghadapi pasukan keselamatan. Walau bagaimanapun, terdapat juga kampung-kampung baru yang gagal mencapai matlamatnya kerana kawalan yang tidak rapi membolehkan anggota PKM memasuki kampung baru dan orang ramai membantu PKM. Oleh sebab kampung baru diwujudkan untuk kepentingan keselamatan dan bukannya untuk kepentingan ekonomi, maka kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk menyediakan tempat tinggal, makanan, kemudahan kesihatan, bekalan api dan air dan sebagainya.

bersambung...........
Reply

Use magic Report

Post time 30-7-2005 01:55 AM | Show all posts
3.  Pembesaran pasukan keselamatan

Bagi menghadapi pemberontakan PKM, kerajaan mengambil langkah untuk menambahkan bilangan anggota pasukan keselamatan terutamanya semasa Gerald Templer menjadi Pesuruhjaya Tinggi sejak Februari 1952. Pemuda-pemuda Tanah Melayu telah digalakkan untuk mnyertai pasukan keselamatan dan mereka diberi latihan singkat dan dihantar untuk mengawal tempat-tempat strategic seperti pejabat kerajaan, lombong bijih dan ladang getah. Menjelang 1954, Tanah Melayu sudah mempunyai 40 ribu tentera, 70 ribu polis dan 200 ribu pengawal kampung. Bilangan tentera yang ramai dapat digunakan untuk menyerang sarang-sarang persembunyian PKM. Serangan ke atas PKM dibuat melalui darat dan udara. Pada masa itu, majoriti anggota pasukan keselamatan terdiri daripada orang Melayu, British dan Gurkha. Semasa Gerald Templer, bantuan ketenteraan juga diperolehi dari negara-negara Komanwel seperti Rhodesia, Britain, India, Australia dan New Zealand. Kerajaan Tanah Melayu juga telah menandatangani perjanjian dengan Thailand untuk membolehkan pasukan keselamatan melintasi sempadan dalam usaha memburu PKM.

4.   Jawatankuasa Perhubungan Kaum

Pesuruhjaya Tinggi British bagi Asia Tenggara iaitu Malcolm MacDonald telah mencadangkan supaya diambil langkah-langkah bagi mewujudkan hubungan baik antara kaum terutamanya antara orang Melayu dan Cina. Beliau menegaskan usaha menetang PKM tidak akan berjaya selagi hubungan antara kaum runcing. Akibat dari saranan tersebut, pada 1949, pemimpin-pemimpin kaum iaitu Dato’ Onn Bin Jaafar, Tan Cheng Lock dan Thuraisingam telah menubuhkan Jawatankuasa Perhubungan Kaum. Kerjasama antara kaum lebih terbukti dengan terbentuknya parti perikatan UMNO-MCA (1952) dan Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC (1954).

5.   Malayan Chinese Association (MCA)

Malcolm MacDonald juga mencadangkan supaya ditubuhkan satu pertubuhan sederhana yang anti komunis untuk orang-orang Cina supaya mereka tidak menaganggap PKM sebagai parti orang Cina. Akibatnya, MCA ditubuhkan pada 27 Februari 1949 di bawah pimpinan Tan Cheng Lock sebagai presiden pertama. Orang-orang Cina telah digalakkan untuk menyertai MCA dan menganggap MCA sebagai parti orang Cina yang akan memperjuangkan hak-hak dan kepentingan orang Cina.

bersambung............
Reply

Use magic Report

Post time 30-7-2005 01:56 AM | Show all posts
6.  Tolak ansur

Walaupun parti-parti kiri diharamkan, tetapi kerajaan British bertolak ansur dengan membenarkan parti-parti sederhana yang anti komunis seperti UMNO, MCA dan MIC. British juga bertolak-ansur dengan menerima tuntutan parti-parti sederhana tersebut. Buktinya: Pilihanraya Perbandaran Pulau Pinang pada 1 Disember 1951, Pilihanraya Perbandaran Kuala Lumpur pada 16 Februari 1952. Pilihanraya Umum yang pertama diadakan pada 27 Julai 1955. Selepas pilihanraya tersebut, Tanah Melayu diberi berkerajaan sendiri dan seterusnya kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Tolak ansur kerajaan British memenuhi tuntutan rakyat Melayu telah menyebabkan orang ramai menyokong kerajaan untuk menentang PKM.

