CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 36425|Reply: 14

Rumah Perlindungan Pesakit HIV/AIDS Islam

[Copy link]
Post time 19-4-2009 08:13 AM | Show all posts |Read mode
Post Last Edit by Syd at 3-9-2009 09:55

Takut mati  di gereja
Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

Jenazah  lelaki  HIV  muslim  diurus seperti orang  bukan Islam.


KETIADAAN rumah perlindungan khusus untuk pesakit HIV muslim boleh menambahkan derita pesakit.


MASHUD

"BILA dapat tahu saya dijangkiti HIV positif, saya nekad untuk menjalani hidup dengan lebih positif dan mendekatkan diri kepada Allah.Tetapi ke mana harus saya tuju?

"Oleh kerana tiada tempat pemulihan dan perlindungan khusus untuk pesakit HIV lelaki muslim di negara ini, kami terpaksa menumpang teduh di gereja," cerita Latif Osman, 40-an, (bukan nama sebenar) yang ditemui Jurnal baru-baru ini.

Latif dan tujuh rakannya yang baru dua bulan ditempatkan di Baitul Fiqh, Subang, Selangor begitu lega kerana kini dia tidak lagi perlu menghuni rumah perlindungan kelolaan sebuah gereja di Selangor.

Untuk maklumat, selama ini hampir semua rumah perlindungan HIV yang dikelolakan pertubuhan bukan kerajaan atau pihak persendirian beragama Islam dikhususkan untuk pesakit HIV/ AIDS wanita.

Latif nekad untuk keluar dari rumah perlindungan sebelum ini selepas melihat seorang rakannya meninggal dunia akibat penyakit tibi."Jenazahnya yang tidak dituntut oleh keluarganya telah diuruskan mengikut cara Kristian sedangkan dia seorang muslim," cerita Latif.




Menurut Latif, Baitul Fiqh pada asalnya ialah rumah perlindungan untuk bayi-bayi yang dibuang oleh ibu mereka namun terpaksa menerima pesakit HIV memandangkan tiada rumah perlindungan khusus yang sanggup menerima mereka.

"Memang ada banyak rumah perlindungan untuk pesakit HIV lelaki,tetapi semuanya diuruskan oleh gereja Katolik sedangkan ramai pesakit ialah orang Melayu yang rata-ratanya beragama Islam.

"Saya percaya ramai lagi rakan-rakan sebangsa saya yang ingin keluar dari rumah perlindungan tersebut namun tiada tempat yang boleh dituju.Hendak balik kampung, keluarga sudah membuang mereka," ujarnya.

Latif yang sudah 18 kali keluar masuk penjara dan pusat pemulihan dadah berkata, pesakit HIV memang tidak boleh lari daripada stigma negatif masyarakat, namun mereka perlu tetap pendirian jika benar-benar ingin berubah.

"Kami tidak boleh menyalahkan masyarakat. Namun kami juga mahu masyarakat faham bahawa kami mahu bertaubat dan menjalani kehidupan normal," ujar anak kelahiran Kuala Selangor ini yang mula menyuntik dadah ke tubuhnya ketika berusia 18 tahun.

Seorang lagi pesakit HIV, Mashud Jamil, 35, (bukan nama sebenar),berkata, dianggarkan beribu-ribu pesakit HIV muslim bakal kehilangan pedoman jika mereka tidak dikeluarkan segera dari rumah perlindungan Katolik berkenaan.

"Rumah perlindungan Katolik berkenaan sangat prihatin dengan nasib pesakit HIV yang tiada keluarga dan merempat di kaki lima dengan menyediakan rumah perlindungan, makan minum dan ubat-ubatan.

"Namun, apa yang menimbulkan rasa kurang selesa bagi pesakit muslim ialah tiada pengisian agama dan kami tidak bebas untuk melakukan ibadah seperti bersolat dan mengaji," katanya yang pernah tinggal di rumah perlindungan Katolik di Melaka beberapa tahun lalu.

Jelas Mashud, kebanyakan rumah perlindungan ini tidak memaksa mereka untuk menukar agama tetapi jika pesakit dalam keadaan nazak, pihak pengurusan akan berdampingan dengan pesakit sehingga akhir hayatnya.

Bagi Mashud, itu adalah fasa yang menggerunkan kerana walau seterukmana pun perjalanan hidupnya, dia masih mahu mati sebagai seorang Islam.

Selamatkan akidah mereka
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 19-4-2009 08:46 AM | Show all posts

Balas #1 Syd\ catat

alhamdulillah...ada juga insan2 yg prihatin... tapi bagaimana dgn kita? apa sumbangan kita?. Langsung tak terlintas perkara sebegini berlaku di negara ISLAM. subhanallah....
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-9-2009 09:59 AM | Show all posts
Sediakan rumah perlindungan pesakit HIV/AIDS Islam

KUALA TERENGGANU 31 Ogos - Majlis AIDS Malaysia meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam membantu menyediakan rumah perlindungan untuk pesakit Virus Kurang Daya Tahan Penyakit Manusia (HIV) atau Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS) yang beragama Islam di negara ini.

