CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Syd

Kumpulan cerita rakyat Malaysia

[Copy link]
 Author| Post time 20-3-2006 11:50 AM | Show all posts
cerita2 tuh saya kumpul dari internet
dan ada jugak yang email pada saya (tq kawan2)
mana yang saya boleh usahakan, nanti saya kasik infor yea.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 20-4-2006 04:12 PM | Show all posts

Si Luncai

Al kisah, maka adalah sebuah negeri bernama Indera Pat, rajanya bernama Maharaja Isin. Maka negeri itu cukup lengkap seperti adapt istiadat negeri yang lain-lain juga, tetapi baginda itu baru sahaja ditabalkan menggantikan paduka ayahanda dan bondanya, kerana baginda itu telah hilang keduanya. Maka isteri baginda itu bernama Tuan Puteri Bongsu, ada berputera seorang, namanya Tuan Puteri Lela Kendi, telah berumur sepuluh tahun.

Arakian, maka adalah dihujung negeri itu seorang anak miskin, yatim piatu, namanya disebut oleh sekalian kanak-kanak dengan gelaran Si Luncai, kerana perutnya besar dan punggungnya tonggek serta pula apabila ia berjalan itu menjemur dada. Ada pun hal kehidupan Si Luncai itu mengambil upah menumbuk dan menjemur padi serta menjual katu api, itulah sahaja kerjanya.

Sekali peristiwa Si Luncai terlalu amat ingin hendak masuk mengadap baginda. Maka ia pun pergilah dengan rupanya yang terlalu buruk itu. Maka tiadalah diterima oleh baginda akan masuk Si Luncai itu, hingga beberapa kali pun demikian juga. Hatta, kepada suatu hari Si Luncai pun bersiaplah memakai pakaiannya yang lain, iaitu berseluar ganjam puth sudah koyak-koyak, dan berbaju hitam buruk menggerebeng seperti sarang petola, serta memakai kain hitam bermancung cobak-cabik, dan bertengkolok batik seperti tali ayam. Setelah sudah memakai itu, Si Luncai pun pergilah mengadap, dan pada masa itu baginda pun hadir sedang bercukur hendak pergi sembahyang Jumaat. Maka Si Luncai pun naiklah kebalai penghadapan di bawah rembat balai itu, lalu ia menyembah pada baginda, seraya ditegur oleh baginda. Katanya Hai Luncai, apa maksudmu datang ini? Maka sembah si luncai, ampun Tuanku beribu-ribu ampun, tiadalah apa-apa hasrat patik, hanya hendak mengadap kebawah dulu yang maha mulia sahaja.

Telah itu baginda pun diamlah. Maka baginda bercukur itu sudahlah. Apabila dilihat oleh Si Luncai ulu baginda itu bergundul tentang tengkuknya, maka ia pun menangislah dengan teramat sangat, tersenak-senak dan terisak-isak sehingga bercucuran air matanya. Maka titah baginda, Hai Luncai, apa engkau tangiskan ini? Maka sembah Si Luncai, ampun Tuanku beribu-ribu ampun, tersangatlah besar dukacita bagi kalbu patik tanyakan, dan hendak pun patik sembahkan telah Tuan patik tanyakan, dan hendak pun patik sembahkan menakuti sangat-sangat dihati patik, siapa mengetahui kalau-kalau menjadi kemurkaan kebawah dulu tuanku.

Maka titah baginda, kabarkanlah olehmu tiada aku marah. Maka sembah Si Luncai, ampun tuanku beribu-ribu ampun, ada pun sebabnya patik menangis ini kerana patik lihat ulu Tuanku itu. Ampun-ampun daulatnya barang bertambah-tambah daulat, serupalah betul-betul dengan kepala pachal tua kebawah duli yang telah hilang itu, daripada dogol-dogol dan sulahnya itu sedikit pun tiada bersalahan lagi. Maka itulah sebabnya hiba dan rawan dihati patik. Pada perasaan pati, tambahan pila susuk gaya bayanya pun haruslah sebaya dengan tuanku juga.

Hatta, setelah baginda mendengarkan sembah Si Luncai, maka baginda pun murkalah terlalu amat, merah padam warna mukanya seraya bertitah, hai Luncai, sampailah engkau ini kanak-kanak lagi miskin, patutlah tiada mempunyai akal dan fikiran. Adakah sampai hemat engkau menyamakan sifat aku dengan bapa engkau yang sudah mampus itu? Ceh! Ceh! Tidak kusangka sekali-kali demikian berani engkau. Maka sekarang engkau ini derhaka kepada aku, tentulah engkau kubunuh.

Maka baginda pun memberi isyarat pada hulubalangnya menyuruh tangkap Si Luncai, serta diikat dan dimasukkan kedalam guni. Titah baginda kepada seorang pertanda menyuruh bunuh akan Si Luncai dan campakkan kedalam air dikuala sungai itu. Maka segeralah dikerjakan oleh petanda itu, dibawanya Si Luncai turun kesampan serta berkayuh kehilir.

Maka kata Si Luncai, wahai encik pertanda, mintalah hamba sebiji labu air hendak hamba peloki, seolah-olah ganti ibu hamba, kerana hamba hendak mati ini, bolehlah hamba marifatkan hamba mati bersama-sama dengan ibu hamba. Maka jawab pertanda itu, baiklah. Kerana ia pun belas juga melihatkan orang yang telah tentu mati itu, lalu disuruhnya ambil labu air tempat bekalan mereka didalam perahu itu, yang besar sekali, seraya dikeluarkan dan diuraikan ikatnya lalu diberikan labu itu kepada Si Luncai.

Maka dipeluk oleh Si Luncai, lalu menangislah ia dengan amat sangatnya di tengah-tengah perahu itu. Kemudian lalu ia berkata kepada segala pertanda itu, katanya ya mamak pertanda, hamba melihat tuan hamba berkayuh itu terlalulah kasihan di hati hamba oleh terlampau penatnya. Jika begitu, ada suatu nyanyi supaya boleh membuat pelalai berkayuh itu, kita perbuat beramai-ramai. Maka jawab pertanda itu, apa dia? Luncai, pelalai itu? Maka kata Si Luncai, buatlah demikian. Si luncai terjun dengan labu-labunya, jawabnya biarkan, biarkan. Maka pertanda itu semuanya membuatlah seperti yang diajarkan oleh Si Luncai itu beramai-ramai. Si Luncai terjun dengan labu-labunya! Biarkan, biarkan. Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan, biarkan.

Maka dengan hal yang demikian bernyanyi itu bersahut-sahut, Si Luncai pun terjunlah sungguh kedalam sungai seraya menyelam. Maka pertanda jurumudi itu beberapa kali telah menyatakan, Si Luncai sudag terjun dengan labu-labunya kedalam air, tetapi oleh sabor dengan nyanyinya itu tiadalah siapa yang menghiraukan. Kemudia lalu berkatalah pula jurumudi dengan bengisnya, hai kamu sekalian anak perahu, cubalah lihat kebelakang, Si Luncai sudah terjun.

Maka barulah masing-masing menoleh kebunyikan perahu. Sesungguhnya campaklah Si Luncai sudah terdiri ditepi tebing sebelah kiri sungai. Wah apatah lagi. Bergopogopohlah masing-masing mengayuh perahu mendapatkan Si Luncai kedarat, lalu ditangkapnya. Telah dapat, dimasukkan kedalam guni itu juga serta diikat, langsung berkayuh pula. Tidak berapa lamanya, dengan kuasa Allah, kedengarlah bunyi suara rusa bertempek di darat bertalu-talu. Maka kata Si Luncai, dari dalam guni itu, Ya Allah, sayangnya rezeki terbuanglah sahaja.

Maka kata pertanda itu, apa engkau kata Luncai? Maka jawab Si Luncai. Tidak ada. Itu bunyi rusa bertempek, sudah mengena agaknya jerat yang hamba tahan disitu dahulu, tetapi apalah daya hendak mengambilnya? Sahajalah binatang itu mati oleh kena jerat, tiada siapa mengambilnya. Maka kata pertanda itu sama sendiri. Mari kita singgah mengambil rusa yang telah kena jerat Si Luncai itu. Telah bersetuju muafakatnya, maka perahu itu pun disinggahkanlah lalu kedarat, sekalian pertanda itu mencari tempat jerat Si Luncai itu merata-rata hutan, dan dimana-mana kedengaran bunyi rusa bertempek, kesitulah dikejar oleh segala pertanda itu dengan tempek soraknya. Demi rusa itu mendengar suara manusia, ia pun makinlah jauh larinya.

Kelakian, tersebutlah perkataan Si Luncai tinggal diperahunya di dalam guni seorang dirinya. Dengan kuasa Allah ta`ala, lalulah seorang India menjual dagangan. Maka dilihat oleh Si Luncai tampak baying-bayangnya kilau-kilau dari dalam guni itu. Maka ia pun berseru-seru dengan nyaring suara, katanya, Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, mohonlah patik, sekali-kali patik ta` mahu kahwin dengan paduka anakanda itu. Remaklah patik mati dibuangkan kedalam air ini.

Hatta, setelah didengar oleh saudagar India itu akan rungut Si Luncai, maka ia pun datang mendekati keperahu itu, seraya bertanya. Katanya, hai orang dalam guni, apa tuang ini macam? Siapa punya kerja ini? Maka sahut Si Luncai dengan tangisnya, Ada pun sebab hamba ini menjadi demikian kerana raja negeri ini hendak mengahwinkan hamba dengan puterinya, hamba tiada mahu. Inilah hendak dibunuhnya.

Setelah didengar oleh saidagar India akan kata Si Luncai itu, ia pun terlalu sukacita hendak kawin itu. Lalu katanya, apa? Kahwinkah? Saya banyak suka! Raja mahukah ganti sama saya kasi kahwin dia punya anak? Maka kata Si Luncai, kalau mamak mahu, raja tentu banyak suka. Sahaya yang miskin lalgi ia mahu, ini pula mamak orang kaya. Jika begitu, marilah bukakan saya, mamak menjadi ganti saya. Maka mamak India itu pun naiklah kedalam perahu lalu mengorakkan tali guni dan tali si Luncai. Setelah Si Luncai keluar mamak itu pun masuklah kedalam guni itu lalu diikat pula oleh Luncai akan tangan mamak dan mulut guni itu. Kemudian diajarnya mamak itu. Katanya, apabila, apabila datang hamba raja itu sekarang, mamak bilanglah kepada dia orang, saya mahu kawin dengan anak raja. Maka kata mamak India itu, baiklah.

Setelah sudah, Si Luncai pun menggalas bungkus kain mamak itu, lalu lari pulang kenegerinya. Arakian, tersebutlah perkataan sekalian pertanda yang pergi mencari bekas jerat Si Luncai itu. Telah tiada bertemu masing-masing oun pulanglah keperahu. Maka didengar oleh mereka itu Si Luncai berkata. Saya mau kawin sama raja punya anak, saya mau kawin sama raja punya anak. Berpuluh-puluh kali demikian juga katanya. Maka mereka sekalian pun heran seraya berkata, kena apa Si Luncai ini bermacam-macam pula lakunya? Ini doperbuatnya seperti suara orang India , dan katanya ia hendak kahwin dengan anak raja. Siapalah yang mahukan dia itu agaknya? Hai, hai Luncai, tadi sudah terjun dengan labu-labunya. Sekarang pun engkau hendak menipu kamikah juga? Walau macam mana sekali pun tidakkan kami lepaskan lagi. Matilah engkau sekali ini.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-4-2006 04:14 PM | Show all posts
Maka kata mamak India itu, saya bukan Luncailah, saya orang India jual barang-barang kain baju. Luncai sudah pergilah, sekarang sayalah mahu kahwin sama raja punya anak. Maka kata pertanda itu, ya baiklah, Luncai . walau engkau jadi India sekali pun engkau mati juga. Lagi pun sekarang engkau sudah menjadi gila. Adakah patut layak macam engkau hendak kahwin dengan anak raja? Ceh, ceh tak malu.