7.  Rancangan Gerald Templer

Semasa Gerald Templer menjadi Pesuruhjaya Tinggi, beliau menjalankan rancangan “kawasan hitam” dan “kawasan putih”. Kawasan hitam ialah kawasan yang terlibat dengan kegiatan PKM. Penduduk di kawasan ini dikawal rapi oleh pasukan keselmatan dan dikenakan sekatan kebebasan seperti perintah kurung dan catuan makanan. Kawasan putih ialah kawasan yang tidak terlibat dengan kegiatan PKM dan penduduk kawasan ini diberi kebebasan. Akibatnya penduduk di kawasan hitam telah bekerjasama dengan kerajaan untuk menghapuskan kegiatan PKM di kawasan mereka supaya kawasan mereka akan diisytiharkan sebagai kawasan putih di mana penduduknya akan diberi kebebasan. Templer juga melawat kawasan hitam untuk meyakinkan orang ramai terhapap kemampuan kerajaan untuk menghapuskan pemberontakan PKM. Orang ramai juga digesa supaya tidak bekerjasama dengan PKM.

8.  Kelonggaran syarat kerakyatan

Dalam usaha untuk mendapatkan sokongan orang bukan Melayu, terutamanya orang Cina bagi menghadapi pemberontakan PKM, kerajaan telah mengambil langkah melonggarkan syarat kerakyatan sejak Februari 1952. Akibatnya seramai 1.2 juta orang Cina dan 180 ribu orang India menjadi warganegara antara Februari 1952 sehingga 31 Ogos 1957. Tindakan kerajaan menyebabkan orang Cina dan India bekerjasama dengan kerajaan untuk menentang PKM.


bersambung..............
Reply

Use magic Report

Post time 30-7-2005 01:57 AM | Show all posts
9. Majlis Perang

Mengikut arahan nombor 1 yang dikeluarkan oleh Harold Briggs bertarikh 16 April 1950, Majlis Perang Persekutuan (MPP) dan Jawatankuasa Kerja Perang peringkat negeri dan daerah akan ditubuhkan dalam usaha untuk membanteras pemberontakan PKM. MPP diketuai oleh Harold Briggs. Anggotanya terdiri daripada Ketua Setiausaha Kerajaan, komander-komander angkatan darat, laut dan udara serta pesuruhjaya Polis. Jawatankuasa Kerja Perang peringkat negeri diketuai oleh Menteri Besar dan di peringkat daerah diketuai oleh pegawai daerah. Anggota-anggota terdiri daripada polis, tentera dan pegawai tadbir. Tujuannya ialah untuk mewujudkan koordinasi antara semua pihak yang terlibat dalam usaha menentang PKM.

10.  Tawaran pengampunan

Tawaran pengampunan telah dikeluarkan sejak 1949. Anggota-anggota PKM yang menyerah diri dimaafkan dan dibenarkan kembali ke dalam masyarakat. Tawaran hadiah juga dikeluarkan kepada mereka yang dapat menunjukkan sarang PKM atau menangkap anggota PKM. Pada tahun 1954, tawaran hadiah kepada mereka yang dapat menangkap Chin Peng telah dinaikkan dari $150000 kepada $250000 dan ahli Jawatankuasa Pusat PKM sebanyak $100 ribu. Semasa Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri dan kemudiannya Perdana Menteri, tawaran hadiah yang lebih berkesan telah dikeluarkan. Anggota-anggota PKM yang menyerah diri bukan sahaja dimaafkan dan dibenarkan kembali ke masyarakat, tetapi juga diberi ganjaran berupa tanah dan wang. Tawaran ini telah menarik perhatian ramai anggota dan pemimpin PKM menyerah diri, contohnya Hor Lung, pemimpin komunis kawasan selatan telah dibayar sagu hati $247 ribu apabila beliau keluar menyerah diri bersama-sama 160 orang pengikut. Seorang lagi ialah Kim Cheng, pemimpin komunis kawasan Yong Peng telah dibayar $150 ribu bila beliau menyerah diri bersama pengikutnya. Pembayaran sagu hati ini bergantung kepada kedudukan seseorang dalam PKM dan juga anggota yang menyerah diri bersamanya.