Presidennya, Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman berkata, sehingga kini NGO atau pihak persendirian Islam masih kurang terlibat dalam menyediakan bantuan berkenaan.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan ramai pesakit HIV/AIDS yang dipinggirkan oleh keluarga terpaksa menumpang di rumah perlindungan kelolaan agama lain walaupun berhadapan dengan stigma negatif dan cemuhan masyarakat.

Katanya, pihak terbabit seperti hospital juga terpaksa menghantar pesakit HIV/AIDS ke rumah perlindungan yang ada tanpa mengambil kira agama yang dianuti.

"Rumah perlindungan untuk pesakit HIV/AIDS kelolaan agama lain telah lama ditubuhkan bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara-negara lain. Namun setakat ini, NGO Islam yang berjuang untuk pesakit-pesakit AIDS dan HIV belum ada.

''Bagaimanapun, terdapat NGO seperti Prihatin dan Soleha di Kelantan dan Cahaya Harapan di Alor Setar, Kedah menyediakan bantuan perlindungan untuk pesakit wanita namun untuk pesakit lelaki pula masih tidak ada.," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis berbuka puasa dan Program Pemasyarakatan HIV/AIDS anjuran Majlis Aids Malaysia dan Jabatan Kesihatan negeri di Taman Tamadun Islam di sini baru-baru ini.

Dr. Adeeba berkata, dianggarkan 75 peratus daripada penghidap HIV/AIDS di negara ini merupakan orang Melayu.

''Kebanyakan penghidap merupakan penagih dadah. Bagi wanita pula, kebanyakan jangkitan berlaku daripada suami mereka yang menghidap HIV/AIDS,"ujarnya.

Justeru, beliau meminta rakyat di negara ini terutama beragama Islam tidak mudah menghukum pesakit HIV/AIDS kerana ada di antara mereka merupakan mangsa keadaan.

Sementara itu, mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Unit HIV/AIDS Kementerian Kesihatan, sebanyak 1,766 orang dijangkiti HIV sehingga Jun lalu.

Kelantan mencatatkan jumlah jangkitan HIV tertinggi di negara ini pada tahun lepas dengan 749 kes, diikuti Johor (501) dan Selangor (441).

Jumlah mereka yang dijangkiti HIV menurun kepada 4,549 pada 2007 daripada 5,830 pada tahun sebelumnya.

Jumlah mereka yang menghidap AIDS juga menurun daripada 1,842 pada tahun 2006 kepada 1,130 (2007) dan sehingga Jun tahun ini hanya 498 orang telah dijangkiti penyakit itu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-9-2009 09:56 AM | Show all posts
MAIS jaga pesakit AIDS Islam

Oleh NORHAYATI YAHAYA dan NORLIDA AKMAR IDROS
berita@kosmo.com.my

KUANG - Seramai 15 pesakit HIV/AIDS yang beragama Islam yang sebelum ini ditempatkan di Welcome Community Home (WCH), Batu Arang di Rawang sejak lebih dua tahun lalu akhirnya dipindahkan ke Rumah Budi di sini dan Rumah Yayasan Ijabah, Petaling Jaya sejak Rabu lalu.">


SEORANG pesakit HIV/AIDS menerima rawatan di Rumah Budi Kuang, Selangor semalam.

Bagaimanapun dua lagi pesakit sama beragama Islam di situ masih belum mahu berpindah dari rumah kebajikan yang diuruskan oleh sebuah gereja itu.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa berkata, pusat yang mampu memuatkan kira-kira 40 pesakit pada satu-satu masa itu diuruskan oleh Yayasan Budi dengan peruntukan awal daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM140,000 dan diikuti peruntukan tetap sebanyak RM25,000 sebulan.

"Sebelum in kita tidak mempunyai kepakaran untuk menjaga pesakit HIV/AIDS tetapi dengan bantuan LZS, kami berbincang dengan Yayasan Budi dan Yayasan Ijabah dan akhirnya membuat keputusan memindahkan mereka ke sini sejak Rabu lalu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Rumah Budi di sini semalam selain menyaksikan kaedah rawatan Islam yang digunakan oleh pusat penjagaan baru itu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 8-9-2009 02:55 PM | Show all posts
'Penyelamat' HIV, Aids
Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my


Ustaz Amin (empat dari kiri) bersama wakil Mais, kakitangan dan penghuni pusat perlindungan.

Ustaz muda ambil inisiatif tubuhkan pusat khas untuk penghidap penyakit maut ini di Petaling Jaya

HAMPIR 10 tahun Muhamad Abdullah Al-Amin, 30, terbabit dalam aktiviti keagamaan, memberi ceramah, motivasi, merantau ke segenap dunia menyebarkan agama Allah.

Namun, anak muda yang digelar Ustaz Amin ini belum pernah mengalami masalah terkedu, atau kaku lidahnya kerana terlalu berat untuk berkata-kata menyampaikan sedikit ucapan ringkas seperti dialami baru-baru ini.