Demi didengar oleh mamak India itu akan perkataan pertanda yang demikan, ia pun makinlah menangis tetapi tiadalah barangsiapa yang peduli akan dia, masing-masing berkayuh juga. Telah sampailah kekuala lalu dicampakkanlah guni India itu langsung tenggelam dan matilah ia. Maka pertanda itu pun kembalilah persembahkan segala hal ehwal itu kepada baginda. Maka baginda pun terlalu sukacitanya.

Sebermula, maka tersebutlah perkataan Si Luncai berjalan itu. Hari pun sudah malam, ia pun sampailah kerumahnya lalu tidur dan tiadalah ia berjalan dalam tujuh hari lamanya, kerana ia mencari akal tipu daya hendak membinasakan raja itu. Maka pada suatu hari Si Luncai pun memakailah segala serban jubah saudagar India yang ditipunya itu, serta sebuah tasbih panjangnya sedepa dan sebatang tongkat pula dibawanya. Maka ia pun berjalanlah dekat-dekat dengan balairung seri baginda itu. Dan kepada ketika itu baginda pun sedang dihadap oleh orang terlalu banyak, penuh sesak balai penghadapan itu. Maka baginda pun terpandanglah akan Si Luncai memakai pakaian cara haji itu. Maka diamat-amati oleh baginda, sahlah rupa Si Luncai.

Maka titah baginda, hai sekalian orang besar-besar, siapa itu? Beta lihat seakan-akan rupa Si Luncai. Maka sembah mereka itu sekalian, sebenarnyalah seperti titah dulu itu. Pada penglihatan patik-patik sekalian pun demikian juga. Maka titah baginda, cuba juga panggil Tuan Haji itu, bertanya dari mana datangnya. Maka menteri pun berserulah dengan nyaring suaranya, katanya wahai tuan hamba Tuan Haji mari juga singgah, titah di panggil. Hatta telah didengar oleh Si Luncai, maka ia pun singgahlah mengadap baginda serta memberi salam, katanya, Assalamu`alaikum, ya khalifatul mu`minin. Maka disahut oleh baginda, Wa`alaikumussalam, hai muslim, siapa engkau ini?

Maka sembah Si Luncai, ampun tuanku beribu-ribu ampun, barang bertambah-tambah daulat shah alam, bahawa patik inilah malaikat Si Luncai yang telah Tuanku bunuh dahulu. Ada pun patik ini sekarang sudah menjadi orang negeri akhirat, bukannya patik orang didalam dunia ini lagi. Setelah didengar oleh baginda dan segala orang besar-besar itu, masing-masing pun, sebenarnyakah sungguh engkau ini malaikat Si Luncai yang mati. Dan lihatlah oleh Tuanku rupa dan pakaian patik ini semuanya sudah berubah diberi oleh malaikat orang tua patik, kerana orang tua patik kedua-duanya dikurniai Allah ta`ala tempat kesenangan di negeri akhirat.

Maka titah baginda, jika demikian, adakah engkau mendengar kabar ayahanda dan bondaku yang telah mangat itu? Maka sembah Si Luncai, bukannya mendengar lagi tuanku, patik sendiri dibawa oleh malaikat orang tua patik itu mengadap ayahanda dan bonda itu. Patik lihat istana dan mahligai paduka ayahanda itu terlalu indahnya daripada tempat semayam tuanku ini.

Maka titah baginda, adakah ayahanda bonda bertanyakan aku in? maka sembah Si Luncai, adalah sangat, tuanku. Patik ceritakanlah kepada baginda itu dari awal hingga akhirnya serta pasal kematian patik itu. Maka demi didengarnya sebab kematian patik tuanku bunuh itu, wah baginda laki isteri pun terlalu murka akan tuanku. Titahnya, tiada patut sekali-kali diperbuat oleh anakku itu, sebab kesalahan engkau yang begitusedikit disurunya bunuh. Kemudian lalu disuruhnya hantarkan patik pada malaikat orang tua patik balik kedalam dunia in, kerana ajal patik belum sampai lagi katanya. Dan lagi titah paduka ayahanda bonda itu kepada patik minta persilakan tuanku pula berangkat bemain-main melihat negeri akhirat, kerana terlalu rindu paduka ayahanda dan bonda itu akan tuanku, dan jika tuanku berangkat kesana, pada fikiran patik telah tetaplah yang tuanku tiada sekali-kali berniat hendak balik kedunia ini oleh tersangat indah-indahnya negeri akhirat itu. Ada pun patik ini tiada berdaya lagi oleh terlampau digagahi paduka ayahanda kedua menyuruh sampaikan pesannya kebawah duli tuanku.

Dari sebab itulah patik balik juga persembahkan titah paduka ayahanda itu, takut kalau-kalau menjadi keberatan pula keatas patik kemudian hari. Akan tetapi jika sekiranya tuanku hendak melihat apa-apa hal paduka ayahanda dan bonda itu, bolehlah juga tuanku kita lihat dari atas dunia ini. Perbuatlah suatu bangun-bangunan yang tinggi boleh patik ajarkan. Ada suatu doa diamalkan, nescaya tampaklah apa-apa hal paduka ayahanda bonda itu dengan kemudahannya.

Tetapi jikalau barangsiapa tiada tampak, harapkan diampuni kebawah duli, alamat besarlah padahnya mereka itu, iaitu telah terjunamlah mereka bukannya daripada anak halal. Maka doa itu pun patik dapat dengan berkat pengajaran paduka ayahanda juga mengajar patik. Maka ada pun hal patik apabila patik rindua akan orang tua patik, maka patik bacakankanlah doa itu, nescaya tampaklah apa-apa halnya didalam kubur, serta sekalian isi negeri akhirat itu.

Hatta, setelah didengar oleh baginda serta sekalian yang mengadap itu masing-masing pun menerimalah pada akalnya serta dengan percayanya. Maka sabda baginda, hai malaikat Si Luncai, aku bertempohlah tujuh hari hendak membuat bangunan itu. Maka sembah Si Luncai, tuanku, daulat beribu-ribu daulat, seperti titah itu patik junjunglah. Maka Si Luncai pun menyembah baginda, mohon ampun pulang kerumah berdiam dirinya.

Arakian, maka baginda pun menitahkan perdana menteri perbuat bangun-bangunan itu dengan segeranya. Maka dikerjakan oranglah seperti titah baginda itu. Selang tiada berapa lamanya bangun-bangunan itu pun siaplah sekaliannya. Maka perjanjian Si Luncai pun genaplah. Ia pun lalu datang mengadap baginda. Telag itu baginda pun berangkatlah diiringkan oleh segala orang besar-besar dan menteri, hulubalang, rakyat sekalian serta dengan Si Luncai naik keatas bangun-bangunan itu.

Telah duduklah sekaliannya maka Si Luncai pun mengajarlah akan baginda serta dengan orang-orang besar akan doa pertunjukkan itu. Maka sembah Si Luncai, ampun tuanku beribu-ribu ampun, apabila sudah tuanku sekalian baca doa ini, jikalau tiada nampak akan paduka ayahanda bonda sekalian isi negeri akhirat, bahawa pada masa itu telah tentulah tuanku sekalian haram zadah.

Demikianlah sekali padahnya berkat titah ayahanda kedua-duanya juga mengajar akan patik doa ini. Maka titah baginda, mana-mana takdir daripada Allah, aku menerima syukur sahaja. Setelah baginda menerima pengajaran daripada Si Luncai maka sembah Si Luncai, persilakanlah tuanku ayahanda bonda itu.

Maka baginda serta dengan sekalian mereka yang belajar itu pun mendongak kelangit. Maka Si Luncai pun pura-puralah memandang sama-sama kelangit. Hatta sembah Si Luncai apa kabar tuanku? Adakah tampak ayahanda kedua-dua duduk diatas takhta kerajaan dengan aman sentosanya dihadapi oleh sekalian anak bidadari? Cubalah tuanku nyatakan kepada patik dengan sebenarnya.

Maka demi baginda mendengarkan sembah Si Luncai, termenunglah baginda sejurus panjang sambil berfikir didalam hatinya, hendak aku katakana tampak, tiada suatu apa pun yang ada, hanya awan saja yang aku lihat, tetapi kalau aku katakana tiada nampak, tetaplah aku dikatakan oleh si Luncai ini anak haram. Jika begitu, biarlah aku berdusta, asalkan jangan terkena nista oleh Si Luncai.

Maka baginda pun mengakulah mengatakan nampaklah sekalian hak ehwal. Sesudah titah baginda demikian itu maka masing-masing pun menurutlah seperti titah itu, semuanya mengatakan nampak belaka. Telah itu, maka sembah Si Luncai, sekiranya jika tiada puas lagi rasanya dikalbu tuanku, persilakanlah esok harinya patik bawa mengadap ayaganda bonda itu supaya lenyap rindu dendam tuanku yang selama ini akan dia dan boleh pula tuanku melihat sekalian perkara yang terlebih ajaib-ajaib serta indah-indah pula daripada yang tuanku lihat tadi. Maka titah baginda, baiklah esok bawalah aku pergi sendiri kepada ayahanda bondaku. Maka sekalian orang besar-besar itu pun berkehendak juga pergi masing-masing. Maka ujar Si Luncai kepada mereka itu, biarlah tuanku sahaja pergi dahulu, diperhamba bawa. Kemudian setelah diperhamba balik kedunia ini dengan baginda, barulah dato sekalian diperhamba bawa kesana.

Arakian, setelah sudah berkata-kata itu, maka baginda pun berangkat turun dari atas bangun-bangunan itu serta diiringikan oleh segala orang besar-besar dan Si Luncai kembali ke balai penghadapan, seraya baginda bertitah kepada Si Luncai, pagi-pagi besok pergilah kita Luncai dengan segeranya.

Maka sembah Si Luncai, silakan tuanku, tetapi hendaklah tuanku titahkan perbuat suatu mongkor kaca, serta perbuati berkisi-kisi luarnya, kemudian diberi bertali dan muatkanlah sekalian perkakasan tuanku serta berkelana sekali. Maka titah baginda, baiklah Luncai. Maka baginda pun segeralah menitahkan beberapa orang pandai dan utas perbuati mongkar seperti yang dikatakan oleh Si Luncai itu, hendak sudah pada malam itu juga dengan tiada boleh tidak. Maka dikerjakanlah oleh segala tukang itu pada malam itu juga. Telah baginda bertitah demikian, baginda pun berangkat masuk keistana mendapatkan adinda dan anakanda baginda, dan Si Luncai dengan segala orang besar-besar itu tidurlah dibalai, tiada kembali lagi.

Hatta, telah datang keesokan hari, baginda pun bangun bersiram ketiga puteranya. Sudah selesai lalu santap nasi dan peganan juadah. Setelah sudah, maka baginda pun bermohon kepada adinda baginda dan memeluk mencium puterinya itu, lalu berangkat kebalai penghadapan. Didapati baginda sekalian orang besar-besar dan menteri, hulubalang, rakyat semuanya telah hadir, dan mongkar itu pun sudah musta`id sekaliannya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-4-2006 04:15 PM | Show all posts
Maka baginda pun memandang kepada Si Luncai seraya bertitah, apa lagi kita Luncai? Maka sembah Si Luncai, silakanlah, Tuanku. Maka baginda pun berangkatlah diiringkan oleh segala menteri, hulubalang dan rakyat sekalian, dibawa oleh Si Luncai kepintu lubang suatu gua yang terlalu dalam, melainkan Allah jugalah yang mengetahuinya. Seketika berjalan sampailah ketempat itu. Maka Si Luncai pun mendatangkan sembah. Katanya ampun tuanku beribu-ribu ampun, bahawa inilah jalan patik keluar kedunia dahulu.

Maka titah baginda, jikalau begitu, turunlah kita segera, biar orang besar-besar tinggal menanti kita disini. Maka sembah Si Luncai, silakanlah tuanku masuk kedalam mongkor kaca ini dan biarlah patik duduk pada kisi-kisi diluar mongkor, kerana patik hendak membawa jalan keakhirat, iaitu sesudah dihilurkan oleh mereka ini sekalian kebawah.

