CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Syd

Tips/Petua Bod Hobbies & Living

[Copy link]
 Author| Post time 2-7-2007 11:06 AM | Show all posts
Tip elak kemalangan di rumah
Oleh Norakmah Mat Youb


WALAUPUN ketika berada di rumah, kelalaian boleh mengundang kemalangan sehingga ada yang meragut nyawa. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berhati-hati. Di sini diberikan beberapa tip keselamatan ketika berada di rumah:

Pastikan keselamatan dapur dengan memeriksa saluran dan tong gas anda daripada sebarang kebocoran. Kebocoran gas boleh dikesan dengan mudah. Anda boleh menghidu bau gas apabila dapur tidak digunakan.


Pastikan tiada kanak-kanak bermain di dapur. Periksa kepala dapur berada dalam kedudukan ditutup.


Amalkan menutup bekalan gas dengan memutar punat kepala tong gas pada kedudukan melintang setiap kali selesai memasak.


Buat penyelenggaraan dapur dan saluran gas sekurang-kurangnya setahun sekali.


Bersihkan lantai di dapur setiap kali selepas memasak kerana titisan minyak yang terpercik menyebabkan lantai licin.


Sebelum meninggalkan dapur, pastikan semua pinggan mangkuk dicuci. Lebih baik jika pinggan mangkuk dilap dan disimpan dalam kabinet kerana ia membuatkan sinki nampak kemas.


Pastikan wayar barangan elektrik tidak terjuntai dan boleh dicapai kanak-kanak


Lengkapkan rumah dengan tong pemadam api dan ketahui cara menggunakannya.


Elakkan memasang alas meja panjang terutama bagi mengelakkan dicapai terutama bagi kanak-kanak baru pandai berjalan.


Beli ubat anti serangga dalam paket dan letakkan dalam kabinet dapur untuk menghalau serangga perosak.


Jangan biarkan air bertakung di lantai bilik mandi. Lantai yang basah sangat bahaya.


Kunci atau tutup pintu bilik tanda jika tidak menggunakannya.


Ajar anak bagaimana mengunci dan membuka pintu semua bilik terutama pintu bilik mandi bagi mengelakkan anak terperangkap dalam bilik.


Elak meletakkan barangan kaca seperti vas atau perhiasan lain di tempat rendah terutama bagi yang mempunyai anak baru berjalan.


Jika rumah ada dua tingkat, pasangkan pagar yang menggunakan selak bagi menghalang anak daripada bermain di tangga. Jangan pilih pagar menggunakan anak kunci kerana ia akan menyusahkan apabila berlaku kecemasan.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 9-7-2007 10:11 AM | Show all posts
Bahan dan kemasan dinding


DINDING berfungsi sebagai pembahagi ruang dalaman. Bagi dinding luar pula dinding bertindak sebagai pelindung daripada kesan cuaca seperti hujan, angin dan sinaran matahari. Bagi bangunan moden hari ini dinding kebanyakannya dibina daripada bahan batu bata yang kemudian di kemas dengan kemasan plaster simen.

Di atas kemasan plaster simen inilah kemasan lain boleh digunakan. Contohnya:

cat air dan cat minyak

kertas dinding

Jubin seramik

Jubin Batu (Batu marmar dan granite dan lain-lain)

Jubin tanah liat (Terracotta)

Sand/Pebble wash

Panel kayu/kayu jalur

Panel fabrik


Selain daripada kesan estatika yang terdiri seperti warna, tekstur dan corak. Perhatian juga perlu diambilkira dari segi fungsi dan ekonomi dalam memilih bahan kemasan dinding.

Apakah kemasan yang boleh diterima oleh dinding?

Bagaimana ketahanan bahan kemasan dan adakah mudah untuk menjaganya?

Apakah ketahanan dari segi penyerapan kesan bunyi, pembalikan warna dan ketahanan api yang diperlukan?

Berapakah jumlah kos untuk membeli, memasang dan menggunakannya?


Bahan kemasan dinding datang daripada pelbagai sumber sama ada daripada bahan semula jadi atau yang dibuat. Walaupun ada bahan yang digunakan pada lantai boleh digunakan pada dinding, perhatian harus diambilkira dari segi kesesuaian kerana elemen dinding mudah dilihat kerana kedudukannya pada pandangan aras mata berbanding lantai.

Panduan untuk membuat pemilihan bahan kemasan dinding adalah seperti berikut:

Biasanya bahan yang keras akan membalikkan bunyi sedangkan bahan lembut dan mudahalih boleh menyerap bunyi.


Memasang bahan kemasan secara kekal pada mulanya akan memerlukan kos yang tinggi tetapi dalam jangkamasa panjang ia tidak perlu ditukar secara kerap dan mudah untuk menjaganya. Bahan kemasan kekal adalah seperti jubin batu, jubin seramik, kayu dan batu bata.


Ruang dalaman mestilah dibina mudah untuk ditukar atau diubah. Pertukaran cara hidup penghuni dan gaya serta trend akan memberi kesan sekiranya bahan yang fleksibel seperti kertas dinding atau fabrik digunakan sebagai kemasan tidak kekal.


Memelihara dinding supaya kelihatan cantik dan bersih perlu dititikberatkan kerana kesan hentakan laluan trafik ketika mengangkat barang atau kesan daripada kanak-kanak yang sentiasa cuba untuk menconteng atau mengotorkan dinding.


Keaslian dan suasana serta gaya adalah antara faktor difikirkan ketika memilih bahan. Pilih bahan yang sesuai dengan gaya semasa supaya anda tidak rasa tertinggal.


Keluasan ruang akan menentukan faktor pemilihan bahan. Kemasan tekstur yang berat, corak yang besar dan warna yang gelap akan mengecilkan ruang. Sebaliknya tekstur yang halus dan licin, corak yang kecil dan warna yang cerah akan meluaskan ruang.


Fungsi ruang yang digunakan juga akan menentukan ketahanan pemilihan bahan. Ruang yang kerap digunakan memerlukan bahan tahan lasak, ruang yang kurang digunakan memerlukan bahan yang agak lembut dan ringan. Ruang lembap memerlukan bahan kemasan yang tidak menyerap.

INFO: Bahan kemasan siling

Siling adalah struktur bahagian atas dalam ruang. Siling bertindak sebagai bahagian bawah bumbung selain bahagian yang menutup keperluan servis seperti saluran elektrik, penghawa dingin, pembesar suara, sprinkler dan lain-lain sekiranya laluan pada lantai tidak boleh digunakan.

Rekaan sesuatu siling bergantung kepada ketinggian siling dalam ruang. Pereka bentuk dalaman seharusnya bijak mereka bentuk siling dengan mengambil kira ketinggian siling, bahan kemasan yang akan digunakan dan susun atur keperluan lampu, kipas dan penghawa dingin.

Kemasan pada siling perlu menarik dari segi nilai estetika seperti warna, tekstur dan corak. Pemilihan bahan kemasan siling yang sesuai dapat memberi kesan yang baik pada nilai estetika. Walaupun siling terletak pada bahagian atas yang sukar dilihat pada aras pandangan manusia tetapi jika tidak dikemas dengan baik akan mencantikkan keseluruhan ruang dalaman.

Terdapat dua jenis siling yang biasa terdapat dalam ruang dalaman.

Siling konkrit asal

- Siling konkrit asal adalah siling yang terhasil dari permukaan bawah lantai konkrit. Kemasan yang lazim digunakan adalah cat air. Ada juga kemasan papan lapis yang dibina secara terus.

Siling gantung

Siling gantung tanpa penyambung diperbuat dari papan gipsum dan sambungannya diplaster dengan lepa gipsum dan dicat.

Siling gantung adalah siling yang dibina digantung dari siling konkrit asal. Struktur gantungan biasanya menggunakan kabek keluli (dawai) atau kayu, bergantung kepada jenis kemasan yang digunakan untuk permukaan siling. Kemasan siling gantung dapat dikategorikan seperti berikut:


Siling gantung tanpa penyambung - Diperbuat daripada papan gipsum dan penyambungan antaranya diplaster dengan lepa gispum dan dicat.


Siling gantung berpanel - Diperbuat daripada kepingan cement board.


Siling gantung jejalur - Diperbuat daripada logam jalur atau papan jalur.


Siling gantung terbuka - Diperbuat daripada logam atau kayu dengan corak yang berongga.


Siling gantung dekoratif - Diperbuat daripada papan gipsum dengan panel-panel dekoratif pada permukaan siling dan kumai.

Kesempurnaan ruang lebih terserlah jika kita mengambil tahu apakah keperluan yang diperlukan bagi memberi kemasan yang terbaik serta praktikal. Sesuatu ruang tidak akan sempurna kejadiannya jika kita tidak menggabungkan antara konsep yang diterap dengan bahan yang akan digunakan.

Oleh itu, setiap cadangan reka bentuk dalaman sama ada ruang kediaman atau komersil cadangan bahan kemasan mesti ditunjukkan bagi mengenalpasti bahan yang sesuai dengan cadangan reka bentuk dan kos yang terbabit dengan bahan kemasan yang dicadangkan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-7-2007 10:12 AM | Show all posts
Bahan, kemasan elemen penting
Oleh Hamidon Abdullah (Ketua Program Diploma Reka Bentuk Dalaman, UiTM)


Ruang kurang sempurna jika tidak menggabungkan antara konsep yang diterap

BAHAN dan kemasan adalah komponen penting dalam elemen reka bentuk dalaman. Bahan dan kemasan digunakan untuk memberi makna dan mendefinisikan fungsi sesuatu ruang dalaman. Pemilihan bahan dan kemasan juga dapat menguatkan konsep reka bentuk, membantu memberi kesan kepada ruang, pandangan visual serta eksperesi kualiti, bentuk dan gaya.

Bahan dan kemasan yang digunakan dalam ruang dalaman terbahagi kepada tiga komponen struktur seni bina yang membentuk ruang dan aplikasinya pula berbeza mengikut jenis iaitu:

Bahan dan kemasan lantai

Bahan dan kemasan dinding

Bahan dan kemasan siling

Setiap bahan dan kemasan yang digunakan dan dispesifikasi perlu memenuhi kriteria seperti berikut :

Fungsi

Mestilah selamat dan selesa

Mestilah tahan lasak

Mudah dibersihkan, dijaga dan dibaiki

Memerlukan darjah ketahanan kebakaran

Kesesuaian dari nilai akustik

Estatika

Nilai kecantikan dari segi warna dan keadaan semula jadi sesuatu kawasan yang digunakan

Tekstur sesuatu bahan

Corak yang direka dan disesuaikan

Ekonomi

Kos awalan yang diperlukan serta kos pemasangan

Kos sepanjang hayat yang menerangkan ketahanan bahan terbabit, kos untuk membersih menjaga dan membaiki serta kos penggantian apabila diperlukan

Bahan dan kemasan lantai

Lantai konkrit adalah lantai yang kebanyakan digunakan selain lantai kayu, lantai besi atau lantai tergantung. Lantai konkrit adalah lantai yang lazim digunakan pada bangunan moden hari ini.

Untuk mencantikkan lantai konkrit yang digunakan, kemasan dikemaskan di atas permukaan untuk kelihatan cantik dan sempurna supaya sesuai untuk kegunaan dan fungsi ruang berkenaan.

Bahan kemasan lantai terbahagi kepada dua bahan iaitu;

Kemasan lantai daripada bahan keras yang ada dalam pasaran terdiri daripada kemasan jenis:


Lepaan simen

Jubin Seramik

Jubin Batu (Marmar & Granit)

Jubin Tanah Liat (Terracotta)

Mozek

Sand/Pebble Wash

Papan Jalur Kayu

Floor Board

Parket

Jubin Vinyl

Getah Sintetik Gulung (Linoleum)

Kepingan Logam

Kemasan lantai daripada bahan lembut

Kemasan lantai daripada bahan lembut yang ada dalam pasaran ketika ini ialah:


Permaidani

Permaidani Gulung

Jubin Permaidani

Rug

Getah Sintetik Lembut


Kemasan jenis ini menyediakan dua kesan iaitu kesan sentuhan yang terhasil daripada kelembutan teksturnya dan kesan visual seperti warna dan corak. Kualiti dan struktur bahan ini membolehkan bahan jenis ini menyerap bunyi, mengurangkan kesan bising dan menyediakan keselesaan, keselamatan untuk berjalan.

Kemasan lantai adalah kemasan terakhir pada struktur lantai oleh kerana lantai bertindak sebagai elemen yang dipijak seharusnya pemilihan berdasarkan fungsi dan estatik. Kesan ini boleh dilihat melalui warna, corak dan tekstur.

Warna cerah lantai akan menaikkan aras kecerahan ruang manakala warna gelap lantai akan menyerap cahaya.

