CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5948|Reply: 6

Mengekal tradisi mogang / mantai

[Copy link]
Post time 29-9-2008 04:02 PM | Show all posts |Read mode
Post Last Edit by Syd at 21-8-2009 13:39

Mengekal tradisi mogang
MEMBAKAR lemang dan memasak rendang bagi menyambut Ramadan menjadi tradisi di Negeri Sembilan.

BERLAINAN dengan negeri-negeri lain di Malaysia, tradisi mogang di Negeri Sembilan merupakan satu amalan istimewa yang sering dilakukan oleh masyarakatnya.

Ia merupakan tradisi membuat lemang dan menyembelih kerbau atau lembu pada hari menentukan tarikh permulaan puasa dan sambutan hari raya. Walaupun tidak semua yang melakukannya, tetapi amalan ini menceriakan kedatangan Ramadan.

Menurut suri rumah, Habibah Said, 58, tradisi ini telah lama diamalkan. Malah seingat beliau, sejak kecil lagi ibu bapa dan penduduk kampung telah melakukannya.

"Amalan membuat lemang menjelang bulan puasa telah lama dijalankan sejak zaman nenek-moyang kita lagi. Keluarga saya tidak pernah ketinggalan membuat lemang untuk dimakan bersama keluarga sebelum Ramadan.

"Tradisi ini juga dipanggil mantai kerana pada hari tersebut, kerbau atau lembu akan disembelih untuk dijual dagingnya kepada mereka yang mahu memasak rendang sebagai pencicah kepada lemang tersebut," kata Habibah yang sering membuat lemang sebanyak dua gantang setengah setiap kali menjelang Ramadan.

Sebanyak dua gantang setengah beras pulut diperlukan untuk 50 batang buluh (jika buluhnya kecil), manakala seandainya buluh yang diambil agak besar, hanya 35 batang buluh diperlukan.

Proses memasak lemang biasanya mengambil masa antara lima hingga enam jam. Ini termasuklah kerja-kerja membersihkan buluh, memasukkan daun pisang, beras dan santan yang telah dicampur sedikit garam kedalam buluh hinggalah tiba waktu ia dibakar.

"Untuk proses pembakaran lemang pula, penjagaan api amat penting agar lemang tidak hangus atau kurang masak. Ia begitu menuntut kesabaran kerana berhadapan dengan haba dan kepanasan api yang membakar begitu meletihkan.

"Selain itu, jika lemang sudah hampir masak, ia perlu diketuk-ketuk bagi memampatkan isi di dalamnya dan dibalik-balikkan untuk mendapatkan pembakaran yang sempurna," katanya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 21-8-2009 01:40 PM | Show all posts
Puspanita Seremban anjur Hari Mantai


Ahli-ahli Puspanita cawangan Seremban membungkus daging pada program Hari Mantai di Kompleks Pentadbiran Daerah Seremban, Seremban, semalam.

SEREMBAN 20 Ogos - Seramai 50 ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) cawangan Seremban menyertai program Hari Mantai di Kompleks Pentadbiran Daerah dekat sini hari ini.

Setiausahanya, Noor Zaila Mohd. Yatim berkata, program tersebut dianjurkan buat julung-julung kali sempena menyambut kedatangan Ramadan dengan matlamat merapatkan hubungan silaturrahim sesama ahli.

Menurut beliau, mantai iaitu amalan menyembelih, melapah serta memotong daging haiwan ternakan secara bergotong-royong merupakan tradisi turun-temurun yang diwarisi masyarakat Melayu berketurunan Minangkabau di negeri ini bagi memeriahkan sambutan Ramadan serta Syawal.

''Kesemua peserta program menyumbang tenaga melapah dan memotong daging seekor lembu seberat 400 kilogram sumbangan Puspanita cawangan Seremban," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Noor Zaila memberitahu, daging lembu yang siap dipotong diagihkan kepada 120 ahli Puspanita cawangan Seremban serta 40 keluarga kurang berkemampuan dan ibu tunggal di sekitar daerah ini.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 5-5-2019 03:26 PM | Show all posts
Ramadan datang lagi.

i dah g Mantai malam tadi.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 5-5-2019 03:27 PM | Show all posts
Mantai.

Jika pasangan anda merupakan anak jati Negeri Sembilan dan tiba-tiba menyuarakan permintaan untuk pulang ke kampung sehari sebelum Ramadan, cubalah penuhi permintaan itu. Ia bukan permintaan biasa-biasa. Pasangan anda sedang mengingati sesuatu yang istimewa pada zaman kecilnya. Dia rindu dengan jeritan - mantai... mantai.

Ini cerita "kami" tentang Mantai.

