CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: amazed

TAUFAN Nargis di Myanmar : mangsa nargis masih terus sengsara!!

[Copy link]
 Author| Post time 3-12-2008 01:52 PM | Show all posts
Mangsa Taufan Nargis terus sengsara
Oleh Shamsiah Sanin

Mangsa Taufan Nargis terpaksa berteduh dalam khemah yang berlantaikan buluh berikutan rumah mereka ranap dilanda ribut.


130,000 penduduk Myanmar terus tagih simpati enam bulan selepas tragedi

TIADA yang menyedihkan apabila terpaksa hidup bersandarkan bantuan orang lain. Namun inilah hakikat terpaksa dilalui bukan seorang tetapi ratusan ribu mangsa Taufan Nargis di Myanmar yang masih terus bergelut dengan penderitaan biarpun selepas enam bulan tragedi berlalu.

Maung Oo adalah antara mereka yang masih menghitung hari bilakah nasibnya akan menemui kebahagiaan. Hampir setiap hari, beliau hanya mampu merenung kosong ke arah sawahnya yang masih ditenggelami air. Hujan sejak beberapa hari lalu menyebabkan harapannya untuk kembali mengerjakan sawah pudar semula.


Beliau sudah jemu hidup dengan bergantung kepada belas ihsan agensi bantuan antarabangsa dan mahu kembali kepada kehidupan sederhana yang dilaluinya sebelum taufan Nargis melanda Myanmar lebih enam bulan lalu.

Beliau sudah rindu untuk kembali menarik kerbau, meranduk lumpur dan menanam padi di sawahnya, namun sehingga kini keadaan belum mengizinkan.

Maung Oo, 51, adalah antara kira-kira 130,000 penduduk yang menjadi mangsa taufan Nargis di Myanmar yang masih bergantung kepada bantuan untuk meneruskan kehidupan, walaupun selepas enam bulan bulan tragedi tsunami berlalu


“Kami menerima bantuan beras dan kacang daripada sebuah badan kebajikan yang dikenali Care Myanmar, minum air hujan dan mendapat ikan dari sungai,” kata Maung Oo, sambil merenung air bah yang mengalir di hadapan pondok buluhnya.

Di sekitar kampung yang terletak 40 kilometer ke selatan Yangon, sawah padi ditenggelami air dan hasilnya tidak dapat dituai, mencetuskan keraguan terhadap kenyataan Pertubuhan Makanan Sedunia (FAO) bahawa 97 peratus kawasan jelapang padi Asia itu kini diusahakan semula.

“Kami tidak sabar menunggu untuk ke sawah semula. Kami benar-benar benci hidup dengan bergantung kepada kebajikan dan ihsan orang lain, walaupun kami tetap berterima kasih dengan bantuan yang diberi,” katanya.

Maung Oo berkata, beliau dan pesawah lain tidak mahu bergantung kepada bantuan semata-mata tetapi keadaan tidak mengizinkan mereka berdikari.
“Kami mungkin terpaksa menunggu empat minggu lagi sebelum mula menanam padi,” katanya.

Cuaca buruk dan hujan lebat di delta itu sejak empat bulan lalu juga menjadi halangan kepada petani untuk kembali ke sawah. Mereka bimbang taufan seperti Nargis akan berulang semula.

“Kami berasa sangat takut setiap kali angin bertiup. Kami sentiasa membawa radio sepanjang masa bagi mendengar maklumat dan laporan cuaca agar boleh bersedia,” kata isteri Maung Oo, Ma Nu.

Seorang lagi petani, Bo Sein, 70, mendakwa benih padi yang disumbangkan kepada mereka untuk menanam semula bercampur jenis dan masak pada masa yang berbeza, akibatnya ia sukar dituai.

“Ini mungkin disebabkan ia datang daripada sumber yang berbeza, namun akibatnya kami tidak akan dapat menuai pada masa yang sama,” katanya.