Bahan kemasan yang dipilih boleh menambah seri dan keharmonian kepada latar belakang peralatan dan perabot dalam sesuatu jangkamasa. Ini bermakna warna yang neutral, tekstur yang halus dan tiada mempunyai corak yang tertentu adalah terbaik. Jika tidak akan berlaku pertembungan antara dua elemen iaitu antara kemasan, perabot dan kelengkapan.

Fikirkan jangka hayat bahan dan ketahanannya. Lantai daripada bahan keras adalah tahan lasak dan boleh bertahan untuk jangkamasa lama berbanding bahan yang lembut.

Fikirkan penyediaan lantai asas yang menerima bahan kemasan. Jika bahan kemasan batu, lantai asas secara strukturnya kuat untuk menerima dan memegangnya. Untuk kemasan lantai yang nipis seperti vinyl, kemasan lantai asas mestilah licin dan rata.

Cara untuk menjaga dan memelihara lantai perlu kerana lantai daripada bahan keras kurang untuk menjaganya daripada bahan yang lembut yang tidak tahan lasak.

Lantai untuk warga emas dan kurang upaya memerlukan perhatian seperti mengelakkan daripada menggunakan bahan yang menyilaukan, corak tiga dimensi mengelirukan atau corak mendadak pertukarannya. Bahan kemasan lantai mestilah boleh menerima laluan kerusi roda dan elakkan menggunakan bahan yang mudah licin apabila terkena air.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-7-2007 09:43 AM | Show all posts
Bahan seni, aksesori pelengkap ruang
Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Program Diploma Reka Bentuk Dalaman, UiTM)


Peralatan dekoratif jadikan bilik kelihatan lebih 'bernyawa', berinspirasi

RUANG dalaman akan menjadi kosong apabila tidak mempunyai bahan seni dan aksesori sebagai pelengkap ruang. Sebagai contoh dunia ini dipenuhi dengan bahan semula jadi yang indah dan cantik. Bahan semula jadi yang mewarnai dunia dengan warna dan kehidupan tumbuhan dan haiwan yang hidup subur secara semula jadi. Apabila bahan semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan, kehidupan laut dan batu dibawa ke dalam ruang, ia membawa satu dimensi kepada kehidupan ruang yang bernyawa dan lebih berinspirasi.

Bahan seni dekoratif dan aksesori bukan saja sebagai pelengkap ruang tetapi juga mempunyai fungsi. Perabot, bahan tembikar, gelas, bahan tekstil dan anyaman, serta peralatan meja bukan saja digunakan untuk perhiasan tetapi juga menjadi tarikan apabila disesuaikan dengan suasana susun atur ruang. Peralatan seni dekoratif ini dapat menambah kecantikan dan fungsi ruang.

Bahan seni lukis

Karya seni lukis selalu ada dalam ruang dalaman sejak zaman prasejarah bila artis prasejarah menulis pada dinding dan siling dalam gua. Bahan seni lukis merangkumi lukisan, arca, dan cetakan. Karya seni yang digunakan individu dalam ruang dalaman mereka ini melambangkan pilihan dan pengalaman individu berkenaan yang ada cita rasa untuk memiliki karya seni itu. Selain itu karya seni dapat menambah kecantikan ruang milik individu berkenaan.


Lukisan

Lukisan seni halus terhasil sama ada dalam bentuk dua dimensi atau tiga dimensi. Dilukis berdasarkan ekspresi kecantikan dan kepercayaan atau kenyataan secara peribadi artis yang melukis. Subjek lukisan adakala berbentuk abstrak, anggota badan, tumbuhan dan pemandangan.

Bahan lukisan boleh didapati dalam bentuk jenis bahan yang digunakan untuk melukis seperti lukisan cat minyak, cat air, akrilik, tempera dan fresco.

Selain lukisan seni halus, terdapat lukisan dihasil dari bahan menggunakan pensil, pen, dakwat, arang, dan krayon.


Arca

Seni arca terhasil dalam bentuk tiga dimensi daripada ukiran tanah liat, kayu, gelas, batu atau besi. Ukiran yang dihasilkan berbentuk sama ada haiwan, manusia, tumbuh-tumbuhan atau bentuk semula jadi yang lain.


Cetakan

Seni cetakan adalah lukisan dua dimensi yang boleh dihasilkan dengan banyak. Cetakan biasanya dibuat secara terhad dan kemudian artis akan mencetak dengan tandatangan dan nombor sebagai tanda keaslian. Lagi sedikit bilangan cetakan yang dibuat semakin mahal harga dan nilainya. Cetakan yang dibuat adalah daripada potongan kayu, linolew blok, engrave, etching, lithograph, serigraph, rubbing salinan reproduksi dan seni grafik.

Bahan seni lukis boleh diperoleh sama ada dari galeri seni lukis, kedai menjual barangan seni atau kedai perabot. Tujuan individu memperoleh bahan seni lukis untuk rumah mereka adalah cara menghayati seni dan melambangkan minat terhadap sesuatu bahan seni berkenaan. Ada juga mereka yang membeli karya seni lukis kerana meminati karya seseorang artis. Lagi ternama artis itu lagi mahal karya seni mereka.


Foto Keluarga

Foto keluarga yang di bingkai dan disusun di atas meja atau digantung pada dinding juga satu hiasan. Kesan memori dan kasih sayang yang dipaparkan pada gambar memberi gambaran keindahan hubungan keluarga dan memberi inspirasi kepada penghuni dan juga kepada tetamu dan pelawat yang datang melawat.

Bahan Seni Dekoratif

Bahan seni dekoratif dan aksesori dalam rumah boleh dikategori seperti cermin, peralatan meja, jam, skrin, lampu, bakul, tenun kain dan juga perabot. Semua bahan seni dekoratif biasa digunakan sebagai barang perhiasan selain berfungsi seperti perabot.

Hari ini, bahan seni sudah menjadi simbol dan sejumlah wang yang besar digunakan untuk membelinya bagi menambah seni dalam rumah dan melambangkan status seseorang.


Cermin

Mula ditemui pada abad ke-14 oleh pengukir Itali di Venice. Selain kegunaan cermin yang asas untuk bersolek, kegunaan cermin pada hari ini sudah dipelbagaikan untuk kegunaan hiasan ruang dalaman. Penggunaan cermin dalam ruang dalaman dapat melahirkan kesan visual kerana menimbulkan perasaan keluasan dalam ruang dan memberi pembalikan cahaya dalam ruang.

Bagaimanapun ada sesetengah orang tidak selesa dengan kesan cermin kerana boleh melihat diri dalam cermin ketika duduk atau berdiri sepanjang masa. Meletakkan cermin yang tidak sesuai pada dinding akan menimbulkan kekeliruan dalam penerimaan visual dan menjadikan ruang semakin kecil.

Cermin boleh diperoleh dalam pelbagai saiz dan biasanya akan dikemaskan dengan bingkai di sekelilingnya yang diperbuat daripada kayu, besi, kaca atau seramik.


Peralatan meja dan peralatan memasak

Peralatan meja adalah termasuk pinggan, mangkuk, cawan, sudu dan lain-lain yang untuk kegunaan makan dan minum. Tukang dan pengukir sejak zaman dulu menggunakan idea kreativiti untuk mencipta bahan peralatan meja dan dapur untuk golongan raja dan orang kaya. Tetapi pada hari ini masyarakat boleh memperoleh semua peralatan itu dengan mudah mengikut kemampuan dan cita rasa.

Pelbagai bahan digunakan untuk peralatan meja dan memasak dan pada hari ini teknologi plastik dan bahan inovatif lain sudah digunakan selain bahan tradisional lama seperti seramik, gelas, kayu dan besi.

Bahan tradisional seperti seramik boleh diperoleh dalam bentuk porcelain, chinaware, stoneware dan earthware. Semua jenis seramik mempunyai kelebihan dari kecantikan masing-masing.


Jam

Pada hari ini jam digunakan sebagai salah satu bahan koleksi dalam rumah. Keunikan dan keaslian sesuatu reka bentuk jam yang antik menjadikan ia sebagai perhiasan dan bahan seni dekoratif yang digunakan dalam rumah yang ada fungsinya.

Jam boleh dipamer sama ada di atas meja, almari, kabinet dan pada dinding. Jam berskala besar seperti jam lantai boleh digunakan untuk menambah seri pada ruang tamu yang mempunyai keluasan yang besar.


Skrin atau tabir

Skrin atau tabir adalah penghadang yang disendikan sama ada dalam bentuk panel atau gelungsur. Kegunaan utama adalah membahagi ruang dan mengadakan ruang peribadi.

Berabad lamanya orang Jepun menggunakan skrin shoji atau fusuma dalam rumah mereka untuk tujuan pembahagian ruang.

Pada hari ini, ruang dalaman menggunakan skrin sebagai pembahagi dinding seni, penghias tingkap dan latar belakang bagi perabot.


Lampu dekoratif

Selain lampu am yang digunakan untuk menerangi ruang ada juga lampu digunakan sebagai bahan dekoratif. Lampu dekoratif biasanya diletakkan sebagai bahan perhiasan atas meja selain daripada lampu dekoratif lain seperti chandelier yang digantung pada siling. Lampu chandelier berfungsi sebagai titik fokal ruang dalaman rumah.

Lampu juga diletak pada dinding sebagai elemen perhiasan dinding dan bagi menerangi dinding. Lampu lantai yang berdiri boleh digunakan elemen penghias dalam ruang.


Bahan tekstil

Berfungsi sebagai kegunaan bahan dekoratif dan aksesori. Bahan tekstil ini penting sebagai hiasan dan pilihannya mestilah harmoni dengan elemen reka bentuk yang lain. Bahan tekstil digunakan dalam bentuk rug atau permaidani, bahan tenunan pada meja dan dinding untuk hiasan. Selain itu untuk kegunaan alas meja, napkin dan alas belakang kerusi. Meja yang dihias indah dengan alas meja dari bahan tekstil dengan hiasan bunga akan melahirkan kesan harmoni dan merangsang selera bentuk menikmati hidangan.

Selain bahan tekstil digunakan untuk alas tilam dan katil seperti bantal, comforter dan quilts. Begitu juga pada peralatan bilik air seperti tuala besar dan tuala kecil.

Tenunan tekstil juga digunakan sebagai bahan hiasan yang digantung pada dinding dan tingkap. Ia digantung menggunakan batang kayu yang diukir cantik.

Hiasan dekoratif menyediakan kesan psikologi untuk memanaskan ruang kerana kesan daripada tekstur, corak dan warna pada tenunan tekstil itu.


Susunan buku

Selain untuk dibaca, susunan buku dalam ruang juga boleh dijadikan sebagai dekorasi dalam ruang. Selain itu susunan buku menzahirkan bentuk kesatuan dan pelbagaian warna dan tekstur. Buku juga melahirkan kesan emosi dan memori kerana dapat mengimbaskan kenangan masa lalu.

Buku yang disusun di atas meja, rak perabot sama ada di ruang tetamu, ruang keluarga, ruang makan, bilik tidur dan bilik air digunakan sama ada melihat dan membaca dapat memberi rangsangan dalam hubungan kekeluargaan dan melambang minat individu dan kerjaya masing-masing.


Bakul hiasan

Bakul yang dibuat hiasan biasanya diperbuat daripada sumber semula jadi seperti rotan, jerami padi atau pokok pisang. Anyaman rotan dan jerami yang indah dan menarik itu memberi kesan pada ruang dalaman selain kegunaan sebagai bekas tumbuhan, buah-buahan dan peralatan lain.

Tumbuhan Semula Jadi dan Bunga Hiasan

Tumbuhan semula jadi yang dijadikan hiasan dapat membangkitkan rasa prihatin terhadap suasana hijau dan keindahan tumbuhan semula jadi. Apabila memilih tumbuhan, beri perhatian pada jenis pokok, bentuk, tekstur dan kesesuaian ruang di mana tumbuhan itu hendak diletakkan.

Tumbuhan semula jadi memerlukan cahaya yang cukup, suhu dan cara yang sesuai untuk menyiram pokok dan menjaganya. Perhiasan bunga-bungaan dapat menambah seri ruang dalaman. Warna bunga dan hijau daun digabung dan disesuaikan dengan bekas serta pasu diletak pada sudut tertentu.

Objek Bahan Hiasan Semula Jadi

Objek bahan semula jadi daripada kulit binatang, tanduk binatang, kulit hidupan laut seperti kerang juga boleh dijadikan hiasan menarik. Ada juga batu batan dan batu kristal yang ada nilai dan kecantikan serta nilai kebaikan untuk kesihatan dijadikan bahan hiasan dan lampu dekoratif.