"Mantai" pada orang Negeri Sembilan merupakan adat yang cukup istimewa. Ia berlaku sehari sebelum Ramadan. Pada kebiasaannya, semua seisi keluarga kami akan berkumpul dan melaksanakan aktiviti bersama dalam persediaan menyambut Ramadan keesokkan hari.

Biasanya pada hari Mantai, awal pagi lagi sudah kecoh seisi rumah kami. Daging atau tulang lembu harus didapatkan segera. Kalau dapat temusu, perut atau ekor lembu bagus juga. Jangan terperanjat jika ada keluarga yang menyembelih lembu awal pagi seolah-olah esok hari raya. Ada juga keluarga kami yang memilih untuk menyembelih beberapa ekor ayam kampung.

Ibu akan jadi ketua untuk menentukan masakan. Habislah kelapa dipanjat untuk didapatkan santan. Pokok cili kami akan togel hari tersebut. Maklumlah, jika tiada cili apalah makna masakan kami.

Jika rezeki baik adalah nangka muda yang boleh dibuat gulai atau belimbing buluh jadi pilihan. Jika tidak umbut kelapa kami gunakan. Mungkin juga rebung atau jantung pisang.

Daun-daun kayu kami kumpul. Kami dapatkan pucuk ubi, pucuk kacang, daun kunyit, daun kaduk dan pucuk labu serta petai. Ibu kami masak semua daun-daun itu bersama tempoyak dan magiknya ia jadi sambal tempoyak daun kayu yang sangat kami sukai.

Mantai di sisi adat kami memang begitu. Kami menyediakan makanan yang istimewa. Lemang harus dibakar, dodol mesti dikacau. Jika musim durian tiba, dodol durianlah kami tahun itu. Rendang ayam atau daging pasti tidak dilupa. Nasi seperiuk godang harus ditanak.

Anak-anak kecil akan ditugas membersihkan rumah. Dari ruang tamu hingga ke halaman. Malah ada yang sudah menyediakan pelita keliling rumah. Ia bagai pesta menyambut Ramadan.

Tidak dilupakan pada yang telah pergi. Kami akan ke kubur. Sedekahkan Al-Fatihah pada ahli keluarga yang pergi lebih dahulu. Dalam masa itu juga kubur akan kami bersihkan sebaiknya. Buat persediaan raya nanti bila saudara mara yang jauh datang bertandang. Dapatlah mereka lihat bahawa kubur ahli keluarga bersih dan terjaga. Pada kami, jika kubur bersih, tanda ingatan kasih sayang kami pada yang pergi tetap sama dan tidak berubah.

Hari ini juga kami sempatlah bertemu kawan-kawan yang lama sudah tidak ketemu. Ada masa terluang, sempat kami bersama ronda satu kampung menaiki motor lama ayah. Kami ke sekolah lama, atau mungkin ke sungai tempat mandi manda dulu atau mungkin ke lokasi rahsia kami kecil kecil dahulu. Bagi yang sedikit nakal, buluh kami cari. Tak lama selepas itu, berdentumlah meriam buluh kabait kami.

Kemuncaknya Mantai pastilah makan bersama. Makan bersila dalam bulatan besar sangat menyelerakan. Berpeluh peluh dek tiada kipas waktu itu ditambah masakan ibu yang pastinya pedas.

Malam bersedialah kami untuk ke Masjid untuk Terawih yang pertama. Makanan yang dimasak dari awal pagi akan dibawa bersama. Ia jadi hidangan bersama seisi kariah nanti.

Dapatlah berkongsi rasa dan cerita sepanjang malam. Yang pandai mengaji, berlagulah masjid kami dengan bacaan Al Quran mengisi malam Ramadan yang syahdu. Kadang kala bacaan Al Quran berlagu bersama dentuman perang meriam buluh yang tidak selesai.

Sahur esoknya, makanan tadi juga akan dihidang. Hanya mungkin ada tambahan. "Mano datang pulak rondang itik podeh ni?". Ia biasa pada kami kerana hidangan jiran juga akan sampai ke dapur kami.

Itulah Mantai pada kami. Benar bahawa Mantai zaman ini sudah tidak sama lagi. Tapi kami harus juga balik mengadap rumah usang itu. Mengadap kubur yang sunyi itu. Mengadap wajah ibu dan ayah yang makin di mamah usia itu.

Kami masih mahu mengadap tok guru mengaji Al Quran atau jiran tua yang kami anggap saudara. Malah kami sangat senang mengadap pokok durian, rambutan atau mangga sambil tersenyum. Pasti ada kenangan zaman kecil yang istimewa.

Kami masih mahu pulang di hari Mantai walaupun ia sudah tidak semeriah dulu.

Mungkin yang kami cintai sudah tiada lagi atau mungkin seisi keluarga tidak lagi dapat berkumpul bagai zaman kecil kami.

