View: 3832|Reply: 17
|
Keganasan dalam sejarah Islam
[Copy link]
|
|
Keganasan dalam sejarah IslamOleh: DR. SYED HUSSEINE ALATAS
ISU keganasan menjadi tumpuan utama seluruh dunia sejak kebelakangan ini, khususnya selepas serangan ganas di Amerika Syarikat pada 11 September lalu.
Bermula dengan aliran keganasan dalam sejarah Islam sebagai bahagian pertama daripada empat artikel dalam siri ini, Profesor Dr. Syed Hussein Alatas mengupas bagaimana dan dari mana asal usul keganasan. - PENGARANG
SERANGAN ganas yang luar biasa pada 11 September 2001 pada bangunan World Trade Center di New york dengan kira-kira 5,000 mangsa, kurang-lebih daripadanya 500 orang Islam, telah mengejutkan seluruh dunia dan menimbulkan kesedaran meluas mengenai keganasan dan usaha untuk mencegahnya.
Istilah global untuk keganasan demikian adalah terrorism dalam bahasa Inggeris. Asalnya daripada bahasa Latin, terrere, yakni menakutkan. Istilah yang kita gunakan, keganasan kurang tepat kerana terrorism itu bukan keganasan semata-mata tetapi keganasan yang tertentu. Eloklah kalau kita gunakan istilah terorisme. Andai kata terus juga kita gunakan istilah keganasan, baiklah ertinya difahami sebagai terorisme.
Ciri-cirinya keganasan adalah demikian:
(i) Tujuan utama menggulingkan kerajaan ataupun mengadakan kerosakan dan pembunuhan yang menyebabkan ketakutan secara terancang.
(ii) Segala cara dibolehkan asal sahaja tujuan mengesahkannya.
(iii) Serangan diselenggarakan secara rahsia untuk menimbulkan kejutan takut.
(iv) Tumpuan besar pada melemahkan semangat supaya menyerah.
(v) Ugutan, rampokan, penipuan, semua digunakan sebagai cara bertindak.
(vi) Mereka yang terlibat akan diperkuat keazamannya dengan dakwah keganasan yang berkesan.
Biasanya keganasan disebabkan oleh tiadanya daya untuk melawan musuh dengan cara biasa. Yang dianggap musuh terlalu kuat hingga tiada lain jalan melainkan mengganas.
Dalam sejarah Islam aliran keganasan mula muncul pada masa khalifah Saidina Ali yang telah gugur dibunuh oleh seorang pengganas Abdul Rahman Ibn Muljam di Kufa pada tahun 661 Masihi.
Ibn Muljam adalah anggota kumpulan Khawarij yang falsafahnya mengizinkan keganasan dan pembunuhan sesama manusia walaupun mereka itu muslim. Golongan Khawarij ini mentafsirkan Islam demikian rupa sehingga Saidina Ali pun dianggap kafir dan patut dibunuh.
Sebelum itu dua khalifah, amirulmukminin, Islam telah wafat terbunuh, iaitu Saidina Umar dan Saidina Usman.
Saidina Umar dibunuh oleh seorang hamba atas salah faham si pembunuh. Saidina Usman dibunuh oleh pemberontak yang mengepung dan menyerang rumahnya.
Kedua-duanya ini bukan terorisme, bukan pembunuhan keganasan yang dirancang sebagai usaha mencapai cita-cita.
Pembunuhan keganasan bermula dengan Saidina Ali, kerana ini telah dirancang untuk melaksanakan cita-cita golongan pengganas Khawarij.
Pendapat yang sama telah dimajukan oleh Fatima Mernissi, ahli sosiologi Morocco dalam bukunya Islam and Democracy, 1992. Masalah timbul dan menerusnya aliran mengganas dalam sejarah Islam penting diperhatikan kerana arusnya masih terus bergerak di bawah sungai dalam bentuk dan sifat yang berlainan tetapi dengan jenis pemikiran yang sama.
Aliran keganasan yang dipelopori oleh golongan Khawarij timbul daripada peperangan Siffin pada tahun 657 Masihi.
Daripada keadaan perang timbul usaha untuk mendamaikan kedua-dua belah pihak dengan mengangkat dua orang, satu daripada satu pihak, untuk memutuskan siapa yang mesti jadi khalifah daripada pihak yang benar. Ada satu golongan yang menentang tribunal manusia berdua tadi dengan dasar la hukma illa lillahi (tiada hukum melainkan dari Allah).
Seterusnya mereka keluar dan memisahkan diri daripada golongan Muawiyah dan Saidina Ali, serta memberontak terhadap pemerintahan Saidina Ali, yang akhirnya mengambil tindakan memerangi mereka, di Nahrawan pada tahun 658 Masihi, di mana mereka kalah teruk.
Fanatisme keterlaluan mereka dinyatakan melalui proklamasi-proklamasi dan tindakan keganasan. Mereka membantah Saidina ali sebagai khalifah, tidak ingin mendapatkan pembunuh Saidina Usman yang juga disalahkan oleh mereka, dan seterusnya menganggap semua yang tidak menganut fahaman mereka kafir dan berada di luar hukum dan boleh dibunuh.
Mereka telah membunuh beberapa orang termasuk perempuan. Keganasan demikian menyebabkan Saidina Ali bertindak terhadap mereka, yang menganggap dirinya sebagai golongan Islam yang sejati, yang memperjuangkan Islam sebenarnya.
Mereka merancang membunuh Muawiyah, Amr bin al-As dan Saidina Ali. Mereka menganggap ketiga-tiga mereka ini telah menyalahi Islam kerana mempertarungkan kedudukan khilafat.
Menurut mereka, seorang khalifah mesti dipilih daripada golongan yang tidak berdosa di kalangan umat Islam. Mereka menerima Abu Bakar dan Umar tetapi menolak yang lainnya.
Dalam fahaman mereka, seorang yang dianggap berdosa besar boleh dianggap murtad dan boleh dibunuh. Mereka juga melarang dengan keras segala hiburan dan sesiapa yang melakukannya boleh dikenakan hukuman bunuh.
