CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 7030|Reply: 0

Mengenal masalah kedudukan tulang pinggul bayi

[Copy link]
Post time 8-8-2006 01:15 PM | Show all posts |Read mode
Mengenal masalah kedudukan tulang pinggul bayi


PESAKIT kanak-kanak ini boleh berjalan seperti biasa setelah menjalani pembedahan.
--------------------------------------------------------------------------------
Oleh: NAJIBAH HASSAN

JIKA anda seorang ibu yang baru melahirkan cahaya mata pertama atau kedua atau seterusnya, anda perlu prihatin dengan meneliti beberapa keadaan atau kelainan pada bayi anda.

Pernahkah anda mengalami kesukaran ketika menukar lampin si comel anda? Atau adakah lipatan kulit bahagian punggung sebelah kanan dan kirinya tidak sama?

Atau adakah anda mendapati salah satu kaki bayi anda tidak sama panjangnya?

Juga, adakah pinggulnya berbunyi apabila anda cuba menggerakkannya?

Jika ada salah satu atau keempat-empat gejala yang dinyatakan, bayi anda berkemungkinan mengalami masalah tulang pinggul tidak berada pada kedudukan yang sepatutnya.

Ketua Jabatan Ortopedik dan Pakar Bedah Ortopedik dan Pediatrik, Hospital Selayang, Dr. Ramli Baba berkata, masalah ini yang juga dikenali sebagai Developmental Dysplasia of Hip (DDH) ini berlaku secara konginetal atau berlaku sejak seseorang bayi dilahirkan.

Menurut beliau, meskipun DDH jarang berlaku, namun ia perlu ditangani segera kerana ia boleh merencat perkembangan kaki dan sendi pinggul seseorang kanak-kanak.

``Sekiranya ia dibiarkan tanpa rawatan, DDH boleh menimbulkan masalah pada pergerakan, ketinggian atau kepanjangan kaki kanak-kanak terbabit.

``Selain itu, jika masalah ini berlarutan sehingga kanak-kanak terbabit dewasa, lambat laun ia boleh menjejaskan sendi dan risiko mendapat radang sendi (osteoartritis) agak tinggi,'' jelasnya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak yang menghadapi masalah ini supaya menghantar anak mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan sewajarnya.

Tambah beliau, jika kepanjangan salah satu kaki tidak seimbang, dalam jangka masa panjang ia boleh menjejaskan tulang belakang.

``Kepanjangan kaki yang tidak seimbang boleh mengakibatkan pesakit mendapat skoliosis iaitu keabnormalan tulang belakang, otot dan saraf.

``Keadaan yang berpanjangan ini akan menyebabkan mereka menderita sakit belakang,'' katanya.

DDH atau juga dikenali sebagai conginetal dislocation of hip merupakan masalah konginetal di mana sendi pinggul tidak terbentuk dengan sempurna semasa perkembangan janin.

Dalam keadaan ini, kepala tulang paha tidak berada dalam kedudukan yang betul di dalam soket tulang pelvis.

Bermula pada minggu kesebelas kehamilan, semasa perkembangan janin, sendi dan tulang biasanya berkembang secara normal.

Bagaimanapun, sesetengah bayi dilahirkan dengan masalah di mana tulang pinggul tidak terbentuk dan masuk dengan sempurna ke dalam soketnya.

Justeru, kepala tulang paha boleh teranjak sedikit atau terkeluar terus daripada soketnya.

Dengan erti kata lain, bola sendi tulang paha yang sepatutnya berada dalam soket tulang pinggul telah terkeluar daripada kedudukan asalnya.

Masalah ini boleh berlaku pada kedua-dua belah bahagian sendi pinggul atau salah satu daripadanya.

Dr. Ramli memberitahu, kepala tulang paha dan tulang pinggul ini tidak dapat masuk ke soketnya mungkin disebabkan masalah soket yang cetek.

Menurut beliau, dianggarkan tiga hingga empat kes DDH dirawat setiap bulan di hospital ini.

Di Amerika Utara, dianggarkan antara 1 hingga 1.5 kes dalam setiap 1,000 kelahiran yang membabitkan masalah ini.

DDH, lebih ketara di kalangan bayi perempuan berbanding lelaki dengan nisbah 1:4.

Biasanya, ia membabitkan bahagian kaki sebelah kiri berbanding kaki kanan. Bayi sulung lebih berisiko menghadapi masalah ini.

Bagaimanapun, kanak-kanak terbabit tidak menunjukkan gejala kesakitan seperti menangis atau sebagainya.

Pengesanan awal membolehkan keadaan dirawat lebih baik dan tulang paha dapat distabilkan kedudukannya.

RAWATAN
Rawatan DDH ini bergantung pada tahap keterukan dan peringkat umur pesakit.

