|
Urusan ini perutusan cinta.
Lautan itu kesepiannya luas. Dari kejauhan, wajahnya datar menadah simbahan hangat cinta sang matahari setiap masa berdetik. Kehangatan cinta itu mengeluwapkan butiran embun halus dari dataran muka lautan membentuk kabus. Kabus-kabus berpelukan menjadi kabut. Kabut-kabut yang suci saling ampu-mengampu melawan graviti sehingga melangit tinggi membentuk gerombolan-gerombolan awan putih.
Dengan penuh kelembutan cinta, gerombolan awan mulus yang sarat itu diarak sang angin. Bagai raja diarak di atas singgahsana.Perarakan itu membawa kedinginan cinta ke daerah-daerah kontang. Dimana setibanya, awan-awan itu terus menerpa mesra sang gunung yang berdiri setia, kemudian memeluknya. Pelukan itu pelukan cinta sang awan. Kerinduan. Sehingga menetes air matanya. Lalu titisan-titisan rahmat memenuhi alam, membasahkan muka-muka daun yang kering sebelum menerobos muka bumi yang dahaga.
Air mata cinta itu lalu mengalir di dada sang gunung. Arusnya berlari-lari mengucup lembut batuan-batuan dengan penuh kasih. Batuan itu lalu menitipkan zat-zat mineral alami ke perut arus, pelengkap perutusan cinta dari Pencipta kepada hamba-hambaNya. Pencipta yang meniupkan ruh-ruh cinta ke seluruh alam. Cinta laut dan matahari. Cinta angin dan awan. Cinta gunung dan air. Bongkah-bongkah alam ini saling cinta-mencintai dengan penuh ikhlas untuk menghidupkan seluruh binaan penciptaan. Memberikan hamba satu kehidupan.
Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakansebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu,kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula)orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya). – Surah Al-A’raaf, ayat 57.
Tetapi apa yang ada di dalam perut-perut sang hamba. Apa lagi kalau bukan kebencian, hasad dengki serta iri hati, sombong takabbur,prasangka-prasangka menjijikkan, tamak haloba dan bara permusuhan. Ramai manusia hanya bercinta dengan dirinya sendiri. Maka tidak pernah ada yang lebih penting di atas muka bumi ini selain perut dan kemaluannya. Akan dibuat apa saja untuk memenuhi kedua-duanya biarpun perbuatan itu menyenakkan perasaan dan batang tubuh orang lain. Dimatanya cuma dia yang manusia, selainnya adalah haiwan-haiwan yang boleh diperlakukan seperti apa saja. Maka..
Hanya manusia yang memperkosa hak manusia.
Ada yang berasa gah kerana di dadanya, kononnya, ada cinta. Rasanya indah membuak-buak mengaburi semua. Tanpa disedari, sedap rasa itu di lidah nafsu, jauh dari dikecap iman. Cinta itu cinta maksiat. Cinta yang bakal memenuhkan perut jahannam. Kerananya anak menjadi durhaka. Kerananya sang ibu yang melahirkan merana. Kerananya, sang gadis hilang harga diri. Kerananya penzinaan muda merata-rata. Lalu telah terbiar anak-anak yang tidak pernah berdosa di mula fana. Anak-anak itu merana hidup mereka kelak atau mati saja. Mati kerana cinta!
Cinta apa ini?!
Cinta tidak pernah mematikan tetapi nafsu, ya! Sesungguhnya, cinta ilahi cinta yang menghidupkan! Cinta ilahi cinta yang menggalangi seluruh penciptaan. Cinta ilahi, cinta yang ikhlas. Tanpa mengharap balas membisikkan ruh-ruh cinta di dada hamba.
Ayuh, marilah kita bercinta. Biarkan yang jahat. Masih ada manusia mahu menjadi manusia.Timbanglah amal di neraca kemaslahatan semua, bukan keenakan sendiri. Supaya tidak ada batas melintangi jalan di depan rumah-rumah teres itu. Kerana anak muda merempit di jalan, batas itu di situ. Kerananya, ambulan yang membawa orang hampir mati perlahan. Kerananya, lelaki tua sakit perut bermotor mahu ke tandas perlahan. Kerananya, seorang lelaki berbasikal dikejar anjing perlahan.
Allah memberikan agama kerana manusia pasti takkan sepenuhnya menjadi manusia. Sah ke atas semua. Itu takdir. Penciptaan ini diimbangi hitam dan putih, positif dan negatif, baik dan jahat. Tanpa kedua-duanya, ia runtuh terus.
Carilah di mana-mana planet, kalau sudah manusia mendudukinya, batas melintangi jalan pasti ada. Kehebatan akal ada kekurangannya. Kekuatan jasad ada kelemahannya. Graviti itu menyeronokkan di padang bola, graviti yang sama membunuh perempuan-perempuan putus asa kerana cinta. Hingga terburai otak dan darah di kaki flet. Graviti yang melihat lalu menangis. Tetapi apakan daya, perintah Allah lebih utama. Tiada saat berlalu tanpa graviti bertasbih kehadrat Tuhannya. Apakah ada yang mampu melawan Qada dan Qadar Allah?
Hanya Dia, kun fayakuun.
“Demimasa. Sesungguhnya manusia sentiasa berada di dalam kerugian. Kecualiorang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka berpesan-pesankepada kebenaran, dan mereka berpesan-pesan kepada kesabaran”- SurahAl-Asr.
“Dan demisesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apayang dibisikkan oleh hatinya, sedang Kami lebih dekat kepadanyaberbanding urat lehernya sendiri” – Surah Qaaf, ayat 16.
“...Ketahuilah di dalam diri kamu ada seketul daging, andai baik dagingitu, baiklah jasad keseluruhannya, andai buruk daging itu, buruklahjasad keseluruhannya. Ketahuilah, seketul daging itu ialah HATI” –Al-Hadith.
Prakata untuk novel CINTA.
[ Last edited by kubakoya at 19-12-2008 03:45 PM ] |
|
|
|
|
|
|
|
itu hasil tulisan awak?
good one!~
trskan usaha...nnt sy bljr dgn awak |
|
|
|
|
|
|
|
panjang bebenor ler..
but nice... |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Cinta & Perhubungan
|