Benarlah kata penulis dan penganjur Islam yang terkenal, hakim Syed Amir Ali dari India, bahawa pelampau-pelampau ini mempunyai golongan serupa dalam kepercayaan-kepercayaan lain (Syed Amir Ali, A Short History of The Saracens, 1926).
Pemberontakan dan keganasan kaum Khawarij telah seterusnya mencabar kerajaan Bani Umaiyah dan Bani Abbas.
Kepercayaan-kepercayaan mengganas yang lainnya walaupun tidak menggunakan nama yang sama ataupun golongan yang sama timbul di berbagai-bagai tempat dengan watak yang serupa, yang dimaksudkan oleh Syed Amir Ali.
Aliran Khawarij ini sebagai gerakan menentang negara telah dipatahkan oleh kerajaan Bani Umaiyah melalui al-Hajjaj dan seterusnya lenyap di zaman Bani Abbas sebagai tentangan politik walaupun kepercayaan agamanya masih berterusan benihnya.
Sehubungan dengan ini muncul gerakan keganasan berasal daripada golongan Nizari Ismaili sekitar kurun sebelas Masihi.
Pada tahun 1090 Masihi, Hassan al-Sabah pemimpin golongan ini telah merebut kubu pertahanan di gunung alamut di Farsi dan beroperasi dari atas gunung ini yang susah ditawan oleh pihak berkuasa.
Pusat ini hanya dapat dimusnahkan oleh tentera perang Tartar pada tahun 1256. Ia dapat beroperasi selama 166 tahun sebagai pusat perancangan ganas dan latihan-latihan anggotanya.
Kata Inggeris assassin berasal daripada Latin assassini. Ia berasal pula daripada bahasa Arab hasysyasyin yakni, pengguna hasyisy, sejenis daun yang bercandu. Dipercayai bahawa golongan ini menggunakan daun ini untuk melunakkan sikap ahli-ahlinya supaya mudah dikawal dan menjalankan perintah dengan taat.
Daripada berita-berita pada masa itu dipercayai bahawa yang telah dilatih (fida'i) sanggup melemparkan diri ke dalam jurang gunung atas perintah pemimpinnya. Mereka menyeludup dan bergerak secara rahsia untuk melaksanakan tugas membunuh.
Telah dirancang bahawa yang menjalankan tugas itu juga akan mati setelah membunuh. Kejayaan mereka membunuh agak menyolok mata dengan cara serangan bunuh diri bagi membunuh musuh.
Di antara mangsanya wazir kerajaan Salyuk yang terkenal Nizam al-Mulk yang dibunuh pada tahun 1091 Masihi kerana beliau mencuba menawan markas Hassan Sabah di Alamut.
Nizam al-Mulk adalah teman sekolah Hassan Sabah. Saudara dan anaknya juga dibunuh oleh Hassan Sabah. Demikian juga sultan Malik Shah dari Mesir, dua khalifah Abbasiyah dan beberapa ratus atau ribu orang lainnya.
Di Syria, pemimpin-pemimpin Kristian jadi tumpuannya. Sultan Salahuddin al-Ayubi yang ternama dan besar jasanya terhadap Islam hampir terbunuh oleh pihak pengganas ini, yang dinamakan golongan Talimiyah.
Nyatalah keganasan bukanlah satu hal yang baru dalam sejarah Islam. Dari awalnya sekali masyarakat Islam telah dapat memisahkan antara Islam dan keganasan.
Pemikiran tentang hal ini mesti bermula dengan pendapat dan huraian Saidina Ali iaitu orang pertama menghadapi masalah ini dan menjadi mangsa keganasan terancang.
Beliau memisahkan antara pengikut pengganas dan pengganas yang sejati, yang sifatnya tidak dapat dirobah. Watak mereka ini yang berterusan boleh terdapat dalam sejarah.
Soalnya jangan sampai mereka bertambah kuat atau berkuasa. Selama mereka tidak mengganggu ketenteraman biarkan sahaja. Saidina Ali juga mengalami kegagalan berbahas secara ilmiah dan logik dengan mereka.
Pembunuhan, perosakan harta benda, rompakan, ugutan, penyeksaan, dan penipuan secara terancang dan rahsia, yang ditutupi oleh selendang cita-cita murni, bukanlah cara perjuangan yang dianjurkan oleh Islam.
Demikian juga Islam tidak menghendaki sifat pimpinan yang ganas, menekan dan menghalang kemajuan perempuan, menyekat permainan muzik dan hiburan-hiburan yang baik, menggalakkan agama dengan paksaan hukum secara kasar, melarang perempuan bersekolah, bawa motokar atau bekerja, dan paling jijik sekali, menganggap mereka yang tidak sependapat dengan alirannya, kafir. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
Terorisme dan isu ketidakadilan
Oleh DR. Syed Hussein Alatas
Bahagian kedua daripada empat artikel dalam siri rencana mengenai keganasan
TERORISME zaman sekarang menggunakan kekerasan, keganasan, pengeboman, pembunuhan, penculikan dan perampokan sebagai cara untuk mendera pihak yang dianggap lawan.
Gerakan ini wujud secara menyolok mata pada tahun 70-an pada kurun ke-20 yang lepas.
Terdapat juga kerjasama erat antara satu puak dengan puak yang lainnya, sebagaimana yang terjadi dalam serangan terhadap OPEC (Organization of Petroleum Exporting Countries) pada bulan Disember 1975.
Enam orang pengganas dari Palestin, Arab Lebanon, Jerman dan Venezuela telah menawan sebelas orang menteri minyak Arab di Vienna, Austria.
Kerajaan Austria terpaksa bersetuju memudahkan mereka meninggalkan Vienna dengan kapal terbang Boeing.
Operasi ini diketuai oleh pengganas yang sangat terkenal dengan nama gelaran Carlos the Jackal.
Keganasan yang meningkat dan meluas di Eropah Barat pada masa itu didorong oleh ideologi politik.
Walaupun terdapat beberapa ideologi yang bertentangan seperti yang dianut oleh kaum Nazi dan Komunis, yang besar dan berkesan pengaruhnya adalah keganasan aliran yang mirip atau bekerjasama dengan golongan Komunis Soviet Union pada waktu itu.