11.  Rundingan Baling

Dalam usaha untuk menamatkan pemberontakan PKM, Rundingan Baling telah diadakan pada 28 dan 29 Disember 1955. Pihak kerajaan diwakili oleh Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock dan David Marshall dan PKM pula diwakili oleh Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin. Walau bagaimanapun, rundingan tersebut gagal kerana Chin Peng tidak dapat menerima kehendak Tunku Abdul Rahman yang mahukan PKM dibubarkan dan Tunku Abdul Raham tidak dapat menerima kehendak Chin Peng yang mahukan PKM diterima sebagai parti yang sah.
Reply

Use magic Report

Post time 30-7-2005 01:58 AM | Show all posts
Sebab Pemberontakan PKM Gagal

1.  Keganasan

Kegagalan pemberontakan PKM berpunca daripada taktik keganasanya. Sejak Jun 1948, PKM mulai melakukan pemberontakan bersenjata di seluruh Tanah Melayu. Dalam tempoh itu, PKM telah melancarkan serangan-serangan ke atas ladang-ladang getah dan lombong-lombong bijih timah. Serangan-serangan tersebut menyebabkan kehilangan mata pencarian orang ramai. Oleh itu, PKM bukan sahaja tidak mendapat sokongan ramai, malah menimbulkan kebencian orang ramai.

2.  Tidak mendapat sokongan

Majoriti penduduk di Tanah Melayu tidak menyokong PKM. Hanya sebilangan kecil orang cina sahaja yang menyokong PKM. Orang Melayu tidak menyokong PKM kerana menganggap PKM sebagai parti orang cina, lebih-lebih lagi majoriti pemimpin dan anggota PKM ialah orang cina. Selain itu, orang Melayu juga menganggap pemberontakan PKM sebagai satu percubaan orang cina untuk merampas kuasa Tanah Melayu. Orang Melayu juga tidak dapat menerima dasar anti-agama yang diperjuangkan oleh PKM sedangkan mereka berpegang teguh kepada agama Islam. Pengalaman orang Melayu di bawah pemerintahan “Bintang Tiga” telah menyebabkan mereka enggan menyokong PKM. Dalam tempoh pemerintahan tersebut, anggota PKM telah melakukan kekejaman dan tindakan tersebut telah menimbulkan pergaduhan kaum di Johor dan Perak.

Orang cina tidak menyokong PKM kerana tidak dapat menerima dasar anti agama yang diperjuangkan. Selain itu, mereka juga tidak menyokong dasar anti kapitalisme kerana mereka ingin jadi kaya-raya. Pada masa yang sama, kebanyakan orang cina pada masa itu lebih menumpukan perhatian dalam ekonomi. Mereka tidak begitu berminat terlibat dalam politik. Di samping itu, kebanyakan cina adalah buta huruf. Ini menyebabkan mereka tidak memaham ideologi komunis. Akibatnya mereka tidak sokong PKM.

Orang India turut tidak menyokong PKM kerana dasar anti agama. Selain itu, mereka juga menganggap PKM sebagai parti orang cina. Pada masa itu juga, orang India lebih menumpukan perhatian mereka terhadap politik di India. Ini menyebabkan mereka tidak menyokong PKM.

3.  Keadaan ekonomi dan politik stabil

PKM juga gagal mendapat sokongan yang luas kerana wujudnya keadaan yang stabil di Tanah Melayu. Keadaan tersebut telah menimbulkan rasa puas hati rakyat terhadap pemerintahan British. Dengan itu, mereka tidak sokong PKM. Sememangnya komunisme hanya boleh berkembang dengan pesat sekiranya terdapat kemiskinan dan penderitaan.

bersambung...........
Reply

Use magic Report

Post time 30-7-2005 01:59 AM | Show all posts
4.  Kegagalan PKM mendaftar matlamat dan perlembagaan secara publik

PKM gagal mendapat sokongan orang ramai kerana tidak mendaftarkan matlamat dan perlembagaannya secara publik. Ini menyebabkan orang ramai tidak mengetahui matlamat dan perlembagaan sebenar PKM. Sebaliknya, PKM dianggap sebuah kongsi gelap kerana ia telah diharamkan oleh British.