Telah itu baginda pun masuklah dan Si Luncai berdiri diluar mongkor itu. Setelah musta`id, lalu dihulurkanlah sekalian menteri, hulubalang dan orang besar-besar akan baginda dengan Si Luncai kedalam lubang itu. Maka pada waktu hendak turun mongkor itu, Si Luncai pun bersedia sahajalah hendak berlepas dirinya. Dengan takdir Allah ta`ala, adalah pula suatu lubang yang lain, boleh naik kedunia balik. Apabila terpandang sahaja olehnya, makaa ia pun melompatlah keatas suatu batu ditepi lubang itu dengan pantasnya. Maka baginda tiadalah sempat hendak keluar lagi, oleh meraka yang diatas lubang itu dengan pantasnya. Maka baginda tiadalah sempat hendak keluar lagi, oleh tali mongkor itu terlalulah amat deras dihulurkan oleh mereka yang diatas lubang itu. Maka dilihat baginda makin lama makin gelap gulitalah, sehingga lemaslah baginda tak boleh bernafas lagi.

Maka dengan kudrat dan iradat allah ta`ala, mongkor itu pun terjatuh betul kedalam mulut seekor naga yang terlalu besarnya. Maka demi dirasanya sahaja, apatah lagi, langsung ditelannyalah. Maka baginda pun mangkatlah. Kelakian, tersebutlah perkataan Si Luncai. Telah dilihatnya baginda itu tiada dapat keluar dari dalam mongkor itu, dan langsung terus kebawah sahaja serta telah ghaiblah, maka ia pun berserulah dengan nyaring suaranya, katanya, hai sekalian menteri dan orang besar-besar serta hulubalangku, putuslah tali ini., kerana aku telah bertemu dengan ayahanda bonda, dan tiadalah diberinya aku berbalik lagi kedunia. Si Luncai sahaja aku titahkan balik akan ganti aku menjadi raja dinegeri, serta kahwinkan dia dengan puteriku Tuan Puteri Lela Kendi itu.

Setelah didengar oleh mereka itu masing-masing pun pulanglah keistana baginda, persembahkan seperti titah baginda itu kepada Puteri Bongsu dan anakanda baginda. Aduhai. Demi terdengar sahaja kepada Tuan Puteri keduanya perkabaran dan titah baginda demikian itu, hancur luhur, remuk rendamlah hati Tuan Puteri kedua, lalu menangis menghempaskan dirinya serta pula dengan segala dayang-dayang dan inang pengasuh, bagaikan bunyi orang beramuk didalam istana itu. Maka Tuan Puteri kedua pun lalu pengsan tiada sedarkan dirinya lalu, disirami oleh dayang-dayang sekalian dengan air mawar. Telah Tuan Puteri sedar daripada pengsannya itu, maka ia pun bertitah menyuruh berbuat kenduri akan baginda itu. Demikianlah perkabungan Tuan Puteri keduanya.

Shahdan maka tersebutlah perkataan Si Luncai. Telah tujuh hari tujuh malam ia didalam gua itu, dengan beberapa sengsaranya hendak mencari jalan keluar, dengan takdir Allah ta`ala, diikutnya juga pada jalan yang bercahayanya terang itu. Maka dapatlah selamat sempurnanya.

Hatta, pada keesokan harinya Si Luncai pun pura-pura berjalan kebalai penghadapan baginda. Telah dilihat oleh menteri, huluibalang dan orang besar-besar sekalian akan Si Luncai, masing-masing memberi hormat dan memimpin tangannya, dibawa naik keatas balai, didudukan dikerusi kerajaan baginda dan sekalian wazir, orang besar-besar pun duduklah dibawah mengadapnya.

Maka perdana menteri pun berserulah dengan nyaring suara, katanya ayuhai sekalian encik-encik dan taun-tuan, besar kecil, tua muda, laki-laki perempuan, hina mulia, ya`ni seisi negeri ini. Bahawa sekarang dengan titah Yang DiPertuan yang telah berangkat kenegeri akhirat itu, pada masa ini encik Luncai dengan anakanda baginda Tuan Puteri Lela Kendi itu.

Demi didengar oleh yang oleh yang hadir itu, maka terlalulah ta`jub mereka itu masing-masing, tetapi berdiam diri sahajalah, tiada berkata-kata. Maka Si Luncai bedebah itu pun berbuat pura-pura terkejut seraya mengucap, Astaghfiru`llah, apa sebabnya dato berkata demikian? Hamba taj` rela sekali-kali, kerana hamba tiada besarkan kebesaran dunia ini lagi, oleh hamba telah menjadi orang negeri akhirat sana .

Maka kata Perdana Menteri. Hamba tiada berani melalui titah baginda itu. Telah itu Si Luncai pun diamlah. Maka sabda Perdana Menteri, sekarang juga hendak beta kahwinkan raja dengan Tuan Puteri itu. Maka kadi pun tampillah menikahkan Si Luncai dengan Tuan Puteri Lela Kendi itu, tiada bekerja, hanya mengambil selamat sahaja.

Hatta, setelah sampai waktunya, maka Si Luncai pun masuklah keperaduan dengan Tuan Puteri. Maka Tuan Puteri Lela Kendi pun menangis oleh terlalu meluat ia melihat rupa Si Luncai itu. Beberapa pun dipujuk oleh inang pengasuhnya tiada ia mahu beradu oleh terkenangkan ayahandanya itu. Maka hari pun hampirlah dinihari. Si Luncai pun terlelaplah lalu tidur.

Maka fikir hati Tuan Puteri, sebab Si Luncai bedebah celaka ini, maka aku bercerai dengan bapaku. Jika begitu, baiklah aku bunuh akan dia. Maka Tuan Puteri mengambil sebilah keris ayahnya lalu menikam kerongkong Si Luncai. Maka ia pun mengeruhlah lalu mati. Maka Tuan Puteri pun larilah keluar mendapatkan bondanya berkabarkan hal ehwal itu. Maka Tuan Puteri Bongsu pun sangatlah ketakutan serta memanggil Perdana Menteri. Ia pun masuk kedalam istana. Sabdanya, apakah sebabnya tuan hamba bunuh akan suami tuan hamba ini?

Maka titah Tuan Puteri Lela Kendi, bahawasanya dari sebab Si Luncai celaka itulah beta bercerai dengan paduka ayahanda beta, entahkan ayahanda itu dibunuhnya, dikatakan pergi kenegeri akhirat. Yang beta sekali-kali tiada percaya akan kata Si Luncai itu. Jika sekiranya ia hidup lagi, tentulah mamak pun dibunuhnya juga, jangan syak lagi.

Setelah Perdana Menteri dan Permaisuri mendengarkan sabda anakanda itu terlalu sebal dan sesal keduanya akan segala perkara yang telah lalu itu, semuanya sudah terkena tipu oleh si Luncai. Masing-masing pun menangislah terkenangkan baginda, kerana kebodohan ia sekalian menurutkan kata Si Luncai bedebah itu. Maka mayat Si Luncai pun disuruh tanamkan dengan sepertinya.

Maka bermesyuaratlah sekalian menurutkan sekalian orang besar-besar menabalkan Tuan Puteri Lela Kendi ganti ayahandanya memerintahkan negeri, dipandu oleh memakanda Perdana Menteri menjalankan hukuman seperti istiadat yang dijalankan oleh ayahanda baginda dahulu dengan adilnya. Maka tersangatlah sukacita Tuan Puteri Bongsu oleh puterinya menjadi maharani itu. Maka keduanya pun berbuat amal ibadat akan Allah ta`ala pada setiap waktu serta tiadalah mahu keduanya bersuami lagi. Demikianlah diceritakan oleh orang yang empunya cerita ini.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-4-2006 01:47 PM | Show all posts

Sang Kancil Dengan Buaya

Pada zaman dahulu Sang Kancil adalah merupakan binatang yang paling cerdik di dalam hutan. Banyak binatang-binatang di dalam hutan datang kepadanya untuk meminta pertolongan apabila mereka menghadapi masalah. Walaupun ia menjadi tempat tumpuan binatang- binatang di dalam hutan, tetapi ia tidak menunjukkan sikap yang sombong malah sedia membantu pada bila-bila masa saja.

Suatu hari Sang Kancil berjalan-jalan di dalam hutan untuk mencari makanan. Oleh kerana makanan di sekitar kawasan kediaman telah berkurangan Sang Kancil bercadang untuk mencari di luar kawasan kediamannya. Cuaca pada hari tersebut sangat panas, menyebabkan Sang Kancil berasa dahaga kerana terlalu lama berjalan, lalu ia berusaha mencari sungai yang berdekatan. Setelah meredah hutan akhirnya kancil berjumpa dengan sebatang sungai yang sangat jernih airnya. Tanpa membuang masa Sang Kancil terus minum dengan sepuas-puasnya. Kedinginan air sungai tersebut telah menghilangkan rasa dahaga Sang Kancil.

Kancil terus berjalan-jalan menyusuri tebing sungai, apabila terasa penat ia berehat sebentar di bawah pohon beringin yang sangat rendang di sekitar kawasan tersebut. Kancil berkata didalam hatinya "Aku mesti bersabar jika ingin mendapat makanan yang lazat-lazat". Setelah kepenatannya hilang, Sang Kancil menyusuri tebing sungai tersebut sambil memakan dedaun kegemarannya yang terdapat disekitarnya. Apabila tiba di satu kawasan yang agak lapang, Sang Kancil terpandang kebun buah-buahan yang sedang masak ranum di seberang sungai."Alangkah enaknya jika aku dapat menyeberangi sungai ini dan dapat menikmati buah-buahan tersebut" fikir Sang Kancil.

Sang Kancil terus berfikir mencari akal bagaimana untuk menyeberangi sungai yang sangat dalam lagi deras arusnya. Tiba-tiba Sang Kacil terpandang Sang Buaya yang sedang asyik berjemur di tebing sungai. Sudah menjadi kebiasaan buaya apabila hari panas ia suka berjemur untuk mendapat cahaya matahari.Tanpa berlengah-lengah lagi kancil terus menghampiri buaya yang sedang berjemur lalu berkata " Hai sabahatku Sang Buaya, apa khabar kamu pada hari ini?" buaya yang sedang asyik menikmati cahaya matahari terus membuka mata dan didapati sang kancil yang menegurnya tadi "Khabar baik sahabatku Sang Kancil" sambung buaya lagi "Apakah yang menyebabkan kamu datang ke mari?" jawab Sang Kancil "Aku membawa khabar gembira untuk kamu" mendengar kata-kata Sang Kacil, Sang Buaya tidak sabar lagi ingin mendengar khabar yang dibawa oleh Sang Kancil lalu berkata "Ceritakan kepada ku apakah yang engkau hendak sampaikan".

Kancil berkata "Aku diperintahkan oleh Raja Sulaiman supaya menghitung jumlah buaya yang terdapat di dalam sungai ini kerana Raja Sulaiman ingin memberi hadiah kepada kamu semua". Mendengar saja nama Raja Sulaiman sudah menggerunkan semua binatang kerana Nabi Sulaiman telah diberi kebesaran oleh Allah untuk memerintah semua makhluk di muka bumi ini. "Baiklah, kamu tunggu di sini, aku akan turun kedasar sungai untuk memanggil semua kawan aku" kata Sang Buaya. Sementara itu Sang Kancil sudah berangan-angan untuk menikmati buah-buahan. Tidak lama kemudian semua buaya yang berada di dasar sungai berkumpul di tebing sungai. Sang Kancil berkata "Hai buaya sekelian, aku telah diperintahkan oleh Nabi Saulaiman supaya menghitung jumlah kamu semua kerana Nabi Sulaiman akan memberi hadiah yang istimewa pada hari ini". Kata kancil lagi "Beraturlah kamu merentasi sungai bermula daripada tebing sebelah sini sehingga ke tebing sebelah sana".

Oleh kerana perintah tersebut adalah datangnya daripada Nabi Sulaiman semua buaya segera beratur tanpa membantah. Kata Buaya tadi "Sekarang hitunglah, kami sudah bersedia" Sang Kancil mengambil sepotong kayu yang berada di situ lalu melompat ke atas buaya yang pertama di tepi sungai dan ia mula menghitung dengan menyebut "Satu dua tiga lekuk, jantan betina aku ketuk" sambil mengetuk kepala buaya begitulah sehingga kancil berjaya menyeberangi sungai. Apabila sampai ditebing sana kancil terus melompat ke atas tebing sungai sambil bersorak kegembiraan dan berkata" Hai buaya-buaya sekalian, tahukah kamu bahawa aku telah menipu kamu semua dan tidak ada hadiah yang akan diberikan oleh Nabi Sulaiman".

