CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 20541|Reply: 9

Sekolah Pondok : Kemana Arah -

[Copy link]
Post time 10-7-2008 06:44 AM | Show all posts |Read mode
Ke mana arah sekolah pondok?
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM


Salah satu sudut pandangan sekolah pondok Pasir Tumboh,
Kota Bharu yang masih menampung ramai pelajar. - Gambar HAFIZ JOHARI


KOTA BHARU 9 Julai - Satu demi satu beransur menghilang dan menjadi sebahagian daripada sejarah.

Begitulah nasib sekolah pondok, pusat pengajian ilmu agama yang tumbuh bertaburan di negeri ini, tidak mampu bertahan mengikut peredaran zaman.


Antara masalah utama sekolah pondok di negeri itu yang suatu ketika mengukuhkan gelaran Serambi Mekah bagi Kelantan dikatakan kerana ketiadaan usaha untuk 'menginstitusikan' sekolah aliran itu agar dapat kekal dan terus subur.

Sistem yang ada pada masa ini ialah lebih kepada kaedah pewarisan sekolah pondok dan prasarananya secara total kepada ketokohan pengasasnya yang digelar 'tok guru', selaku pemilik total sekolah-sekolah sedemikian.

Apabila mereka meninggal dunia, maka sekolah pondok itu akan turut tidak bernafas sekiranya penggantinya tidak diasuh.

Tenaga pengajar pula secara tradisinya terdiri daripada kalangan anggota keluarga seperti anak atau menantu pengasas sekolah pondok, yang bersedia mewarisi kepimpinan, sifat keilmuan dan keperibadian tok guru.

Situasi itu berlaku kerana kebanyakan sekolah pondok merupakan milik pengasas dan ia akan menjadi harta pusaka yang perlu dibahagikan secara adil kepada asnaf zuriatnya melainkan ia telah diwakafkan secara lebih awal lagi.

Justeru, dalam keadaan itu walau sehebat mana pun sekolah pondok itu daripada sudut pandangan umum, ia tidak mampu bertahan apabila kehilangan pengasasnya.


Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini semasa berucap pada majlis peletakan batu asas Asrama Lelaki Kedua Ma'ahad Muhammadi turut membangkitkan mengenai senario itu.

Beliau memberikan contoh apa yang berlaku terhadap sekolah pondok ulama terbilang seperti Tok Kenali, Tok Bunut Payung, Tok Wan Ali Kutan dan Tok Pulai Chondong yang terus terkubur setelah pengasasnya meninggal dunia.

"Sepatutnya, perjuangan dan penyebaran Islam tidak boleh terhenti dengan matinya pengasas. Sebagai contoh ialah Tok Kenali yang amat terkenal dengan anak muridnya turut datang dari seluruh nusantara.

"Tetapi, apabila dia meninggal dunia, semuanya hilang dan terus terkubur dan keadaan sama turut terjadi kepada banyak lagi sekolah pondok lain yang terkenal seperti di Bunut Payong, Kutan dan Pulai Chondong,'' katanya.

Dalam keadaan itu, jika pelajarnya ingin meneruskan lagi survival, sekolah pondok terpaksa menubuhkan pusat pengajian sendiri yang bermakna dia perlu bermula daripada peringkat asas iaitu mencari pelajar dan membina reputasi.

Senario itu sebenarnya bukan hanya berlaku di negeri Kelantan, tetapi turut melibatkan seluruh negara dan seluruh nusantara seperti selatan Thailand dan Indonesia.

Justeru, jika diselidiki sejarah sekolah pondok di nusantara, kebanyakannya tidak mampu bertahan melebihi 100 tahun walaupun ia sebelum itu amat dikenali.

Tetapi, nasib malang ini tidak berlaku terhadap pengajian pondok di negara lain seperti Mesir, India, Pakistan dan Yemen kerana pondok-pondok mereka diinstitusikan secara cekap dan sistematik.

