CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 13518|Reply: 0

PENGUKIR SARUNG SENJATA MELAYU

[Copy link]
Post time 12-1-2009 08:52 AM | Show all posts |Read mode
Pengukir sarung senjata Melayu Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my

MENGUKIR hulu parang berbentuk kepala burung.

Sampul lakukan kerja mengikut gerak hati dan tidak pernah mempunyai guru dalam seni membuat sarung parang daripada kayu

MOHD Sampul Din, 66. Namanya saja sudah cukup unik dan menarik, apatah lagi warga emas ini mempunyai keistimewaan dan kelebihan tersendiri yang boleh dikongsi bersama.

Istilah sampul itu sendiri jika mengikut istilah Kamus Dewan merujuk kepada sarung, pembungkus atau penyalut.


Nama itu sebenarnya sinonim dengan kemahiran yang dimiliki Sampul atau lebih dikenali dengan panggilan Atuk di kalangan penduduk Kampung Medan, Petaling Jaya, Selangor.

Ia memang sesuai dengan kemahirannya membuat sarung parang, pisau dan keris yang siap lengkap dengan ukiran seni Melayu dengan pelbagai corak dan tema serta bergantung kepada permintaan pelanggan.

Itulah kelebihannya yang tidak diwarisi tetapi dipelajari sendiri, hasil minat dan mencuba kehendak hati hingga berjaya menghasilkan ukiran seni yang boleh dibanggakan.
Walaupun tidak mempunyai guru dalam seni membuat sarung parang daripada kayu, Sampul mengakui dia bekerja mengikut gerak hati dan terus mencuba sehingga ke tahap sekarang iaitu mampu untuk menerima tempahan.

“Ini anugerah Allah. Tiada ahli keluarga yang membuat kerja ini, saya tak mewarisi daripada sesiapa, sekadar mencuba dan menjadi. Jadi, saya teruskan minat hingga ke hari ini.

“Mungkin kebetulan, nama Sampul, buat kerja pun dalam bidang berkaitan sarung parang,” katanya tersenyum.

Datuk kepada enam cucu ini menjadikan ruang kecil di tepi rumahnya sebagai bengkel bekerja menyiapkan tempahan. Kebiasaannya, ia lebih kepada hulu dan sarung pisau serta parang yang digunakan untuk melapah lembu dan memotong daging.

Sarung keris pula lebih banyak digunakan untuk perhiasan. Walaupun beliau tidak membuat sendiri senjata berkenaan tetapi bersedia mengambil tempahan pelanggan dan akan menghantarnya ke bengkel membuat senjata di Kuala Selangor, Selangor.

Peralatan yang digunakannya cukup mudah iaitu gergaji, beberapa bilah pisau kecil, kertas pasir dan tin semburan pewarna asli khas untuk kayu.

Mengenai idea corak ukiran, bekas pekerja kilang ini menjelaskan ia bergantung kepada permintaan pelanggan tetapi kebiasaannya mereka lebih sukakan kepada corak yang sedia ada atau dibuat oleh Sampul.

“Susah nak cakap pasal idea corak ini. Ia boleh datang tiba-tiba. Kadangkala dalam tandas pun boleh datang ilham, duduk minum kopi dan atas motosikal pun boleh dapat.

“Bila dapat idea, saya akan terus lakarkan dalam buku, nanti hilang dalam ingatan. Bila dah ada idea, baru boleh mengukir sebab dah ada panduan dan asas nak buat,” katanya sambil menunjukkan sebuah buku nota berisi pelbagai lukisan dan corak lakaran sendiri.

Pembuat sarung parang juga harus bijak memilih jenis kayu bagi memastikan bertepatan dengan pilihan pelanggan kerana setiap jenis kayu mempunyai corak serta warna tersendiri yang berbeza sekali gus menjadikannya lebih ekslusif.

Kebanyakan kayu yang digunakan ialah jenis Surian, Rengas, Ciku, Cempedak, Meranti Bunga dan Menireh. Kayu itu diperoleh atau dibeli daripada rakan di sekitar Selangor. Kayu pilihan popular jenis Surian dibelinya di Lenggong, Perak.

“Kayu Surian paling mahal dan cantik manakala kayu Menireh memberikan pelanggan lebih banyak pilihan kerana warnanya bercampur aduk tetapi menarik. Jika disembur pewarna khas, coraknya akan lebih jelas,” katanya.

Setiap tempahan biasanya akan mengambil masa kira-kira seminggu untuk disiapkan disebabkan kesibukan Sampul membantu hal keluarga termasuk menguruskan cucu yang tinggal bersamanya. Jika dibuat berterusan, ia boleh disiapkan dalam masa dua hingga tiga hari.

Tegasnya, walaupun ada pelanggan yang hanya berminat dengan sarung tanpa corak, beliau tetap teliti dengan kerjanya bagi memastikan corak kayu asli kekal dan warnanya menyerlah selepas digosok dan diwarnakan.

“Kita perlu sembur cat sekurang-kurangnya tiga kali. Setiap kali selepas mengecat, mesti digosok dengan kertas pasir halus dan ia dilakukan berterusan,” katanya.

Selain mahir dalam menyediakan sarung parang secara tradisional, Sampul juga berkebolehan membuat sangkar burung dan perangkap burung untuk dijual.

Info

Sarung parang dan pisau

Tema corak ukiran hulu dan sarung parang atau pisau:


Harimau

Naga

Batik

Tumbuhan

Harga tempahan

Antara RM200 hingga RM400 sepasang.

Gam hulu keris: diperbuat daripada kopi dan pulut hitam atau putih.



Profil

Mohd Sampul Din

Usia:
66

Tarikh lahir: 1943

Asal: Bagan Datoh, Perak

Isteri: Sabi Manan, 57,

Anak:

Mimi Zalila, 32

Sharul Nizan, 31

Zulkiflee, 30

Nazarina, 23

Cucu: 6 orang

Pendidikan:

Sekolah Sungai Batang, Bagan Datoh, Perak (1957)

Sekolah Batu 20, Bagan Pasir Laut, Bagan Datoh, Perak (1958)

Nota: bekas rakan sekerja zaman muda belia dulu..
dia yang paling tua dikalangan kami yg muda belia..
aktif memanjat gunung,rock climbing dan beberapa aktiviti luar..
sesiapa yg berminat buat tempahan sarung keris.parang boleh pm bro...
terima kasih.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

23-4-2024 11:35 PM GMT+8 , Processed in 0.075354 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list