Hatinya sedih bercampur baur apabila diminta memberikan kata-kata semangat kepada sekumpulan penghidap penyakit HIV dan Aids. Bukan memandang hina, tetapi ini kerana pesakit beragama Islam itu ditempatkan di sebuah gereja di Rawang, Selangor.

Digagahi juga untuk berucap, cuma dua minit dirasakan umpama 20 jam, terlalu lama dan berat hati.

"Apa yang boleh saya katakan. Jika saya bagi nasihat Allah masih sayangkan kamu, Islam itu bersaudara, saling tolong menolong...adakah itu tepat dan kena pada masanya?. Siapa yang sebenarnya menolong mereka.


Gotong-royong mengangkat katil terpakai sumbangan Msc.

"Apa yang saya dan rakan Muslim lain lakukan hingga sanggup membiarkan saudara seagama yang tenat ditempatkan di gereja. Bukankah itu umpama menepuk air ke dulang, terpercik ke muka sendiri.

"Memang mereka bersalah kerana terjerumus ke lembah hina akibat kesilapan hidup hingga ditimpa musibah penyakit, tetapi adakah kita cuma mampu melihat dan mencerca mereka. Walau apapun yang mereka lakukan, apa yang penting ialah bagaimana hidup mereka berakhir.

"Jika mereka berakhir di jalan yang direda, misalnya sedang membaca al-Quran, bersembahyang, mengikuti kelas agama, itu sebenarnya lebih baik daripada mereka mati di lorong hitam tanpa sempat bertaubat," katanya.

Sejak peristiwa menyentuh hati di Rawang pada awal tahun lalu, beliau nekad melakukan sesuatu untuk menolong pesakit itu beragama Islam dengan menempatkan mereka di tempat khas untuk orang lelaki dewasa.



Ini kerana di Selangor dan Kuala Lumpur, belum ada mana-mana tempat yang diletakkan di bawah jagaan badan bukan kerajaan (NGO) yang khas untuk menjaga pesakit HIV dan Aids lelaki dewasa berbanding di beberapa negeri lain, sedangkan pesakit paling ramai berada di Lembah Klang.

Atas kesedaran ini, beliau mengambil inisiatif menubuhkan sebuah pusat khas untuk pesakit HIV dan Aids bagi lelaki dewasa beragama Islam bertempat di Petaling Jaya. Dengan sokong kuat rakan dan beberapa pihak lain, niatnya menjadi kenyataan sejak Mei lalu.

Menggunakan platform Yayasan Al Ijabah yang digunakan untuk menguruskan anak yatim, Ustaz Amin turut menerima sokongan padu Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Kini bertempat di sebuah rumah dua tingkat, di situlah beliau menempatkan sembilan pesakit dengan bantuan dua ustaz yang ditugaskan menjaga mereka. Pelbagai program disusun, bermula dengan pengisian jiwa membabitkan solat berjemaah, bacaan al-Quran, tazkirah serta urusan pengendalian diri.

Peliknya, ditanya dari mana datang sumber kewangan untuk menguruskan pusat berkenaan, jawabnya ringkas tetapi penuh makna: "Allah sentiasa menolong umatnya yang berusaha, apatah lagi membantu saudara seagama yang sedang menderita.

"Konsep kasih sayang dalam Islam perlu diterjemahkan melalui amalan dan praktikal, bukan sekadar menunggu dan berdoa," katanya.

Katanya, memang benar, kadar sewa premis itu saja sudah mencecah RM3,500 sebulan, belum termasuk kos makan, bil elektrik serta pengurusan lain.

Rezekinya memang murah ketika wartawan Berita Minggu meninjau pusat berkenaan, secara kebetulan, sebuah lori tiba di situ membawa muatan katil terpakai yang disedekahkan oleh Pusat Perubatan Selangor (MSC).

"Kami sangat mengalukan jika ada mana-mana sukarelawan yang sedia membantu. Jika ada yang ingin membantu dalam bentuk lain, itupun dihargai," katanya yang memerlukan dana kewangan kukuh untuk menguruskan pusat berkenaan.

Ketika ini, semua peserta di pusat penjagaan berusia antara 20-an hingga awal 40-an, dikategorikan sebagai 'positive living' iaitu pesakit yang boleh menguruskan diri kerana mereka ini disahkan menghidap HIV dan belum mencapai tahap sakit Aids.

Selepas ini, pusat itu akan menerima pesakit Aids yang kebanyakannya perlu diuruskan semuanya termasuk mandi, makan, memberi ubat dan urusan membawa ke hospital. Atas sebab itulah beliau memerlukan ramai sukarelawan.

Menyingkap kisah menyayat hati, beliau pernah ditanya satu keluarga mengenai dosa tindakan mereka menghantar saudara mereka yang menghidap Aids ke gereja disebabkan tidak mempunyai hala tuju dan tiada pilihan.