Sejak Nargis melanda dan menjejaskan kira-kira 2.4 juta penduduk, hampir satu juta penduduk menerima bantuan makanan, sekolah juga sudah dibuka, ladang ternakan dipindahkan dan lebih 1.7 juta penduduk menerima bantuan tempat perlindungan sementara, kata kumpulan penyelaras bantuan.

Bagaimanapun, menurut agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bantuan berterusan dan sokongan jangka panjang tetap diperlukan dan setakat ini hanya 53 peratus daripada kira-kira AS$484 juta (RM1.7 bilion) yang diperlukan berjaya diperoleh.

“Ada kawasan terpencil yang belum dapat dihubungi dan ramai mangsa terus terdedah kepada penyakit berikutan kekurangan air bersih dan tempat tinggal yang sesuai untuk meneruskan kehidupan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Di kawasan yang dilanda tsunami beberapa rumah baru kelihatan dibina di bawah pengawasan tentera junta.

Bagaimanapun, di dalam beberapa kes hanya sekumpulan kecil penduduk terutama mereka yang mempunyai hubungan dengan pemerintah mendapat rumah baru.

“Bukan semua yang memerlukan mendapat rumah dan bukan semua yang mendapat rumah baru adalah yang benar-benar memerlukan,” kata seorang penduduk di perkampungan Latkhitegon di selatan Yangon.

Beliau berkata, lima daripada rumah di perkampungan musnah teruk, tetapi lima lagi hanya mengalami kerosakan kecil, tetapi mereka turut mendapat rumah baru kerana mempunyai hubungan dengan junta.

Bagaimanapun, secara keseluruhannya penduduk masih terasa amat malu kerana terpaksa bergantung kepada bantuan luar dan tidak berdaya melakukan banyak perkara berikutan tragedi yang dialami.

“Kami benar-benar malu hidup dengan ihsan pihak lain. Kami kini terpaksa bergantung kepada bantuan luar mendapatkan beras. Penduduk seperti saya adalah yang paling teruk terjejas. Ia melumpuhkan seluruh kehidupan kami,” kata Maung Tun, seorang buruh.



dah berbulan2 dah bencana tuh... masih tak pulih pun laei.... ye lorrr  bukan senang nak bena balik kehidupan lepas bencana besaq macam tu... macam masa tsunami gak ler..... aku mmg simpati ler ngan mangsa nargis nih....
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 12-1-2009 07:27 AM | Show all posts
Hidup baru mangsa Nargis

Penduduk Myanmar yang terselamat daripada ribut Nargis kini mahu memulakan kehidupan baru meskipun begitu terhimpit


SUMBANGAN antarabangsa masih diperlukan untuk membantu kanak-kanak
ke sekolah dan menyediakan kemudahan perubatan untuk mangsa taufan Nargis


MENDIRIKAN khemah sebagai tempat perlindungan dan sekolah untuk kanak-kanak selepas tujuh bulan Myanmar dilanda ribut Nargis merupakan antara usaha yang dilakukan sendiri oleh penduduk Myanmar. Penduduk terpaksa membina kembali kehidupan dengan bantuan dan belas kasihan masyarakat antarabangsa.

Seorang nelayan yang juga ayah kepada tiga orang anak, Htein Lin Aung memberitahu, dia mendirikan bumbung baru untuk mengukuhkan tempat tinggal keluarganya dengan menggunakan kain bagi menutup tempat berteduh yang diperbuat daripada buluh.

"Kami melalui banyak kesukaran sepanjang negara dilanda ribut Nargis. Cuaca sekarang juga tidak menentu," ujar Lin Aung, 37. Dia merupakan salah seorang daripada kira-kira 100,000 keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat ribut tersebut.

Angin kencang yang melanda Myanmar telah mengorbankan lebih 138,000 nyawa dan menjejaskan lebih daripada 2.5 juta penduduk. Pada mula taufan melanda, tentera Myanmar didakwa menghina dan menghalang usaha-usaha bantuan antarabangsa.