Bagi kes-kes bayi yang berusia kurang tiga bulan dan menghadapi masalah tulang paha dan tulang pinggul yang tidak stabil, doktor akan mencadangkan ibu bapa supaya:

* Memakaikan bayi dengan dua lapis lampin. Ini bertujuan membolehkan kaki bayi terbabit terbuka lebih luas. Posisi seperti ini akan diamalkan selama enam bulan atau lebih sehingga tulang bayi menjadi stabil.

Bagi kes-kes tulang paha benar-benar terkeluar daripada tulang pelvis, tetapi ia boleh dimasukkan balik, doktor akan menasihatkan supaya:

* Bayi dipakaikan sejenis alat yang dikenali sebagai Pavlik harness selama 24 jam.

Penggunaan alat bertali ini yang menyebabkan kaki bayi jadi terkangkang dan berkedudukan baik untuk perkembangan selanjutnya. Keadaan ini bagi membolehkan sendi pinggul masuk semula ke dalam soket.

Kaedah yang diperkenalkan oleh Arnold Pavlik sejak 1958 ini mencatatkan kejayaan sebanyak 84 peratus.

Sekiranya dalam tempoh enam minggu, keadaan tulang bayi pulih, alat ini tidak perlu digunakan selama 24 jam.

Bagi masalah di mana tulang paha terkeluar daripada soket dan tidak boleh dimasukkan dengan sendirinya, doktor akan mencadangkan supaya:

* Menjalani pembedahan menolak sendi terbabit ke kedudukan asalnya dan ia akan disimenkan.

Bagaimanapun, jika setelah kaedah ini digunakan, tetapi hasilnya masih tidak memuaskan, maka pembedahan membuka sendi akan dilakukan.

Prosedur ini dikenali sebagai open reduction and varus derotation osteotomy. Pembedahan ini melibatkan pembukaan sendi dan menempatkan semula kedudukan sendi secara normal dalam soket. Kaedah yang agak rumit ini juga melibatkan pembedahan ke atas bahagian tulang paha untuk memudahkan proses memasukkan sendi serta menstabilkannya.

Bagi membetulkan kedudukan tulang ini, plate dan skru akan dipasangkan pada tulang.

Apabila tulang telah kuat, plate dan skru ini akan dibuang selepas enam bulan.

Simen akan dipasang bagi membolehkan tulang lebih stabil kedudukannya.

Bagi pesakit yang berusia tiga tahun ke atas, selain prosedur open reduction and varus osteotomy doktor akan melakukan pembedahan tambahan yang dikenali sebagai pelvic osteotomy.

Terdapat beberapa kaedah pelvic osteotomy seperti:

a. Salter's osteotomy

b. Pemberton periacetabular osteotomy


PUNCA
Beberapa teori dipercayai menjadi punca DDH antaranya:

* Genetik

Sekiranya pasangan terbabit mempunyai seorang anak yang menghadapi masalah ini, risiko untuk mendapat anak yang menghadapi masalah serupa ini adalah sebanyak 10 peratus. Soket-soket yang cetek (Displasia acetabulum), diwarisi melalui beberapa gen.


* Masalah dalam rahim

a. Kekurangan cecair ketuban

b. Kedudukan bayi yang songsang

c. Kandungan pertama


* Ketidakseimbangan hormon semasa hamil

Klasifikasi masalah ini terbahagi dua iaitu:


* Teratologik

a. Masalah sindrom

Keadaan di mana semua sendi ketat sejak bayi tersebut dilahirkan seperti arthogryposis

b. Cerebral palsy

c. Penyakit-penyakit konginetal terutama yang berkait dengan jantung dan buah pinggang


* Idiopatik

Masalah yang tidak diketahui puncanya tetapi berkait dengan masalah seperti:

a. Genetik

b. Persekitaran dalam rahim

c. Leher teleng

d. Kaki bengkok ke dalam

e. Kaki tombol

f. Skoliosis


TANDA-TANDA
Tanda-tanda awal

* Ibu sukar menukar lampin anak

* Lipatan kulit pinggul tidak seimbang antara

satu sama lain

* Sebelah kaki pendek dan terkeluar

* Pinggul berbunyi setiap kali ia digerakkan


Tanda-tanda lewat

Apabila kanak-kanak mula berjalan ibu bapa mungkin melihat:

* Kaki anak tengkot

Jika melibatkan kedua-dua belah kaki, kanak-

kanak terbabit akan berjalan seperti itik dan

punggung tertonggek


Tanda-tanda apabila dewasa

l Kaki pendek sebelah

l Kebengkokan tulang belakang

l Osteoartritis peringkat awal


DIAGNOSA
Diagnosa DDH boleh dilihat melalui tiga cara seperti:

* Pemeriksaan klinikal untuk mengesan sebarang tanda-tanda

* Ujian ultrasound - ujian ini biasanya dilakukan untuk bayi yang berusia kurang daripada tiga bulan

* Ujian X-ray - ujian ini dilakukan untuk bayi yang berusia enam bulan ke atas.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-3-2024 10:09 PM GMT+8 , Processed in 0.258385 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list