Yang penting kita perhatikan dalam suasana sekarang adalah faktor ideologi kerana inilah yang jadi penggerak utama, bukannya faktor kemiskinan walaupun kebanyakan pemimpin negara yang dibunuh oleh pengganas di antara tahun 1966-1996 datangnya dari negara-negara yang miskin atau kurang maju.
Sebanyak 56 pemimpin negara, termasuk beberapa pengawal dan duta-duta, telah terbunuh di merata tempat di dunia ekoran terorisme. Sepuluh orang daripadanya adalah pemimpin Barat dan seterusnya dari Asia, Afrika dan Amerika Latin.
Pemimpin Islam yang terbunuh ada sepuluh orang; seorang tokoh bukan pemimpin negara dan seorang pemimpin Palestin yang dibunuh oleh komando Israel di Tunis pada tahun 1988.
Yang lainnya dibunuh oleh sesama Islam seperti Perdana Menteri Jordan Wasfi Tal, Raja Faisal Arab Saudi, Presiden Bangladesh Sheikh Mujibur Rahman, Presiden Nigeria General Murtala Mohammed, bekas Perdana Menteri Iraq Abdul Razak Naif, Presiden Mesir Anwar Sadat dan Presiden Algeria Mohammed Boudiaf.
Di negara Arab sahaja terdapat lapan pembunuhan yang dilaksanakan oleh orang Arab sendiri.
Pembunuhan pemimpin di Timur Tengah sangat tinggi kadarnya dalam tempoh 30 tahun itu antara 1966 dan 1996.
Selepas Perang Dunia Kedua dari tahun 1945 ke atas, kadar pembunuhan pemimpin negara, Presiden dan Perdana Menteri di luar Eropah dan Amerika Syarikat jauh lebih tinggi daripada di benua Barat, walaupun selepas tahun 70-an organisasi keganasan yang terpimpin cekap dan peralatan hebat bergerak kuat di Barat.
Yang nyata pihak keselamatan Barat lebih teratur dan berjaga-jaga, walaupun ia tidak dapat menahan keganasan seratus peratus.
Kembali kepada soal apakah yang menyebabkan munculnya terorisme, yang jelas adalah soal ideologi iaitu soal kepercayaan mengganas yang ditanamkan dengan hebat oleh penganjur-penganjurnya.
Ada yang menampilkan faktor kemiskinan sebagai keadaan yang menyuburkan keganasan walaupun ia bukan satu sebab yang langsung.
Ini, rasa saya, tidak benar. Apa kaitan kemiskinan dengan keganasan? Apakah yang mengganas itu orang miskin? Apakah yang diperjuangkan oleh pengganas itu membasmi kemiskinan? Apakah pemimpin-pemimpin pengganas itu orang miskin? Apakah si miskin itu yang diharap menyokong pengganas dengan wang dan keahlian profesional, membawa kapal terbang dan meletupkan bom?
Ombak keganasan di Barat dan Amerika Latin pada tahun 70-an dalam kurun terakhir lalu digerakkan oleh orang yang menguasai sumber kewangan, ahli profesional dan sebagainya termasuk sokongan rahsia daripada kuasa-kuasa besar tertentu.
Giangiacomo Feltrinelli, seorang jutawan, penerbit dan pengembara dunia dari Itali telah membuat seruan pertama keganasan dengan melancarkan perang gerila menggunakan senjata di Eropah.
Pada 15 Mac 1972, di luar kota Milan, di bawah satu tiang elektrik ditemui satu mayat yang sudah terbakar. Sebelah kaki dan tulang-tulang badannya putus terlempar beberapa meter di sekitar dan 43 batang dinamik dilekatkan pada badannya.
Tujuan orang itu ialah untuk meletupkan tiang-tiang elektrik di sekitar jambatan, kem tentera dan lapangan terbang di utara Itali.
Mayat itu adalah mayat Feltrinelli, seorang jutawan dari famili terkemuka di Itali. Dinamit itu meletup secara kemalangan.
Beliau berhasil membentuk organisasi internasional dengan golongan pengganas lainnya dari Jerman, Sepanyol, Perancis, Palestin dan Amerika Latin. Feltrinelli menggunakan vila-vila sendiri untuk membantu pengganas berlindung dan juga memberikan mereka wang.
Di Uruguay, pada tahun 1970 dan 1971, kumpulan Tupamaro telah mengebom, membakar, merompak, menculik dan membunuh mereka yang dianggap musuh.
Duta United Kingdom ke negara itu, Sir Geoffry Jackson telah dipenjarakan dalam kurungan seluas 2 kaki lebar dan 6 kaki panjang selama lapan bulan. Pada masa itu golongan pengganas Tupamaro paling banyak menculik diplomat-diplomat asing.
Dalam masa dua tahun, kira-kira tiga ratus serangan telah dilancarkan. Mereka dapat menduduki lapangan terbang kecil, balai polis, pusat telefon, stesen radio dan menculik orang untuk dijadikan tebusan.
Kerajaan Uruguay mengisytiharkan tindakan darurat dan memberikan kuasa kepada angkatan tentera.
Pada akhir 1972, 2,600 orang gerila Tupamaro (benar atau disangka) telah ditangkap dan dipenjarakan. Sebanyak 42 orang mati dan pemimpinnya Raul Sendic dapat ditawan oleh polis walaupun ketika itu dia telah menjalani pembedahan plastik pada wajahnya untuk mengelak daripada dikenali.
Golongan Tupamaro ini beraliran Marxis radikal. Pada awalnya mereka memperjuangkan hak rakyat dengan cara revolusi dan cara Robin Hood iaitu merompak yang kaya untuk si miskin. Trak pasar raya dirompak dan barangnya dibahagi-bahagikan kepada kawasan miskin.
Kasino judi diserang dan wang rampasan sebanyak suku juta dolar Amerika diagih-agihkan kepada pekerja-pekerja.
Pada awalnya Tupamaro disokong oleh guru-guru, pelajar dan mahasiswa, peguam-peguam, doktor-doktor, akauntan-akauntan, ahli-ahli bank, arkitek-arkitek, jurutera-jurutera, seorang jurutera radio, seorang model dan seorang pelakon perempuan.