Oleh kerana ada undang-undang menghalang penggunaan objek binatang sebagai hiasan jadi hiasan seperti ini sukar didapati pada hari ini berbanding pada masa lampau.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 29-7-2007 02:50 PM | Show all posts
- edited -



[ Last edited by  Syd at 12-8-2007 10:54 AM ]
Reply

Use magic Report

Post time 1-8-2007 11:57 AM | Show all posts

Reply #65 Syd's post

tq Syd.. byk info bermanfaat...

p/s: buley ke saya kongsi petua kt sini?
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 6-8-2007 10:01 AM | Show all posts

Reply #66 mizahanan's post

boleh.
takde masalah rasanya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-8-2007 10:02 AM | Show all posts
Beberapa ciri yang perlu diambil tahu oleh pembeli dan pengguna dalam membuat pilihan untuk membeli perabot antaranya;


Kekuatan

Berapa kadar kegunaan sofa anda dalam ruang tamu. Adakah sofa yang digunakan untuk kegunaan keluarga berehat dan menonton TV atau sofa yang ada tidak diguna langsung.

Jika digunakan selalu adalah baik jika sofa yang dibeli mempunyai ciri penting iaitu sofa berkenaan mestilah kuat untuk menerima apa juga bebanan ke atasnya dan ukuran sesuai yang membolehkan diduduki pelbagai saiz dan kumpulan manusia.


Gaya

Seterusnya untuk memilih sofa yang bertindak sebagai pelengkap ruang dan dapat memenuhi tahap keselesaan maksimum. Tentukan mengetahui gaya yang sesuai dengan keperluan konsep reka bentuk ruang anda:

Sofa rendah dan rata = nampak bersih dan moden

Sofa melengkung, berbaldu, besar = gaya klasik

Sofa menggunakan kayu = gaya tradisional

Sofa anyaman bahan semula jadi = gaya resort dan kedesaan


Selesa

Dalam menentukan tahap keselesaan sofa adalah bergantung kepada keanjalan dan kelembutan kusyen. Tentukan sama ada hendak memilih jenis kusyen yang melekat atau terasing.

Keselesaan paling utama kerana kusyen yang baik dapat menampung berat sesuatu keluarga kerana dengan cara duduk saja kita dapat menguji tahap keselesaan sesuatu sofa.

Bahan yang digunakan hendaklah diketahui sama ada campuran dari bahan foam, fibre atau kekabu. Pengisian dari bahan foam adalah terbaik kerana dapat mengekalkan bentuk dan memberi sokongan yang kuat.

Seterusnya berapa bilangan kusyen yang diperlukan. Gaya satu kusyen akan menawarkan gaya moden sementara gaya dua kusyen atau lebih akan kelihatan seperti gaya tradisional atau klasik.


Seri warna

Digalakkan memilih warna yang terang untuk sofa.

Warna neutral adalah pilihan yang ideal.

Cara terbaik dengan mengekal sofa utama dalam satu warna dan digabung dengan corak dan warna dengan aksesori sofa seperti kusyen baling.

Ada idea yang baik dengan menggunakan corak pada upholsteri bagi menutup kekotoran yang berlaku pada sofa.


Saiz

Adalah satu kesilapan utama apabila membeli perabot atas dorongan tawaran jualan tanpa membuat kajian saiz ruang rumah anda.

Yang menyedihkan apabila saiz perabot tidak boleh muat walaupun pada pintu rumah.

Pastikan saiz dan dimensi serta ukuran lebar, tinggi dan panjang perabot diketahui dan saiz maksimum ruang rumah anda.


Ketahanan

Selain ketahanan struktur perabot, ketahanan bahan fabrik juga penting. Fabrik jenis jacquard adalah fabrik yang paling tahan. Bahan pelindung fabrik pula hanya menjaga fabrik tidak kepada ketahanan fabrik.

Periksa perabot yang hendak dibeli, ambil masa untuk memeriksa dari segi pembinaan struktur rangka perabot. Sofa yang tahan lama biasanya akan menggunakan bahan jenis kayu keras sebagai rangka, walaupun jenis kayu keras akan menyumbang kepada keberatan perabot.

Tunggang terbalikkan perabot yang hendak dibeli untuk mengetahui kekuatan dan kestabilan sofa.

Duduk dan rasai sofa yang hendak dibeli seperti di dalam rumah kerana ini akan memberi idea dan ajak orang lain untuk merasainya. Ini membantu anda membuat analisis terhadap tahap keselesaannya dan ketahanannya.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 12-8-2007 11:30 AM | Show all posts
Syarat ubah suai kediaman
Bersama Hamidon Abdullah
(Ketua Program Diploma Reka Bentuk Dalaman, UiTM)


Sumber kewangan, pemilihan perunding, kontraktor harus beri kepuasan diingini

MENGAPA kita perlu membuat pengubahsuaian? Satu soalan yang perlu dijawab setiap pembeli rumah. Banyak jawapan diterima bila soalan itu diajukan. Antara jawapan adalah pengubahsuaian perlu dilakukan apabila ruang sedia ada tidak boleh lagi menampung keperluan.

Selain itu perancang ruang yang tidak efisien, penggunaan bahan tidak sesuai, bukaan tingkap dan laluan pada pintu tidak memenuhi kehendak semasa adalah antara sebab utama pemilik cuba membuat pengubahsuaian.


Sebelum melakukan pengubahsuaian beberapa perkara perlu diambil kira supaya pelaksanaan lancar dan siap mengikut perancangan dan jadual.

Sumber kewangan

Sebelum sesuatu idea untuk pengubahsuaian timbul, perkara utama yang terlintas dalam fikiran pemilik rumah adalah sumber kewangan bagi menampung kos pengubahsuaian. Apakah sumber kewangan mencukupi untuk menampung keseluruhan idea pengubahsuaian. Antara perkara perlu diambil tahu adalah :


Perkenalkan bajet yang realistik.


Bandingkan angka yang mampu untuk dibelanjakan dengan nilai pengubahsuaian.


Jika ingin membuat pinjaman, buat perbandingan dengan institusi kewangan atau bank berdaftar dan minta nasihat rakan atau saudara yang pernah melakukannya.


Jika tidak pasti, berunding dengan juru reka bentuk dalaman profesional untuk mendapat nasihat atau cadangan. Harus diingat perunding reka bentuk dalaman akan mengenakan beberapa peratus bayaran jururunding ke atas rundingan yang dibuat.


Buat perbandingan daripada pelbagai kontraktor dan pembekal yang menyedia sebut harga ke atas kerja yang dikehendaki dan barangan yang akan dibekal.

Lebih banyak pengubahsuaian dibuat semakin tinggi kosnya, selain itu anda juga memerlukan sumber kewangan bagi membeli perabot dan kemasan baru.

Dengan bajet yang teratur dan sumber kewangan yang jelas dapat membantu kita membuat keputusan dan menyusun jadual supaya pengubahsuaian dapat disiapkan mengikut tempoh.

Dalam menilai cadangan ubah suai, anda perlu dapatkan setidak-tidaknya tiga cadangan harga daripada kontraktor dan perunding reka bentuk dalaman. Amat penting mendapatkan tiga anggaran harga untuk kita menilai dan membuat keputusan kontraktor yang mana sesuai yang menawarkan harga berpatutan.

Pastikan setiap anggaran tepat dan menyeluruh mengikut cadangan dan hendaklah bertulis untuk rujukan. Jika tidak dibuat secara bertulis akan berlaku pertukaran jumlah harga yang menyebabkan bajet melebihi anggaran. Masalah ini dipanggil kos tersembunyi yang akan menimbul pelbagai masalah di kemudian hari.

Pemilihan perunding dan kontraktor

Sebelum merealisasikan impian rumah anda untuk diubah suai, anda perlu mencari dan memilih rakan perunding reka bentuk dalaman dan kontraktor yang boleh menawarkan khidmat diperlukan.

Fungsi perunding reka bentuk sebagai perunding bagi memberi nasihat dan membuat cadangan reka bentuk secara profesional.


Membuat lakaran cadangan dalam bentuk dua dimensi iaitu pelan, keratan dan pandangan sisi.


Membuat lakaran cadangan dalam tiga dimensi iaitu pandangan perspektif.


Membuat anggaran kos, pilihan kemasan dan jadual pembinaan.


Menyedia lukisan kerja-kerja pembinaan mengikut cadangan dan butiran yang dipersetujui.


Membuat permohonan untuk mendapat kelulusan dari pihak penguasa tempatan (PBT) dan hal-hal berkaitan kelulusan pembinaan pengubahsuaian.

Kontraktor atau jurubina adalah mereka yang melaksanakan pembinaan mengikut cadangan disediakan perunding reka bentuk dalaman berdasarkan arahan dari segi lukisan pelan dan binaan yang disediakan.


Kontraktor akan menyediakan kos pembinaan berdasarkan pilihan bahan dan nilai kerja yang perlu dilakukan.


Kontraktor perlu menyiapkan kerja mengikut jadual dan memohon bayaran berdasarkan kos yang dipersetujui mengikut sebut harga dan kontrak.


Kontraktor tidak boleh sewenang-wenang membuat kerja yang bukan skop kerja dan memohon bayaran tanpa dipersetujui tuan rumah dan perunding.

Sebelum melantik sama ada perunding reka bentuk dan kontraktor anda perlu berhati-hati terutama mereka cuba melakukan penipuan. Carilah perunding yang berdaftar dengan badan reka bentuk profesional kerana mereka ada skala yuran profesional yang perlu diikuti.

Kaji dan selidik keupayaan perunding dan kontraktor, lihat kerja yang pernah dilakukan. Selepas menyelidik dan anda puas hati barulah membuat keputusan. Jangan buat apa-apa pembayaran sehingga kontraktor membuat kerja awalan dan bayar hanya atas nilai kerja yang dilakukan.

Setiap kerja yang dilakukan mesti mempunyai jaminan terhadap kesan kecacatan kerja dan kontraktor perlu membaiki sebelum semua pembayaran dibuat.

Berdasarkan sokongan dan cadangan dari rakan atau kenalan terhadap sesuatu kontraktor atau juru reka yang pernah melakukan kerja dengan rakan berkenaan dapat membantu kita mengkaji keupayaan dan dapat menjalin hubungan komunikasi yang baik dengan mereka.

Akhir sekali buat pilihan yang tepat dan pastikan pilihan juru reka dan kontraktor yang berdaftar, baik dalam dokumentasi kontrak dan pengurusan projek baik dalam keupayaan tahap kerja yang terdahulu dan mempunyai komunikasi yang baik. Ini semua bagi melancarkan kerja pengubahsuaian dan bagi mencapai impian rumah yang anda impikan.

FAKTA: Petua ubah suai rumah


Dapatkan pandangan daripada jiran, kawan atau saudara-mara atau orang yang berpengalaman.


Buat perbandingan dan dapatkan beberapa sebut harga.


Pastikan mendapat kelulusan pelan pengubahsuaian dan keselamatan

daripada pihak berkuasa.


Sebelum ubah suai, buat lakaran pelan. Seeloknya dapatkan nasihat pelukis pelan.


Upah kontraktor yang boleh dipercayai dan terbukti mutu kerja mereka.


Jangan bayar upah sekali gus. Ditakuti kontraktor lari sebelum siap kerja.


Pastikan anda mendapatkan bekalan bahan mentah yang berkualiti pada harga munasabah.


Jangan serahkan semuanya kepada kontraktor kerana ada kontraktor menggunakan bahan mentah yang murah dan tidak berkualiti.


Jika ada masalah ketika kerja pengubahsuaian, bincang dengan kontraktor untuk mengelakkan rasa tidak puas hati apabila rumah siap.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-8-2007 09:16 AM | Show all posts
Bentuk imej baru ruang tamu
Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Program Diploma Reka Bentuk Dalaman, UiTM)


Pengubahsuaian amat perlu dilakukan jika fungsi, kemasan dan gaya tidak lagi menarik


SELEPAS membincangkan peranan ruang tamu dan fungsi ruang serta pemilihan perabot dan kemasan yang sesuai pada ruang, kini saya akan membincangkan proses dan perkara yang perlu diambil perhatian dalam pengubahsuaian ruang tamu.

Ruang tamu adalah ruang untuk kita menerima tetamu selain tempat kita berkumpul bersama keluarga. Sebelum kita memulakan pengubahsuaian beberapa perkara perlu diambil kira antaranya mengenal pasti masalah yang dihadapi pada ruang sedia ada seperti kedudukan bukaan tingkap dan pintu serta masalah laluan pergerakan dan susunan perabot.


Selepas kenal pasti punca masalah, nyatakan idea untuk mengatasi masalah. Adakah idea untuk mengatasi masalah itu membabitkan perubahan struktur rumah dan apakah sumber kewangan yang ada ketika ini dapat menampung kos pengubahsuaian? Bawa berbincang dengan keluarga sebelum keputusan terakhir diambil.