5.   Tekanan awal

Sejak ditubuhkan, PKM telah ditekan oleh British. PKM tidakdiberi peluang untuk berkembang dan diharamkan sejak pertubuhan. Pada 1937, British telah mengisytiharkan Banishment Ordinance yang mengharamkan permogokan. Akibatnya ramai pemimpin dan anggota PKM ditangkap. Mereka ini sama ada dipenjarakan atau dihantar pulang ke China. Pada tahun 1940, kerajaan British memperkenalkan undang-undang kesatuan sekerja. Undang-undang ini telah melarang pemimpin parti politik menjadi pemimpin kesatuan sekerja. Ini telah melemahkan PKM kerana pada masa itu, kebanyakan pemimpin kesatuan sekerja ialah pemimpin PKM. Pada 23 Julai 1948, undang-undang Darurat diisytiharkan. Sehubungan itu, sekali lagi PKM diharamkan. Akibatnya, pemberontakan PKM menemui kegagalan.

6.   Persaingan dengan Kuomintang (KMT)

Dalam usaha untuk mendapat sokongan orang ramai, PKM menghadapi persaingan yang hebat dari KMT. PKM ditubuhkan pada tahun 1930. Pada ketika itum cawangan KMT telah lama wujud di Tanah Melayu. Cawangan KMT yang pertama ditubuhkan pada 18 Disember 1912 di Singapura. Sejak 1913, sudah terdapat banyak cawangan KMT di Tanah Melayu seperti di Kuala Lumpur, Ipoh, Seremban, Pulau Pinang dan sebagainya. Ini menyebabkan orang ramai menyokong KMT. Selain itu, dasar yang diperjuangkan oleh KMT juga disokong oleh orang ramai. Kerajaan KMT di China menganggap orang cina di seberang laut sebagai warganegara China.

bersambung...............
Reply

Use magic Report

Post time 30-7-2005 01:59 AM | Show all posts
7.  Strategi Mao Tze Tung

Dalam pemberontakan yang dilakukan, strategi Mao Tze Tung telah digunakan. Di bawah strategi ini, PKM akan menerang dan menguasai kawasan pedalaman di mana kawalan kerajaan pusat amat lemah. Dari kawasan ini, PKM akan menyerang dan menguasai seluruh Tanah Melayu. Strategi ini telah berjaya di China. Walau bagaimanapun, ia gagal mencapai matlamatnya di Tanah Melayu kerana ia tidak sesuai.

8.  Perpecahan PKM

Kegagalan PKM juga disebabkan oleh perpecahan yang berlaku dalam PKM. Dalam PKM sendiri, keanggotaannya dibahagikan kepada 2 golongan, iaitu golongan radikal di bawah pimpinan Chin Peng dan golongan sederhana di bawah Lai Teik. Golongan sederhana mengamalkan dasar bekerjasama dengan British manakala golongan radikal lebih bersifat anti-British. Pada 6 Mac 1947, satu mesyuarat jawatankuasa pusat PKM telah diadakan di Singapura. Dalam mesyuarat itu, Setiausaha Agong PKM, iaitu Lai Teik tidak menghadirinya dan menghilangkan dirinya bersama-sama wang parti. Ini menyebabkan pucuk pimpinan PKM jatuh ke tangan Chin Peng.

9.   Kelemahan pemimpin PKM

Kelemahan pemimpin PKM sendiri menggagalkan pemberontakan yang dilakukan. Berikutan dengan peristiwa Lai Teik, orang ramai mulai tidak yakin terhadap PKM. Selain itu, pemimpin PKM mungkin mahir tetapi mereka tidak dapat menyesuaikan ideologi tersebut dengan keadaan tempatan. Misalnya, dasar anti agama yang diperjuangkan tidak dapat diterima oleh orang ramai. Akibatnya, pemberontakan PKM gagal.

10.  Bantuan luar

Pemberontakan dianjurkan oleh Comintern dan telah disokong oleh PKC dan Parti Komunis Rusia (PKR). Dengan itu, PKM mulai melakukan pemberontakan bersenjata sejak Jun 1948. Sepanjang tempoh pemberontakan, PKM tidak mendapat bantuan langsung dari Comintern, PKC ataupun PKR. Akibatnya, PKM menghadapi kegagalan dalam pemberontakannya.

11.  Langkah kerajaan

Langkah-langkah kerajaan yang diambil untuk mengatasi pemberontakan di Tanah Melayu telah menggagalkan PKM. Sebab satu langkah yang diambil ialah mengisytiharkan Undang-undang Darurat pada 23 Julai 1948. Akibatnya, PKM diharamkan dan diikuti parti-parti kiri.

