CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3939|Reply: 4

CERPEN : Anugerah

 Close [Copy link]
Post time 9-7-2006 01:37 AM | Show all posts |Read mode
Mama, Ain nak roti lagi."

"Kan Ain dah makan banyak, nantilah dulu ya."

Ahh.. Ain, berat badannya telah melampaui batas normal untuk kanak-kanak seusianya. Keadaan ini adakalanya membuatkan Ain termengah-mengah. Semenjak disahkan penyakitnya telah sampai ke tahap serius dua bulan lalu, aku berusaha untuk menjadi ibu yang paling tabah. Semuanya demi untuk melihat Ain gembira. Kesal rasanya telah memuntahkan kemarahan sebelum ini. Kesal yang tak mungkin akan terubat lagi.

Segalanya bermula lima tahun lalu. Ain selalu demam, ada waktunya hanya berselang minggu. Telah berbagai jenis ubat yang ditelannya. Namun sembuhnya hanya sementara. Ain akhirnya ku bawa merujuk kepada pakar kanak-kanak. Tangisan Ain bergema sewaktu contoh darahnya diambil. Masakan tidak. Ain baru berusia tujuh bulan saat itu. Gelap rasanya pandanganku apabila doktor mengesahkan Ain leukemia. Ubat-ubatan yang diberikan sekadar untuk mengurangkan kesakitan yang dialami. Tiada lagi penawar bagi penyakitnya di saat itu. Ohh.. tidak mungkin.

Waktu itu aku hamil dua bulan. Bercelaru rasanya, bimbang ia akan menerima nasib yang sama. Aku harus menjalani ujian lagi.

"Leukemia bukanlah penyakit berjangkit atau keturunan. Peluang untuk kandungan puan seterusnya mengidapnya adalah tipis. Tapi puan perlu menjalani ujian untuk itu. Jangan bimbang, puan pasti selamat, bersabar sahaja."

Kata-kata doktor muda itu ku sambut sepi. Aku tenggelam dalam seribu kebimbangan dan kemungkinan. Bagaimana kalau nanti dia juga menerima nasib yang sama. Bagaimana kalau di saat aku melahirkannya, Ain kesakitan. Adam hanya mengeluh sewaktu ku luahkan kebimbangan yang bersarang. Sebagai anak sulung, Ain menjadi kesayangan kami. Tambahan pula Adam dalam proses kenaikan pangkat. Oleh itu beliau perlu menghadiri kursus demi kursus. Demi untuk Ain, aku akhirnya menyerahkan surat permohonan cuti tanpa gaji.

Selepas itu Ain harus sering ku bawa bertemu doktor. Berbagai ujian dan rawatan harus dilaluinya. Ada waktunya ingin sahaja aku mengalah dengan corak rawatan tersebut. Ain tidak menggemari ubat, oleh itu bagai penyiksaan harus dilaluinya setiap kali ubat diberikan.

"Pada tahap yang dialami Noraishah sekarang, peluang untuknya masih cerah. Tapi bukan untuk sembuh sepenuhnya. Puan perlu bersabar, memang ia menyakitkan. Kalau nasibnya baik, dia mungkin sembuh."

Ayat terakhir dari doktor itu bagai satu hukuman bagiku. Bagaimana kalau nasib tidak menyebelahinya. Ohh, aku akan kehilangan Ain. Kesakitan sewaktu melahirkannya masih terasa, mana mungkin aku harus kehilangannya.

Berhadapan dengan seribu kemungkinan itu aku semakin tertekan. Apatah lagi setiap kali ku khabarkan penyakit Ain, hanya berita kematian yang ku telan. Setiap orang bagai menanti saat kematiannya. Mereka bagaikan hairan apabila setiap kali berhari raya, Ain ada bersama kami. Ada waktunya aku ingin menyisihkan sahaja keluarga kami dari mereka.

"Perasaan Idah saja tu, abang tak nampak pun mereka buat macam tu. Dah lah tu, sabar saja, mereka tu simpati dengan kita."

"Macam mana Idah nak sabar, bila nampak Ain, dia orang cakap apa tau, eh.. eh.. Ain sihatnya, apa maknanya tu?"

"Baguslah kalau mereka kata Ain sihat, kalau dikatanya Ain sakit macammana?"

Pertanyaan Adam ku biarkan tergantung di situ. Sikap penyabar Adam ada waktunya mematikan patah perkataan yang ingin ku lontarkan. Menjelang usia Ain tiga tahun, Ain menunjukkan tanda positif. Pertumbuhannya bagai kanak-kanak lain. Sangkaku pastinya penyakit Ain telah sembuh. Berbayar rasanya segala pengorbanan selama ini. Kenakalan Ain dan Adib ada waktunya menguji kesabaranku. Seharian di pejabat dengan berbagai tugasan. Keletihan itu adakalanya membuatkan aku hilang pertimbangan wajar. Seringkali aku meninggikan suara pada mereka.