Buat pemilihan atau menghubungi arkitek atau juru reka dalaman yang sesuai dan berkebolehan mengenai idea untuk membuat pengubahsuaian. Jika membabitkan perubahan struktur berbincang dengan arkitek dan jurutera struktur bertauliah.


Rujukan pada pelan bangunan perlu untuk panduan mengenai kos perbelanjaan dan untuk memohon untuk mendapat kelulusan dari pihak berkuasa tempatan (PBT).

Jika tidak membabitkan perubahan struktur, berbincang terus dengan juru reka dalaman berkenaan mengenai susun atur perabot, gaya penataan, kemasan dalaman dan skima warna. Dapatkan juga nasihat mengenai reka bentuk perabot yang sesuai, fabrik langsir dan jenis cat.

Selepas perbincangan dibuat mengenai kos dan persetujuan secara bertulis, kerja awalan perlu dilakukan. Mulakan dengan kita mengemas peralatan dan perabot dengan menutupi atau mengalih ke tempat lain dan kosongkan kawasan ruang tamu supaya kerja-kerja pengubahsuaian mudah dilakukan.

Mulakan kerja pada bahagian atas siling dulu supaya mudah dari segi penyelenggaraan sebelum ke bahagian lain. Jika ingin menggunakan kemasan siling gantung jenis fibrous plaster, pastikan ruang mesti kosong dan lantai mesti ditutupi bagi melindungi kekotoran.

Selepas kerja mengecat atau memasang kertas dinding selesai barulah upah tukang kayu atau pakar untuk memasang lantai. Cara pemasangan kemasan lantai bergantung kepada apakah jenis kemasan lantai yang akan digunakan. Jika menggunakan kemasan lantai kayu, pastikan kawasan sekitarnya bebas habuk sebelum kerja kemasan varnish dan melekatkan panel kayu dilakukan.

Sekiranya anda mempunyai sumber kewangan yang besar, adalah baik jika mengguna sumber berkenaan untuk membesarkan struktur ruang, ia boleh dilakukan menerusi kaedah berikut:


Menebuk dinding yang mengasingkan dua ruang untuk membentuk sebuah ruang tamu terbuka dan lapang.


Membina dinding pemidang daripada panel kaca dan cermin untuk beri kesan keluasan ruang secara ilusi.


Mewujudkan keluasan ruang secara menegak dengan menonjolkan kesan siling.


Mewujudkan kesinambungan luar dan dalam menerusi penambahan patio, pelantar, tingkap kaca panjang atau pintu lipat.

Jalinan luar dan dalam pada ruang boleh dilakukan dengan binaan landskap yang menarik bagi memberi kesan alam semula jadi seperti desiran bunyi air dan kehijauan pokok.

Ruang tamu terbuka boleh diperoleh menerusi pembinaan skrin gelangsar dan pengadang berlipat. Tutup skrin atau pengadang apabila ruang tidak digunakan dan membukanya apabila menggunanya Ketika mengadakan majlis keramaian tertentu.

Sumber cahaya semula jadi amat penting. Oleh itu pembinaan bumbung `skylight' atau memperluaskan bukaan tingkap bagi membawa masuk cahaya luar.


Kepelbagaian sumber pencahayaan menyediakan ragam suasana berbeza merujuk aktiviti yang dilakukan. Sebagai contoh lampu tumpu jenis terang diletakkan di sudut membaca dan lampu sisi untuk menonton tv.

Seperti diketahui ruang tamu adalah fokus pada keseluruhan ruang. Hanya ruang tamu mampu dijelajah tetamu anda, oleh itu beri tumpuan sepenuh pada ruang ini pada pilihan kemasan lantai, dinding dan siling serta pilihan perabot dan kemasan lembut.

Pengubahsuaian amat perlu dilakukan jika anda merasakan ruang tamu yang ada tidak lagi berupaya untuk berfungsi dengan sempurna dan tidak menarik dari segi pilihan kemasan atau pilihan gaya.

Dengan adanya usaha memberi nafas baru kepada suasana ruang tamu yang ada maka akan dapat membantu anda dan keluarga kepada pembentukan imej baru. Dengan adanya imej baru ruang tamu dan mungkin pada keseluruhan kediaman anda akan memberi seri kepada keluarga ketika menyambut hari yang istimewa seperti majlis perkahwinan atau majlis keramaian seperti sambutan Aidilfitri kerana pada ketika itu ramai tetamu akan datang mengunjungi rumah anda.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-8-2007 12:56 PM | Show all posts
Ruang makan kena praktikal
Oleh Hamidon Abdullah


RUANG makan adalah antara pusat pertemuan di dalam rumah selain ruang tamu dan ruang keluarga. Ruang makan biasanya terletak di antara ruang tamu dan dapur. Ia menjadi pertemuan apabila tetamu dan keluarga ingin menjamu hidangan.



Ruang makan boleh didefinisikan sebagai suatu ruang yang sebahagiannya terpisah dari dapur dan ruang di mana keluarga dan tetamu bertemu untuk menikmati hidangan dan hiburan bersama. Oleh itu adalah penting ruang makan dirancang supaya kelihatan menarik, dalam suasana mesra dan lebih penting mestilah praktikal ketika menyediakan makanan dan minuman.

Dua jenis ruang makan:

Ruang makan terbuka

Ruang makan terbuka ini membolehkan aktiviti menjamu hidangan digabungkan bersama dengan aktiviti memasak. Oleh itu ruang dapur tidak terpisah dengan ruang makan. Susun atur perabot meja makan berbentuk kaunter atau berbentuk biasa digabung bersama kaunter memasak di bahagian ruang dapur.

Ruang terbuka sesuai digunakan pada ruang terhad seperti rumah apartmen atau rumah yang mempunyai ruang makan terhad. Gaya ini bagaimanapun mula digunakan bagi kediaman kondominium mewah kerana aktiviti memasak tidak perlu disembunyi dan perlu diadakan secara terbuka.

Bagaimanapun sistem ruang makan terbuka memerlukan sistem sedutan udara baik dan peralatan dapur yang bersih dan kemas.

Ruang makan terpisah

Ruang makan terpisah ini bermaksud terletak berasingan dari ruang lain terutama ruang dapur. Bagi kediaman yang besar dan mewah, ruang makan utama dikhususkan untuk majlis makan rasmi bagi tetamu istimewa. Ruang makan ini di hiasi mengikut kedudukan dan kemewahan mereka sedangkan bagi menikmati hidangan harian, ruang makan sederhana disediakan di bahagian lain.

Ada juga ruang makan yang sederhana terletak di dapur kering bagi menikmati sarapan pagi. Ruang makan sarapan ini sesuai bagi mereka yang tidak memerlukan ruang makan yang besar kerana bilangan ahli keluarga sederhana dan mudah dikemas

Ruang makan semestinya mengandungi satu meja dan beberapa kerusi yang boleh menampung untuk kegunaan keluarga dan tetamu duduk dan menikmati hidangan dan minuman. Dalam melaksanakan tugas sebagai ruang makan beberapa panduan seperti ini perlu diambil perhatian;

Meja bulat sesuai bagi menggalakkan suasana makan yang harmoni dalam keadaan yang mudah untuk bersosial. Susunan bulat akan menyebabkan sesiapa pun tidak tertinggal atau terpinggir, cuma bentuk meja makan bulat agak terhad dari segi bilangan kerana lagi besar bilangan lagi besar ruang yang diperlukan. Bilangan tempat duduk sekitar 8 - 10 orang adalah bilangan maksimum yang paling sesuai.

Jika memang memerlukan bilangan yang ramai mungkin boleh mencadangkan meja berbentuk bujur oval yang boleh dipanjangkan.

Ruang makan terhad bukan alasan untuk pengguna ruang makan tidak berupaya menerima bilangan tetamu yang ramai kerana sistem meja makan lipat dan memanjang adalah yang paling sesuai dan praktikal.

Pilih kerusi atau tempat duduk selesa, pilihan perlulah menepati kehendak keperluan antropometrik dan ergonomik saiz manusia. Pilihan saiz yang tepat membenarkan pengguna duduk tanpa berlaga lutut dan siku. Selain daripada itu fikirkan juga saiz ruang yang diperlukan untuk menolak dan menarik kerusi ke belakang tanpa melanggar antara satu sama lain atau bahagian dinding dan perabot.

Jika keluasan ruang membenarkan, sediakan ruang untuk penyediaan makanan dan mestilah terletak berdekatan dengan pintu atau lorong ke dapur. Troli mudah alih sesuai digunakan jika sukar untuk menyedia ruang penyediaan makanan.

Rancang ruang penyimpanan barang untuk penyediaan makanan dan minuman. Bagi mengelak dilihat, bina tempat penyimpanan secara bina kekal atau perabot konsol diletak berdekatan ruang makan bagi memudah untuk dikeluarkan apabila hendak digunakan.

Meja empat segi sesuai digunakan dalam suasana makan secara terkawal dan lebih sopan selain penggunaan ruang juga boleh dirancang dan tidak memberi kesan ketara pada keseluruhan ruang makan.

Cermin boleh digunakan sebagai nilai tambah pada ruang makan kerana kesan pembalikan memberi kesan keluasan ruang dari pandangan visual. Selain daripada itu sebagai penyeri dan penarik selera kerana refleksi cahaya lampu menerangi ruang dan refleksi ruang yang cerah akan membangkitkan selera.


FAKTA:


Pemilihan warna penting di ruang makan. Pilihan warna yang sekata akan memberi kesatuan pada ruang makan. Pilih warna panas (warna merah) secara psikologi boleh membangkit selera dan menceriakan ruang.


Jika ruang makan mempunyai fungsi berbeza seperti ruang makan dan ruang bekerja atau belajar, sediakan skrin, langsir atau pemidang yang boleh mengasingkan ruang kepada dua setiap satu dengan fungsi masing-masing.


Penggunaan cahaya memainkan peranan penting dalam ruang makan. Jika boleh dapatkan cahaya semula jadi memasuki ruang makan, jalinkan ruang makan kepada persekitaran luar dengan tumbuh-tumbuhan segar, landskap menarik, desiran air dan adakan aktiviti luar sebagai membakar barbeque di patio atau di dek kayu dan sambil duduk makan di ruang makan.


Adakan bukaan yang luas pada ruang makan supaya tetamu dapat menikmati persekitaran yang menarik dan ventilasi udara yang selesa kerana ini semua menyumbangkan keselesaan untuk menikmati hidangan tanpa ada bau yang kurang menyenangkan.


Pemilihan aksesori dan hiasan yang menarik dapat menambah seri kepada ruang makan. Aksesori mestilah tidak mematikan selera makan, bersih tidak berbau dan tidak melambang kesedihan. Gambar kejayaan dan kegembiraan keluarga, lukisan dan gambar alam semula jadi, suasana ceria amat sesuai diletak di kabinet, meja dan pada dinding.


Pilihan lampu yang menarik dan disesuaikan dengan susun atur perabot. Susunan lampu siling dan lampu dinding hendaklah diselaras bagi memberi kesan yang dramatik dan tidak menyilaukan mata.


Ruang makan adalah pelengkap ruang sosial dalam rumah kediaman. Ruang makan perlu sama hebat dengan ruang tamu kerana ruang ini selain digunakan untuk menjamu tetamu dan keluarga, ruang makan juga digunakan untuk berunding dan berbincang. Jadikan ruang makan antara ruang yang menjadi pilihan anda dan sentiasa menyeronokkan.
Reply

Use magic Report

Post time 26-8-2007 02:13 PM | Show all posts
rajin betul syd ni...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-9-2007 12:22 PM | Show all posts

Reply #72 pinatbate's post

alaaa...
sambil dok baca2
tak susah pun
copy & paste taruk kat sini

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-9-2007 12:24 PM | Show all posts
4 faktor pilih perabot
Bersama Hamidon Abdullah(Ketua Program Diploma Reka Bentuk Dalaman, UiTM)


Luas ruang, saiz meja, gaya rumah dan bajet sukarkan pengguna buat pilihan

TERLALU banyak perkara yang perlu diambil kira apabila membeli perabot untuk ruang makan. Perabot yang dipilih mesti sesuai dan memenuhi cita rasa serta gaya hidup dan yang paling penting ketahanannya.

Dengan begitu banyak pilihan perabot dari segi gaya, bahan dan kualiti terdapat dalam pasaran, membuat pilihan tepat sudah tentu memeningkan dan kadangkala mengelirukan.



Faktor utama yang perlu diambil kira sebelum membeli perabot meja dan kerusi ruang makan adalah:

Keluasan ruang

Saiz meja makan dan kerusi

Gaya rumah anda

Bajet



Keluasan ruang


Anda perlu memastikan keluasan ruang dan bentuk meja makan seimbang pada keseluruhan ruang makan. Adalah bijak jika membuat ukuran ruang makan sebelum membeli perabot. Dengan begitu banyak pilihan perabot dari segi gaya, bahan dan kualiti terdapat dalam pasaran, membuat pilihan tepat sudah tentu memeningkan dan kadang-kadang keliru.

