|
Agak lama Murai Batu tidak mendengar cerita tentang bintang Akademi Fantasia 5 (AF5), Heliza yang jelita bertudung itu. Kali terakhir melihat Heliza pun ketika Murai Batu menghadiri Anugerah Bintang Popular Berita Harian April lalu apabila Heliza berduet dengan Mawi pada malam kemuncak.
Hakikatnya, sekarang Murai Batu difahamkan Heliza sedang sibuk menyambung pengajiannya di Sabah. Dulukan Heliza pernah tangguhkan pelajaran sebab masuk AF5.
Tapi teman Murai Batu memberitahu satu lagi cerita hangat. Rupa-rupanya Heliza sekarang sedang dilamun cinta dengan seseorang dan ia baru saja berputik. Hai, dengan siapa pula?
Kalau nak tahu, pasangan Heliza itu bukan main popular orangnya. Sebut saja namanya mesti peminat akan kenal.
Dia adalah pengacara dan pelakon kacak, Awal Ashaari.
Nampaknya lepas ni bertambah satu lagilah pasangan romantis sesama selebriti. Khabarnya, Heliza dan Awal tengah mengenali hati masing-masing. Bagi Murai Batu, mereka memanglah sesuai. Seorang cantik bertudung dan seorang lagi segak bergaya. Malah, kedua-duanya mempunyai imej bersih, yakni tak ada kontroversi.
Apapun, dalam ghairah bercerita, teman Murai Batu berkata semua itu hanya berlaku dalam filem terbaru lakonan mereka, Syurga Cinta arahan Ahmad Idham! Huh, memang sengaja nak kenakan oranglah tu, April Fool terlewat!
Sebenarnya, Awal dan Heliza pertama kali dipertemukan kerana sebelum ini mereka tidak pernah kenal rapat. Dalam Syurga Cinta watak Awal lebih kepada lelaki nakal yang baru pulang dari luar negara dan jatuh cinta kepada gadis yang kuat pegangan agama lakonan Heliza. Hmm, macam pernah ku dengar saja cerita seperti itu...
Apapun, kita harap gandingan Awal dan Heliza akan menjadi. Malah kalau mereka berdua bercinta betul-betul pun OK juga sebab dua-dua pun masi single. Betul tidak?
MURAI BATU: Cinta lokasi pernah terjadi dalam hidup Ogy Datuk Ahmad Daud dan Eman Manan. Fuh indahnya... |
|