Hingga sekarang beliau tidak mampu menjawab soalan itu tetapi ia menguatkan lagi azamnya membantu pesakit Aids beragama Islam.

Profil: Muhamad Abdullah Al-Amin.
Pendidikan:
# Pendidikan awal di Johor.
# Ke Pakistan untuk program tahfiz ketika berusia 15 tahun.
# Menuntut di Maahad Muhammadi Kelantan.
# Belajar di UM cawangan Nilam Puri, Kelantan (sering berulang alik ke Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas).
# Menuntut di Maahad Ihsaniah Penang.
# Universiti Al-Azhar di dalam Kuliyyah Syariah di Kaherah untuk tahun akhir.
# Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) - Diploma Administration of Islamic Judiciary (DAIJ)
# Kursus Sarjana di UM
# Sarjana kedua di UIAM dalam bidang LLM (AIOL).

Pengalaman:
# Bermula 2003 - merantau ke negara Arab - bertemu dengan ulama di Yaman, Syria, Jordan, Lubnan, Turki, Maghribi, Sepanyol, Mesir, Iran, Uzbekistan.
# Menyertai operasi kemanusiaan di Indonesia:
1) Tsunami di Aceh
2) Tsunami Pangandaran Jawa Barat,
3) Gempa bumi di Bengkulu.
# Menyertai operasi gempa bumi di Pakistan.
# Mengasas rumah anak yatim di Subang Jaya.
# Menyertai Yayasan al-Ijabah dalam program amal.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 14-9-2009 11:13 AM | Show all posts
Sentral: Nasib pesakit HIV/Aids dibela
Oleh Nor Hatina Shuib
bhnews@bharian.com.my

Istana Budi selia, jaga kebajikan penghuni

RAWANG: Hidup menderita dan dibuang keluarga. Itulah hakikat perlu dihadapi pesakit HIV/Aids untuk meneruskan kehidupan.

Menyedari nasib mereka perlu dibela, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sedia membantu rumah yang menempatkan pesakit terbabit termasuk sebuah penempatan baru diberi nama `Istana Budi' sebagai tanda simpati kepada semua pesakit terbabit.

Ketika ini, ia dihuni 10 pesakit termasuk sembilan pesakit HIV beragama Islam yang sebelum ini menumpang teduh di sebuah gereja di Bandar Country Homes atas simpati pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mereka dipindahkan daripada Welcome Community Home (WCH) di situ ke Istana Budi pada Ogos lalu.

Pengasas dan Pengerusi Istana Budi, Dr Jahid Sidek, berkata Istana Budi sedia menyelia dan menjaga kebajikan semua penghuni rumah terbabit dari segi kesihatan, kebajikan, pendidikan kerohanian dan sokongan moral.

"Rumah ini pada asalnya ditubuhkan untuk memberikan perkhidmatan dan bantuan kepada penghuni dari segi kesihatan, pendidikan kerohanian serta memberi sokongan kepada pesakit yang hilang arah," katanya ketika ditemui di sini.

Istana Budi ketika ini boleh menempatkan 40 pesakit pada satu-satu masa.

Sementara itu, Pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata Mais bertanggungjawab memastikan penghuni Islam terbela dan memindahkan pesakit ke Istana Budi dan Rumah Yayasan Ijabah di Petaling Jaya.

Katanya, sebelum ini pesakit HIV Islam tinggal di WCH yang disara NGO dan berharap pesakit Islam yang masih dihantar ke situ akan terus dirujuk sama ada ke Darul Ukhuwah, Yayasan Ijabah atau Istana Budi.

"Kita mengucapkan terima kasih kepada Istana Budi sebab sanggup terima pesakit terbabit. Saya lihat pesakit di sini bertambah baik," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada Istana Budi dan 15 Penghuni Rumah Yayasan Ijabah yang turut mengunjungi rumah terbabit.

Sumbangan hari raya berbentuk sepasang baju Melayu, capal dan sedikit makanan kepada kedua-dua penghuni rumah terbabit turut disampaikan oleh Pengurus Besar Lembaga Zakat Selangor (LZS), Ahmad Shahir Makhtar.

Sumbangan juga diberikan berdasarkan jumlah penghuni yang boleh dimuatkan di rumah kebajikan itu.

Pusat Perlindungan dan Rawatan Persatuan Kebajikan Islam ini juga dibangunkan pada 2001 dan dulunya terletak di Dewan Makan, Sri Kundang.

Sumbangan berjumlah RM140,000 diberikan bagi perpindahan pesakit dan makan minum kepada kedua-dua rumah terbabit, selain bantuan kewangan RM25,000 sebulan berikutan kos operasi yang tinggi.

Ia termasuk kos bantuan tetap makan minum, sewa rumah, bil air, elektrik, telefon, bayaran guru agama, keperluan urus diri pesakit, perkhidmatan pengurusan pesakit termasuk pembantu yang terdiri daripada penghuni rumah itu yang sudah beransur pulih.