LayakMelalui kaedah institusi itu, terdapat satu badan khas yang mengurus tadbir perjalanan pondok mereka seperti pelantikan guru baru yang layak bagi meneruskan pengajian setelah kematian guru asal.

Mengulas mengenai perkara berkenaan, Pemegang Amanah Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB), Zaidi Hassan mengakui mengenainya dan menyarankan supaya pihak berwajib mengambil inisiatif untuk menginstitusikan sekolah pondok bagi memastikan kesinambungannya.

Menurut beliau, masalah kemerosotan sekolah pondok di negeri ini dan seluruh nusantara tidak sepenuhnya disumbangkan oleh elemen sekeliling iaitu pendidikan moden.

"Suka atau tidak demi kebaikan sekolah pondok di negeri ini, kita kena akui bahawa kemerosotan itu berpunca daripada masalah sistem dalamannya sendiri yang amat memerlukan usaha menambah baik yang tidak akan menjejaskan kualiti penghasilan modal insan,'' katanya.

Secara asasnya, sistem pengajian sekolah pondok di negeri Kelantan sudah diselaraskan melalui penubuhan PPPB pada 22 April 1995 dengan 13 buah sekolah pondok bernaung di bawahnya.

Di Kota Bharu, ia melibatkan Pondok Pasir Tumboh, Pondok Tunjung, Pondok Beta Hilir, Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas, Pondok Gelang Mas, Tumpat, Pondok Talak, Pondok Berangan dan Pondok Geting Tanah Merah, Pondok Bukit Gading, Pondok Lepan Bola, Pasir Puteh, Pondok Seligi, Pondok Dalam Huma serta Pondok Sungai Durian di Kuala Krai.


Sementara itu, sekolah pondok lain yang tidak bernaung ialah Pondok Banggol Stol dan Madrasah Nasrullah, Kampung Pohon Buloh (Pasir Mas), Pondok Moden Kandis dan Pondok Kuin Pasir, Jelawat (Bachok), Madrasah Diniah Yusufiah di Jeli, Pondok Mahligai, Melor, Kota Bharu; Pondok Darul Hanan di Tumpat, Pondok Darul Falah di Pasir Puteh, Pondok Lati di Pasir Mas dan Pondok Hidayah di Machang.

Antara visi PPPB ialah mempertahan dan memajukan institusi sekolah pondok sebagai salah satu institusi pengajian alternatif yang berjaya di nusantara; menjadikan ia sebagai suatu tempat pelancongan ilmu dan ibadat ke arah menjana industri pelancongan negara.

Visi lain pusat itu ialah untuk menjadikan institusi sekolah pondok sebagai salah satu pusat untuk menjana ekonomi negara melalui program-program industri kecil yang tersusun.

Selain menjadikan institusi sekolah pondok sebagai salah satu pusat untuk menangani gejala sosiol yang berlaku dalam negara.

Melihat kepada visi PPPB memang baik, tetapi masih perlu diperhalusi secara konstruktif untuk merealisasikan secara menyeluruh dan saling lengkap-melengkapi antara semua pihak.

Rasionalnya, boleh dilihat melalui sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada awal tahun lalu apabila seorang bekas Exco kerajaan Pas, Datuk Hassan Mohammad yang pada masa itu merupakan ADUN Temangan telah mencuri perhatian apabila melontarkan persoalan mengenai nasib sekolah pondok di negeri itu yang semakin tidak terbela.

Beliau bertanya berapa banyak institusi sekolah pondok di negeri itu yang masih aktif, tentunya dengan mengambil kira selama 17 tahun perkembangan di bawah kepimpinan Pas.

Ia disusuli dengan pendedahan dan pernyataan rasa bimbang apabila semakin sukar mendapatkan 'naqib' iaitu individu yang boleh memimpin bacaan tahlil di kampung-kampung.