Daripada peristiwa keganasan Tupamaro ini, jelaslah bahawa pendorong utama adalah ketidakadilan keadaan masyarakat dan campur tangan golongan luar dalam rangka ideologi militan.
Kita di Malaysia mesti menghitung masalah ini dengan keazaman yang kuat dan ikhlas. Pimpinan kerajaan mesti lebih sensitif meneliti paras kepuasan hidup di kalangan rakyat, rasa keadilan dan keprihatinan kerajaan terhadap kehendak rakyat yang sejati dan bermoral tinggi.
Tidak ada rakyat - melainkan beberapa penjenayah tertentu - yang inginkan korupsi, pentadbiran cuai, taraf hidup rendah, pencemaran alam, air bah berulang, kesesakan lalu lintas, pemimpin-pemimpin angkuh, perancangan keliru, politik wang, kegiatan memfitnah dan sebagainya yang telah muncul dalam masyarakat kita.
Demikian juga dengan faham agama fanatik dan perkauman sempit yang memupuk perasaan memisah dan tiada muhibah pada golongan lain yang tidak sefaham dengan mereka.
Benteng utama terhadap keganasan adalah sifat cita sempurna bagi masyarakat Malaysia. |
|
|
|
|
|
|
|
Tinjauan sekitar terorisme
Oleh PROF. DR. SYED HUSSEIN ALATAS
(Bahagian ketiga daripada empat artikel dalam siri rencana mengenai keganasan)
BEKAS Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela berkata di New York pada hari Khamis 25 November 2001, sewaktu mengunjungi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) bahawa istilah terrorist adalah relatif, yakni tiada erti yang mutlak, berlainan di berbagai-bagai tempat, waktu dan zaman.
Katanya: ``Mereka yang tidak setuju dengan kegiatan kita akan menganggap kita teroris. Tetapi jika kita berhasil, mereka itu juga akan menerima kita sebagai ketua negara dan berurusan dengan kita.''
Mandela telah dipenjara 27 tahun (dibebaskan 1993) dan mendapat hadiah Nobel bersama bekas Presiden Afrika Selatan F.W. de Klerk pada tahun 1993 (dari laporan Reuters, The Star, 17 November, 2001).
Walaupun pandangan Mandela itu benar, sebagai pernyataan terhadap apa yang terjadi, bahawa bermacam-macam orang dianggap teroris, tetapi dari segi penelitian konsep sebenarnya, pendapat bahawa konsep teroris itu relatif tidak benar.
Yang dimaksudkan sebagai terrorist (pengganas) adalah mereka yang merancang ketakutan sebagai senjata persengketaan terhadap lawan dengan serangan pada manusia yang tidak terlibat, atau harta benda tanpa menimbang salah atau benar dari segi agama atau moral, berdasarkan atas perhitungan bahawa segalanya itu boleh dilakukan bagi mencapai tujuan matlamat persengketaan.
Kalau pada suatu masa Mandela dianggap teroris, anggapan itu salah kerana beliau tidak menyuruh membunuh orang atau mengebom pasar semata-mata untuk membangkitkan suasana huru-hara. Kalau seorang itu menentang atau memberontak terhadap sesuatu kekuasaan, itu bukan terorisme.
Pemerintah Belanda di Jawa pada kurun ke-19 tidak menganggap Pangeran Diponegoro sebagai teroris walaupun beliau berontak terhadap kerajaan Belanda di Indonesia.
Gerakan Katipunan di Filipina yang memberontak terhadap kekuasaan Sepanyol pada kurun ke-19 bukan gerakan teroris. Jika kegiatan memberontak dikaitkan dengan program pembunuhan, rompakan bank, ugutan, pembakaran bangunan dan sebagainya, yang mengorbankan nyawa atau merugikan mereka yang tidak terlibat dan bersalah, maka baru kita katakan gerakan itu teroris.
Kita perlu menerapkan definisi terorisme dengan tepat supaya kita tidak mencemarkan pemikiran agama yang murni dengan unsur-unsur kebatilan dan kejahatan sebagai menganggap perjuangan tanpa moral sebagai jihad.
Di mana dalam Islam diizinkan dengan sengaja membunuh atau mencederakan orang-orang yang tidak bersalah dan terlibat? Dalam peperangan yang sah, Islam tidak mengizinkan tindakan demikian terhadap mereka yang tidak terlibat. Malahan yang berperang pun mesti diperlakukan dengan kemanusiaan, termasuk si pengganas sendiri, sebagaimana terjadi dengan perintah Saidina Ali supaya pembunuhnyaa Ibn Muljam tidak didera tetapi dihukum seperti biasa dengan satu tetak pedang.
Kembali pada sebab-sebab atau dorongan pada terorisme, telah saya bangkitkan unsur ketidakadilan dan ideologi. Di sini kita maksudkan dengan keganasan politik menentang pihak yang berkuasa, sebagaimana keganasan di Eropah Barat dan Amerika Latin pada tahun 70-an kurun ke-20.
Pada satu pihak kerajaan yang korup dan ganas yang menekan rakyat seperti di beberapa negeri di Amerika Latin dan Sepanyol di bawah Franco, meninggal 1975M, dan pada lain pihak yang menentangnya dengan cara keganasan dengan alasan bahawa senjata yang sama perlu dipakai.
Tetapi keganasan yang bangkit daripada kekejaman kerajaan yang berkuasa, sama sahaja dengan keganasan yang bangkit dari daerah kerajaan yang tidak bersifat ganas, tidak menyebabkan kemiskinan meluas dan pentadbiran hampir lenyap runtuh. Bandingkanlah keadaan di Uruguay dan Jerman.
Golongan pengganas Baader - Meinhof di Jerman, latar belakang masyarakatnya tidak miskin dan mundur dikendalikan oleh kerajaan korup menyeluruh dipengaruhi oleh kumpulan jenayah. Demikian juga Tentera Merah Jepun (The Japanesese Red Army) tidak bangkit daripada masyarakat yang miskin tertindas oleh kerajaan yang ganas dan mundur.