Kos selebihnya seperti keperluan dapur dan peralatan asas pesakit termasuk almari, katil, tilam, selimut, cadar, mesin basuh, peti ais dan kerusi tandas orang kurang upaya (OKU) serta kos baik pulih rumah ditanggung oleh Persatuan Istana Budi melalui sumbangan orang ramai.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 16-9-2009 11:51 AM | Show all posts
Melaka&Negeri Sembilan: Penghidap HIV positif tak dipinggir
Oleh Saadiah Ismail
bhnews@bharian.com.my

Sumbangan Aidilfitri ceriakan pesakit

MELAKA: "Saya hanya perlu kuatkan semangat dan tabah menghadapi hari mendatang semata-mata untuk membesarkan tiga orang anak. Mereka adalah nyawa saya sekarang," kata seorang ibu, penghidap HIV positif.

Linda (bukan nama sebenar), 33, dari Merlimau, ketika ditemui berkata beliau menghidap penyakit ini sejak dua tahun lalu daripada arwah suaminya, seorang penagih dadah. Penyakit dihidapinya ini bukan kehendak dirinya, malah tidak pernah terlintas di hati akan menghidap penyakit paling digeruni itu.

"Ketika mula-mula mengetahui, saya berasa seperti tidak dapat menerima takdir, apatah lagi umur saya masih muda dan banyak lagi tanggungjawab yang perlu dilakukan. Malah ketika itu pula, saya mengandungkan anak ketiga," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Aidilfitri, di Hotel King's, Ayer Keroh, dekat sini, hujung minggu lalu.

Linda dalam nada sebak ketika menyambung ceritanya kepada Berita Harian berkata, ketika itu hanya Tuhan yang tahu bagaimana perasaannya ketika doktor memaklumkan anak yang dikandungnya itu turut HIV positif.

Katanya, apabila anak ketiganya lahir, doktor segera memberikan pelbagai ubat antivirus untuk melambat ataupun mencegah anaknya daripada menerima nasib sepertinya.

"Sekarang, anak ketiga saya yang berumur dua tahun ini disahkan negatif HIV oleh doktor. Saya tidak pernah menyalahkan arwah suami saya, malah menganggap ia takdir yang sudah ditentukan kepada saya," katanya yang turut mempunyai anak berumur sembilan dan lapan tahun.

Tegas Linda, beliau terpaksa berterus-terang memberitahu perkara sebenar dan tidak mahu menyorok daripada pengetahuan anak-anak kerana anak sulungnya pernah melihat iklan di televisyen mengenai penyakit berbahaya itu dan bertanya apakah penyakit sebenar yang dihidapinya.

"Alhamdulillah anak-anak memahami saya, malah keluarga juga dapat menerima diri saya seadanya, kecuali datuk mereka yang belum mengetahuinya kerana bimbang kami akan dibuang oleh keluarga. Saya berserah dan tawakal kepada Tuhan.

"Saya hanya memikirkan keadaan anak-anak yang lain... jika saya putus semangat dan langsung tidak mengendahkan, mereka mungkin terabai," katanya yang kini mengambil upah menyiapkan barangan, selain menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan.

Linda yang turut membuat persediaan bagi menyambut Aidilfitri hujung minggu ini, berkata buat masa ini, dia mengambil ubat antivirus dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan selama tiga bulan sekali dan itulah yang menjadikan dirinya kuat dan bertenaga.

Sementara itu, pada majlis anjuran Kelab Prostar Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah Jasin dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan, seramai 18 keluarga yang ada di antaranya penghidap HIV positif diraikan dalam satu majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Aidilfitri.

Pegawai Aids Jabatan Kesihatan negeri, Dr Ban Atan, berkata daripada 1986 sehingga 2009, sebanyak 2,800 kes positif HIV dicatatkan akibat perkongsian jarum suntikan ataupun terbabit dalam seks rambang.

Katanya, pada pertengahan tahun ini, sebanyak 48 kes baru dicatatkan namun ia menunjukkan sedikit penurunan berbanding tahun lalu.

"Kadang-kala juga, jumlah penghidap HIV positif ini meningkat kerana ketika ujian saringan untuk praperkahwinan, ada pasangan yang positif HIV, tetapi mereka masih ingin meneruskan perkahwinan berkenaan," katanya.

Ban berkata pada tahun lalu, 12 daripada 13 pasangan yang disahkan menghidap HIV positif mengambil keputusan untuk berkahwin dan sebagai sebuah badan kerajaan, mereka hanya mampu untuk memberikan kaunseling bagaimana cara untuk mengelak mendapat zuriat.