Beliau menarik perhatian, kini sudah menjadi suatu amalan biasa untuk 'mengimport' 'naqib' dari kampung lain berikutan kampung yang berkenaan tidak mempunyai individu berkelayakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah negeri, Hassan Mohamood pada masa itu, kemudiannya menjelaskan, terdapat 13 sekolah pondok yang masih aktif termasuk di Pasir Tumboh dengan lebih 1,200 pelajar, manakala di Sungai Durian, Kuala Krai pula, menampung lebih 500 pelajar.


Kerajaan negeri sebelum itu memberitahu, terdapat 10 buah sekolah pondok yang tidak lagi aktif.

Persoalannya, kenapa bilangan sekolah pondok semakin mengecil, malah banyak juga yang dalam keadaan nafas 'semput' dan tentunya pada pandangan singkat umum, keadaan itu tidak patut berlaku di era pemerintahan sebagai kerajaan Islam.

Dalam pada itu, Zaidi berkata, walaupun pada hakikatnya sekolah pondok mempunyai banyak kelemahan, tetapi pada masa yang sama, kebaikannya adalah melebihi kekurangan itu.

Katanya, kelemahan berkenaan masih boleh diperbaiki tanpa perlu mematahkan tulang belakang institusi yang amat berjasa itu yang banyak menyimpan khazanah bangsa.

"Warisan keilmuan bangsa masih bernafas di sini. Mungkin sudah ada gelegar yang perlu ditukar, ada atap yang perlu diganti dan air telaga yang perlu dialirkan deras, tetapi janganlah binaan diruntuhkan,'' katanya.

Katanya lagi, sekolah pondok telah membuktikan peranannya dalam peradaban Melayu yang berfungsi sebagai pelunggol (teras) masyarakat.

"Ahli masyarakat yang 'berpelunggol', walaupun ia bergerak jauh, tetapi masih mempunyai ikatan. Sekiranya dia tersesat, dia boleh kembali semula dengan menyusuri tali pelunggol.

"Masyarakat tanpa pelunggol lambat-laun akan kehilangan titik tengahnya, umpama ternakan yang tercabut pelunggol akan sesat dan mungkin merempuh tanpa arah,'' katanya.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

one of my brothers study kat Pondok Pasir Tumboh - sebab tok guru tu sepupu
ayah saya - kami panggil dia 'ayah pa' (nama dia ustaz mustapha) -
dan saya pernah la pergi sana visit sekolah tu - sebab tu kampong parents saya -
sekolah tu macam few hundred meters aje dari rumah my gramma -

ada tengok gambar bangunan sekolah pondok yang zaman dulu2 - betapa bezanya -
banyak yang dipelajari juga - macam sekolah biasa juga - cuma ditekan banyak
bidang islam - banyak belajar Al Quran, arabic... -  then my brother sambung study
kat Mekah.. dia duk sana few years  belajar sambil kerja -

saya memang respect pelajar2 yang study kat pondok ni - ramai yang berjaya actually -
tapi seperti sekolah2 lain - ada yang berjaya ada yang separuh jalan - mungkin tak
boleh nak bawa subject2 yang diajar - which mostly arabic subjects -
another brother of mine study kat maahad muhammadi - tu memang bagus punya
sekolah -- sekarang kat jalan pengkalan chepa rasanya - pindah dari jalan merbau
KB - dekat dengan masjid muhammadi -

sekolah pondok ni boleh jadi hebat  macam SBP juga.. given diberi perhatian serious
dan dapat dana  untuk improvekan condition - dan provide more tenaga pengajar
yang dah establish as well - buku2 yang bagus --
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 10-7-2008 06:46 AM | Show all posts
Struktur pengajian pondok

KOTA BHARU 9 Julai - Sistem pengajian pondok terbahagi kepada dua kategori iaitu pengajian umumi dan nizami yang bergantung pada keupayaan masing-masing dengan menggunakan dwibahasa pengantar iaitu Melayu dan Arab.