Mendengar kata-kata Sang Kancil semua buaya berasa marah dan malu kerana mereka telah di tipu oleh kancil. Mereka bersumpah dan tidak akan melepaskan Sang Kancil apabila bertemu pada masa akan datang. Dendam buaya tersebut terus membara sehingga hari ini. Sementara itu Sang Kancil terus melompat kegembiraan dan terus meniggalkan buaya-buaya tersebut dan terus menghilangkan diri di dalam kebun buah-buahan untuk menikmati buah-buahan yang sedang masak ranum itu.

Sekian
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-4-2006 04:10 PM | Show all posts

Raja Sulaiman dengan Sang Kancil

Maka tesebutlah pada zaman pemerintahan Raja Sulaiman terdapatlah dua beradik yang yatim piatu. Rumah mereka terletak berhampiran dengan dapur seorang haji bakhil. Haji bakhil ini adalah seorang yang amat kaya tetapi mempunyai perangai yang sangat kedekut. Malah setiap hari kerja haji bakhil ini adalah berangan-angan tentang cara untuk menambahkan harta kekayaannya.

Satu pekara yang amat merungsingkan haji bakhil ini, selain daripada cara menambah kekayaannya adalah tubuhnya yang sangat kurus. Setiap hari tukang masaknya akan memasak pelbagai lauk-pauk yang amat sedap tetapi sebanyak mana pun haji bakhil ini makan, badannya tetap kurus. Adalah pada suatu hari haji bakhil ini termenung ditepi tingkap rumahnya maka dilihat olehnya jirannya yang yatim piatu itu bermain-main dihalaman rumah mereka. Maka dilihatnya badan anak yatim itu sihat-sihat belaka, maka haji bakhil pun merasa cemburu. Maka sedang dia berfikir-fikir itu dilihatnya tingkap rumah jirannya terletak berhampiran dengan dapurnya, maka datanglah satu buah fikiran kepadanya tentang cara untuk menambah hartanya itu.

Haji bakhil terus terburu-buru pergi mengadu kepada Raja Sulaiman bahawa jirannya itu mengambil bau makanannya sehingga mereka gemuk. Oleh itu haji bakhil menuntut agar Raja Sulaiman memerintahkan anak yatim itu supaya membayar seribu keping wang emas sebagai bayaran bau masakan yang disediakan oleh tukang masaknya selama ini.

Apabila Raja Sulaiman mendengar tuntutan haji bakhil ini, maka dia pun tunduk berfikir sejenak. Setelah lama berfikir, Raja Sulaiman pun menoleh kekanannya melihat menteri-menterinya maka segala menteri-menteri Raja Sulaiman segera menundukkan kepala masing-masing kerana mereka tidak dapat memberikan penyelesaian tentang masalah itu. Apabila Raja Sulaiman menoleh kepada menteri-menterinya yang duduk disebelah kiri, perkara yang sama turut berlaku. Maka Raja Sulaiman berasa sungguh dukacita. Sekonyon-konyonnya teringatlah Raja Sulaiman kepada Sang Kancil yang duduk di dalam hutan, maka segeralah Raja Sulaiman mengerahkan pesuruhnya menjemput Sang Kancil datang keistana.

Apabila Sang Kancil sampai keistana, maka segeralah Raja Sulaiman mengajak Sang Kancil duduk disebelahnya. Haji bakhil kemudian membentangkan tuntutannya semula. Apabila mendengar tuntutan tersebut, Sang Kancil pun tertawa terbahak-bahak dan terus berkata memang patut budak yatim tersebut membayar harga bau masakan haji bakhil itu. Maka terdiamlah seluruh istana Raja Sulaiman mendengar keputusan Sang Kancil itu. Ada dikalangan pembesar istana melelehkan air mata mengenangkan nasib akan-anak yatim itu. Haji bakhil itu pula merasa sungguh girang lalu dia melompat menari-nari keseronokan sementara anak yatim dua beradik itu menangis berpelukan kerana mengenangkan nasib mereka itu. Berkatalah salah seorang daripada mereka bahawa mereka tidak mempunyai wang emas untuk membayar haji bakhil, malah untuk makan pun mereka tidak mempunyai yang yang mencukupi.

Haji bakhil segera mengusulkan bahawa anak-anak yatim itu dijualkan sahaja sebagai tebusan harga bau makanan itu. Sang Kancil tertawa mendengarkan perkataan haji bakhil yang tidak sabar-sabar itu. Dia berkata kepada Raja Sulaiman bahawa sekiranya Raja Sulaiman meminjamkan wang emas seribu keping, pastilah anak-anak yatim itu dapat membayar harga makanan tersebut. Maka Raja Sulaiman pun segera menyuruh pembantunya membawa wang emas sebanyak seribu keping lalu diberikan kepada anak yatim tersebut. Sang Kancil pun menyuruh tabir dipasang dan diletakkannya haji bakhil disebelah tabir sementara kedua beradik iu duduk disebelah lain tabir. Setelah itu Sang Kancil menyuruh anak-anak yatim itu membilang wang-wang emas tersebut dengan cara menjatuhkan wang emas tersebut kedalam dulang besi yang disediakan. Setiap kali wang emas itu jatuh, haji bakhil akan segera membilang dengan kuat wang yang akan diterimanya.

Setelah habis membilang wang emas tersebut, anak-anak yatim tersebut meletakkan kembali wang-wang emas tersebut kedalam uncang lalu hendak diserahkan kepada haji bakhil, tetapi segera dihalang oleh Sang Kancil. "Segera pulangkan wang emas yang engkau pinjam itu kepada Raja Sulaiman" katanya. Semua orang merasa hairan termasuk haji bakhil yang merayu-rayu agar dia segera dibayar wang emasnya itu. Sang Kancil pun tertawa sambil berkata "Oleh kerana anak-anak yatim tersebut hanya mengambil bau masakan, maka haji bakhil telahpun mendapat bayaran dengan mendengar dan membilang bunyi wang emas dikira. Ini disebabkan anak-anak yatim tersebut tidak menyentuh langsung masakan haji bakhil itu."

Raja Sulaiman merasa sungguh berpuas hati dengan keputusan Sang Kancil lalu dia menyerahkan wang emas tersebut kepada anak yatim sebagai hadiah kepada mereka. Haji bakhil pulanglah dengan rasa penuh hampa dan malu kerana tidak mendapat apa-apa. Maka semakin terkenallah Sang Kancil sebagai hakim di rimba.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 21-4-2006 04:19 PM | Show all posts

Lagenda Mahsuri

Lagenda Mahsuri dikatakan berasaskan kejadian yang benar-benar berlaku dan ia sering dipentaskan dalam teater bangsawan. Kejadian ini dikatakan berlaku semasa pemerintahan Sultan Ahmat Tajuddin Almukarram Shah di Kedah. Pada ketika itu Datuk Seri Kemajaya bertanggung jawab memerintah pulau Langkawi sebagai wakil sultan. Terdapat beberapa versi Lagenda Mahsuri yang diceritakan dan menurut versi Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Lagenda Mahsuri  adalah seperti berikut :-

Pada suatu hari ketika wakil sultan Kedah, Datuk Seri Kemajaya sedang berbincang mengenai hal ehwal pengurusan pulau Langkawi dibalai penghadapan. Diantara mereka yang hadir termasuklah Mahsuri anak kepada Datur Amar yang berada di balai adat bersama-sama gadis istana yang lain. Pada masa yang sama, tiga orang perwira yang baru kembali daripada pertempuran dengan pasukan Portugis di selat Melaka masuk mengadap.

Ketiga-tiga mereka adalah Kelana, Deramang anak kepada Datuk Kemajaya, and Lela. Ketiga-tiga mereka terpikat dengan keayuan wajah Mahsuri dan berusaha untuk memikat Mahsuri dengan menceritakan kejayaan yang dicapai oleh mereka, disamping menunjukkan harta rampasan yang di dapati mereka dalam pertempuran tersebut. Tidak seorangpun di antara mereka pernah melihat Mahsuri sebelum ini.

Datuk Seri Kemajaya berasa berbesar hati dengan kejayaan mereka dan memandangkan telah banyak khidmat mereka pada masa lalu menawarkan isteri kepada mereka agar mereka dapat berumahtangga. Kesemua mereka bertiga menolak dengan menyatakan mereka belum bersedia untuk mendirikan rumahtangga disebabkan mereka bertiga telah jatuh hati dengan Mahsuri.

Pada satu hari ketika Mahsuri berada di serambai sambil menyayi lagu bunga tanjung, Deramang kemudian Kelana, dan diikuti Lela yang lalu dibawah serambai cuba menarik perhatian Mahsuri. Deramang kemudiannya mengambil peluang untuk mengadu domba antara Kelana dengan Lela sehingga kedua sahabat karib itu berkelahi. Deramang kemudiannya berlalu apabila menyedari kedatangan Datuk Aman. Datuk Aman mendamaikan kedua sahabat yang sedang bergaduh dan mendapati bahawa punca pergaduhan antara mereka adalah untuk memenangi hati Mahsuri.

Datuk Aman kemudian menyuruh Mahsuri memilih siapa yang dia minati antara Kelana dengan Lela. Mahsuri yang menghormati mereka berdua menyatakan dia akan menjatuhkan bunga daripada serambai dan sesiapa yang mendapat bunga tersebut akan mendapat hatinya. Mahsuri kemudiannya menjatuhkan bunga kepada Kelana yang berjaya menyambut bunga tersebut. Datuk Aman berjanji akan memilih hari yang sesuai untuk perkhawinan antara Mahsuri dengan Kelana. Kelana dan Lela kemudiannya berbaik kembali.

Selepas perkahwinan antara Kelana dan Mahsuri, Datuk Seri Kemajaya menerima perintah sultan Kedan untuk membawa angkatan tentera untuk melawan pasukan Siam yang telah menyerang Kedah dan membebaskan kota yang telah ditawan musuh. Isteri Datuk Seri Kemajaya, Mahsura, memujuk Datuk Seri Kemajaya agar memilih anaknya Deramang sebagai penggantinya ketika pemergiannya. Lela bertanggung jawab untuk mempertahankan kawasan pantai sementara Kelana pula mengiring Datuk Seri Kemajaya dengan pasukannya kemedan perjuangan. Kelana dan Mahsuri terpaksa berpisah walaupun baru berkahwin. Kelana meminta Lela, yang menganggap Mahsuri seperti kakak, agar menjaga Mahsuri.

Sebaik sahaja Datuk Seri Kemajaya dan Kelana meninggalkan pulau, Deramang, cuba sedaya upaya untuk memikat Mahsuri tetapi gagal. Oleh kerana itu, Deramang mengambil keputusan untuk memerangkap Mahsuri dengan Lela.

Deramang kemudiannya menyuruh Lela pergi kepantai dengan menyatakan terdapat kekecohan di situ. Kemudiannya, Deramang memberitahu Mahsuri bahawa suaminya telah kembali dan sekarang berada di pantai tempat Lela berada. Ketika Lela dan Mahsuri berada di tepi pantai, Deramang kemudiannya telah membawa orang kampung untuk menangkap Mahsuri dengan Lela dan mereka berdua dituduh berzina.

Memandangkan Deramang memegang tampuk pemerintahan ketika ketiadaan Datuk Seri Kemajaya, penghulu dan kaum bangsawan tidak berani membantah atau menghalang Deramang walaupun mereka tahu Mahsuri dan Lela tidak bersalah. Deramang menjatuhkan hukuman bunuh kepada Mahsuri dan Lela. Mahsuri dihukum bunuh secara salang, ditikam dengan keris dikedua belah pangkal leher. Hukuman itu akan dilaksanakan di Padang Mat Sirat.