"Bagi mereka yang segan tetapi ingin menjalankan ujian saringan HIV di klinik kesihatan kerajaan, pihak terbabit boleh melakukannya tanpa perlu mengisi butir diri dan dilaksanakan secara percuma," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Prostar Jasin, Dr Fazlina Mokhtar, berkata mereka yang terkena jangkitan ini dan tidak mempunyai tempat berlindung boleh berhubung Pusat Khidmat Prostar di talian 06-2291973 untuk ditempatkan di Rumah Teduhan Kasih.
Reply

Use magic Report

Post time 25-10-2009 11:16 AM | Show all posts
saya berharap masyarakat  boleh menolong lebih golongan HIV
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 8-11-2010 10:04 PM | Show all posts
Isnin November 8, 2010

Pesakit HIV Tak Perlu Merempat Lagi

Oleh IZRA ABD RAHMAN

MUKADIMAH

SECARA tidak langsung, anak yatim, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan ibu-ibu tunggal akan terus terpapar di kotak fikiran setiap kali kita berdiskusi atau membuka topik tentang golongan istimewa atau yang kurang bernasib baik.

Kesinambungan kepada apa yang bermain di minda itu tentulah pusat-pusat penjagaan dan rumah perlindungan yang ditubuhkan khas di sana-sini bagi membela nasib golongan tersebut.

Tertubuhnya pusat perlindungan anak-anak yatim, pusat penjagaan OKU dan rumah-rumah kebajikan orang tua membuktikan betapa masyarakat hari ini prihatin dan tidak pernah melupakan golongan tersebut.

Namun, berapa ramai di antara kita pernah terfikir tentang nasib pesakit Aids/HIV yang hilang tempat berlindung gara-gara disisihkan keluarga dan sanak-saudara?

‘Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga’, golongan yang kebanyakannya pernah terjebak ke kancah hitam ini akhirnya hidup melarat dan terpaksa merempat di kaki-kaki lima kerana tiada tempat berteduh.

Malah, sedikit masa dulu terdapat pesakit Aids/HIV beragama Islam yang tiada pilihan lalu berlindung di gereja kerana itulah satu-satunya tempat yang sudi menerima penyakit, kuman dan penderitaan yang ada bersama diri mereka.

Kini, Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhuwah yang ditubuhkan pada 1 Ogos 2009 sudi menerima golongan ini sekali gus membuktikan masih ada yang sayang dan peduli terhadap mereka.


Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhuwah menjadi tempat pesakit-pesakit HIV terbiar berteduh dan meneruskan hidup.

Tidak perlu merempat lagi

YANG berlalu biarkanlah berlalu! Tiada gunanya menuding jari kepada mana-mana pihak apabila sedikit masa dulu ramai pesakit-pesakit HIV/AIDS di negara kita hidup merempat, berselerakan tidur beralaskan kotak dan berbumbungkan langit cuma.

Lupakan juga kisah pesakit beragama Islam yang pernah menumpang ehsan di gereja tidak lama dulu kerana tiada tempat untuk berlindung. Kini Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhuwah sentiasa membuka pintunya, sudi menerima kehadiran pesakit HIV/AIDS tersisih terutama yang insaf dan ingin berubah.

Siapa sangka, dalam diam rumah yang ‘memayungi’ ramai pesakit HIV/AIDS terbiar dan dibuang keluarga ini telah berjaya menyelamat dan memulihkan kira-kira 50 pesakit yang datang dari seluruh negara.

Bermula dengan tempat tinggal kurang selesa di kawasan Subang Jaya pada Ogos 2009, sebulan selepas itu Darul Ukhuwah berpindah ke sebuah banglo lebih selesa yang terletak di Seksyen 4, Petaling Jaya.

Menurut Pengurus Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhuwah, Khairul Azmy Abdul Rahman, setiap penghuni di situ mempunyai sejarah dan latar belakangnya yang tersendiri.


Khairul Azmy Foto The Star/Brian Moh

Sejarah hitam, latar belakang jenayah dan tindakan penghuni melanggar peraturan dan tegahan agama akhirnya dibalas dengan penyakit yang perlu ditanggung sepanjang hayat iaitu HIV/AIDS.

Ditambah sikap masyarakat yang membayangkan HIV/AIDS sebagai penyakit paling digeruni dan mengaibkan, Darul Ukhuwah menjadi destinasi terakhir kelompok ini untuk berteduh dan meneruskan sisa hidup.

Berdasarkan rekod, hampir 90 peratus penghuni Darul Ukhuwah terdiri daripada mereka yang terbabit dengan dadah. Majoriti penghuni datangnya dari negeri Pahang.

“Setiap mereka ada kisah hitam dan sejarah masing-masing. Kebanyakan mereka bekas penagih, pernah masuk pusat pemulihan dan pernah masuk penjara.

“Apa yang saya tahu, mereka yang pernah dipenjarakan atau masuk pusat pemulihan ini tak pernah serik, insaf pun sekejap saja. Tak lama lepas itu diulangnya lagi perbuatan sama.

“Sehinggalah mereka disahkan ada HIV dan menderita sakit, barulah mereka betul-betul insaf. Bila mereka insaf keluarga pula buang mereka sebab malu atau tak sanggup nak jaga,” katanya kepada Mingguan mStar.