Selain itu lukisan pelan lantai dengan saiz ukuran mengikut skala yang betul perlu ada dan hendaklah dibawa bersama ketika menentukan pilihan perabot yang hendak dibeli.



Saiz meja

Selepas kita mengetahui keluasan ruang makan yang ada, kita sudah pasti boleh mengagak apakah saiz meja makan yang sesuai. Satu keperluan yang mesti ialah pilihan meja makan perlu muat ruang yang ada sebab tiada siapa mahu duduk dalam ruang sempit yang mana terpaksa berhimpit untuk menikmati hidangan.

Fikirkan berapa bilangan orang yang diperlukan dalam satu masa meja makan. Meja yang boleh dipanjangkan amat sesuai jika kita memerlukan tambahan tempat duduk. Pilih meja yang boleh dipanjangkan dan mudah diolah kedudukannya dan diminimumkan saiznya untuk kegunaan harian.

Kelebaran meja makan amat penting. Kita memerlukan kelebaran yang cukup untuk meletakkan pinggan dan mangkuk yang digunakan untuk menghidangkan lauk-pauk. Saiz kelebaran meja yang diperlukan adalah minimum satu meter jika hendak tetamu anda melayan diri sendiri.

Jika bilangan tetamu melebihi bilangan kerusi sedia ada sediakan kerusi yang boleh disusun secara bertindih untuk menjimat ruang apabila tidak digunakan.



Saiz Ukuran

i. Ketinggian


Standard saiz meja adalah 750 milimeter (mm) tinggi tetapi boleh direndahkan sehingga 700 mm


Tinggi kerusi mesti 450 mm pada aras tempat duduk

ii. Bilangan


Tetapkan berapa bilangan orang akan duduk, setiap orang memerlukan sekitar 600 mm kelebaran tempat duduk, benarkan 100 mm sehingga 150 mm.

iii. Jarak kelegaan


Jarakkan meja sejauh sekurang-kurangnya 600 mm dari dinding sekeliling supaya mudah untuk keluar dan masuk.


Jika mempunyai ruang makan kecil, permukaan meja boleh mengguna gelas dan ini akan memberi kesan ilusi pembesaran ruang

Bentuk meja makan

Saiz meja makan adalah faktor utama menentukan bentuk meja. Antara bentuk meja makan adalah:

Meja segi empat tepat


Sangat sesuai untuk makan secara santai dan juga sesuai untuk makan secara romantik kerana boleh diduduki dua atau empat orang.


Dapat menjimatkan ruang bila digunakan pada ruang kecil.


Tidak sesuai digunakan dalam bilangan yang ramai.

Meja segi empat bujur


Boleh menyediakan bilangan tempat duduk yang ramai


Boleh menolong memanjangkan ruang


Kurang sesuai dengan cara makan orang Asia jika hidangan tidak boleh dicapai pada bahagian hujung

Meja bulat


Sesuai untuk merangsang perbualan


Berkesan dari penyesuaian pada ruang yang tidak sama


Tidak sesuai dalam ruang kecil dan memerlukan ruang lebih berdasarkan bilangan tempat duduk.

Perabot yang mesra keluarga


Perabot yang mesra keluarga bermaksud bahawa perabot yang digunakan mestilah mempunyai ciri ciri keselamatan, tahan lasak dan mudah dibersihkan.


Antara ciri reka bentuk perabot mesra keluarga yang selamat adalah seperti mempunyai bucu meja yang bulat dan tidak tajam dan kemasan kayu yang senang dan tahan dikesat apabila kotor.


Selain itu bagi kemasan fabrik pada kerusi juga boleh dibuka dan kemudian boleh dibasuh jika berlaku kekotoran pada lapik tempat duduk kerusi.

Ruang penyimpanan


Masalah penyimpanan barang adalah masalah utama bagi rumah kecil, oleh itu sangat baik jika perabot meja makan ada menyedia laci atau ruang penyimpanan untuk menyimpan kain pengesat tangan, alas meja atau sudu garpu.


Pastikan jika ada ruang penyimpan pada meja makan, adakah saiz ketinggian cukup untuk keselesaan bagi kelegaan tempat duduk.

Bahan kemasan


Bahan kemasan meja makan adalah terdiri dari berbagai jenis. Pilihan kemasan dibuat berdasarkan tema, gabungan dekorasi, pilihan persendirian dan kemasan sedia ada pada perabot yang dibeli.


Pilih satu kemasan yang kukuh dan mempunyai fungsi.

Kemasan Kayu


Kuat dan memperlihatkan kesan bahan alam semula jadi


Menampakkan keselesaan dan kecantikan pada kemasan dan urat kayu


Berat dan sukar diubah kedudukan


Mahal kerana diperoleh dari gred kayu yang baik dan mahal

Venir


Sebagai bahan ganti kemasan dari bahan kayu yang padu


Mempunyai pilihan yang banyak dari bahan urat kayu yang cantik tidak terdapat pada bahan kayu tempatan


Mudah diselenggara jika menggunakan bahan laminate yang tahan panas dan kalis air


Perlu dijaga bagi mengelak merekah dan terkopek pada bucu meja

Kaca dan gelas


Menawarkan kesan eksklusif dan nampak mahal


Dapat menambah kesan ilusi pada ruang


Mudah dibersihkan tetapi perlu hati-hati kerana mudah pecah


Mudah tercalar, terdapat kesan tapak tangan dan kesan habuk terkumpul pada permukaan.

Plastik


Harga yang murah, maka ia mampu dibeli


Ringan, mudah dialih dan disimpan


Tahan lasak dan sangat sesuai di persekitaran luar rumah


Mudah diselenggara tapi tidak sesuai bagi rumah kediaman yang eksklusif


Mudah rosak kerana tidak tahan pada cahaya

Bajet

Pada dasarnya perabot ruang makan bukanlah murah seperti disangka. Semak bajet yang diperuntukkan, jika bajet tinggi, lebih baik mendapat perabot yang mahal dan bermutu tinggi Adalah baik menambah sedikit bajet bagi memperoleh perabot bermutu dari terpaksa berbelanja lagi kerana perabot mudah rosak atau patah.

Bagi keluarga yang baru, adalah baik memilih perabot yang 'selamat', 'tahan lasak' dan 'berfungsi' kerana faktor ini dapat membantu kita menggunakan perabot dengan jangka masa lama dan menjaganya baik.


Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-9-2007 11:00 AM | Show all posts
Ceriakan kamar tidur
Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Program Diploma Reka Bentuk Dalaman, UiTM)


Pemilik kediaman perlu elak guna warna yang boleh menyebabkan diri berasa tertekan


KAMAR tidur adalah ruang privasi atau persendirian. Lokasi kamar tidur biasanya terletak jauh dari ruang sosial yang lain, fungsinya supaya pengguna ruang tamu tidak diganggu oleh aktiviti di ruang sosial.

Bilik tidur ada beberapa jenis mengikut kegunaannya iaitu bilik tidur utama yang digunakan oleh pemilik rumah, bilik kedua terdiri dari bilik anak bujang atau bilik tidur kanak-kanak dan bilik tidur tetamu. Semua bilik tidur itu memerlukan beberapa keperluan bagi menjadikan bilik tidur berfungsi dengan baik.

Kamar tidur boleh dikatakan sebagai penawar jiwa dan raga kerana inilah satu-satunya ruang privasi pemilik rumah beristirehat selain ruang untuk menukar pakaian dan tempat menghias diri. Selain itu, ia juga diguna untuk berbincang secara privasi dan membaca

Kamar tidur adalah ruang untuk memulakan hari kita, jika hendak memulakan hari yang ceria maka kamar tidur mestilah kita ceriakan dulu. Apa yang perlu dilakukan adalah dengan merancang kamar tidur dengan baik dari segi kedudukan, susun atur, pemilihan bahan, skima warna dan aksesori dalamannya.

Jika kita lakukan dengan baik kita akan berasa lebih lega dan nyaman di dalamnya dan ini tentu sekali akan menceriakan ruang kamar tidur dan hari kita.


Lokasi kamar tidur utama

Bagi golongan muda yang masih kuat dan bertenaga, lokasi kamar tidur tidaklah menjadi isu utama dalam rumah yang mereka diami terutama jika rumah yang mereka miliki itu sebuah rumah teres dua tingkat sederhana.

Pihak pemaju sudah menentukan kamar tidur utama berada di tingkat atas kerana tingkat bawah hanya cukup untuk ruang tamu, ruang makan, dapur dan bilik utiliti. Bagi pemilik yang sudah berusia lokasi kamar tidur utama ini adalah perkara pokok yang harus diambil kira.

Rata-rata mereka mahukan kamar tidur berada di tingkat bawah kerana mudah untuk keluar masuk tanpa terpaksa memanjat tangga yang tinggi apabila tua atau sakit.

Lebih baik lagi jika kamar tidur berhampiran dapur kerana mudah untuk mengambil minuman apabila dahaga. Maklum sajalah apabila sudah pencen, anak pun sudah dewasa dan kebanyakan mereka tidak tinggal bersama lagi kerana inginkan kebebasan atau sudah berumahtangga.

Jadi, semuanya kena buat sendiri. Sememangnya bilik air juga haruslah bercantum dengan kamar tidur ini untuk kemudahan ke tandas. Alangkah indahnya jika kamar juga mempunyai tingkap atau pintu berkaca yang menghadap sebuah taman hijau kecil untuk menyejukkan suasana dan menyamankan pengaliran udara.

Ini akan membantu mengurangkan tekanan jiwa mereka yang terpaksa duduk di dalam kamar tidur untuk jangka masa lama kerana sakit. Bunyi desiran air mengalir juga akan membantu sebagai terapi jika diintegrasikan ke dalam taman berkenaan.

Aksesori kamar tidur utama

Apabila kita sakit dan tidak dapat keluar dari kamar tidur, kita pasti akan berasa bosan dan ini boleh menyebabkan tekanan jiwa yang tinggi dan melambatkan proses pemulihan.

Selain mempunyai pemandangan luar yang redup dan nyaman, kita juga memerlukan kelengkapan lain seperti TV. Jika barangan ini menjadi keperluan, eloklah disediakan perabot yang sesuai untuk aksesori sama ada pasang siap atau ditempah dan tentu sekali ia ditempatkan bertentangan kaki katil supaya kita boleh berehat sambil menonton rancangan kegemaran.

Biasanya, di bahagian kiri dan kanan katil, kita akan meletakkan meja sisi yang dihiasi lampu meja di atasnya untuk membaca sebelum tidur. Meja sisi ini haruslah cukup lebar bukan hanya untuk menempatkan lampu, tetapi alat lain seperti telefon bilik, alat kawalan jauh dan paling penting ialah makanan dan minuman ketika sakit.

Ramai sering lupa apabila sakit, kita sudah tidak larat lagi untuk bangun ke dapur. Semua keperluan harus berada berhampiran kita, maka perabot yang kita pilih juga haruslah menyediakan ruang mencukupi untuk keperluan itu.

Bagi makcik dan pakcik yang sudah biasa dengan tandas cangkung pula haruslah mencuba menggunakan tandas duduk. Hasil soal selidik yang dijalankan secara tidak formal, golongan tua lebih suka menggunakan tandas duduk kerana tidak meletihkan otot badan ketika ke tandas.

Mungkin pada peringkat permulaan berasa agak kekok, tetapi percayalah kalau kita sudah tua dan uzur, tandas duduk lebih kurang membebankan. Jadi, apabila kita merancang untuk memilih aksesori tertentu, kita haruslah memikirkan keadaan yang esktrim sekali iaitu aksesori penyeri tingkap.

Sebaiknya, kita haruslah menggunakan langsir dua lapis dengan satu lapisan yang jarang dan satu lapisan lagi tidak telus cahaya. Ini kerana ada masanya apabila kita sakit, cahaya matahari menjadi masalah utama apabila terlalu terang dan silau.

Jadi, kita haruslah menyediakan aksesori tingkap yang dapat menapis cahaya matahari ini dan pada waktu yang lain memberi kita peluang menikmati pemandangan di luar dengan keadaan lebih terkawal.

Pengaliran udara semula jadi

Apabila kita sakit atau tua, udara semula jadi yang nyaman adalah paling baik untuk tubuh kita. Udara dari pendingin hawa adalah udara yang dikitar semula berulang kali dan tidak begitu menyihatkan walaupun menyamankan kerana suhu rendah.

Paling ideal untuk tubuh kita adalah yang mengalir bebas dengan rongga ventilasi yang membolehkan udara masuk dan keluar dengan sendirinya tanpa menggunakan kaedah mekanikal atau elektrikal.