Pada masa Mahsuri akan dibunuh, ribut dan kilat sambung-menyambung dilangit. Mahsuri kemudiannya menyumpah penduduk Mahsuri bahawa mereka tidak akan aman dan pulau Langkawi akan jadi padang jarak padang terkukur selama tujuh generasi kerana membenarkan ketidakadilan ini berlaku. Apabila Mahsuri ditikam dengan keris oleh Deramang, darah putih memancut keluar sebagai tanda kesucian Mahsuri.

Ketika Deramang hendak menikam Lela, pasukan perwira yang diketuai oleh Datuk Seri Kemajaya sampai menyebabkan Deramang melarikan diri. Apabila sampai ketempat hukuman dilaksanakan, Datuk Seri Kemajaya, Kelana dan mereka yang lain  terkejut apabila melihat mayat Mahsuri terkapar disitu. Suasana gembira diatas kejayaan mereka mengalahkan musuh yang menyelubungi rombongan itu kini bertukar menjadi pilu.

Lela kemudiannya menceritakan apa yang telah berlaku sehingga menyebabkan kepada kematian Mahsuri. Kelana kemudiannya terus memburu Deramang untuk membalas dendam. Selepas pergaduhan sengit Kelana berjaya membunuh Deramang dan dengan itu membalas dendam keatas kematian isterinya.

Datuk Seri Kemajaya kesal diatas kematian Mahsuri, dan kerana melantik Deramang sebagai pengganti semasa ketiadaannya di Langkawi menawarkan kepada Kelana gadis lain sebagai pengganti. Kelana menolak tawaran tersebut dan sebaliknya pergi meninggalkan Pulau Langkawi setelah bersumpah tidak akan menjejakkan kakinya lagi kembali.

Selepas kematian Mahsuri, Mahsuri dianggap sebagai keramat dan tidak lama angkatan tentera Siam menyerang menyebabkan pulau Langkawi terbiar, dipercayai akibat sumpahan Mahsuri.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-4-2006 04:46 PM | Show all posts

Si Jalak dan Permatu Zamrud

PADA suatu masa dahulu ada sekumpulan ayam yang tinggal di dalam sebuah reban. Di dalam reban ini ada lima ekor ayam betina dan seekor ayam jantan. Ayam jantan ini diberi nama Si Jalak.

Si Jalak ialah seekor ayam jantan yang segak. Bulunya berwarna coklat serta berjalur hitam dan bertompok-tompok putih. Ekornya hitam berkilat. Balungnya merah menyala.

Si Jalak mempunyai ramai kawan. Selain dari ibu-ibu ayam yang tinggal sereban dengannya, dia juga berkawan dengan kambing, lembu, angsa dan itik. Jika dia berjumpa dengan mereka, ada sahaja yang hendak dibualkannya.

Si Jalak juga menjadi kesayangan tuannya. Setiap subuh, Si Jalak akan mengokok dengan suara yang nyaring dan merdu. Apabila Si Jalak mengokok di waktu subuh, "Uk... uk... uk... uuuuuk....," tuannya akan terjaga. Tuannya pula akan membangunkan seluruh keluarganya untuk menunaikan fardhu subuh.

Pada suatu hari, Si Jalak sedang memakan dedak yang ditabur oleh isteri tuannya di belakang rumah. Anak tuannya yang baru belajar berjalan sedang bermain di halaman. Budak itu berlari mengejar rama-rama yang terbang dekat serumpun pokok bunga mawar.
Si Jalak hanya memerhatikan sahaja budak itu.

Tiba-tiba Si Jalak ternampak seekor ular kapak sedang melingkar di ranting pokok bunga mawar itu. Si Jalak meluru ke arah pokok bunga mawar dan mematuk ular tersebut. Ular itu jatuh ke tanah. Si Jalak terus mematuknya hingga mati. Budak kecil itu terkejut dan terjatuh lalu menangis.

Ibu budak itu turun dari rumah dan berlari mendapatkan anaknya. Didukung anaknya dan dipeluknya. Apabila dia ternampak ular itu, dia terus berlari naik ke rumah dan memberitahu suaminya.

Suaminya turun membawa sebatang buluh. Dia menuju ke arah pokok bunga mawar, tetapi apabila dikuis ular itu, didapatinya ular itu telah mati. Seluruh tubuh ular itu terdapat kesan dipatuk. Dia ternampak Si Jalak berada berhampiran. Tahulah dia bahawa Si Jalak telah menyelamatkan anaknya.

Dia naik semula dan memberitahu isterinya supaya berhati-hati apabila anak mereka bermain di halaman. Katanya, "Mujur juga ada Si Jalak di situ. Si Jalaklah yang membunuh ular itu. Jika tidak, tentulah anak kita dipatuk oleh ular kapak itu."

Pada petang itu, Si Jalak pun pergilah mencari kambing. Kambing sedang meragut rumput di tepi batas. Si Jalak menegur kambing, "Hai kambing. Pagi tadi aku telah membunuh seekor ular kapak di celah pokok bunga mawar. Mujur juga aku nampak, jika tidak sudah tentu dipatuknya anak tuan kita."

"Baguslah begitu Jalak. Tentu tuan kita sayangkan kau. Jika tuan kita sayangkan kita, hidup kita pun senang," jawab kambing. Mereka terus berbual-bual hingga hari senja. Si Jalak dan kambing pun berjalan pulang. Di pertengahan jalan, mereka berjumpa lembu
yang baru pulang dari bekerja menarik kereta lembu.

Si Jalak melompat naik ke atas belakang lembu. Mereka bertiga terus berjalan pulang. Sampai sahaja mereka ke rumah tuan mereka, Si Jalak pun terus masuk ke rebannya. Kambing dan lembu pula masuk ke kandang masing-masing.

Subuh esoknya, Si Jalak bangun dan berkokok, "Uk.... uk.... uk.... uuuk." Ibu-ibu ayam pun bangun. Mereka turun dari reban bersama anak-anak mereka untuk mencari makan. Si Jalak juga keluar. Kali ini Jalak ingin mencari makan di tempat orang menumbuk padi untuk dibuat beras. Selalunya ada beras yang tumpah dari lesung.

Oleh kerana hari masih awal, belum ada orang di tempat menumbuk padi itu. Si Jalak pun makanlah sekenyang-kenyangnya. Tiba-tiba di terlihat kerlipan hijau dari celah semak. Dia pergi menghampiri cahaya hijau tadi.

Di celah semak itu di lihatnya sebutir batu hijau yang sungguh cantik. Walau pun batu itu kecil sahaja, namun kerlipannya amat menawan hati. Si Jalak menghampiri batu itu dan membeleknya dengan paruhnya. Nampaknya batu ini bukan sebarang batu. Ini mesti batu permata, fikir Si Jalak.

Si Jalak terus mematuk batu itu dan disimpannya di dalam mulutnya. Dia terus pulang. Di pertengahan jalan, Si Jalak bertembung dengan angsa. Angsa menegurnya, "Hai Jalak. Semasa aku berjalan di bawah rumah tuan kita tadi, aku dengar tuan memuji-muji keberanian kau membunuh ular kapak yang bisa kelmarin."

Si Jalak hanya menganggukkan kepalanya. Dia tidak mahu membuka mulutnya kerana takut batu permata tadi jatuh ke tanah. Angsa menjadi hairan kerana Si Jalak langsung tidak menegurnya. Amboi, baru dipuji sedikit, sudah mula sombong, fikir angsa. Angsa berasa kecil hati atas perbuatan Si Jalak itu.

Apabila sampai di reban, Si Jalak melihat ibu-ibu ayam dan anak-anak mereka sedang berlegar di keliling reban. Si Jalak terus masuk ke dalam reban. Ada beberapa anak ayam cuba mengikutnya masuk ke reban, dikuisnya mereka dengan kakinya. Lari bertempiaranlah anak-anak ayam itu.

"Klak. Klak. Mengapa pula Si Jalak memarahi anak-anak kita ni? Bukannya mereka mengacaunya. Tetapi mengapa pula tidak dibenarkan mereka masuk ke reban?" rungut seekor ibu ayam.

Si Jalak masuk ke reban dan cuba mencari tempat untuk menyembunyikan batu permata itu. Mula-mula diselitkannya di celah dinding buluh reban itu. Kemudian diubahkannya ke bawah sekeping lantai yang longgar. Si Jalak terus duduk di atas kepingan lantai itu. Dia tidak keluar dari reban itu sepanjang hari.

Apabila hari sudah senja, ibu-ibu ayam pun membawa anak-anak mereka masuk ke dalam reban. Mereka hairan melihat Si Jalak duduk di atas lantai reban itu seolah-olah sedang mengeramkan telur. Ibu-ibu ayam tidak berkata apa-apa. Mereka hanya memerhatikan telatah Si Jalak.

Pada malam itu, Si Jalak tidak dapat lena. Dia takut batu permatanya dicuri. Jadi berjagalah dia sepanjang malam. Apabila sudah subuh, Si Jalak pun berkokok, "Uk... uk..." Si Jalak terlalu mengantuk hinggakan suaranya pun tidak keluar untuk berkokok.

Oleh kerana suaranya terlalu perlahan, tuannya tidak terjaga awal. Apabila tuannya terjaga, dilihatnya matahari sudah tinggi. Bergegaslah tuannya membangunkan keluarganya untuk bersembahyang subuh. Pagi itu mereka bersembahyang subuh gajah. Tuannya merungut kerana Si Jalak tidak berkokok dengan kuat seperti biasa.

Ibu-ibu ayam dan anak-anak mereka pun keluar reban. Setelah mereka keluar barulah Si Jalak melelapkan matanya. Dia tidak keluar dari rebannya untuk mencari makan. Dia hanya tidur di dalam rebannya sehari suntuk. Apabila sudah petang, perutnya berasa lapar, tetapi dia tidak mahu keluar kerana takut meninggalkan batu permatanya.

Pada subuh esoknya, Si Jalak terjaga apabila hari sudah siang. Rebannya pun telah kosong kerana semua ibu dan anak ayam sudah lama keluar untuk mencari makan. Si Jalak terdengar tuannya marah-marah kerana Si Jalak tidak berkokok subuh itu.

Si Jalak berasa sangat lapar kerana sudah dua hari tidak makan. Oleh kerana terlalu lapar dan haus, Si Jalak terpaksa keluar. Sebelum dia keluar, dia telah mengubah tempat persembunyian batu permatanya. Kali ini dimasukkannya batu permata itu ke dalam sebuah lubang kecil di tepi dinding.

Si Jalak pun keluar reban. Dia berlari ke belakang rumah tuannya dengan harapan ada makanan. Rupanya semua makanan yang disediakan oleh isteri tuannya telah dimakan oleh ibu-ibu ayam, anak-anak ayam, itik dan angsa.

Si Jalak menjadi marah kerana sudah tiada apa yang ada untuk dimakan. Dia tidak pergi ke tempat orang menumbuk padi kerana tidak mahu berjauhan dari batu permatanya.

Itik datang menghampirinya lalu berkata, "Hai Jalak. Sudah dua hari kamu tidak keluar reban. Adakah kamu sakit?"

"Kalau aku sakit pun, bukan menyusahkan kamu!" jawab Si Jalak dengan sombong. Itik sungguh terkejut mendengar jawapan Si Jalak hinggakan tidak dapat berkata apa-apa. Itik terus berundur dari situ dan pergi mendapatkan angsa.

"Betul juga kata kamu, angsa. Si Jalak sudah menjadi bongkak," lalu itik menceritakan apa yang berlaku sebentar tadi. Angsa hanya menggeleng-gelengkan kepala seolah-olah tidak percaya apa yang terjadi. Ini adalah kerana mereka berkawan rapat dengan Si Jalak sejak kecil lagi.

Si Jalak pula pergilah ke kawasan limbah di belakang dapur untuk mencari makanan. Dia tahu bahawa makanan di situ tidak bersih, tetapi kerana terlalu lapar, dimakannya juga apa yang ada di limbah itu. Biarlah tak kenyang, tetapi aku sekarang ada batu permata, fikir Si Jalak.

Lepas makan, Si Jalak terus masuk ke rebannya. Dia terus memeriksa lubang tempat dia menyembunyikan batu permata itu. Dilihatnya batu permata itu masih ada di dalam lubang. Dia kemudian menyumbatkan jerami padi ke dalam lubang supaya batu permata itu tidak dapat di lihat langsung.