Tetapi kami tetap mahu pulang ke kampung walaupun Mantai itu tidak sama lagi. Kerana apa? Kerana kami mahu mengenang zaman kecil yang nostalgik itu. Ia mungkin tidak ada apa apa makna pada orang lain. Pada kami - anak jati Negeri Sembilan - 'Mantai' itu terlalu istimewa.

Syirfan Indra
Anak Jati Negeri Sembilan yang merindui "Mantai"nya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-5-2019 01:35 PM | Show all posts


Tradisi membakar lemang atau lebih dikenali sebagai ‘melemang’ menjadi kemestian setiap kali menjelang Ramadan atau mantai dalam budaya di Negeri Sembilan. Gambar hiasan. - Foto Amran Yahya


Melemang pelengkap mantai di Negeri Sembilan

Oleh Amran Yahya
bhsastera@bh.com.my

KUALA PILAH: Lemang biasanya disediakan menjelang perayaan khususnya Aidilfitri, tetapi di Negeri Sembilan, tradisi membakar lemang atau lebih dikenali sebagai ‘melemang’ menjadi kemestian setiap kali menjelang Ramadan atau mantai.

Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin, berkata mantai bermaksud sehari sebelum menyambut puasa, Aidilfitri dan Aidiladha.

“Ia aktiviti yang sangat penting di negeri ini, malah seperti tidak lengkap jika tidak melemang.

“Lemang juga lambang penyeri ketika menyambut perayaan hingga anak, cucu-cicit dan saudara-mara yang jauh sanggup balik semata-mata hendak melemang.

“Ini menunjukkan adat pepatih yang diamalkan di Negeri Sembilan mementingkan musyawarah, muafakat dan perpaduan hingga mereka sanggup mengambil cuti tahunan semata-mata untuk pulang melemang,” katanya kepada BH di sini.



Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin. - Foto Amran Yahya

Secara sejarah, Mohd Rosli berkata, melemang di Negeri Sembilan dimulakan suku Asli Temuan dan juga zaman Penghulu Naam, iaitu Penghulu Luak Ulu Muar pertama pada sekitar tahun 1700.

“Lemang ialah perkataan yang digunakan tiga kaum, iaitu Melayu, Minangkabau dan Batak yang membawa maksud sama, iaitu beras pulut dimasak atau dipanggang dalam buluh serta dibalut di bahagian dalamnya menggunakan daun pisang.

“Dahulu, aktiviti bersawah ialah kegiatan sangat penting dan apabila padi dituai, aktiviti melemang sudah pasti dilakukan untuk merasai padi baharu.

Rapatkan hubungan

“Aktiviti ini sangat penting untuk merapatkan hubungan rakyat dengan pemimpin, sekali gus hubungan sesama rakyat.

“Sehingga sekarang aktiviti melemang menjadi satu tradisi ketika mantai dan lemang pula menjadi makanan tradisi utama,” katanya.

Tambah Mohd Rosli, lemang di Negeri Sembilan mempunyai simbol dan falsafah tersendiri hingga tradisi itu mampu dikekalkan.

“Antara falsafahnya ialah lambang permuafakatan kerana dalam lemang, terkandung beras pulut dan santan yang melambangkan begitu pentingnya kehidupan suci serta bersih.

“Daun pisang yang membaluti beras pulut pula melambangkan unsur syarak yang perlu diikuti, iaitu adat bersendi syarak dan syarak bersendikan kitabullah,” katanya.

Jelas Mohd Rosli, zaman dahulu masyarakat yang kuat mengamalkan adat sangat aktif melemang hingga menjadi kewajipan penting.

Lambang indah

“Lemang sudah menjadi lambang yang indah bahawa perayaan yang bakal disambut meriah.

“Jika ada lemang sudah tentu akan ada rendang daging atau rendang ayam sebagai penyedapnya,” kata beliau.

Sementara itu, Rozlan Mohd Yusof, 64, berkata, tidak lengkap rasanya jika tidak melemang setiap kali menjelang Ramadan.

“Setiap kali melemang, anak, menantu dan cucu akan pulang untuk bergotong-royong dari mula membuat persiapan sehingga membakar.

“Suasana sebegini amat dirindui dan kami dapat berbincang serta mengeluarkan pendapat masing-masing.

“Ketika mereka pulang nanti, saya akan membekalkan dengan lemang sebagai juadah bersahur atau berbuka puasa,” katanya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 10-6-2019 05:31 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 19-6-2019 04:13 PM From the mobile phone | Show all posts
In my family mantai wajib ada rendang
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

25-4-2024 07:12 AM GMT+8 , Processed in 0.109402 second(s), 33 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list