Melalui sistem umumi yang tiada batas masa pengajian, sesiapa pun boleh menjadi pelajar tanpa mengira usia atau tahap pendidikan dan diberi kebebasan memilih mata pelajaran yang bakal dipelajari dengan kitab-kitab rujukan ditentukan oleh guru.

Pengajian sistem nizami pula dikendalikan secara kelas mengikut tahap kemampuan masing-masing melalui satu peperiksaan kelayakan dan secara kebiasaan serta kokurikulumnya jarang berubah.

Kedua-dua sistem ini memberikan perhatian khusus terhadap dua kaedah pembelajaran iaitu pengajian khas secara kelas bimbingan dan hafazan serta muzakarah.

Antara mata pelajaran yang diajar ialah tauhid, feqah, nahu (tatabahasa Arab), balaghah (sastera Arab), soraf (ilmu kunci bahasa Arab), tasawuf, tafsir, hadis, mantiq (ilmu logik) dan sejarah Islam.


Tenaga pengajar di sekolah pondok berperanan atas semangat kesukarelaan mereka yang tinggi iaitu mencurahkan bakti dengan mengajar ilmu tanpa menerima sebarang gaji.

Bagaimanapun secara kebiasaannya sekolah pondok turut mengenakan yuran pendaftaran sebagai kos untuk urusan pentadbiran dan kadarnya berbeza antara satu sama lain.

Dengan mengambil contoh Pondok Pasir Tumboh, yuran pendaftaran ialah sebanyak RM10, yuran bulanan RM5 atau RM50 setahun, yuran kecemasan RM10 dan yuran bagi pelajar kelamin dan warga emas ialah RM3 atau RM30 setahun.

Bayaran penggunaan elektrik dan air pula mengikut kawasan penempatan yang diduduki manakala pembiayaan makan-minum dan pembelian kitab adalah tanggungan pelajar sendiri.

Ada yang memilih pondok kerana minat mereka yang mendalam terhadap pengajian agama secara tradisional atau kerana ibu bapa mahu membentuk keperibadian mereka agar lebih baik.


Pelajar lepasan pondok sistem nizami di negeri ini dengan sekurang-kurangnya lima tahun pengajian berpeluang melanjutkan pembelajaran dan mendalami lagi bidang agama di selatan Thailand dan Indonesia.

Ada juga pelajar dari pondok berkenaan yang menyambung pengajian ke Afrika Selatan, India, Pakistan (pondok/universiti), Bangladesh (pondok), Mesir (universiti), Sudan (pondok/universiti) dan Yaman (universiti).

Bagaimanapun setiap pelajar yang layak dan ingin melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi perlu terlebih dahulu memasuki Kulliyah Pondok Darul Naim yang terletak di Pasir Tumboh sebagai kelas persediaan.

Bahasa pengantar di pondok tersebut ialah bahasa Arab dan ia akan mengukuhkan penguasaan mereka dalam ilmu agama di luar negara.
Reply

Use magic Report

Post time 10-7-2008 07:22 AM | Show all posts
yg kat jalan merbau maahad muhammadi perempuan..
yg kat jalan pgkln chepa maahad muhammadi lelaki..




semua ahli keluarga belah mertua semua sekolah arab.. aku je sekolah biasa..
Reply

Use magic Report

Post time 10-7-2008 07:25 AM | Show all posts
kalau x silap pengerusi yayasan darul hanan.. bekas calin parlimen tumpat tu.. byk tv3 masuk kg kat tumpat..

dlm paper cakap ribu2 dtg.. bila tanya famili sana, x sampai ratus2 je dtg..
yg dtg pun budak2.. ramai penduduk2 kg x suka sbb byk axtviti sosiol dan melalaikan..