Yang mempelopori keganasan pada tahun 70-an asalnya daripada masyarakat yang maju di Eropah Barat. Golongan Marxist-Leninist yang paling menonjol di kalangan pengganas dibantu secara rahsia oleh kerajaan komunis pada masa itu seperti Soviet Union, Jerman Timur, Cuba, Bulgaria dan yang lainnya.
Faktor keyakinan ideologilah yang paling berpengaruh di kalangan mereka. Jika kita di Malaysia ingin membendung naiknya arus faham keganasan, faktor ideologi ini kita mesti perhatikan, selain daripada langkah-langkah pencegahan lainnya.
Pertama sekali kita jangan membiarkan proses menurun rasa hormat dan taat pada kerajaan dan pemimpin-pemimpinnya. Jika ini merosot oleh kerana tindakan kerajaan dan pemimpin-pemimpin, maka mudah sekali penganjur keganasan mempengaruhi penyokongnya supaya mengganas.
Dalam keadaan di mana ekonomi merosot, penganggur bertambah, korupsi di merata tempat, sumber pencarian hidup tambah sempit, pentadbiran kerajaan lembap, pemimpin kian maharajalela, tahu bercakap tak tahu melakukannya, sebahagian golongan muda akan dapat dipengaruhi oleh aliran keganasan kerana inilah yang dipercayai satu-satunya cara untuk menghancurkan kekuasaan yang zalim dan runtuh akhlak.
Pada zaman sekarang pihak jenayah dan pihak pengganas, masing-masing bekerjasama dengan kumpulan lainnya di merata tempat. Pengganas Muslim akan bekerjasama dengan pengganas Kristian atau Marxist.
Saya tidak hairan kalau serangan terhadap World Trade Center (WTC) pada 11 September 2001 di New York mendapat bantuan daripada pihak pengganas bukan Islam dalam persiapan serangan itu. Selain daripada yang di atas kita juga perlu berhati-hati dalam penggunaan istilah sekitar kegiatan keganasan.
Saya membaca di akhbar Melayu kata `serangan berani mati' dan akhbar Inggeris kata suicide bombing, yakni `serangan bunuh diri.' Kata `berani mati' biasanya mengandung sifat pujian dan penghargaan, sedangkan `serangan bunuh diri' tidak mengandungi sifat demikian.
Kalau kita gunakan kata berani mati pada pengganas WTC, berani mati untuk apa? Kenapa tidak kata berani mati membunuh yang tidak bersalah? Jika kita gunakan kata berani mati, dengan tiupan puji atau penghargaan kerana berani mati itu biasanya dikaitkan dengan tujuan yang baik dalam peperangan atau usaha menyelamatkan sesuatu, maka perlulah kita persoalkan apakah serangan melanggar WTC dengan dua kapal terbang yang membunuh penumpangnya dan beberapa ribu orang pada pagi 11 September, 2001, itu perbuatan yang sangat baik dan diperlukan oleh umat manusia?
Dalam Perang Dunia Kedua pemandu kapal terbang Kamikaze Jepun menyerang kapal laut tentera Amerika secara serangan bunuh diri. Kalau ini dikatakan serangan berani mati boleh sahaja tetapi janganlah digunakan `berani mati' jika dia menjunam ke dalam pasar atau hospital, meletupkan bangunannya, membunuh beratus orang.
Kalau kata berani digunakan untuk pengganas membunuh, maka seterusnya kita juga gunakan kata `berani letup' jika seorang pengganas telah menyebabkan letupan yang susah dan berbahaya diselenggarakan. |
|
|
|
|
|
|
|
Mencegah Keganasan
Oleh PROF. DR. SYED HUSSEIN ALATAS
Bahagian akhir
MASALAH keganasan (terorisme) telah bertambah banyak dibahaskan sejak tahun 50-an pada kurun terakhir, tidak lama selepas Perang Dunia Kedua terutama sekitar gerakan-gerakan politik menentang penjajahan di Afrika.
Yang paling menarik perhatian kumpulan Mau Mau di Kenya di tahun 50-an.
Demikian juga di Afrika Selatan. Pengganas politik ini pimpinannya dipengaruhi oleh aliran Marxist-Leninist dan disokong oleh Soviet Union pada masa itu.
Gerakan pengganas yang sangat aktif pada masa itu di Perancis adalah kumpulan penduduk Perancis di Algeria yang dipimpin oleh Jeneral J. Sonelelle. Mereka menentang kemerdekaan Algeria dan juga komunisme.
Pada umumnya gerakan terorisme dari kaum bukan Islam di Eropah, Amerika dan Afrika jauh lebih besar dan berpengaruh daripada apa yang dilaksanakan oleh pengganas Muslim.
Sebagaimana dijelaskan oleh Profesor Naom Chomsky dalam tulisannya mengenai terorisme, perhatian media Barat sengaja memilih dan membesarkan berita-berita yang memburukkan lawan dan menutup yang memburukkan diri dan kawan.
Sebagai contoh terorisme dari warga Israel tidak dibesar-besarkan. 20 tahun yang lalu telah disebut tentang digunakannya bom surat dan bom buku primitif oleh seorang ahli keganasan Amerika tetapi tidak disebut pembunuhan Jeneral Mustafa Hafeza di Gaza pada tahun 1956 dengan bom buku yang kemas dirancang oleh pihak perisik Israel.
Demikian juga penculikan kapal terbang pertama di Asia Barat oleh pengganas Israel pada tahun 1954, di mana sebuah kapal terbang penumpang awam biasa Syria diculik untuk dijadikan tebusan bagi pengintip-pengintip Israel yang telah ditawan oleh Syria.
Prinsip terorisme negara telah diterima secara rasmi oleh Israel dan Amerika pada masa itu sekitar peristiwa ini.
Pada bulan Oktober 1956, Angkatan Udara Israel telah menembak jatuh kapal terbang awam Mesir, membunuh 16 penumpang dalam percubaan untuk membunuh panglima tertinggi Mesir, Abdul Hakim Amar.