Beberapa hari berlalu. Perangai Si Jalak berubah terlalu mendadak. Ibu-ibu ayam berbincang sesama sendiri. Itik dan angsa pula pergi berjumpa kambing dan lembu menceritakan telatah Si Jalak.

Lembu kemudiannya menceritakan perbualan tuan mereka dengan seorang petani ketika dia menarik kereta lembu pagi. Tuannya berhajat hendak membela ayam jantan yang lain kerana Si Jalak sudah tidak boleh berkokok pada waktu subuh lagi.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 21-4-2006 04:47 PM | Show all posts
Itik dan angsa pulang dan berjumpa ibu-ibu ayam. Mereka menceritakan apa yang mereka dengar dari lembu. Ibu-ibu ayam menjadi susah hati kerana mereka telah mengenali Si Jalak dari mereka kecil lagi. Kalau ayam jantan lain datang, mereka tentu terpaksa menyesuaikan diri dengan ayam jantan yang baru pula.

Ibu-ibu ayam bermesyuarat mengenai pengembangan terbaru ini. Mereka bersetuju untuk berhadapan dengan Si Jalak untuk mencari penyelesaian masalahnya. Kelima ibu ayam itu pun masuk ke reban.

Di dalam reban itu mereka jumpa Si Jalak yang sedang duduk bersandar ke dinding. Ibu ayam yang tertua berkata, "Hai Jalak. Kami ingin bertanyakan sesuatu dari kamu. Kami harap kamu bersedia menyatakan masalah kamu."

"Yang kamu semua sibuk ni, mengapa?" kata Si Jalak dengan angkuh.

"Kami sibuk kerana kami dapat tahu bahawa tuan kita hendak menggantikan kamu dengan ayam jantan yang lain. Jika itu betul, kami rasa kamu akan disembelih untuk dibuat lauk kerana sekarang ini kamu tidak berguna lagi," kata ibu ayam.

Rasa nak pitam Si Jalak mendengar kata-kata ibu ayam itu. Memang benar sudah hampir seminggu dia tidak berkokok kerana badannya lemah dan selalu tak cukup tidur. Kata ibu ayam lagi, "Sekarang ini kawan-kawan baik kamu semuanya mengatakan bahawa kamu ini sombong. Tetapi mereka semua masih sayangkan kamu. Itulah mereka selalu bertanya khabar. Cuma kamu sahaja tidak menghargai persahabatan mereka."

Si Jalak berasa sangat sedih. Sejak dia berjumpa batu permata ini, hidupnya menjadi susah. Setiap hari dia tidak cukup makan. Kawan-kawannya pula terpaksa menjauhkan diri kerana dia tidak mempedulikan mereka. Tuannya yang dahulu menyayanginya, kini hendak menggantikan dia dengan ayam jantan yang lain. Ibu-ibu dan anak-anak ayam juga sering berkecil hati kerana dia selalu memarahi mereka jika mereka menghampiri tempat dia menyembunyikan batu permatanya.

Setelah berfikir dengan mendalam mengenai masalahnya, Si Jalak pun berterus terang dengan ibu-ibu ayam. Mereka pun meminta ditunjukkan batu permata itu. "Klak. Klak. Klak. Cantiknya batu permata hijau ini. Patutlah kamu amat menyayanginya," kata mereka. Tetapi Si Jalak telah pun membuat keputusan dia tidak mahukan batu permata ini lagi, walau bagaimana cantik pun.

Si Jalak mengutip batu permata itu dengan paruhnya dan dibawanya keluar dari reban. Dia berjalan ke arah rumah tuannya. Dilihatnya isteri dan anak tuannya sedang duduk dibawah pokok jambu air di tepi rumah. Dia pergi kepada isteri tuannya dan diluahkannya batu permata hijau itu. Batu permata itu pun jatuh ke tanah di tepi kaki isteri tuannya itu.

Melihatkan batu berwarna hijau diluahkan oleh Si Jalak, isteri tuannya itu pun tunduk dan mengambil batu itu. "Aduh. Bertuah betul kamu ini Jalak! Batu zamrud yang terjatuh dari cincin perkahwinanku dulu telah dijumpai. Sudah hampir seminggu aku mencarinya, baru sekarang berjumpa," kata isteri tuannya sambil memanggil suaminya turun.

Suaminya pun turun dan ditunjukkan batu zamrud yang dijumpai oleh Si Jalak. Tuan Si Jalak sungguh gembira kerana sudah seminggu isterinya bersugul kerana kehilangan batu zamrud itu. Si Jalak berlalu dari situ dengan senang hati. Dia pergi mencari kawan-kawannya itik, angsa, kambing dan lembu untuk meminta maaf kepada mereka atas sikapnya akhir-akhir ini.

Sejak hari itu, Si Jalak berkokok setiap waktu subuh dengan suara yang lebih nyaring dan merdu. Tuannya juga tidak lagi bangun lewat dan sentiasa dapat mengerjakan sembahyang subuh tepat pada waktunya. Si Jalak terus disayangi oleh tuannya seisi keluarga. Kawan-kawan Si Jalak juga gembira kerana Si Jalak kembali menjadi riang dan peramah.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-4-2006 04:53 PM | Show all posts

Kisah Harimau dan Babi Hutan

Pada zaman dahulu, ada sebuah hutan yang didiami oleh pelbagai jenis binatang liar. Ada binatang yang tinggal di atas pokok, yang melata di tanah dan juga yang tinggal di dalam sungai dan tasik. Semua binatang-binatang ini hidup dengan aman makmur serta mendapat makanan secukupnya.

Hutan ini juga ditumbuhi oleh bermacam jenis pohon kayu dan tanaman lain. Seluruh hutan kelihatan hijau dengan bunga berwarna-warni menghiasi pokok-pokok. Sungguh cantik pemandangan di hutan ini.

Tidak berapa lama kemudian, datanglah musim kemarau. Pokok-pokok menjadi kering dan kekuningan. Burung-burung terbang meninggalkan hutan itu untuk mencari tempat lain yang ada makanan. Begitu juga dengan beberapa jenis binatang lain.

Di hutan itu juga tinggal seekor harimau. Oleh kerana banyak binatang telah meninggalkan hutan itu, harimau tidak dapat mencari makanan. Harimau berasa lapar kerana sudah dua hari tidak makan.

Harimau merayau-rayau dengan tujuan mencari makanan. Setelah berjalan jauh, harimau pun sampailah di pinggir hutan. Harimau terhidu bau seekor binatang lain. Dengan berhati-hati, harimau pun berjalan sambil terhendap-hendap ke arah bau itu.

Dari celah daun-daun, harimau ternampak seekor kerbau yang sedang meragut rumput kering. Terbeliak mata harimau melihat kerbau di hadapan matanya. Alangkah gembiranya harimau kerana telah bertemu dengan binatang yang boleh dimakan.

Harimau pun bersedia untuk menerkam kerbau. Mendengar bunyi di belakangnya, kerbau menoleh lalu ternampak harimau. Melihat muka harimau, dia tahu bahawa harimau sedang lapar dan hendak memakannya. Kerbau sedar bahawa dia tidak akan sempat lari kerana dia juga kelaparan dan tidak bertenaga.

Kerbau terus terduduk lalu merayu, "hai Sang Harimau, Raja segala binatang. Tidak layak seekor kerbau yang kurus kering seperti aku ini menjadi santapan Raja yang terbilang seperti tuanku. Cubalah tuanku tengok, kakiku hanya tulang dan badanku hanya kulit."

Mendengar kata-kata kerbau, harimau pun berfikir, ya juga kata Si Kerbau ini. Jika aku makannya sekarang,yang aku dapat makan hanya tulang dan kulit. Lagi pun seekor Raja Binatang seperti aku ini kenalah jaga mertabat dan makan yang elok-elok sahaja.

Lalu harimau pun berkata, "Apa cadangan engkau agar aku dapat makanan yang baik-baik".

Mendengar kata harimau itu, kerbau pun menjadi lega kerana ada harapan baginya untuk terus hidup.

Kerbau pun berkata, "Tidak lama lagi hujan akan turun dan kita akan dapat makanan yang banyak dan berkhasiat. Tuanku datanglah lapan bulan lagi. Pada masa itu tentu aku sudah menjadi gemuk dan sedap dimakan".

Mendengar kata-kata kerbau itu, harimau pun sungguh gembira sambil membayangkan jamuan kerbau gemuk lagi lazat. Harimau pun menyahut, "Baiklah. Cukup lapan bulan aku akan datang balik untuk memakan kau. Pastikan engkau berada di sini bila tiba masanya nanti".

Seperti kata kerbau, tidak lama selepas itu musim hujan pun tiba. Pokok-pokok dan rumput mengeluarkan pucuk baru dan menjadi hijau semula. Binatang-binatang mulai kembali ke hutan itu. Makanan juga banyak dan mencukupi untuk semua. Kerbau juga dapat makanan yang berkhasiat dan mula menjadi gemuk.

Apabila masa yang dijanjikan semakin hampir, kerbau mulah gelisah. Dia tahu harimau akan datang menagih janji yang dibuatnya. Kerbau tidak mahu menjadi makanan harimau. Kerbau mahu hidup sampai tua.

Sedang kerbau keluh-kesah, seekor burung pipit hinggap di atas seranting kayu lalu bertanya, "Hai Kerbau. Mengapa engkau termenung? Boleh aku tolong?"

Dengan perasaan sedih bercampur takut, kerbau pun menceritakan masalahnya kepada pipit.

Pipit kesihan melihat kerbau. Pipit pun mencadangkan kerbau pergi ke hutan bersebelahan untuk mendapat pertolongan Sang Kancil. Pipit juga pernah di tolong oleh Sang Kancil.

Kata pipit, "Sang Kancil ini cerdik dan suka menolong binatang dalam kesusahan".

Mendengar kata-kata pipit, kerbau pun pergilah mencari Sang Kancil.

Apabila berjumpa dengan kancil, kerbau pun berkata, "Wahai tuan, tolonglah aku. Dalam masa beberapa hari lagi harimau akan datang untuk menuntut janji aku kepadanya. Aku pernah berjanji kepada harimau untuk menjadi makanannya. Oh tuan, tolonglah aku ini. Aku mahu terus menikmati hidup di hutan yang cantik ini."

Kancil berfikir sejenak lalu berkata, "Aku ada satu cadangan. Engkau kena lakukan dengan baik supaya dapat meyakinkan harimau itu. Apabila harimau sudah hampir, akan tampar muka kau dengan kakiku ini. Engkau pula kena berpura-pura jatuh tersungkur seolah-olah tamparan aku itu sungguh kuat dan menyakitkan". Kerbau pun bersetuju.

Kancil meminta pertolongan burung pipit untuk memberitahunya apabila harimau tiba di pinggir hutan tempat kerbau tingggal. Kancil juga meminta kerbau meletakkan ranting-ranting kecil yang kering di lorong sempit yang dilalui oleh harimau dahulu.

Padi hari yang dijanjikan, awal pagi lagi burung pipit bertenggek di atas pohon pinang untuk menunggu kedatangan harimau. Sang Kancil dan kerbau bersiap menunggu kedatangan harimau. Kerbau merasa sangan gementar kerana takut helah mereka tidak berjaya.

Tidak lama kemudian terdengar pipit berbunyi, "Pit, pit,pit. Harimau lalu jalan sempit. Pit, pit, pit".

[ Last edited by  Syd at 21-4-2006 04:54 PM ]
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-4-2006 04:54 PM | Show all posts
Kancil dan kerbau segera bersedia untuk melakonkan adegan yang dirancang. Apabila mereka terdengar bunyi ranting kering dipijak, kancil pun berdiri di hadapan kerbau sambil menampar muka kerbau dengan kaki depannya. Kerbau pun dengan tempikan yang kuat terus tersungkur ke tanah.

Harimau yang sedang menuju ke arah kerbau, sungguh terkejut melihat kejadian tersebut. Tanpa berfikir panjang, harimau terus lari menuju ke tengah hutan. Harimau berlari dengan kencang tanpa melihat ke kiri atau ke kanan.