tambah plak bawak yg x tutup aurat dtg situ.. huhuhuhu..
Reply

Use magic Report

Post time 10-7-2008 07:45 AM | Show all posts
apa motif penulis kemana arah sekolah pondok.. maksud dia kemana arah tahap pendidikan ke, tahap sekolah mereka, adik beradik suami aku semua sekolah pondok, tp semua dah sampai ke ovc belajar agama, takde p0lak dok tersadai kat umah jek, semua pengajian tanggung 100% tanpa loan ptptn,sbb mana lew kjaan nk bg loan melainkan zakat kerajaan negeri kan.

nak kata tak kemana sekolah lps kematian pengasas, sekolah pondok kubang bujuk terengganu tu,skang makin besar, padahal pengasas dah berpuluh tahun meninggal dunia.
Reply

Use magic Report

Post time 11-7-2008 01:29 AM | Show all posts

Reply #1 & #2 dexa's post

'menginstitusikan'? harap ni bukan satu alasan untuk ambil langkah 'mempolitikkan' sekolah

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 14-7-2008 01:10 AM | Show all posts
Originally posted by gasing at 10-7-2008 07:22 AM
yg kat jalan merbau maahad muhammadi perempuan..
yg kat jalan pgkln chepa maahad muhammadi lelaki..




semua ahli keluarga belah mertua semua sekolah ar ...


dulu - kat jalan merbau tu  both for girls and boys
sebelum diasingkan  maahad lelaki kat jalan pengkalan cepa..

balik kelantan last year - masa duk kat jalan kebun sultan tu
lalu kat situ --  so different nowadays -
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-11-2008 06:59 AM | Show all posts
Pengajian pondok sepenuh masa
Oleh KHAIRI MOHAMAD


MASJID Imam Syafi'e yang merupakan salah satu komponen Maahad
Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat yang memerlukan sumbangan daripada
orang ramai untuk disiapkan di Repek, Pasir Mas semalam.



PASIR MAS - Sistem pengajian pondok di negeri ini terus diperkasakan apabila Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat dekat sini mewujudkan sistem pengajian pondok secara sepenuh masa.

Dikenali dengan nama Pondok Ihya' Al-Ulum, ia bertujuan untuk mengembalikan zaman kegemilangan pengajian pondok di Kelantan yang menjadi teras pendidikan di negeri ini sekitar hujung kurun ke 19 dan awal kurun ke 20.

Pengetuanya, Mohamad Subki Abdul Rahman memberitahu, di zaman kegemilangannya, Kelantan pernah memiliki 117 pondok yang diterajui tokoh-tokoh agama berwibawa.

Menurutnya, kini hanya 14 buah pondok yang berdaftar dengan Pusat Pembangunan Pondok Berhad manakala jumlah pelajarnya juga mengecil disebabkan kepelbagaian pilihan sistem pendidikan yang ada sekarang.

"Sistem pengajian sepenuh masa ini merupakan kombinasi antara sistem pengajian pondok dan pengajian moden dengan kerangka pengajian yang telah dibuat.

"Tempoh pengajiannya selama tujuh tahun dengan proses pengajian bahasa Arab dan ilmu Islam serta silibus pengajian melibatkan peperiksaan seperti Sijil Menengah Ugama dan Sijil Pelajaran Malaysia," katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti merangkap Speaker DUN, Mohd. Nassuruddin Daud hadir merasmikan sistem pengajian tersebut mewakili Menteri Besar Kelantan.

Jelas Mohamad Subki, pengambilan peringkat pertama itu akan melibatkan 50 pelajar dan semua pengurusan menggunakan sumbangan atau zakat daripada orang ramai.

"Kita menyediakan tenaga pengajar daripada Pattani yang berpengalaman luas dalam institusi pondok dan kurikulum yang digunapakai sama seperti yang diajar di pondok-pondok di Kelantan dan Pattani," ujarnya.

Tambahnya, sistem pengajian ini memberikan beberapa keistimewaan kepada pelajarnya seperti asrama dan yuran pengajian percuma.

Katanya, syarat kemasukan adalah berumur 13 atau 14 tahun, mampu membaca al-Quran dan membaca serta menulis Jawi dengan lancar, lulus ujian temu duga dan beberapa syarat lain.