Pada masa itu, Mesir dan Israel tidak berperang. Pada tahun 1973, Israel telah menembak jatuh kapal terbang awam Libya dengan 110 orang terbunuh dan pada masa ini juga Israel menyerang Tripoli (Lebanon Utara) dengan membunuh 31 orang dan merosakkan sekolah-sekolah, klinik-klinik dan bangunan lain.
Sebaliknya, pada tahun 1985, di masa perhatian media memuncak tentang keganasan, tindakan yang paling menggegarkan adalah peletupan di udara pesawat Air India dengan 329 orang terbunuh. Dipercayai pengganas yang terlibat dilatih di Alabama dan ada hubungan dengan golongan perisik Amerika.
Ini tidak dibesar-besarkan berbanding dengan kegasanasan yang dianggap mengaitkan Libya.
Sebagaimana kata Chomsky, apa saja kaitan dengan Libya, walaupun tipis, dianggap cukup untuk memaparkan bahawa Qaddafi itu anjing gila yang mesti dimusnahkan.
Yang sedang dilaung-laungkan sekarang adalah serangan korban diri (berani mati) ataupun bunuh diri (dalam bahasa Inggeris), yang dengan meluas dikaitkan dengan masyarakat Islam.
Serangan demikian ini bukanlah keistimewaan umat Islam. Telah bertahun-tahun lamanya Harimau Tamil di Sri Lanka melaksanakan serangan korban diri. Demikian juga golongan kamikaze Jepun waktu Perang Dunia Kedua.
Sikap berani mengorbankan diri bukanlah neraca utama untuk menimbang sesuatu perbuatan. Tujuannyalah yang penting dan utama sebagai neraca. Penyamun dan bajak lautpun banyak yang berani mati dan sanggup mengorbankan nyawa bagi pemimpinnya sebagaimana pengikut Pir Pagaro, di Sind, India, di bawah British.
Pengikut Pir Pagaro sanggup mengorbankan jiwanya jika diperlukan untuk khidmat pada Pir Pagaro.
Nyatalah di sini kesanggupan mengorbankan jiwa sebagai kenyataan niat tertinggi pada tujuan tertentu bukanlah dasar kita menghormati dan menjunjung perbuatan mengorbankan diri ini.
Mati berkorban kerana Pir Pagaro bukan mati berkorban kerana Allah. Allah juga dikaitkan dengan Pir Pagaro yang pengikutnya bertindak mengganas.
Pir Pagaro dipercayai sebagai wakil Allah di bumi ini. Mereka di kalangan umat Islam yang mengagung-agungkan mati syahid dan memuji tinggi mereka yang ingin berjihad, mesti dengan teliti dan pemikiran yang dalam, membahaskan hal ini supaya tidak menyimpang dari lunas-lunas Islam.
Saya berasa terperanjat membaca tulisan Tok Guru Nik Aziz di Harakah, 16-30 November 2001, (bahagian Fikrah, muka 6) di bawah tajuk Ke medan perang tidak mengharap pulang.
Tok Guru Nik Aziz dalam tulisannya itu, sekitar Perang Muklah di Syria, pada zaman Nabi s.a.w. telah memuji setingginya watak dan tujuan ke syurga Abdullah bin Rawahah, seorang sahabat yang dilantik oleh Nabi sebagai pemimpin ketiga, jika yang pertama dan kedua tewas.
Di sini saya tidak akan ulas peristiwa dan peribadi Abdullah Rawahah sebenarnya tetapi gambaran Abdullah Rawahah yang dihidangkan oleh Tok Guru Nik Aziz sebelum tentera Islam bertolak dari Madinah ke Syria, Nabi Muhammad s.a.w. serta kaum Muslimin Madinah berdoa supaya mereka dilindungi Allah dan kembali dalam keadaan baik.
Ini adalah tujuan yang sepatutnya, penuh dengan kemanusiaan dan tanggungjawab terhadap anak bini dan teman-keluarga dan juga untuk terus berjuang menegakkan Islam.
Apa pula ulasan Tok Guru Nik Aziz? Katanya: ``Bagaimanapun dalam jiwa Abdullah bin Rawahah telah tersemat cita-cita yang lebih besar. Beliau tidak mengharap untuk pulang semula ke pangkuan keluarga dan masyarakat. Sebaliknya beliau sering berdoa agar Allah subhanahu wataala menganugerahinya syahid di medan Muklah.''
Seterusnya Nik Aziz menghuraikan harapan Abdullah bin Rawahah supaya beliau didoakan oleh yang ternampak jenazahnya supaya Allah memimpinnya ke jalan keredaan-Nya di alam akhirat. kata Nik Aziz, ``Sememangnya Allah subhanahu wataala telah memimpin Abdullah bin Rawahah''.
Saya terperanjat dengan pendapat Tok Guru Nik Aziz tadi. Pertama niat Abdullah bin Rawahah hendak mati syahid, untuk menebus dosa dirinya, mendapatkan tempat di syurga, telah dipuji dan disanjung tinggi oleh Nik Aziz.
Terlintas di fikiran saya bagaimana kita menghargai junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Saidina Hamzah, Saidina Ali, Khalid bin Walid dan banyak lagi pejuang Islam yang berjuang bukan hendak mati syahid tetapi terus hidup untuk menegakkan keluhuran Islam?
Apakah niat Abdullah bin Rawahah itu lebih tinggi dan lebih mulia daripada niat Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabat lainnya, untuk selamat dalam menjalankan tugas peperangan?
Tidakkah Abdullah bin Rawahah berniat melanggar doa Nabi s.a.w. dan penduduk Madinah?
Mengapa Nik Aziz menjunjung tinggi pelanggaran demikian dengan menambah pula cita-cita maut Abdullah bin Rawahah adalah lebih utama daripada kembali hidup dalam masyarakat?
Di mana ada dasar Islam tentang pendapat ini? Nik Aziz pula berkata bahawa Allah telah memimpin Abdullah bin Rawahah?
Dari mana Nik Aziz tahu? Siapa yang menyampaikan pendapat itu pada beliau? Adakah ini rekaan sendiri?