Harimau melanggar apa sahaja yang ada di hadapannya. Habis pokok-pokok kecil dirempuhnya. Tiba-tiba harimau bertembung dengan seekor babi hutan yang sedang berjalan. Harimau terus melanggaar babi hutan hingga kedua mereka terjatuh ke tanah.

"Hoi! Tak nampak aku kah?" tanya babi hutan dengan marah. Beberapa kali babi hutan cuba bangun, tetapi gagal kerana terlalu sakit.

Harimau yang termengah-mengah keletihan sambil lidahnya terjelir terus menutup mukanya dengan kaki depannya. Badannya menggeletar ketakutan.

Babi hutan menyandarkan badannya ke pangkal pokok untuk cuba bangun. Matanya memandang ke arah harimau yang terketar-ketar itu.

Babi hutan hairan melihat keadaan harimau lalu bertanya, "Eh! Mengapa engkau ni, Harimau? Apakah yang berlaku hingga engkau jadi begini?"

Harimau membuka matanya dengan perlahan. Dari celah kaki yang menutup matanya, ia ternampak babi hutan. Lega hatinya bila melihat babi hutan itu.

Sambil mengangkat kakinya dari matanya, harimau pun berkata, "Maafkan aku babi hutan kerana melanggar kau. Hari ini aku telah terlihat seekor binatang kecil yang mempunyai kekuatan yang amat menakutkan. Binatang kecil ini telah menampar muka kerbau yang besar dan berat, dan membuat kerbau itu bertempik kesakitan dan terus tersungkur dan tidak boleh bangun lagi".

Babi hutan pun bertanya, "Binatang apa yang boleh berbuat demikian?"

"Aku pun tidak tahu kerana sepanjang hidupku, aku belum pernah melihatnya. Kalaulah binatang sekecil itu sahaja boleh menjatuhkan kerbau yang besar, bila dia menjadi besar nanti, tentu huru-hara hutan ini," jawab harimau.

Babi hutan teringin sangat mengetahui apakah jenis binatang yang dilihat oleh harimau itu.

Babi hutan pun berkata, "Engkau tunjukkan aku binatang itu. Mungkin aku mengenalinya".

Harimau menggelengkan kepalanya. "Aku tidak akan pergi dekat pinggir hutan itu lagi. Di tengah hutan ini lebih selamat," kata Harimau.

Babi hutan tidak putus asa dan terus memujuk Harimau. Babi hutan pun berkata, "Aku tidak tahu arah mana patut aku tuju untuk melihat binatang itu. Jika kau mahu, mari kita ikat ekor supaya kita tidak terpisah. Engkau pun tentu berasa lebih selamat kalau aku akan sentiasa berada dekat".

Setelah berfikir seketika, harimau pun bersetuju. Harimau juga teringin hendak tahu binatang jenis apahkah yang amat kuat itu.

Sepanjang perjalanan, badan Harimau masih terketar-ketar. Babi hutan dapat merasakan ketakutan Harimau. Semakin jauh perjalanan, semakin takut Si Harimau. Babi hutan pula mula merasa takut. Hatinya berdebar-debar kerana mungkin juga binatang kecil yang dikatakan oleh harimau akan mencederakannya pula.

Burung pipit yang mengikuti harimau dari udara telah mendengar perbualan harimau dan babi hutan. Dia pun segera terbang kepada kancil dan memberitahu tentang kedatangan harimau dan babi hutan. Kancil menyuruh kerbau bersedia untuk berlakon sekali lagi.

Apabila babi hutan dan harimau hampir tiba, burung pipit pun berkata, "Pit, pit, pit. Harimau dan babi hutan jalan berkepit. Pit, pit, pit".

Apabila terdengar bunyi ranting kering dipijak, kancil pun menendang kaki belakangnya ke muka kerbau. Kerbau sambil mengeruh kuat terus terlentang sambil keempat-empat kakinya naik ke atas, dan mulutnya mengeluarkan buih.

Ternampak sahaja kejadian itu, babi hutan yang berjalan di hadapan amat terkejut. Tanpa menoleh ke kanan atau ke kiri, babi hutan terus pecut lari. Kerana terlalu terkejut, ekornya terputus pun dia tak sedar.

Sementara itu, sebahagian daripada ekor babi hutan tertinggal pada harimau. Harimau yang juga lari lintang-pukang hingga tidak sedar bahawa ekornya telah bersambung dengan sebahagian ekor babi hutan.

Babi hutan juga lari dengan amat deras sekali tanpa mendongak ke atas. Dengan tiba-tiba dia terlangggar satu-satunya pokok gajus yang sedang berbuah dengan lebatnya. Hidung babi hutan tertumus dengan kuatnya di pangkal pokok gajus. Hidung dan tengkok babi hutan terperosok ke dalam.

Pokok gajus yang sedang berbuah dengan lebat itu pula terkejut amat sangat. Biji gajus yang sedang hendak matang itu terpancut keluar dari buahnya. Mujurlah buah gajus dapat memegang bijinya sedikit. Itulah sebabnya biji gajus terlekat sedikit di luar buah.

Sejak hari itu, ekor harimau menjadi panjang dan ekor babi hutan menjadi pendek. Juga hidung dan tengkuk babi hutan terperosok ke dalam dan menjadi pendek. Biji gajus pula terus duduk di luar buah seperti yang ada sekaran
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 5-6-2006 03:06 PM | Show all posts


Si Talang dan Si Deruma mempunyai seorang anak lelaki bernama Si Tanggang. Kehidupan mereka sekeluarga amatlah miskin. Si Tanggang selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal.

    Pada suatu hari, Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pergi berjumpa dengan Nakhoda kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya. Nakhoda kapal itu terus bersetuju kerana telah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan dan bekerja.

    Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si Tanggang belayar mengikut kapal Nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya.

    Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda. Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Lalu, Si Tanggang pun diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang.

    Si Tanggang cekap dan pandai berniaga. Namanya menjadi terkenal. Oleh itu dia dijemput oleh Sultan ke istana. Tidak lama kemudian, Si Tanggang pun berkahwin dengan puteri Sultan. Si Tanggang membawa isterinya berlayar ke banyak tempat di merata negeri.

    Pada suatu hari, kapal Si Tanggang berlabuh di muara sungai kampung asal-usulnya. Orang kampung mengetahui nakhoda kapal itu Si Tanggang. Mereka pun memberitahu kepada orang tuanya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 5-6-2006 05:17 PM | Show all posts


Kononnya, pada waktu dahulu ada sebuah gua ajaib. Gua ini digelar batu belah batu bertangkup dan amat ditakuti oleh ramai penduduk kampung. Pintu gua ini boleh terbuka dan tertutup bila diseru dan sesiapa yang termasuk ke dalam gua itu tidak dapat keluar lagi.

       Suatu masa dahulu di sebuah kampung yang berdekatan dengan gua ajaib ini, tinggal Mak Tanjung bersama dua orang anaknya, Melur dan Pekan. Mak Tanjung asyik bersedih kerana baru kehilangan suami dan terpaksa menjaga kedua-dua anaknya dalam keadaan yang miskin dan daif.

Pada suatu hari, Mak Tanjung teringin makan telur ikan tembakul. Dia pun pergi ke sungai untuk menangkapnya. Bukan main suka hatinya apabila dapat seekor ikan tembakul.

"Wah, besarnya ikan yang mak dapat !" teriak Pekan kegembiraan.

" Ya, ini ikan tembakul namanya. Mak rasa ikan ini ada telurnya. Sudah lama mak teringin untuk memakan telur ikan tembakul ini," kata Mak Tanjung.

      Mak Tanjung terus menyiang ikan tembakul itu. Dia pun memberikan kepada Melur untuk dimasak gulai.

" Masaklah gulai ikan dan goreng telur ikan tembakul ini. Mak hendak ke hutan mencari kayu. Jika mak lambat pulang, Melur makanlah dahulu bersama Pekan. Tapi, jangan lupa untuk tinggalkan telur ikan tembakul untuk mak," pesan Mak Tanjung kepada Melur.

      Setelah selesai memasak gulai ikan tembakul, Melur menggoreng telur ikan tembakul pula. Dia terus menyimpan sedikit telur ikan itu di dalam bakul untuk ibunya. Melur dan Pekan tunggu hingga tengah hari tetapi ibu mereka tidak pulang juga. Pekan mula menangis kerana lapar. Melur terus menyajikan nasi, telur ikan dan gulai ikan tembakul untuk dimakan bersama Pekan.

" Hmmm..sedap betul telur ikan ini," kata Pekan sambil menikmati telur ikan goreng.

" Eh Pekan, janganlah asyik makan telur ikan sahaja. Makanlah nasi dan gulai juga," pesan Melur kepada Pekan.

" Kakak, telur ikan sudah habis. Berilah Pekan lagi. Belum puas rasanya makan telur ikan tembakul ini ," minta Pekan.

" Eh, telur ikan ini memang tidak banyak. Nah, ambil bahagian kakak ini," jawab Melur.

      Pekan terus memakan telur ikan kepunyaan kakaknya itu tanpa berfikir lagi. Enak betul rasa telur ikan tembakul itu! Setelah habis telur ikan dimakannya, Pekan meminta lagi.

" Kak, Pekan hendak lagi telur ikan," minta Pekan kepada Melur.

" Eh , mana ada lagi ! Pekan makan sahaja nasi dan gulai ikan. Lagipun, telur ikan yang tinggal itu untuk mak. Mak sudah pesan dengan kakak supaya menyimpankan sedikit telur ikan untuknya ," kata Melur.

      Namun, Pekan tetap mendesak dan terus menangis. Puas Melur memujuknya tetapi Pekan tetap berdegil. Tiba-tiba, Pekan berlari dan mencapai telur ikan yang disimpan oleh Melur untuk ibunya.

" Hah, rupa-rupanya ada lagi telur ikan! " teriak Pekan dengan gembiranya.

" Pekan! Jangan makan telur itu! Kakak simpankan untuk mak," teriak Melur.

      Malangnya, Pekan tidak mempedulikan teriakan kakaknya, Melur dan terus memakan telur ikan itu sehingga habis. Tidak lama kemudian, Mak Tanjung pun pulang. Melur terus menyajikan makanan untuk ibunya.

" Mana telur ikan tembakul, Melur? " tanya Mak Tanjung.

" Err... Melur ada simpankan untuk mak, tetapi Pekan telah menghabiskannya. Melur cuba melarangnya tetapi...."

" Jadi, tiada sedikit pun lagi untuk mak? " tanya Mak Tanjung.

      Melur tidak menjawab kerana berasa serba salah. Dia sedih melihat ibunya yang begitu hampa kerana tidak dapat makan telur ikan tembakul.

" Mak sebenarnya tersangat ingin memakan telur ikan tembakul itu. Tetapi...." sebak rasanya hati Mak Tanjung kerana terlau sedih dengan perbuatan anaknya, Pekan itu.

      Mak Tanjung memandang Melur dan Pekan dengan penuh kesedihan lalu berjalan menuju ke hutan. Hatinya bertambah pilu apabila mengenangkan arwah suaminya dan merasakan dirinya tidak dikasihi lagi. Mak Tanjung pasti anak-anaknya tidak menyanyanginya lagi kerana sanggup melukakan hatinya sebegitu rupa.

      Melur dan Pekan terus mengejar ibu mereka dari belakang. Mereka berteriak sambil menangis memujuk ibu mereka supaya pulang.

" Mak, jangan tinggalkkan Pekan! Pekan minta maaf ! Mak...." jerit Pekan sekuat hatinya.

Melur turut menangis dan berteriak, " Mak, Kasihanilah kami! Mak!"

      Melur dan Pekan bimbang kalau-kalau ibu mereka merajuk dan akan pergi ke gua batu belah batu bertangkup. Mereka terus berlari untuk mendapatkan Mak Tanjung.

      Malangnya, Melur dan Pekan sudah terlambat. Mak Tanjung tidak mempedulikan rayuan Melur dan Pekan lalu terus menyeru gua batu belah batu bertangkup agar membuka pintu. Sebaik sahaja Mak Tanjung melangkah masuk, pintu gua ajaib itu pun tertutup.