Ini memerlukan sentuhan seorang arkitek yang bijak dalam soal reka bentuk efektif dan jarang sekali kita temui keadaan ini kerana mereka lebih mementingkan estetik daripada fungsi.

Maka, tugas juru reka dalaman adalah untuk memulihkan keadaan ini supaya penghuni rumah berkenaan dapat menikmati pengudaraan yang efektif tanpa pendingin hawa. Namun, pemilik rumah juga harus sedar akan kepentingan ini kerana ramai juga pemilik rumah hanya mencari jalan mudah dengan memasang pendingin hawa.

Bagaimanapun, tidak salah untuk memasang alat itu kerana kita mempunyai alternatif sama ada hendak dihidupkan atau dimatikan pada waktu tertentu.

Kamar terancang penghuni riang

Persekitaran kita haruslah mampu membantu dari segi mental, fizikal dan spiritual. Kerana itu ia harus dirancang dan direka dengan mengambil kira aspek rasional dan bukan mengikut kehendak trend atau emosi semata-mata.

Skema warna bagi kamar tidur haruslah dipilih dengan bijak kerana kita harus memikirkan juga keadaan tertentu yang kritikal seperti hari tua atau sakit. Jika sesuatu warna itu lebih menimbulkan tekanan emosi dan mental dari sudut kesihatan, mengapa harus kita ikut orang lain semata-mata kerana tren atau fesyen. Ingatlah - ini rumah, bukan ruang komersial.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 17-9-2007 12:43 PM | Show all posts
Kamar anak bujang
Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Program Diploma Reka Bentuk Dalaman UiTM)




PERSEKITARAN selesa mewujudkan keupayaan berfikir.


Keperluan tidak tertumpu pada tempat tidur tetapi juga ruang belajar, keselesaan

BERBICARA mengenai kamar tidur memang agak panjang kerana ia meliputi hampir 50 peratus keseluruhan ruang dalam kediaman kita. Selepas membincangkan mengenai kamar beradu utama, sekarang kita beralih perhatian kepada ahli keluarga paling dekat iaitu anak.

Dalam keluarga, anak-anak berada pada tahap usia berbeza. Apabila meningkat dewasa mereka memerlukan kamar tidur berbeza dengan zaman mereka ketika kanak-kanak.

Berdasarkan usia dan perubahan fizikal mereka ini, kita istilahkan sebagai anak bujang. Maka bapa atau penjaga harus mengasingkan mereka dari segi jantina dan memahami apa kehendak semasa dan minat mereka.

Kepentingan menyediakan persekitaran dalaman yang selesa dan mampu meningkatkan keupayaan berfikir memang tidak boleh diambil ringan. Dengan elemen dalaman dan kegunaan seharian, kita dapat melatih mereka soal kebersihan, disiplin dan apresiasi terhadap keindahan serta penyelenggaraan supaya persekitaran kekal tersusun sepanjang masa. Kebiasaan ini akan menghasilkan manusia yang lebih teratur hidupnya dalam pelbagai aspek pada masa depan.

Masalah saiz ruang


BILIK tidur bujang perlu sesuai dengan keperluan mereka.


Sering kita berhadapan dengan saiz ruang terhad dalam menyediakan persekitaran dalaman serba lengkap untuk anak-anak. Saya lebih banyak membicarakan mengenai pemilik rumah teres kerana saya sendiri adalah pemilik rumah teres dan secara langsung menghadapi masalah berkenaan.

Di sini, kita terdorong menyoal semula peranan arkitek dan pemaju yang mereka bentuk serta membangunkan rumah itu.

Dalam banyak hal mereka gagal memberikan penyelesaian pembahagian saiz ruang yang seimbang mengikut keperluan dan amalan kehidupan lazim. Inilah akibatnya apabila khidmat nasihat pakar juru reka dalaman tidak dimanfaatkan sebaiknya.

Kita dapati kompromi antara saiz ruang tidak dapat dicapai sebaiknya. Ada kamar tidur utama terlalu besar dan berlebihan manakala saiz kamar tidur lain amat sempit dan tidak memadai dengan keperluan asas kamar anak bujang lelaki mahupun perempuan.

Kamar yang hanya muat secara idealnya untuk seorang kini terpaksa dikongsi berdua atau lebih, membuatkan mustahil untuk menghasilkan reka bentuk dalaman yang selesa dan menyenangkan.

Keperluan kamar anak bujang bukan hanya tertumpu kepada tempat tidur, almari pakaian dan barang keperluan peribadi saja tetapi, dewasa ini anak memerlukan tempat belajar yang kondusif bagi memberi motivasi mereka ketika mentelaah pelajaran di rumah.

Komputer dan kelengkapannya sudah menjadi sebahagian daripada keperluan seharian dalam pembelajaran. Sekiranya saiz ruang yang ada terhad, maka di mana hendak diletakkan semua kehendak ini? Ini belum termasuk apabila kita membicarakan mengenai rumah pangsa kos rendah yang mana bilangan ahli keluarga secara purata melebihi tiga anak.

Bagi yang memiliki rumah banglo, masalah ini tidak timbul, tetapi saya lebih senang membicarakan masalah yang dihadapi pemilik kategori terbesar iaitu rumah teres dan rumah pangsa kos rendah. Fungsi reka bentuk dalaman bukan sekadar mencantikkan ruang untuk golongan berada saja, tetapi menyelesaikan masalah keseluruhan kualiti ruang untuk semua lapisan masyarakat.

Masalah kualiti ruang

Dengan bangunan rumah teres dan rumah pangsa yang dibina sekarang di negara kita, saya kira sebahagian besar tidak melalui proses pemikiran dan penganalisaan dari aspek keperluan dan budaya hidup pengguna ruang.

Pemaju sebenarnya bertanggungjawab memberikan suatu reka bentuk asas yang menjawab kepada keperluan dan kehendak pengguna. Sesetengah pemaju tidak memainkan peranan langsung melainkan hanya memberikan kelainan dari segi kosmetik, yang sering tidak membawa apa-apa makna dan terikut-ikut dengan pengaruh luar.

Ia hanya menghancurkan martabat identiti tempatan yang sepatutnya kita banggakan dan pertahankan. Rumah ala tudor, ala Mediterranean, ala English dan ala Perancis hanya menambahkan kos rumah dan tidak memberikan penyelesaian masalah ruang yang lebih nyata dan serius.

Pemilik menjadi mangsa

Hampir semua pemilik rumah terpaksa menjalankan pengubahsuaian reka bentuk untuk menjadikannya lebih selesa didiami. Kita terpaksa berbelanja lebih besar dan kadangkala hampir 50 peratus daripada keadaan asal rumah terpaksa dikorbankan dengan kos bertambah sekali ganda.

Maka, apakah usaha kita selanjutnya? Pemaju dan arkitek juga adalah pemilik rumah, maka mereka juga harus bertanggungjawab dalam mencari jalan untuk menangani masalah ini. Mereka harus menggunakan khidmat dan kepakaran juru reka dalaman yang kerjanya khusus memikirkan masalah ini dan merujuk kepada beberapa negara maju yang melaksanakan beberapa ruang modular fleksibel boleh diubah suai mengikut keperluan siang dan malam.

Tidak bolehkah kita menghasilkan suatu atur asas ruang yang menjawab kepada persoalan saiz, keperluan storan, ventilasi dan perkara berkaitan kualiti ruang berkenaan? Ini boleh menyebabkan pengubahsuaian lumayan tidak perlu dijalankan dan penumpuan idea serta belanjawan boleh disalurkan kepada pengisian ruang yang lebih memberi faedah kepada pembangunan minda, spiritual dan keselesaan fizikal.

Keperluan kamar tidur anak bujang

Himpunan buku dan majalah tidak patut dibiarkan berselerak, begitu juga dengan barang permainan, pakaian dan perhiasan. Atasi masalah barang bersepah dengan membina rak penyimpanan siap dipasang jenis berpintu atau terbuka sama ada di penjuru, sudut atau ceruk di bilik tidur.

Atur kedudukan katil di tengah ruang atau ke dinding. Jika dua penghuni dalam satu bilik, gunakan katil dua tingkat atau katil bawah berlapis yang boleh ditarik di bahagian bawah yang boleh menjimatkan ruang.

Untuk kelainan, pasang rak buku menggantikan kepala katil. Jika mampu berbelanja lebih, tambah binaan kabinet siap dipasang di kepala katil yang boleh dijadikan tempat mempamer perhiasan dan menyimpan pelbagai barangan.

Kedudukan meja belajar atau membaca di dalam kamar tidur mestilah strategik dan melahirkan suasana segar serta cerah dari sumber cahaya semula jadi. Wujudkan sudut membaca di tepi tingkap. Tukar binaan tingkap biasa kepada jendela mengunjur supaya lebih banyak cahaya boleh memasuki ruang.

Meja membaca mestilah menyediakan laci kabinet berukuran rendah berpintu atau berlaci di bawah tingkap. Sediakan rak buku sebanyak mungkin supaya buku disusun teratur.

Disyorkan memasang lantai berlamina kayu yang tahan lasak kerana ia selesa dipijak dan mudah dibersihkan. Ini dapat mengelakkan kesan lembapan dan mudah dikeringkan.

Selain itu, gunakan pilihan warna pada kemasan dinding yang ceria menggambarkan kesan dinamik dan progresif sesuai dengan usia mereka tetapi harus berhati-hati kerana kalau tidak dikawal akan memberi kesan tekanan kepada anak anda secara tidak langsung.

Oleh kerana anak bujang cepat terpengaruh dengan perkembangan semasa dari segi perkembangan muzik, filem dan sukan, maka gambar poster idola mereka akan ditampal pada dinding. Oleh itu sediakan papan lembut dan papan putih untuk mereka melekat gambar dan membuat catatan.

Sediakan cahaya lampu yang cukup terutama lampu am pada siling dan lampu membaca pada meja belajar, kipas mestilah ada dan diletakkan sesuai pada ketinggian jika menggunakan kipas siling. Soket kuasa elektrik perlu mencukupi dan terletak berdekatan dengan meja belajar untuk sambungan pada peralatan komputer dan peralatan elektrik lain.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 24-9-2007 02:54 PM | Show all posts
Kamar tidur anak berbeza ikut usia
Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Program Diploma Reka Bentuk Dalaman, UiTM)



FAKTOR utama merancang kamar tidur anak ialah keselamatan dan keselesaan.


Bilik tidur kanak-kanak perlu bersifat dinamis serta mengikut perkembangan

KAMAR tidur anak adalah ruang yang tidak kurang pentingnya kerana anak-anak memerlukan ruang privasi bagi membolehkan mereka menikmati aktiviti seperti bermain, berehat dan tidur tanpa gangguan.

Kamar tidur ini perlu disediakan perabot, kelengkapan permainan yang semuanya khusus untuk peringkat kanak-kanak dari segi bentuk, bahan, ukuran dan juga pemilihan warna.

Perkembangan kanak-kanak berbeza mengikut usia, begitu juga dengan ruang mereka. Oleh itu, penyediaan ruang kamar tidur mereka berbeza mengikut usia dan menyesuaikan dengan keperluan. Penyediaan ruang mestilah bersifat dinamis dan mengikuti perkembangan anak-anak bagi memenuhi pertumbuhan mereka.

Berdasarkan kepada perkembangan usia anak-anak, ruang tidur juga berbeza dan dikategorikan kepada empat peringkat:

Ruang tidur bayi.


BILIK tidur kanak-kanak perlu guna warna terang.

Ruang tidur peringkat usia ini hanya berfungsi untuk tidur kerana pada peringkat ini mereka tidak boleh melakukan apa-apa aktiviti selain dari tidur, menyusu dan menangis.

Kebiasaannya, ruang ini memerlukan dua jenis perabot iaitu perabot untuk bayi seperti tempat tidurnya, almari pakaian dan peralatan serta perabot untuk orang dewasa. Ini kerana pada peringkat ini mereka masih tidur bersama penjaganya.

Ruang tidur kanak-kanak peringkat usia satu hingga enam tahun.

Ruang tidur peringkat usia ini, selain daripada tidur, biasanya digunakan untuk bermain kerana kanak-kanak sudah boleh melakukan kegiatan seperti berjalan, berlari dan memanjat. Dengan aktiviti itu, ruang tidur mestilah dapat menyediakan kemudahan yang membolehkan bergerak dengan selesa.

Ruang tidur kanak-kanak peringkat usia enam hingga 12 tahun.

Ruang tidur peringkat ini biasanya digunakan untuk belajar dan bermain. Selalunya, mereka mempunyai banyak aktiviti apabila berada di peringkat sekolah. Ruang perlu dilengkapi dengan perabot dan keperluan lain bagi mendukung kegiatan anak serta membantu mereka mengekspresikan diri seperti menampal poster pemain bola atau apa saja idola yang menjadi minat mereka.