Apakah dapat dianggap benar Allah telah memimpin Abdullah bin Rawahah? Allah telah memimpin supaya Abdullah Rahawah tidak mengendahkan doa Nabi, telah memimpin Abdullah Rawahah meletakkan kepentingan rohani dirinya untuk masuk syurga, tanpa menunggu setelah umur panjang, di atas kepentingan keluarganya dan masyarakat Islam!
Apakah Allah memberi pimpinan berlainan terhadap Nabi s.a.w. dan sahabat lainnya daripada terhadap Abdullah bin Rawahah?
Jika banyak pemimpin perang seperti Abdullah bin Rawahah, necaya umat Islam tidak akan berjaya pada zaman permulaan Islam.
Dalam perang Muktah tadi umat Islam tidak dapat mengalahkan tentera Rumawi. Khalid bin Walid berhasil menyelamatkan tentera Islam dari dimusnahkan oleh musuh.
Tidakkah lebih baik kalau Abdullah Rawahah berniat terus hidup berjuang untuk Islam daripada cari tempat di syurga secara terburu-buru?
Saya syukur dan gembira bahawa Nik Aziz tidak akan berniat seperti Abdullah bin Rawahah kerana sudah pasti beliau akan mentaati niat junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. kalau berjuang jangan sengaja cari maut hendak masuk syurga, walaupun yang maut itu akan dianggap syahid.
Bagi mencegah keganasan banyak tindakan yang perlu diambil selain daripada tindakan keselamatan kerajaan, penghapusan kezaliman dan ketidakadilan dan sebagainya.
Yang penting juga keganasan berfikir, seperti menyebabkan maut orang tidak bersalah, menyangka buruk tidak pada tempatnya, menganggap najis orang yang tidak seagama, tidak sembahyang bersama di satu masjid, tidak ikut serta perkahwinan atau mengiring jenazah. ini semua merupakan keganasan fikiran.
Banyak lagi segi keganasan fikiran yang perlu dibahaskan insya-Allah pada masa akan datang.
Hukum-hukum yang ada kalanya direka oleh pemimpin agama masa lampau, perlu ditinjau kembali pada masa sekarang supaya gerakan umat Islam dewasa ini tidak mengikut aliran seperti taat pada Pir Pagaro. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
pjg artikel ni....tapi sempat gak habis dibaca...walaupun speed reading jer... |
|
|
|
|
|
|
|
hehehe
relevan tak kalau taruk artikel 'keganasan fikiran' kat sini?
heheh nanti off topic tak?
|
|
|
|
|
|
|
|
Bagus Syd, artikel berkenaan benar2 mencabar minda terutamanya konsep serangan berani mati.
Hendak diperhalusi bhw serangan berani mati (suicide bombing) bermula dari perang Dunia Ke-2 oleh juruterbang Jepun yg fanatik (menganggap serangan berkenaan sbg tanda pengorbanan kepada Maharaja Meiji Jepun yg dianggap keturunan Tuhan dlm kepercayaan Shinto), diteruskan oleh skuad sukarela pengebom berani mati oleh Vietnam Utara yg berfahaman komunisme Marxist, diperhalusi, dipopularkan & diguna secara efektif oleh Black Tigers oleh gerila Tamil Tigers yg juga berfahaman Marxist, & akhirnya diperkenalkan dlm dunia Islam oleh Hezbollah dlm pengeboman tentera pengaman Marin USA di Lebanon ketika perang saudara Lebanon.
Tindakan nekad Hezbollah akhirnya mendapat sokongan ulama Syiah Arab serta ulama Syiah Iran. Malah, ulama Syiah yg memfatwakan bahwa serangan berani mati adalah jihad, dimana pelakunya dianggap mati syahid.
Puak Sunnah radikal mula menerima pakai konsep ini bila anggota sayap Fatah & Hamas Palestin menggunakan doktrin berani mati ke atas Israel. Amat menyedihkan, ulama Wahhabi / Salafi juga ada yg turut menyokong tindakan ini, sehinggakan ramai anak muda Muslim malah wanita serta nenek tua turut terkeliru utk menjadi pengebom berani mati. Tambah menyedihkan, golongan radikal Sunnah & radikal Syiah menghalalkan taktik berani mati bagi membunuh puak Sunnah & Syiah juaga, sebagaimana yg berlaku di Karachi, Pakistan serta Iraq, malah dihalalkan oleh Taliban di Afghanistan.
Utk pengetahuan, Hezbollah yg berfahaman Syiah kini tak lagi mengamalkan taktik berani mati, memandangkan sayap bersenjatanya lengkap bersenjata umpama sebuah tentera separa profesional.
Secara rasionalnya:
1. Mengapa perlu kita tiru cara golongan menyembah manusia sbg Tuhan (Shinto-Jrepun) & golongan tak bertuhan (Marxist-Komunis adalah kuffar jelas & nyata) dlm memerangi musuh?
2. Sikap memuja & bangga ke atas taktik berani mati ini bagaikan mengiyakan taktik puak pengganas Khawarij, yg mengaku Islam, tapi merupakan pengkhianat dimana ketika perang Salib, golongan Khawarij bersekutu dgn puak Kristian. Bin Laden, pemimpin Al-Qaeda pernah mendapat bantuan & latihan CIA tika perang Soviet-Afghanistan, dijadikan inspirasi oleh anak2 muda Arab yg menjadi pengebom berani mati ketika serangan 11 Sept '01.
Adakah membunuh diri cara yg dihalalkan untuk berjihad ke jalan Allah? Cara berperang yg diperkenalkan golongan musyrik dijadikan kebanggaan umat Islam?
Fikir2kanlah.
Wassalam. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
Originally posted by Robotech at 30-1-2007 07:43 PM
Bagus Syd, artikel berkenaan benar2 mencabar minda terutamanya konsep serangan berani mati.
Hendak diperhalusi bhw serangan berani mati (suicide bombing) bermula dari perang Dunia Ke-2 oleh ju ...