Namun selepas itu, kekesalan akan bersarang di benakku. Tatkala melihat Ain dan Adib nyenyak di katil mereka aku rasa bersalah. Tidak adil aku melepaskan kemarahan di atas kesalahan yang kecil. Apalah lagi yang boleh dilakukan oleh kanak-kanak seusia mereka selain bermain dan bergaduh.

Ain sebenarnya amat rajin membantu. Dalam usia sebegitu, dia ingin melakukan tugas yang aku lakukan. Kalau aku membersih rumah, Ain akan turut serta. Meskipun hanya menambahkan tugas yang ada, sekurang-kurangnya Ain berusaha untuk itu. Pertanyaan Ain adakalanya membuatkan aku kehabisan idea untuk menjawab. Kadang-kadang aku risau bila Ain memulakan persoalan. Perkataan 'kenapa' darinya pasti akan memerlukan penghuraian yang panjang lebar. Aku sendiri tidak pasti apakah keterangan yang diberikan benar-benar difahaminya atau sekadar ingin berkomunikasi dua hala.

Menginjak ke usia lima tahun, Ain menunjukkan perubahan ketara. Perkembangan berat badannya mula merisaukan aku. Selera makannya mengalahkan orang dewasa. Paling digemarinya makan di restoran segera. Tidak menjadi masalah bagi
Ain untuk menghabiskan nugget dan kentang gorengnya. Selera makannya ada waktu membuat kesabaranku hilang. Masakan tidak, dalam kesesakan jalanraya, Ain boleh menjerit minta ayam goreng, hanya kerana terlihat papan iklan ayam goreng.

"Sudahlah Idah, budak-budak macam tulah."

Itulah kata-kata Adam setiap kali aku memarahi Ain. Kadang-kadang aku rasakan disebabkan Adam selalu menurut katanya Ain jadi sedemikian. Apa sahaja yang dipinta Ain akan dipenuhinya.

"Mama, nanti jahitkan telekung baru untuk Ain ya."

"Kan telekung Ain tu elok lagi, buat apa yang baru."

"Ala mama, Ain nak yang ada renda macam baju Cinderella ni. Nanti bila Ain ikut mama sembahyang, Ain cantik macam Cinderella."

"Ain tau tak, Cinderella tak makan banyak macam Ain."

"Okeylah mama, nanti Ain makan sikit aja ya, tapi mama buatlah dulu."

Pelbagai karenah Ain yang tak mungkin luput dari ingatan rinduku. Pernah Ain suarakan aku buatkan renda pada telekung itu untuk menjadi penawar rindu. Kononnya ia seperti apa yang dilakukan papanya. Adam yang selalu menghadiri tugas keluar daerah telah membelikan patung Cinderella.

Menurut Adam, Cinderella itu adalah wakilnya setiap kali Ain rindu pada papanya. Ianya benar-benar berkesan. Ain akan berbual dengan patung tersebut setiap kali sebelum tidur sekiranya Adam tiada.

Aku dalam kegembiraan kerana disahkan mengandung lagi. Ain kepenatan sewaktu dalam perjalanan untuk meraikan berita gembira itu. Lantas kami membatalkan niat itu dan membawa Ain ke doktor. Bagai ada halilintar yang memanah, apabila diberitahu penyakit Ain telah sampai ke tahap serius. Ain perlu ditahan di wad untuk rawatan lanjut. Menurut doktor, saraf yang mengawal nafsu Ain telah rosak. Itulah sebabnya Ain tidak merasa kenyang, meskipun telah makan dengan banyak. Mengapalah tidak aku fahami keadaan itu sebelumnya. Sangkaku keadaan itu bukan kerana penyakit. Kenapalah aku
tidak boleh peka dengan itu semua.

Betapa pilu hatiku melihat pelbagai wayar disambungkan ke badan Ain. Ada waktunya Ain tidur seperti pengsan. Apapun berlaku, tak akan ku biarkan Ain sendirian. Semoga Ain sedar betapa kasihku yang sentiasa melimpah untuknya. Tidak putus doa ku panjatkan agar Ain sembuh semula. Namun kepiluan tidak dapat ku hindarkan apabila doktor membenarkan apa saja yang dipinta anakku. Ain seperti tidak perlu lagi berpantang meskipun keadaannya amat tenat. Terasa benar Ain bagai pesalah yang menanti hukuman mati.

Petang itu sebagaimana biasa Adam tiba untuk giliran menjaga Ain. Aku perlu rehat demi kandunganku. Tambahan pula Adib lebih rapat denganku berbanding Adam. Menginap di hotel memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit. Segalanya perlu dibayar, makanan, dobi dan sebagainya. Tidak sanggup rasanya menyusahkan saudara yang ada.

Telah hampir seminggu kami di sini. Keadaan Ain tidak menampakkan tanda-tanda akan sembuh. Kunjungan saudara mara juga silih berganti. Semuanya seperti tidak memberikan harapan pada Ain. Entah kenapa airmataku tidak mampu tumpah kali ini. Mungkin keadaan tersebut telah menjadikan aku semakin tabah. Biasanya setiap kali Ain dimasukkan ke hospital airmataku akan mengalir sehinggalah saat Ain dibenarkan pulang.