Bukan sekadar tempat berteduh

Setiap hari, banglo dengan lima bilik itu akan menyaksikan aktiviti-aktiviti harian yang dilakukan penghuni Darul Ukhuwah. Aktiviti yang disusun memberi fokus kepada pemulihan jiwa dan rohani yang memberi kesedaran, seterusnya mampu memulihkan kesihatan serta fizikal penghuni.

Tanpa alasan, mereka perlu solat berjemaah, menghadiri kuliah subuh, mengaji al-Quran, mengikuti tazkirah dan senaman; aktiviti yang tidak pernah atau jarang-jarang dilakukan mereka sebelum ini.


SELESA...Suasana di bilik tidur penghuni Darul Ukhuwah

Menurut Khairul Azmy, selain membantu pesakit HIV/AIDS dengan menyediakan tempat tinggal, matlamat utama Darul Ukhuwah ialah memberikan pemulihan penuh kepada penghuninya.

“Kita cuba didik mereka walau ada yang ke sini pada mulanya sekadar nak berteduh dan makan-minum ‘free’. Bila mereka pulih, kita harap mereka dapat kembali kepada masyarakat dan berdikari.

“Tapi, boleh dikatakan 70 peratus yang datang ke sini memang berazam mahu berubah,” jelasnya.

Tambahnya, adalah menjadi harapan dan tangunggjawab pihaknya juga untuk memastikan pesakit yang telah meninggal dunia diuruskan mengikut amalan Islam.

“Kalau boleh kita mahu mereka ini pulih. Tapi kalau sampai ajalnya, kita harap dapat uruskan jenazah dengan cara sepatutnya dan disemadikan di tempat yang betul, “ ujarnya.

Lebih setahun menguruskan Darul Ukhuwah, beliau mengaku terselit juga beberapa penghuni nakal dan penagih tegar yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan situasi dan aktiviti yang diatur untuk mereka.

“Kita tak bagi pilihan untuk mereka. Jika mereka nak tinggal di sini dan nak berubah mereka kena berdisiplin.

“Di sini tak boleh hisap rokok dan keluar ikut suka hati. Kalau buat macam tu, kita keluarkan mereka. Kalau buat salah kecil, kita denda cuci rumah atau sebagainya,” tegasnya.

Mempunyai hubungan baik dengan Hospital Sg.Buloh, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Darul Ukhuwah sama sekali tidak pernah mengabaikan rawatan untuk penghuni-penghuninya.

“Kita bagi rawatan terperinci. Cukup masa mereka kena makan ubat. Setiap pesakit kita bawa ke hospital seminggu sekali dan waktu rawatan agak lama. Itulah yang ramai ahli keluarga tak sanggup nak tanggung,” katanya.

Pada masa kini, rumah perlindungan ini mempunyai 15 penghuni. Penghuni paling muda berumur 27 tahun dan paling tua berumur 56 tahun.

Difahamkan, sehingga kini terdapat lapan pesakit di hospital sedang menunggu untuk masuk ke rumah ini.

Sepanjang rumah perlindungan ini dibuka, seramai lima penghuni telah meninggal dunia dan jenazah mereka diuruskan sendiri pihak Darul Ukhuwah.

Peruntukan MAIS

Kewangan yang kukuh merupakan salah satu elemen penting bagi melancarkan operasi Darul Ukhuwah. Dari segi rawatan dan ubat-ubatan, ianya dibekalkan secara percuma oleh tiga hospital yang bekerjasama dengan rumah perlindungan ini.

“Kita sangat berterima kasih kepada hospital, doktor-doktor dan jururawat yang banyak membantu tak kira masa dan tenaga,” katanya.

Selain itu, Darul Ukhuwah juga menerima peruntukan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berjumlah RM30,000 setiap bulan.

Begitu juga sumbangan yang diterima daripada Majlis AIDS Malaysia. Peruntukan tersebut digunakan untuk membayar sewa rumah, membayar pekerja dan sukarelawan, belanja makan dan minum penghuni serta kos-kos lain seperti petrol dan sebagainya.

“MAIS juga turut menyumbangkan dua buah van dan katil hospital untuk penghuni di sini dan kita amat berterima kasih,” katanya sambil memberitahu jumlah yang diperuntukkan itu sebagai mencukupi.

Darul Ukhuwah dikendalikan oleh seorang pengurus, dua tukang masak, dua orang penyelaras program, dan pekerja am.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 8-11-2010 10:07 PM | Show all posts
Post Last Edit by Syd at 8-11-2010 22:13

Reply 9# Syd

Cabaran Besar Urus Pesakit AIDS/HIV         
                     
Oleh IZRA ABD RAHMAN


MELIHAT penderitaan pesakit AIDS/HIV terutama yang merana akibat disisih keluarga telah membuatkan Pengasas Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhuwah, Muhamad Abdullah nekad menubuhkan sebuah tempat perlindungan untuk golongan tersebut.

Katanya, setiap yang hidup sebagai hamba di muka bumi tidak akan terlepas daripada membuat dosa dan kesilapan, begitu jugalah penghuni-penghuni Darul Ukhuwah yang pernah terjebak dengan perkara tidak baik.