Bagaimanapun, tentera kerajaan berubah fikiran selepas menerima kunjungan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban ki-Moon. Selepas kunjungan itu, mereka telah membina semula bahagian barat daya Delta Sungai Irrawaddy yang paling teruk dilanda ribut Nargis.

Di sebalik bantuan PBB sebanyak RM16,537,113, hanya 64 peratus dibiayai dengan mengambil kira aspek pertanian dan pemulihan awal.

Lin Aung memberitahu, penduduk kini mengalami kesusahan memandangkan kos sara diri meningkat dan pendapatan pula menurun kepada RM280 sebulan setelah negara dilanda ribut.

"Perniagaan saya teruk dan cuaca juga terlalu buruk. Pendapatan kami hanya cukup untuk perbelanjaan harian sahaja," katanya yang menyifatkan bencana itu menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut.

Katanya, penduduk terpaksa menggunakan kain untuk dijadikan bumbung kerana tidak mampu membeli bahan baru sebagai ganti bumbung rumah masing-masing.

Penduduk yang masih terselamat di kawasan Kungyangon yang terletak di bandar Yangon mengambil masa kira-kira tiga jam untuk ke sana. Setelah tujuh bulan berlalu, mereka kini tidak lagi menerima kunjungan pembantu perubatan.

"Kami tidak boleh tinggal dalam keadaan sebegini sepanjang musim hujan.

"Kami telah kehilangan banyak harta benda ketika Nargis melanda. Macam-macam berlaku, antaranya hujan lebat dan angin bertiup kencang dari setiap arah.

"Penduduk di sini juga memerlukan bantuan segera," luah seorang suri rumah, Khin Win, 46, sambil menjahit jaring pukat untuk suaminya.

Sementara itu, seorang petani yang terselamat dalam bencana itu memberitahu, dia berhadapan dengan masalah yang sama.

"Cuaca mula teruk selepas berlakunya ribut Nargis. Beras mengalami kejatuhan harga dan kami menerima tawaran harga yang cukup rendah," ujar Mya Aung, 51.


WALAUPUN ribut Nargis telah tujuh bulan berlalu, namun kanak-kanak
di kawasan yang teruk dilanda ribut masih belajar di sekolah yang berdinding plastik.


Zon bantuan bencana telah diwujudkan menerusi khidmat pelarasan daripada PBB dan 10 anggota ASEAN serta pemerintah tentera Myanmar.

Para penilai bencana akan selesai menjalankan tugas pada hujung bulan ini. Ia telah dijalankan oleh pihak terpilih yang kini akan meneruskan bantuan kepada mangsa ribut Nargis.

"Perkara yang sangat kritikal adalah penyediaan makanan yang berkhasiat. Kami perlu meningkatkan sokongan atau bantuan dari negara lain," kata Penyelaras Perikemanusiaan PBB, Bishow Parajuli.

Menerusi perjanjian kecil yang dimeterai pada minggu lalu di Kungyangon, kutipan derma mencecah RM1,732,544 berjaya dipungut oleh sami Buddha untuk disalurkan kepada Palang Merah Taiwan bagi membina dua buah sekolah rendah dan saluran air.

"Kami masih bekerjasama dengan Persekutuan Palang Merah Antarabangsa dan Palang Merah Taiwan," kata Pengurus Am Persatuan Palang Merah Taiwan, Steven Chen.

Beliau berkata, Palang Merah Taiwan juga menambah perbelanjaan dalam projek tersebut sebanyak RM3,464,859.

Seorang guru sekolah rendah, Lei Lei Oo pula memberitahu, bantuan tersebut mengambil masa yang lama untuk sampai kepada pihak yang sepatutnya.

"Paling penting ialah sesi persekolahan untuk kanak-kanak. Anak saya yang berada di peringkat tiga tidak dapat hadir ke sekolah sekiranya cuaca masih lagi buruk," jelas Lei Oo.

Menurutnya, mereka masih berdepan dengan pelbagai kesusahan. - AFP

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 09:31 PM GMT+8 , Processed in 0.058363 second(s), 25 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list