Namun sebaliknya Adam kelihatan lebih emosi kali ini. Matanya sentiasa berkaca kala membaca surah Yassin di sisi Ain. Sebagai seorang lelaki airmata amat mahal baginya. Dan yang mahal itu kini tertumpah untuk Ain kesayangannya. Bagiku mungkin dugaan kali ini terlalu berat untuk meninggalkan Ain. Meskipun Adam telah lama tiba, aku seakan terpanggil
untuk terus di sisi Ain.

"Idah pergilah sebelum Adib menangis dan mengejutkan Ain."

"Hati Idah tak sedap benar rasanya, nantilah sekejap lagi."

"Tak baik macam tu Idah, anak kita akan sembuh, pergilah."

Seketika itu ibu dan adikku tiba untuk melawat Ain. Mata tua itu kiranya lebih memahami keadaan.

"Dah tenat nampaknya budak ni, kau tunggu sajalah Idah, biar mak jaga Adib."

Benar bagai dikata ibu. Hanya seketika itu Ain terjaga dan memanggil namaku. Patah bicara Ain tidak menentu lagi. Air mata Adam kelihatan mengalir lagi.

[ Last edited by  wantabanak at 11-7-2006 11:18 AM ]

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 9-7-2006 01:38 AM | Show all posts
"Mama, jangan berdiri dekat pintu tu, Ain tak nampak pintu."

Pintu apa yang kau lihat anakku, sedang perbaringanmu menghadap dinding batu sahaja. Telah terbukakah pintu langit untukmu, anakku. Janganlah pergi dulu Ain, belum puas rasanya mama bersamamu. Bicaraku hanya tersekat di kerongkong.

"Mama, sakit mama."

Ain mula meronta. Sudah tentu keadaan itu membahayakan dirinya. Wayar yang mengalirkan darah dan air itu seakan mengganggu pergerakan Ain. Sepantas itu suaraku dan Adam memanggil jururawat.

"Papa, tolong pa, Ain nak bangun, Ain nak pergi ikut pintu tu."

Adam bagai hilang pertimbangan. Airmata kami berbaur dengan tangis Ain. Suntikan yang diberikan menyebabkan Ain tertidur kembali. Ain terpaksa dipindahkan ke unit rawatan rapi.

Ibu dan adikku pulang bersama Adib setelah Ain ditempatkan dalam sebuah bilik khas. Keadaan Ain yang kritikal itu membuatkan aku lebih rela melihat tangisan Adib yang enggan pergi bersama neneknya. Sepanjang malam itu Ain langsung tidak bangun. Hanya jejarinya terasa terus hangat memegang jariku. Aku sendiri tidak pasti telah berapa kali aku dan Adam menghabiskan surah Yasin untuknya. Malam itu tidur kami hanya beberapa minit di atas kerusi di kiri dan kanan Ain. Tidak lagi kufikirkan rehat dan makan saat itu.

Sewaktu azan Subuh sayup-sayup kedengaran, aku tersedar bila genggaman tangan Ain terasa longgar. Adam yang tertidur di sebelah tersentak bila aku seakan menjerit memanggilnya. Mesin denyutan jantung Ain menunjukkan satu garisan yang memanjang sewaktu Adam menghembuskan dua kalimah syahadah di telinganya. Air mataku gugur sewaktu doktor meluahkan ungkapan yang tidak mampu diterima oleh setiap yang bergelar ibu.

"Puan, kami telah melakukan yang termampu, Tuhan lebih menyayanginya. Relakanlah dia pergi."

Apalah lagi yang mampu aku lakukan. Tak mungkin aku boleh mengembalikan Ain yang telah pergi. Segalanya harus ku terima dengan redha. Maha suci Allah yang telah menganugerahkan Ain, biarpun sebentar di dalam hidupku. Kini, meskipun telah enam bulan berlalu, Ain seakan masih ada di mana-mana. Beberapa kali aku terpanggil namanya bila merasakan ada yang mengekori setiap yang aku lakukan. Ain pasti akan mengekori kalau aku sedang menyapu sampah di dalam dan luar rumah. Sukar untuk menerima hakikat aku kini melakukannya sendirian.

Telekung renda yang dipintanya hanya digunakan beberapa kali sahaja. Sewaktu Ain dimasukkan ke hospital tempohari dia masih meminta telekung barunya itu. Telekung itu kini sebahagian dari diriku. Ia ku tempatkan di sudut yang istimewa agar boleh untukku melihat selalu. Walaupun kini permergian Ain telah digantikan dengan Anis, kerinduan pada anugerah
sulung itu tetap terpahat di hati. Doaku setiap detik agar Ain tenang dan damai sentiasa.
Reply

Use magic Report

Post time 9-7-2006 12:21 PM | Show all posts
penat membaca..rajin ko tulis
Reply

Use magic Report

Post time 10-7-2006 05:59 PM | Show all posts
hehehhehehehhehh
Reply

Use magic Report

Post time 17-7-2006 08:45 AM | Show all posts
wah wah ada bakat.. teruskn menulis
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

24-4-2024 05:32 PM GMT+8 , Processed in 0.063132 second(s), 35 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list