Pada majlis sama juga, kerajaan Kelantan turut melancarkan Dana Pembinaan Masjid Imam Syafi'e yang merupakan salah satu komponen pondok tersebut dan sumbangan boleh dibuat melalui akaun CIMB 03027010014625 atas nama Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 5-11-2012 08:50 PM | Show all posts
YPP1M: Bukan Ambil, Tapi Nak Tolong
Published Saturday, November 3, 2012 By Minda Aktif. Under Agama, Pendidikan  

Pada 16 Oktober 2012, telah diadakan satu sidang media bagi mengumumkan Majlis Pelancaran Yayasan Pembangunan Pondok 1 Malaysia (YPP1M). Yayasan ini merupakan cetusan idea YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Namun, sayang seribu kali sayang apabila hasrat murni ini disalah tafsir oleh sebilangan pihak yang begitu pesimistik dan sinis. Pelbagai tohmahan dan kritikan tidak membina telah dilemparkan.

Ada yang mengatakan YPP1M ingin mengambil alih pentadbiran sekolah pondok.
Ada yang mengatakan YPP1M hendak mengubah kurikulum sekolah pondok.
Ada yang mengatakan YPP1M mahu menggantikan persatuan-persatuan pondok yang ada.
Ada yang mengatakan YPP1M merupakan gimik politik menjelang pilihan raya.

Mungkin masih ada kalangan khalayak yang masih belum jelas akan tujuan penubuhan YPP1M. Seperti yang telah dijelaskan dalam sidang media lalu, tujuan penubuhan YPP1M adalah untuk memberikan pengiktirafan kepada sumbangan institusi pengajian pondok yang telah membangunkan pendidikan agama di negara ini. Bagaimana YPP1M hendak memberikan pengiktirafan ini? Dalam Majlis pelancaran nanti, Perdana Menteri berbesar hati mahu menyampaikan Anugerah Tokoh Pondok 2012 kepada beberapa tokoh pondok yang telah banyak berjasa. Selama ini khalayak ramai tidak mengenai tokoh-tokoh ini. Mereka hanya dikenali dalam lingkaran yang kecil.

Selain tokoh-tokoh berkenaan, Anugerah Pondok Contoh 2012 juga akan diberikan bagi mengiktiraf institusi pondok yang berjaya secara keseluruhannya melahirkan tokoh-tokoh ilmuwan Islam. Pondok contoh ini akan dijadikan kayu pengukur kepada pondok-pondok lain. Rahsia kejayaan pentadbiran dan pengurusannya dapat dikongsi bersama supaya pondok-pondok lain sama-sama membangun dan bersaing dalam melahirkan ilmuwan Islam yang berkualiti dan berkaliber. Usaha ini bukan setakat pada majlis ini sahaja, sebaliknya akan dijadikan acara tahunan dan merupakan antara aktiviti utama YPP1M.

Moga pengiktirafan ini akan membuka mata masyarakat mengenai hakikat sebenar pengajian pondok. Lulusan-lulusan pondok tidak akan lagi dilihat sebagai lulusan kelas kedua. Sebaliknya mereka berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lulusan sekolah-sekolah bantuan kerajaan yang lain. Apabila ini terjadi, maka laluan lulusan pondok untuk ke menara gading pasti akan terbuka luas. Para ibu bapa sudah tentu tidak lagi berasa ragu-ragu menghantar anak-anak mereka mengikuti pengajian di pondok.