Aku musykil bila TALIBAN dikaitkan dengan WAHABI...pasti ker 100% dari Taliban tu Wahabi?..sebab setahu aku, Mullah (lupa lak nama dier) yg merintis penentangan kpd kerajaan Afghanistan yg kejam sewaktu itu berfahaman Sunni dan bertarekat.....
ada sape2 tahu pasal hal ini??? |
|
|
|
|
|
|
|
Inilah akibatnya bila 1 agama , tp mcm2 fahaman ada dalam dia sdgkan nabi muhammad saw pun x pernah ajar macam ni |
|
|
|
|
|
|
|
Originally posted by rainbows at 5-2-2007 12:04 AM
Aku musykil bila TALIBAN dikaitkan dengan WAHABI...pasti ker 100% dari Taliban tu Wahabi?..sebab setahu aku, Mullah (lupa lak nama dier) yg merintis penentangan kpd kerajaan Afghanistan y ...
huhuhu...quote posting sendiri...
cuma satu ajer yg aku tak musykil...sebb aku dah agak dah....
.....pejuang sunni sufi Afghanistan akan kembali menguasai Afghanistan...... |
|
|
|
|
|
|
|
Mohon pastikan posting sdr2 semua tidak sampai menyentuh / menyalahkan sesuatu puak atau mazhab sesama Islam. |
|
|
|
|
|
|
|
bagaimana caranya utk tdk menyentuh sdra antique ????...
sy baca kembalii tentang pendpat Nik Aziz tentang Abdullah Rawahah yg dikritik oleh Syed Hussein Al Atas itu....
yer....bertitiktolak dari kefahaman yg sebegitulah yg akan mendorong kesalahfahaman kepada perjuangan RSAW dan mengagungkan keganasan dalam perjuangan.....
masalahnya, belaku apabila agama dipolitikkan....bila agama dipolitikkan, mereka perlu ada satu konsep utk menaikkan semangat para pengikut, maka selalunya kaedah utk menaikkan semangat para pengikut ini ialah melihat perjuangan menegakkan islam dengan cara yg ekstrimis.....lalu di manakah sunnah RSAW yg mulia itu????? |
|
|
|
|
|
|
|
Originally posted by antiQue at 5-2-2007 08:37 AM
Mohon pastikan posting sdr2 semua tidak sampai menyentuh / menyalahkan sesuatu puak atau mazhab sesama Islam.
Actually bagus sis bila disentuh mngapa brlaku fahaman yg brbeza2 slm islam ni sdgkan masing2 mndakwalah islam merekalah yg btl
Tp yg jd susah ialah masing2 x nak mncarik titik keseimbangan persamaan mereka kerana trlampau ego( tp dorang x sedar)
Masing2 menonjolkan kelemahan fahaman yg ada 1 lagi , mmg smpai kiamatlah bnda ni camni , tu baru 1 agama
Mmg betula la h , it is what it is |
|
|
|
|
|
|
|
Originally posted by rainbows at 5-2-2007 12:04 AM
Aku musykil bila TALIBAN dikaitkan dengan WAHABI...pasti ker 100% dari Taliban tu Wahabi?..sebab setahu aku, Mullah (lupa lak nama dier) yg merintis penentangan kpd kerajaan Afghanistan yg kejam sewaktu itu berfahaman Sunni dan bertarekat.....
ada sape2 tahu pasal hal ini???
|
|
Kenapa musykil? Kan ko kata tahu bahawa Mullah Omar itu adalah sunni dan bertariqat...so what's the problem? Dulu yang kuat sangat mengatakan Mullah Omar ini adalah seorang pengikut Tareqat adalah serihartatie dan geng2 Rufaqaknya manakala puak2 Salafi @ wahabi pula bangga Mullah Omar yang bermata satu ini sebagai sebahagian anggota rangkaian perjuangan mereka didunia ini.
|
|
|
|
|
|
|
|
Reply #4 Syd's post
Baru aku tahu kenapa ade puak ekstrimis dalam Islam... |
|
|
|
|
|
|
|
Aku musykil bila TALIBAN dikaitkan dengan WAHABI...pasti ker 100% dari Taliban tu Wahabi?..sebab setahu aku, Mullah (lupa lak nama dier) yg merintis penentangan kpd kerajaan Afghanistan yg kejam sewaktu itu berfahaman Sunni dan bertarekat.....
Kerajaan Taliban dapat sokongan moral Pakistan & Arab Saudi di saat satu dunia (termasuk Malaysia) mengiktiraf kerajaan Afghanistan dlm buangan (Pakatan Utara).
Apa pun, peranan ulama Syiah & Sunnah yg ekstremis yg menghalalkan taktik pengebom berani mati secara langsung memberi kesan pada mesin propaganda Barat mengiyakan kempen keganasan dgn Islam.
Wassalam. |
|
|
|
|
|
|
|
nyelit info sket...
Wacana ilmiah
Wacana Ilmiah Sekretariat Falsafah dan Sains Islam (SEFSI) 2007 bertajuk `Jihad dan Terorisme: Satu Analisa |
|
|
|
|
|
|
|
Jihad vs Keganasan
Oleh Idris Musa
[email protected]
Islam jamin kesejahteraan
DALAM kegembiraan merasai kerusi empuk di 10 Downing Street, Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, yang baru memegang jawatan itu tiba-tiba diselubungi kegelisahan apabila dikejutkan dengan aktiviti keganasan di Glasgow dan London, baru-baru ini.
Apa tidaknya, keganasan tidak mengenal mangsa, baik muda mahupun tua. Malah anak kecil yang belum mengerti apa-apa juga tidak terlepas daripadanya.
Di mana-mana ia boleh berlaku, sama ada di ruang terhad berhawa dingin lengkap dengan set sofa eksklusif atau kawasan terbuka yang sibuk dengan orang ramai, membuatkan semua orang dibayangi ketakutan.
Keganasan, merujuk kepada satu situasi atau kejadian menakut dan mencemaskan, ungkapan yang sangat popular sejak kebelakangan ini, malah di Barat ia rancak diperkatakan, daripada rakyat biasa hinggalah pemimpin atasan.
Dalam bahasa Arab disebut sebagai 'irhab' yang berasal daripada perkataan 'rahiba' bermaksud ketakutan, namun perkataan 'irhab' tidak digunakan bagi menggambarkan sifat atau perkara yang berkaitan dengan keganasan.
Perkataan Inggeris ialah 搕errorism |
|
|
|
|
|
|
| |
|