Selain tempat tidur, ruang ini perlu dilengkapi meja belajar yang sempurna bagi memudah mereka belajar. Oleh kerana mereka sudah memasuki alam baligh, sebaiknya dipisahkan ruang ini antara anak lelaki dan perempuan.

Ruang tidur kanak-kanak peringkat pra-remaja dan remaja.

Pada peringkat usia ini kanak-kanak mula meningkat dewasa dan kegiatannya mula tertumpu kepada minat dan hobi. Kegiatan bermain hanya dilakukan di luar rumah.

Anak pra-remaja memerlukan keperluan perabot dan ruang penyimpanan yang besar kerana mereka mempunyai peralatan dan simpanan koleksi hobi yang jika tidak disusun atur dengan baik akan membuatkan ruang kelihatan semak.

Selain itu, meja belajar mestilah selesa dan sesuai bagi membantu memberi tumpuan menghadapi peperiksaan seperti PMR dan SPM.

Mereka bentuk dan merancang ruang kanak-kanak

Keupayaan mereka bentuk ruang kanak-kanak adalah impian setiap penjaga dan ibu bapa. Ibu bapa mana yang tidak mahu mereka bentuk dan merancang ruang anak kesayangan mereka bagi melihat mereka membesar dengan ruang selesa.

Setiap ibu bapa pasti berasa amat bahagia dan gembira melihat perkembangan pembesaran anak-anak mereka berdasarkan kepada perubahan pada ruang bilik atau kamar tidur mereka.

Ruang kanak-kanak perlu dikemaskini dari segi dekorasi reka bentuk dan perancangan ruang sekurang-kurangnya tiga kali sepanjang tempoh pembesarannya di rumah.

Ia bermula dari kanak-kanak peringkat bayi sehingga menjadi remaja. Ruang kanak-kanak perlu dirancang mengikut kesesuaian perkembangan fizikal dan minda mereka. Dua perkara perlu ditekan iaitu ruang dan kandungannya.

Dalam ruang, kanak-kanak pra-sekolah memerlukan bilik yang luas untuk aktiviti fizikal spontan. Oleh itu lantai mestilah lapang tanpa halangan. Bagi mereka yang bersekolah pula, mereka mula diorientasi kepada tugas spesifik dan memerlukan perabot yang mempunyai fungsi.

Seterusnya apabila kanak-kanak semakin membesar ruang lantai semakin kurang kerana keluasan lantai digunakan untuk meletakkan perabot yang diperlukan oleh mereka.

Ruang kanak-kanak seharusnya mengikut pelbagai fungsi berdasarkan keperluan menyediakan kawasan berasingan untuk tidur, bermain dan belajar membenarkan setiap aktiviti dapat dilakukan secara efektif. Selain itu membantu ruang kelihatan menjadi lebih kemas dan teratur.

Faktor paling utama dalam merancang ruang kanak-kanak adalah memastikan ruang berkenaan selamat dan sihat. Pastikan ruang mempunyai aliran ventilasi yang sempurna dan tidak terdedah kepada punca kecelakaan dan kecederaan.

Pergerakan dan aktiviti kanak-kanak yang kasar dan lasak memerlukan bahan kemasan dan perabot yang digunakan juga tahan lasak, mudah dibersihkan dan tidak menyebabkan kecederaan.

Warna memainkan peranan penting dalam mereka bentuk ruang kanak-kanak yang berjaya. Gunakan warna terang supaya dapat merangsangkan minda dan pergerakan mereka. Warna menarik dengan lukisan mural pada dinding akan membantu menggalakkan kreativiti kanak-kanak.

Pemilihan perabot yang sesuai dengan saiz ketinggian fizikal mereka amat penting supaya kanak-kanak tidak menjadi mangsa. Perabot seharusnya ringan dan mudah alih supaya boleh dialih mengikut kehendak mood dan aktiviti.

Terdapat perabot yang direka bentuk menyerupai bentuk tertentu supaya menarik minat kanak-kanak dan membantu membentuk imaginasi yang tinggi.

Dalam mereka bentuk dan merancang ruang kanak-kanak, kepuasan antara ibu bapa dan kanak-kanak adalah penting. Ruang berkenaan mestilah jelas milik anak-anak bukan ruang yang terpaksa dikongsi pula dengan orang dewasa.

Selain itu, ruang berkenaan tidak asing kepada ruang yang ada di dalam rumah. Kehidupan kanak-kanak penuh dengan perubahan dan perkembangan. Oleh itu, ruang mereka seharusnya melambangkan bentuk positif, imiginatif dan kreatif.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-10-2007 11:41 AM | Show all posts
Perabot kamar tidur perlu selesa
Oleh Hamidon Abdullah


BELANJA wang lebih untuk keselesaan tubuh kita.

Susunan secara bijak, utama keperluan asas wujud suasana lebih nyaman

SELEPAS kita membincangkan jenis kamar tidur, sekarang kita membincangkan pula pengisian kamar tidur dari segi pilihan asas seperti perabot almari baju, meja solek, katil serta tilam.

Kamar tidur paling selesa menggabungkan keperluan asas dengan sempurna selain daripada susun atur serta perancangan ruang yang baik.

Ada banyak jenis perabot almari yang sesuai dengan keperluan kamar tidur. Setiap kamar mesti dilengkapi almari baju atau rak baju. Bilangannya saja yang berbeza mengikut keperluan pengguna dan saiz kamar tidur. Ada beberapa jenis perabot almari yang biasa digunakan. Antaranya:

Almari dan rak baju jenis terasing

Almari ini jenis mudah alih, binaannya tidak kekal. Pengguna boleh dapat banyak pilihan kerana boleh didapati di kedai perabot. Saiznya standard dan pengguna biasanya diberi set yang sama dari segi warna, kemasan, reka bentuk dengan katil dan meja solek.


TILAM yang baik menyokong badan kita ketika tidur.



Almari dan rak baju jenis bina kekal

Almari jenis ini pula adalah dari jenis binaan kekal dan pengguna dapat mengguna ruang dinding yang ada dan ketinggian siling untuk membina almari. Binaan kekal ini memberi banyak pilihan dari bilangan rak dan tempat penyimpanan kerana pengguna boleh merancang dan meminta juru reka menyediakan keperluan diperlukan dan reka bentuk sesuai dengan tabiat pengguna.

Bagi mereka yang mempunyai kamar tidur mewah biasanya mengasingkan kamar tidur dengan ruang almari pakaian. Ruang jenis ini dikhususkan untuk menyimpan segala pakaian dan peralatan lain seperti kasut, beg dan lain-lain aksesori.


Meja solek

Meja solek antara keperluan perabot dalam kamar tidur yang tidak kurang pentingnya. Fungsinya adalah untuk bersolek dan meletak peralatan bersolek dan bahan pewangi serta lain koleksi.

Ada banyak pilihan katil yang digunakan dalam kamar tidur antaranya katil divan, katil kerangka dan katil sofa. Semuanya ada gaya dan fungsi tersendiri. Katil divan didatangkan dengan tilam dan pelantar atau platform, katil kerangka pula mempunyai berbagai gaya, bentuk dan bahan menarik manakala katil sofa pula penuh dengan dua fungsi dan digunakan untuk menghasilkan ruang lebih efisien.

Jenis-jenis katil


Katil Divan

Katil jenis ini mempunyai asas berspring sepenuhnya yang memberi keselesaan tidak terhingga ketika tidur. Untuk mereka yang menyukai katil kerangka besar tetapi kelihatan menyemakkan bilik, katil jenis divan adalah pilihan terbaik.

Sebagai tambahan untuk mencantikkan dinding pada kepala katil, kepala katil boleh direka bentuk dengan menghias mengikut tema reka bentuk bilik tidur. Cara hiasan ini banyak digunakan pada bilik hotel dan resort.


Katil kerangka

Katil jenis ini amat popular kerana banyak digunakan pada rumah kediaman. Kerangka katil paling baik adalah kerangka yang fleksibel dan dapat menyokong apa juga tilam.

Selain kerangka besi, kerangka kayu dari kayu keras adalah kuat dan tahan lasak tetapi amat berat serta kelihatan besar.


Katil sofa

Katil sofa semakin popular ketika ini dan direkabentuk dengan pelbagai reka bentuk menarik. Gaya hidup sekarang yang serba ringkas dan dengan keluasan lantai bilik terhad menjadikan katil sofa sebagai pilihan dan mudah diselenggara. Selain itu, ia boleh diguna sebagai tambahan unit katil di dalam bilik tetamu

Sistem kontruksi kerangka mestilah kuat kerana katil sofa akan digunakan berulang-ulang iaitu sebagai tempat duduk pada siang hari dan menjadi katil pada waktu malam

Kerangka besi dari kemasan powder coated adalah bahan yang amat sesuai kerana kuat dan tahan lasak. Lebih baik jika katil sofa itu mempunyai roda kerana mudah di alih.

Pemilihan tilam dan katil

Pemilihan jenis katil berdasarkan pilihan dan rujukan pengguna. Pengguna akan membuat pilihan berdasarkan cita rasa dan gaya sesuatu bilik tidur yang hendak dihias. Pemilihan katil yang baik dan perabot sesuai dapat membantu menjadikan kamar tidur selesa.

Kadangkala kita tidak memberi pilihan yang bijak dalam bilik tidur kita kerana biasanya pemilihan tilam adalah pilihan terakhir kita buat sedangkan tilam perabot paling penting yang memberi kesan kepada kesihatan tubuh badan.

Walaupun kita hanya menghabiskan sekurang-kurangnya suku dari masa hidup kita sehari di bilik tidur tetapi kita selalunya kurang memberi perhatian dan bajet daripada apa berikan pada perabot sofa dan meja makan.

Sebuah tilam yang baik boleh bertahan sehingga 10 tahun berbanding perabot lain yang hanya boleh bertahan separuh daripada tempoh berkenaan.

Tilam yang tidak sempurna akan menyebabkan kesakitan tubuh badan dan tengkuk selain menyebabkan tidur tidak nyenyak. Seperti yang kita tahu tidur yang tidak sempurna menyebabkan kita hilang mood, tertekan dan hilang tumpuan pada keesokan harinya. Oleh itu, masalah berkenaan dapat diatasi dengan mendapat tilam yang baik dan sempurna untuk tubuh badan.

Cara mendapat tilam yang baik.


Ujian kepadatan

Tilam yang lembut menyebabkan anda merasa selesa pada pertama kali anda gunakan tetapi pada keesokannya anda akan merasakan badan anda terasa sakit kerana tilam yang baik mempunyai kepadatan yang seharusnya mendukung badan anda dengan penuh sokongan dan dengan itu badan anda tidak melentur ke bawah.


Ujian keselesaan

Pastikan tilam yang menjadi pilihan akan memberi keselesaan sepenuhnya kerana tilam itu memberi kesan kepada kesihatan badan anda. Oleh itu cuba baring dan rasakan keselesaannya sebelum anda membuat keputusan untuk membelinya.


Ujian sokongan

Anda tahu apa yang anda mahu. Jangan biarkan jurujual yang menentukan kehendak anda. Dapatkan jaminan dari pengeluar tilam mengenai kelebihan tilam yang diiklankan


Positif mengenai harga

Ingat bahawa tilam yang dibeli akan digunakan dalam jangka masa 10 tahun akan datang dan tilam ini yang menenangkan kita dari kesibukan dan keletihan sepanjang hari. Jangan dapatkan tilam yang murah,.. dapatkan yang berkualiti kerana tilam murah mudah nipis, kurang kepadatan dan dibuat secara tidak berkualiti.


Beli yang baru

Jangan sesekali beli tilam yang sudah dipakai. Tilam biasanya akan disesuaikan dengan pengguna pertama. Oleh itu, tilam berkenaan sudah terbentuk kepadatan mengikut pengguna pertama dan tidak mungkin ia boleh mengikut bentuk badan anda. Selain itu, kemungkinan tilam berkenaan dihinggapi bakteria atau pijat.

Untuk memilih tilam yang baik, berunding dengan profesional atau jurujual yang mahir dengan produk dijual. Pastikan jenis tilam dalam pasaran seperti jenis poket spring yang baik untuk orang sakit bahagian belakang badan atau jenis koil terbuka yang kurang dari segi harga. Menggunakan tilam jenis latex dan foam juga pilihan terbaik untuk mereka yang alah kepada habuk dan hama.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-10-2007 11:32 AM | Show all posts
3 elemen serikan rumah


USAHA menghias kediaman lebih bermakna jika anda memperuntukkan bajet tertentu bagi mengelak pembaziran.