Selanjutnya misi penubuhan YPP1M adalah untuk memartabatkan  institusi pondok supaya mereka lebih berdaya maju dan berupaya mempertahankan kelangsungan kewujudannya. Bagaimana YPP1M mahu memartabatkan kedudukan pondok? Umum sedia maklum, kebanyakan pondok-pondok yang ada sekarang berada dalam keadaan daif. Anda boleh lihat sendiri gambar-gambar pondok usang yang dirakamkan dalam Direktori Pondok-pondok 1 Malaysia. Sebilangan pondok ini mendapat bantuan kewangan daripada Majlis Agama Negeri, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan. Ada juga pondok-pondok yang proaktif mencari dana sendiri dengan cara menjual produk seperti air minuman. Ada juga menyediakan perkhidmatan perubatan alternatif dan pusat pemulihan.

Tetapi jarang ada pengusaha pondok yang terpaksa mengemis, mengharap simpati orang ramai. Mungkin ada kalangan pelajar-pelajar pondok yang datang meminta derma ehsan. Namun bilangan mereka boleh dikira dengan jari. Walaupun mengalami kesempitan kewangan, institusi pondok ini berjaya mempertahankan kewujudan mereka dan kekal relevan hingga ke hari ini. Di sinilah YPP1M akan memainkan peranannya.

YPP1M bukanlah badan kebajikan yang akan menyalurkan bantuan kewangan kepada institusi pondok. Sebaliknya fungsi YPP1M hanya sebagai pembuka jalan bagi pondok-pondok ini mendapatkan bantuan yang diperlukan. Sebagai contoh, Pondok A memerlukan 500 kitab Feqah untuk kegunaan pelajar-pelajarnya. YPP1M akan membantu Pondok A bagi mendapatkan 500 kitab Feqah berkenaan. Pondok B pula memerlukan 100 keping atap genting bagi memperbaiki bumbung pondok yang rosak. Maka YPP1M akan membantu Pondok B mendapatkan 100 keping atap genting berkenaan. YPP1M tiada langsung niat hendak mencampuri urusan pentadbiran mahupun kurikulum pondok-pondok berkenaan. YPP1M sekadar berdiri di luar lingkaran dan cuba sedaya upaya membantu pondok-pondok supaya kelangsungannya dapat dikekalkan.

Usaha YPP1M bukan terhenti setakat ini sahaja. Sebaliknya pelbagai program ilmu akan diadakan bagi memperkenalkan tuan guru pondok kepada khalayak umum. Ilmu-ilmu tuan guru pondok ini akan dapat dikongsi dan dimanfaatkan oleh ummah. Moga dengan cara ini, pihak-pihak lain dapat menjemput tuan guru pondok untuk berceramah di tempat mereka. Sagu hati ikhlas yang diberikan kepada mereka boleh digunakan sebagai dana untuk menanggung perbelanjaan di pondok.

Bahkan dengan adanya program seperti ini, akan dapat membuka mata lebih banyak NGO yang berminat mahu menyampaikan sumbangan ikhlas kepada pondok-pondok berkenaan. Sementelah, badan-badan swasta juga giat melancarkan kempen CSR (Corporate Sosial Responsibility) atau Tanggungjawab Sosial Korporat. Melalui CSR, badan-badan swasta boleh memberikan biasiswa kepada pelajar-pelajar pondok melanjutkan pengajian mereka ke luar negara. Selain itu, mereka boleh menyumbang dalam memperbaiki prasarana pondok.

Semasa sidang akhbar tempoh hari, Yang Berbahagia Dato’ Nooh Gadut, mantan Mufti Johor yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPP1M, telah menyeru supaya yayasan ini tidak dipolitikkan. Ayuh sama-sama kita jadikan YPP1M sebagai platform neutral tempat di mana para ilmuwan Islam boleh duduk berbincang sama-sama tanpa mengira fahaman politik demi kelangsungannya.

Moga selepas ini tiada lagi salah faham mahupun silap faham akan tujuan penubuhan YPP1M.

View original article here ----> http://www.mindaaktif.net/?p=9845
Last edited by haniz_isma on 5-11-2012 08:55 PM

Reply

Use magic Report

Post time 6-11-2012 11:42 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

24-4-2024 05:39 AM GMT+8 , Processed in 0.198061 second(s), 39 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list