Selain itu, British juga melaksanakan Rancangan Briggs. Di bawah rancangan ini, penduduk yang tinggal di pinggir hutan dan dianggap sebagai punca penyokong PKM akan dipindahkan ke kampung baru yang dikawal rapi. Akibatnya, PKM terpaksa keluar dari hutan untuk mendapat bantuan/bekalan.

British juga membesarkan pasukan tentera di Tanah Melayu. Dengan bilangan tentera yang ramai tersebut, British dapat menyerang sarang PKM.

Penubuhan MCA pada 27 Februari 1949 telah menyebabkan orang Cina tidak lagi menganggap PKM sebagai parti orang Cina. Pada masa yang sama, British juga mula bertolak-ansur dengan penduduk tempatan, misalnya menerima tuntutan parti sederhana mengadakan pilihanraya. Akibatnya, orang ramai sokong kerajaan dan menentang PKM.

British turut menubuhkan Majlis Perang Persekutuan dan Jawatankuasa Kerja Perang di peringkat negeri dan daerah. Kedua-dua pertubuhan ini bertujuan untuk mewujudkan kordinasi antara semua pihak yang terlibat dalam usaha menentang PKM. British juga memberi tawaran pengampunan kepada anggota PKM yang menyerah diri sejak 1949. Di samping itu, tawaran hadiah juga diberi kepada mereka yang berjaya menangkap Chin Peng. Langkah-langkah tersebut telah menyebabkan PKM gagal dalam pemberontakan m
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 30-7-2005 02:01 AM | Show all posts
Kesan Pemberontakan PKM

Kesan Politik
1.  Penubuhan MCA

Atas cadangan Malcolm MacDonald, Malayan Chinese Association (MCA) telah ditubuhkan pada 27 Februari 1949. Tan Cheng Lock menjadi presiden pertama. Orang-orang cina telah digalakkan untuk menyertai MCA dan menganggap MCA sebagai parti orang cina yang akan memperjuangkan hak dan kepentingan orang cina.

2.  Penubuhan Parti Perikatan

Untuk mengeratkan lagi hubungan antara kaum, Parti Perikatan telah ditubuhkan pada 1952 di mana UMNO telah bergabung dengan MCA. Parti Perikatan UMNO-MCA kemudiannya bergabung dengan MIC pada 1954 untuk membentuk Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC yang lebih besar.

3.  Mempercepatkan kemerdekaan

Dalam usaha untuk mendapatkan sokongan orang ramai, British telah bertolak-ansur dengan menerima tuntutan parti-parti sederhana, misalnya Pilihanraya Pulau Pinang telah diadakan pada 1 Disember 1951 dan Pilihanraya Perbandaran Kuala Lumpur diadakan pada 16 Februari 1952. Pilihanraya umum yang pertama diadakan pada 27 Julai 1955. Selepas pilihanraya itu, Tanah Melayu diberi berkerajaan sendiri dan seterusnya kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

4.  Pembesaran pasukan keselamatan

Dalam usaha menghadapi pemberontakan PKM, kerajaan telah menambahkan bilangan anggota pasukan keselamatan. Pemuda-pemuda Tanah Melayu telah digalakkan untuk menyertai pasukan keselamatan dan mereka diberi latihan singkat. Menjelang 1954, Tanah Melayu sudah mempunyai 40 ribu tentera, 70 ribu polis dan 200 ribu pengawal kampung.

bersambung..................
Reply

Use magic Report

Post time 30-7-2005 02:02 AM | Show all posts
5.  Pemimpin sederhana

Dalam usaha menghadapi pemberontakan PKM, lahirlah parti-parti politik sederhana. Daripada parti-parti ini, lahirlah pemimpin sederhana seperti Tan Cheng Lock, Thuraisingam, Tunku Abdul Rahman dan sebagainya. Mereka memainkan peranan yang penting dalam pentadbiran Tanah Melayu.

6.  Undang-undang Darurat

Semasa pemberontakan PKM, Undang-undang Darurat telah diisytiharkan pada 23 Julai 1948 dan diperkenalkan pada Julai 1949. Undang-undang ini telah menjadi asas kepada penggubalan Akta Keselamatan ISA (terutamanya yang berkaitan dengan penangkapan tanpa bicara).