      Melur dan Pekan menangis sekuat hati mereka di hadapan gua batu belah batu bertangkup. Namun ibu mereka tidak kelihatan juga.


link: http://www1.moe.edu.sg/nadi/arki ... /dongengwarisan.htm

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-6-2006 05:03 PM | Show all posts


GEMBALA KAMBING

Di dalam sebuah kampung tinggal seorang penternak kambing dengan anaknya. Setiap hari, dia menyuruh anaknya mengembala kambing-kambingnya di sebuah padang rumput dekat dengan kampung mereka.

Anak penternak kambing itu sangat malas. Dia sering tertidur semasa menjaga kambing-kambingnya sehingga tidak sedar yang beberapa ekor kambingnya telah masuk ke dalam hutan. Apabila dia pulang, dia dimarahi oleh ayahnya kerana cuai. Akibatnya, dia terpaksa masuk ke dalam hutan untuk mencari kambing-kambing yang hilang.

Pada suatu hari, semasa dia menjaga kambing-kambingnya, dia terfikir hendak mempermainkan orang-orang kampung kerena dia bosan menjaga kambing-kambing kepunyaan ayahnya.

Budak itu menjerit meminta tolong."Tolong, tolong! Ada harimau yang makan kambing-kambing saya!"

"Siapakah yang menjerit meminta tolong?" tanya seorang peladang apabila terdengar teriakan budak gembala kambing itu berulang-ulang kali.

"Saya rasa suara itu datang dari arah padang rumput di sana . Kalau saya tidak silap, itu suara anak penternak kambing yang mengembala kambing-kambingnya di situ," balas seorang lagi peladang.

"Ayuh semua! Mari kita ke sana . Bawalah apa sahaja senjata yang kita ada untuk membunuh harimau itu," teriak peladang itu kepada peladang-peladang yang lain.

Tanpa berlengah lagi, mereka pun segera datang untuk membantu budak gembala kambing itu. Mereka membawa pelbagai jenis senjata seperti lembing dan parang.

Apabila budak gembala kambing itu melihat peladang-peladang itu berlari ke arahnya, dia tertawa terbahak-bahak. "Ha卙a卙a卥amu semua tertipu. Tiada harimau yang ada di sini." kata budak gembala kambing itu. Dia berasa geli hati melihat gelagat peladang-peladang itu.

Maka tahulah orang-orang kampung yang mereka telah ditipu oleh anak penternak kambing itu. Mereka pun pulang dengan perasaan yang marah.

Esoknya, budak gembala kambing itu mengulangi perbuatannya. Peladang-peladang itu datang lagi untuk membantunya tetapi berasa sungguh hampa dengan sikap budak itu yang telah menipu mereka sekali lagi.

"Alahai, sungguh kecewa saya dengan sikap budak gembala kambing itu. Adakah patut dia mempermainkan kita berulang kali?" kata salah seorang peladang.

"Sudahlah. Marilah kita pulang. Sikapnya yang suka mempermainkan orang akan mendatangkan kerugian kepada dirinya sendiri," kata seorang peladang lain.

      Pada suatu petang,sedang budak gembala kambing itu duduk di tepi padang , dia ternampak dua ekor harimau mendekati kambing-kambingnya. Dia berasa amat takut melihat beberapa ekor kambingnya mati dibaham harimau-harimau itu. Dia menjerit meminta tolong.

"Tolong! Tolong!" jerit budak pengembala kambing itu beberapa kali.

"Saya tidak berbohong. Harimau benar-benar datang!" jeritnya lagi tetapi tiada seorang pun yang datang untuk membantunya. Akhirnya, sehingga tiga ekor kambingnya terkorban.


dgr cerita: http://www1.moe.edu.sg/nadi/arki ... /dongengwarisan.htm
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-6-2006 05:15 PM | Show all posts


POHON KEMUNI

      Di tebing sebatang sungai yang luas, tumbuh sepohon kemuni yang tinggi. Di sekelilingnya terdapat kawasan lapang yang sentiasa bersih. Setiap hari ramai orang yang datang berehat di bawah pohon ini kerana keadaannya teduh dan nyaman.

      Di tebing sungai pula terdapat sebuah pangkalan. Orang kampung sering ke situ untuk bermandi-manda dan membasuh pakaian.

      Berdekatan dengan pohon kemuni tumbuh pohon paloh dan pohon halban. Kedua-duanya hampir seusia dengan pohon kemuni tetapi tidak tumbuh subur. Mereka hanya mempunyai tiga batang ranting dan daun-daunnya pula jarang-jarang.

      Pada suatu hari, pohon kemuni bercakap dengan angkuh,"Aku tidak suka melihat kamu berdua, paloh, halban. Keindahan taman ini terjejas kerana kamu berdua yang bagaikan hidup segan mati tak mahu." Pohon paloh dan halban terkejut mendengar kata-kata kemuni. Mereka rasa terhina dan malu kerana ketika itu angin yang bertiup telah menggugurkan beberapa helai daun mereka.

"Saya sedih mendengar kata-kata kemuni. Sampai hati dia menghina kita," kata pohon paloh teresak-esak.

"Usahlah bersedih paloh. Walaupun kita tidak tumbuh subur seperti kemuni, kita masih berdiri tegap di sini. Rupa sahaja tidak penting. Lebih penting lagi ialah sikap kita," pujuk pohon halban yang cuba menenangkan kawannya.

      Pada suatu hari hujan telah turun dengan lebat sehingga menyebabkan banjir. Arus sungai pula semakin deras. Akibatnya, pangkalan di tebing sungai itu hanyut dibawa arus. Tebing sungai juga rekah dan runtuh dihanyutkan air yang deras.

"Berwaspada kemuni. Air sungai semakin deras. Pangkalan di tepi sungai sudah hanyut. Entah apa lagi yang akan hanyut dibawa arus," kata pohon halban.

"Ah, aku tidak bimbang. Sebaliknya kamu yang mesti berjaga-jaga. Manalah tahu ranting-ranting kamu akan patah semuanya," kata pohon kemuni.

      Pohon halban hanya berdiam sahaja. Halban sedih dengan sikap kemuni. Ketika itu juga, air sungai yang deras telah menghakis tanah perlahan-lahan hingga ke perdu pohon kemuni.

      Alangkah terkejutnya paloh dan halban apabila melihat pohon kamuni yang tinggi dan rimbun itu tumbang ke dalam sungai.

"Tolong aku! Aku tidak mahu hanyut!" jerit pohon kemuni. Namun, tiada apa-apa yang boleh dilakukan oleh pohon paloh dan halban. Mereka hanya dapat melihat sahaja pohon kemuni tenggelam dan terus hilang dibawa arus sungai yang deras itu.


dgr cerita : http://www1.moe.edu.sg/nadi/arki ... /dongengwarisan.htm
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-6-2006 05:17 PM | Show all posts


Seuncang Padi

Pada suatu waktu dahulu, tinggal sepasang suami isteri yang miskin. Keadaan mereka yang miskin dan daif itu diburukkan lagi dengan sikap mereka yang sangat malas. Mereka lebih suka membuang masa daripada bercucuk tanam untuk mendapatkan rezeki.

Pada suatu malam, seorang lelaki tua muncul di pintu rumah mereka.

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-6-2006 11:40 AM | Show all posts
Peladang Dengan Tiga Orang Anaknya

       

      Pada zaman dahulu ada seorang peladang yang mempunyai tiga orang anak lelaki. Peladang itu amat kecewa dengan sikap ketiga-tiga anaknya itu kerana mereka sungguh malas. Mereka tidak pernah membantu ayah mereka melakukan kerja-kerja di ladang.

      
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-6-2006 12:10 PM | Show all posts
HARIMAU DENGAN BAYANG-BAYANGNYA



      Di dalam sebuah hutan ada seekor harimau yang besar dan garang. Semua binatang kecil takut akan harimau itu. Apabila terdengar harimau mengaum, semua binatang akan bersembunyi. Binatang yang tidak sempat bersembunyi pasti akan menjadi mangsa harimau.

      Pada suatu hari, Sang Kancil sedang menikmati daun-daun muda di pinggir hutan. Tiba-tiba ia terdengar bunyi ranting patah di belakangnya. Sang Kancil segera menoleh. Ia lihat harimau sedang menghampirinya. Ia tahu harimau berniat untuk memakannya.

      Harimau mengaum. Suaranya yang kuat sungguh menggerunkan. Namun, Sang Kancil tidak melarikan diri.

      "Kali ini kau tak boleh lari lagi. Aku akan makan kau, kancil!" kata harimau dengan garangnya.

      " Hei, nanti dahulu! Kalau kau makan aku, nanti kau akan dimakan oleh binatang yang lebih besar," kata Sang Kancil.

      " Binatang manakah yang berani melawanku? " tanya harimau dengan marah.

      " Pagi tadi aku berjumpa seekor harimau yang lebih besar daripada kamu. Kata harimau itu, dialah yang paling kuat di hutan ini," kata Sang Kancil dengan beraninya.

      Harimau berasa sangat marah. Ia mengaum sekuat-kuat hatinya.

      " Tunjukkan di mana harimau itu. Aku akan mengalahkannya!" kata harimau.

      Tanpa berlengah, Sang Kancil pun berjalan dengan pantas meninggalkan tempat itu. Harimau mengekorinya dengan marah.

      " Tunjukkan aku di mana harimau itu. Aku pasti dapat mengalahkannya. Semua binatang tahu bahawa akulah yang paling kuat di hutan ini!" kata harimau dengan megahnya.

      Sang Kancil terus berjalan hingga sampai ke sebuah kolam. Ia berdiri di tepi kolam dan memandang ke dalam air.

      " Pagi tadi aku jumpa harimau besar dan perkasa itu di dalam kolam ini. Cubalah kamu tengok," kata Sang Kancil.

      Harimau menjenguk ke dalam kolam. Bayang-bayangnya segera muncul di permukaan air yang jernih. Harimau mengaum dengan garangnya. Ia membuka mulutnya luas-luas untuk menampakkan taringnya yang tajam. Harimau di dalam kolam juga membuka mulutnya luas-luas.

      " Kalau kau benar-benar kuat, kalahkan harimau itu," kata Sang Kancil.

      Harimau pun terjun ke dalam kolam. Bayang-bayangnya pun hilang. Baharulah ia tersedar bahawa dirinya telah ditipu oleh Sang Kancil. Harimau terkial-kial untuk naik ke tebing kolam. Sang Kancil terus melarikan diri dan terselamat dari dimakan oleh harimau.

      Kasihan harimau. Oleh kerana terlalu angkuh, akhirnya harimau tewas oleh bayang-bayang sendiri.

link: http://www1.moe.edu.sg/nadi/arki ... /dongengwarisan.htm
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-6-2006 01:56 PM | Show all posts
SINGAPURA DILANGGAR TODAK



Pada suatu ketika dahulu Singapura telah diserang ikan todak. Secara tiba-tiba, beratus-ratus ikan todak melompat ke arah pantai Singapura dan menikam ramai rakyat Singapura yang sedang berada di tepi pantai. Ramai rakyat Singapura mati terkena tikaman todak.

Raja Singapura amat terperanjat dengan berita serangan todak ini. Baginda pun pergi ke pantai untuk melihat sendiri malapetaka yang telah menimpa negerinya. Baginda berasa sedih melihat ramai rakyatnya dibunuh ikan todak. Bagi mengatasi masalah ini, baginda memerintahkan rakyatnya berkubukan betis di sepanjang pantai. Malangnya, lebih ramai rakyat yang mati apabila terus diserang ikan todak.

Seorang budak yang bijak bernama Hang Nadim telah menyaksikan serangan kejam ikan todak ini. Hang Nadim mempunyai satu akal untuk melawan serangan ikan todak ini. Tanpa berlengah, Hang Nadim pergi mengadap Raja Singapura.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 8-6-2006 03:50 PM | Show all posts
MENGAPA AYAM MENGAIS?

       

      Pada zaman dahulu, ayam akan mencari makan dengan mematuk-matuk makanan di atas tanah. Ayam tidak dapat pergi jauh untuk mencari makanan kerana ia tidak boleh terbang. Suatu hari, seekor burung helang menegur ayam.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

24-4-2024 10:21 PM GMT+8 , Processed in 0.099085 second(s), 43 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list