Kebijaksanaan menghias ruang dengan warna dinding, perabot dan perhiasan sedia ada secara kreatif mampu menjimatkan perbelanjaan.


Pemilihan tepat tiga elemen utama iaitu teknik pencahayaan, warna dinding dan perabot mampu menghasilkan kesan menarik.

Teknik pencahayaan yang sesuai penting untuk melahirkan suasana pelengkap konsep hiasan dalaman anda.

Lampu kuning perlu diselenggarakan sebaik mungkin untuk menghidupkan ruang dan gabungan sumber cahaya kuning serta putih pula mewujudkan senario berbeza.

Biasanya cahaya putih digunakan pada siling berlekuk dan dinding tumpu sementara lilin juga boleh dijadikan salah satu sumber cahaya yang menarik.

Bagi kemasan dinding pula, anda tidak perlu mengecat keseluruhan dinding, memadai sebahagian saja sebagai titik tumpuan.

Warna cerah dan terang boleh digunakan untuk memberikan kesan lebih luas dan pastikan ia yang dipilih kelihatan menarik dan bertenaga.

Dua tona warna berbeza disarankan untuk ruang tamu manakala ruang makan lebih sesuai ditampilkan warna terang dan lembut bagi menaikkan seri suasana.

Di bilik tidur, hanya satu dinding sesuai dicat dengan warna terang, iaitu dinding pertama yang dilihat apabila pintu dibuka.

Perhiasan seperti bantal hiasan, sarung sofa, fabrik langsir, jambangan bunga antara elemen penting yang mampu menyuntik keindahan semula jadi.

Gunakan warna terang untuk sarung bantal hiasan dan sarung sofa bagi mewujudkan suasana ceria.

Selarikan warna fabrik langsir dan sarung sofa bagi menghasilkan sentuhan menarik dan mempesonakan.

Jambangan bunga hidup tona terang ada kalanya mengilhamkan ketenangan dan sesuai diletakkan pada ruang tertentu seperti ruang tamu, ruang makan dan bilik tidur.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-10-2007 11:49 AM | Show all posts
Bina, ubah suai dapur perlu perancangan teliti
Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Program Diploma Reka Bentuk Dalaman, UiTM)


GAYA rekaan dapur berubah mengikut keadaan.



Reka bentuk dapur hendaklah sesuai dengan cara hidup, inspirasi gaya yang dikehendaki

PERANCANGAN pembentukan sebuah ruang dapur berhubung rapat dengan budaya dapur amalan keluarga kita sendiri. Maka tidak ada satu jawapan untuk semua keluarga. Setiap keluarga mempunyai keperluan yang unik.

Dari segi teknikal, lazimnya ada kehendak standard. Kita sebagai pengguna dapur sendiri jangan terlalu terikut-ikut dengan orang lain.

Latar belakang dapur masyarakat Malaysia

Sebagai orang Melayu, saya lebih merujuk kepada amalan budaya masyarakat Melayu tradisi. Antara perkara yang dititikberatkan adalah upacara keramaian di rumah. Contohnya, kenduri, perkahwinan, kematian dan hari raya.

Upacara begini sering mencabar keberkesanan perancangan ruang dapur dan ruang makan. Ini kerana silap mengatur laluan trafik akan menyebabkan kesesakan lalu-lintas dan menjejaskan upacara berkenaan.


RUANG dapur perlu praktikal.



KEBERSIHAN dapur perlu dititikberatkan.

Dalam masyarakat Melayu tradisional, dapur dikhaskan untuk wanita. Dulu, wanita adalah suri rumah, maka banyak masa dihabiskan di situ untuk menjalankan pelbagai aktiviti domestik tetapi sekarang tidak janggal golongan lelaki ke dapur untuk membantu isteri.

Pada hari ini, dapur sudah banyak melalui perkembangan dari aspek reka bentuk dan perancangannya. Pada zaman kolonial British dulu rumah ibu dan dapur mempunyai definisi yang jelas kerana dibezakan aras dan kedudukannya.

Dapur rumah bangunan kolonial biasanya mempunyai kawasan bertutup dan terbuka yang disatukan. Ini sebenarnya sangat praktikal dan menarik.

Kedudukan ruang dapur masyarakat hari ini

Hari ini, dapur moden mengalami satu masalah yang lazim iaitu keluasan terhad terutama di rumah teres dan apartmen tetapi aktiviti dapur tetap sama. Di situlah kita memasak, mencuci pinggan-mangkuk, mencuci baju dan menjemur pakaian.

Di kawasan yang kecil itu juga hendak bercucuk tanam menghasilkan taman herba atau taman mini. Sebenarnya jika dirancang dengan baik dan bijak, ia akan menjadi ruang paling digemari keluarga.

Namun, perancangan yang baik ini harus disesuaikan budaya dapur kita. Dapur yang moden dan canggih sekalipun, jika penggunanya tidak bersih, tidak rajin berkemas, kasar dan tidak mengikut peraturan, dapurnya pasti menjadi buruk juga.

Jadi, dalam merancang reka bentuk dapur, ia perlu disertakan dengan perubahan amalan budaya dapur yang menekankan aplikasi sistem yang berkesan dan praktikal.

Seperti yang saya sebutkan tadi, aktiviti mencuci pakaian dan menjemur baju juga dilakukan di dapur. Kawasan luaran yang sedikit di belakang rumah dimanfaatkan sebagai tempat menyidai pakaian dan ini merosakkan pemandangan indah seni bina rumah kita.

Namun, tidak dapat dielakkan mengikut pengakuan sebilangan suri rumah bahawa ruang yang ada itu menempatkan semua aktiviti berkenaan. Jadi, kesimpulan yang dapat dibuat ialah suasana dapur menarik dan selesa banyak bergantung kepada tradisi amalan dapur kita.

Di sini boleh saya katakan bahawa reka bentuk atau hiasan dalaman bukan hanya menekankan nilai estetik semata-mata, tetapi membentuk disiplin diri ahli keluarga dan memperbaiki kualiti hidup sesebuah keluarga.

Perkembangan dapur pada hari ini

Tugas dapur berubah secara dramatik pada 20 atau 30 tahun lalu. Dari berfungsi secara asas sebagai tempat yang hanya menyedia dan menyiapkan makanan untuk keluarga menjadi ruang pelbagai fungsi seperti penyimpanan makanan kepada penyediaan makanan dan sebagai ruang keluarga.

Pertukaran cara hidup dan teknologi banyak mempengaruhi cara dapur berfungsi. Dengan adanya peralatan dapur canggih dan mesra pengguna membuat cara dan gaya memasak berubah. Dengan adanya peti sejuk besar, sekarang ini masyarakat hanya perlu berbelanja di pasar hanya sekali seminggu.

Cara penyediaan makanan juga berubah, penggunaan makanan segera dan perencah segera semakin popular bagi remaja dan bagi golongan keluarga kecil yang sibuk yang tidak mempunyai masa untuk menyediakan makanan secara biasa. Sejak kebelakangan ini penggunaan ketuhar mikro amat diperlu bagi mempercepatkan aktiviti memasak berbanding cara biasa.

Perancangan ruang

Bagi kebanyakan tempat, dapur menjadi pusat dalam rumah dan aktiviti domestik. Kurangnya makan secara tradisional yang mana makan secara formal menyebabkan dapur menjadi ruang bersama antara ruang makan dan ruang tamu. Ini menyebabkan dekorasi dapur menjadi penting sama seperti ruang tamu..

Kediaman moden juga bertukar menjadi konsep perancangan terbuka yang mana hanya sedikit atau tiada langsung pembahagian ruang dalam rumah. Dengan cara itu, dapur tidak lagi berfungsi tunggal malah sebagai pusat bagi keseluruhan perancangan dan skima reka bentuk kediaman.

Tip membuat perancangan dapur

Ruang makan dan dapur haruslah mempunyai perhubungan laluan dari dalam dan luar. Sekiranya ada keramaian, dua laluan ini akan menentukan kelancaran aliran trafik.

Aktiviti basah seperti mencuci pinggan, memotong sayur dan ikan serta aktiviti memasak haruslah didefinisikan kawasannya dengan jelas. Aktiviti yang awal disebut tadi lebih baik sekiranya dihubungkan terus dengan ruang luar rumah.

Rak untuk menyimpan barang-barang dapur haruslah terancang dan mencukupi. Senaraikan barangan keperluan dapur mengikut kategori penggunaannya agar keputusan jumlah rak terbuka, rak tertutup, laci dan kedudukannya dirancang dengan berkesan.

Gunakan pintu berkembar yang boleh dibuka luas apabila ada aktiviti keramaian serta tingkap yang strategik untuk peredaran udara yang berkesan. Tidak semestinya pembukaan itu banyak. Peredaran, udara berlaku apabila ada laluan angin masuk dan laluan angin keluar yang jelas dan kedudukan bukaan adalah betul. Jika perlu, gunakan kipas penyedut untuk membantu peredaran udara.

Jika berkemampuan, gunakan mesin basuh dan mesin pengering baju untuk mengurangkan ruang penyidai baju. Walaupun ramai antara kita yang gemar mengeringkan baju secara semula jadi dibandingkan dengan mesin pengering baju, sebenarnya, perbezaan ini hanya sedikit dan secara psikologi kita rasa baju yang dikeringkan matahari lebih sedap dipakai.

Ruang luaran yang kecil dan sedikit boleh dijadikan taman untuk dinikmati dari ruang makan dan ruang dapur. Di sini juga, terletaknya pintu pagar belakang untuk tujuan pembersihan rumah seperti pembuangan sampah dan sebagainya.

Bahan dan aksesori

Perkembangan bahan dan kemasan serta aksesori menyaksikan perkembangan reka bentuk dapur menjadi menarik. Ketika ini, pengguna mempunyai banyak pilihan daripada hanya kemasan seperti jubin seramik dan kemasan cat yang digunakan sebagai bahan kemasan.

Hari ini dapat dilihat pelbagai penggunaan bahan kemasan yang menarik seperti bahan besi tanpa karat, kaca, laminate kayu berwarna dan plastik tahan lasak. Semua kemasan ini amat sesuai kerana mempunyai ciri tahan lasak, kuat, serta amat tahan untuk kegunaan harian di dapur.

Aksesori pula berfungsi memudahkan susunan peralatan dapur supaya lebih teratur dan kemas. Aksesori yang menarik menambah lagi gaya reka bentuk dapur.

Gaya reka bentuk

Gaya reka bentuk dapur juga amat dinamik seperti gaya fesyen pakaian. Hari ini kita dapat melihat banyak pilihan reka bentuk boleh diperoleh sama ada daripada majalah, buku atau bilik pameran gaya dan stail reka bentuk dapur.

Sekiranya anda ingin mereka bentuk dapur sama ada dari peringkat asas, pengubahsuaian yang lama atau merancang semula sangat baik. Anda perlu bersedia dan terbuka dalam menerima apa juga cadangan yang dicadangkan oleh pakar terutama bahagian teknikal seperti pemasangan dan pendawaian.

Pembacaan dan penelitian serta rujukan mengenai dapur akan membantu anda mengumpul segala maklumat yang diperlukan untuk melaksana dan menggunakan dapur sebagai rutin dan tugas seharian.

Perancangan reka bentuk dan kos

Membina atau mengubah dapur adalah projek yang memerlukan perancangan teliti dan ketika pelaksanaan kerja akan berubah-ubah kerana pemilik tidak yakin apa yang dikehendaki dan perubahan ini akan membabitkan kos.

Berbanding dengan kerja membaiki atau menukar unit pintu yang mana kerja dilakukan hanya menggunakan bajet terhad maka hendaklah berhati-hati dengan tambahan kos dan kos yang tersembunyi. Oleh itu, perlu ada dana untuk menampung kos berkenaan.

Teknologi

Selain kos yang perlu dititik berat, ada beberapa perkara yang perlu difikirkan dari segi praktikaliti, keselamatan dan kebersihan yang perlu diketahui oleh pengguna dapur. Keperluan dapur banyak membantu memudahkan kerja menyedia dan memasak makanan.

Kemajuan teknikal berlaku cepat dan adalah baik untuk mengambil masa meneliti produk keperluan dapur yang ada dalam pasaran sama ada keluaran terbaru sebagai pilihan. Adalah baik mengetahui tahap jaminan, kelasakan dan jangka hayat produk keperluan dapur berkenaan ketika membeli.

Jangan terpengaruh dengan trend dan reka bentuk dapur terkini - fikirkan mengenai praktikaliti. Binalah dapur yang sesuai dengan cara hidup dan juga inspirasi gaya yang diidamkan. Paling penting anda berasakan seperti rumah sendiri yang mana anda selesa dan praktikal untuk bekerja.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

24-4-2024 05:52 AM GMT+8 , Processed in 0.073053 second(s), 42 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list