7.   Melumpuhkan parti kiri

Undang-undang Darurat bukan sahaja mengharamkan PKM, telah juga mengharamkan parti-parti kiri yang merupakan penyokong PKM seperti Malayan Democratic Union, AWAS, API dan sebagainya. Akibatnya, ini telah melumpuhkan parti-parti kiri di Tanah Melayu.

8.   PKM diharamkan

Undang-undang Darurat pada 23 Julai 1948 telah mengharamkan PKM. Mengikut undang-undang ini, kerajaan diberi kuasa untuk menangkap dan menahan tanpa perbicaraan bagi mereka yang disyaki terlibat dalam kegiatan PKM. Kerajaan juga diberi kuasa untuk membuang negeri mereka yang dianggap kehadirannya membahayakan keselamatan Tanah Melayu.

bersambung.....................
Reply

Use magic Report

Post time 30-7-2005 02:03 AM | Show all posts
9. Kegiatan politik terbantut

Semasa pemberontakan PKM di Tanah Melayu, parti-parti kiri telah diharamkan. Walaupun kerajaan membenarkan penubuhan parti-parti sederhana seperti UMNO, MCA dan MIC tetapi parti-parti ini diawasi oleh kerajaan dan tidak mempunyai kebebasan untuk berkembang. Akibatnya, kegiatan politik Tanah Melayu terbantut.

10.  Kerjasama dengan Siam

Pemberontakan PKM di Tanah Melayu juga membuka jalan kepada Tanah Melayu untuk mengadakan kerjasama dengan Siam. Pada ketika itu, kerajaan Tanah Melayu telah menantangani perjanjian dengan Siam untuk membolehkan pasukan keselamatan Tanah Melayu melintasi sempadan dalam usaha memburu PKM.

11.  Dasar luar Tanah Melayu selepas merdeka

Pemberontakan PKM juga mempengaruhi dasar luar Tanah Melayu selepas kemerdekaan. Selepas merdeka, Tanah Melayu langsung tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan negara komunis. Keadaan ini berterusan sehinggalah tahun 1974 dimana Tun Abdul Razak yang menjadi Perdana Menteri pada ketika itu telah mengubah dasar tersebut.

12.  Perkembangan parti sederhana

Dalam pemberontakan PKM, PKM telah diharamkan oleh British dan ini diikuti dengan pengharaman parti-parti kiri. Pada masa yang sama penubuhan parti sederhana dibenarkan. Akibatnya ini telah memberi peluang kepada parti sederhana berkembang tanpa saingan parti-parti kiri.

bersambung..............
Reply

Use magic Report

Post time 30-7-2005 02:04 AM | Show all posts
13.  Rundingan Baling

Dalam usaha menamatkan pemberontakan PKM, Rundingan Baling telah diadakan pada 28 dan 29 Disember 1955. Pihak kerajaan diwakili oleh Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock dan David Marshall. Pihak PKM diwakili oleh Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin. Walau bagaimanapun, rundingan ini gagal kerana Chin Peng tidak dapat menerima kehendak Tunku Abdul Rahamn iaitu membubarkan PKM dan Tunku Abdul Rahman pula tidak dapat menerima kehendak Chin Peng iaitu mahukan PKM diterima sebagai parti yang sah.

14.  Perubahan pucuk pimpinan UMNO

Pemberontakan PKM turut merintis jalan kepada perubahan pucuk pimpinan UMNO. Sebelum itu, Dato’ Onn Bin Jaafar ingin membuka UMNO kepada orang bukan Melayu supaya mereka dapat menyertainya. Namun, cadangan ini ditentang oleh ahli-ahli dalam UMNO. Akibatnya, Dato’ Onn Bin Jaafar keluar dari UMNO dan menubuhkan parti politik baru, iaitu Parti Kemerdekaan Malaya (IMP). Sementara di UMNO, pucuk pimpinan diambil alih oleh Tunku Abdul Rahman.

15.   Hubungan rakyat dengan kerajaan

Dalam usaha menghadapi pemberontakan PKM, kerajaan telah menangkap rakyat yang disyaki. Tindakan ini sedikit sebanyak telah menjejaskan hubungan rakyat dengan kerajaan.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 11:19 PM GMT+8 , Processed in 0.097625 second(s), 47 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list