“Tidak kiralah agama apa sekali pun yang dianuti, kesilapan sebesar zarah atau dosa yang maha besar tetap akan dibalas dengan hukuman setimpal. AIDS dan HIV adalah salah satu hukuman dan peringatan supaya mereka bertaubat,” katanya kepada Mingguan mStar.

Bersimpati dengan nasib pesakit AIDS/HIV yang tersisih, beliau dan beberapa rakan terpanggil untuk membantu golongan yang sememangnya wajar diberi bantuan ini.
        
Muhamad b Abdullah


Menurut Muhamad yang pernah dipanggil memberi ceramah kepada pesakit-pesakit HIV yang terbiar dan dijaga oleh pihak gereja sebelum menubuhkan Darul Ukhuwah, beliau difahamkan pihak gereja menghabiskan RM470,000 setahun untuk melancarkan operasi membantu golongan yang sama.

“Kita masih baru. Sudah tentu agak terhad untuk menyaingi program yang telah mereka atur dan buat sejak sekian lama. Tapi saya bersyukur dengan apa yang ada. Semoga satu hari nanti Darul Ukhuwah mampu menyediakan kemudahan yang lebih baik,” katanya optimis.

Cabaran yang perlu dihadapi tidak terhenti begitu sahaja kerana dugaan turut datang daripada penghuni-penghuni sendiri.
“Mereka hilang semangat bila tahu mereka ada HIV. Cabaran paling besar ialah untuk pulihkan semangat mereka.

“Ada di antara mereka mempunyai latar belakang gelap. Satu cabaran juga untuk membiasakan mereka dengan program agama,” katanya.
        
Walau berbeza sejarah dan latar belakang diri, setiap penghuni tidak akan terlepas daripada melakukan aktiviti yang telah disusun oleh rumah perlindungan



Mengenai sikap keluarga yang membuang terus ahli keluarga yang menghidap HIV dan stigma masyarakat terhadap golongan tersebut, Darul Ukhuwah bersama Yayasan al-Ijabah mengambil inisiatif mengadakan program kesedaran tentang mengapa golongan ini perlu dibela.

Kerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dilakukan bagi melatih mahasiswa supaya peka dengan kebajikan umat Islam dan membiasakan diri berkhidmat demi agama.

“Kita juga akan buat program dengan ahli keluarga bagi menghilangkan tanggapan negatif mereka pada golongan ini. Sebab itu Darul Ukhuwah menggalakkan ahli keluarga atau sanak-saudara melawat penghuni-penghuni,” katanya.

Muhamad juga mempunyai prinsip dan pegangannya sendiri dalam mengendalikan rumah perlindungan yang sentiasa diuji dengan pelbagai ujian ini.

“Kadang-kadang, kita pun terasa agak lemah semangat untuk melangkah. Jadi ia dikuatkan dengan hadis mengenai ganjaran besar bagi orang yang membantu dan membebaskan golongan Riqab iaitu orang yang terhamba diri mereka,” jelasnya bersungguh-sungguh.

Di Selangor, pesakit AIDS/HIV diisytiharkan sebagai golongan Riqab oleh MAIS. Hadis mengenai golongan Riqab ini telah ditampal di dinding rumah Darul Ukhwah sebagai pembakar semangat kepada sesiapa sahaja yang sama-sama membantu.


Masalah pekerja, sukarelawan

Muhamad menjelaskan beliau membandingkan Darul Ukhuwah dengan gereja memandangkan kedua-duanya menjalankan operasi dengan matlamat yang sama.

Ini ada kaitannya dengan masalah Darul Ukhuwah yang sukar mendapatkan pekerja dan sukarelawan kerana tidak ramai yang ingin bersama-sama dalam usaha dan kerja kebajikan ini.

“Gereja lebih mudah mendapat sukarelawan termasuklah dari luar negara untuk menjaga pesakit HIV dalam tempoh tertentu.

“Kita banyak iklankan kerja kosong. Tapi bila mereka dapat tahu kena kerja dengan pesakit HIV, mereka batalkan hasrat itu.

“Pokok pangkalnya ialah hati. Kalau ada yang ikhlas mahu buat kerja ini, tanpa pengetahuan dan kemahiran pun mereka mampu buat dengan baik,” katanya.

Muhamad juga melihat penubuhan Darul Ukhuwah sebagai cabaran paling besar terhadap beliau dan rakan-rakan.

“Walaupun rumah ini menjadi rumah pertama khusus untuk pesakit HIV yang sebatang kara berteduh, saya tak pernah menganggapnya sebagai kejayaan.

“Saya lebih memikirkan cara untuk kekalkan kelancaran operasi dan mencari pelapis yang dapat meneruskan perjuangan ini,” katanya.


Tak perlu takut dengan pesakit HIV
        
Rosnani Ibrahim


“Saya tak pernah rasa takut dengan pesakit HIV dan saya memang suka buat kerja amal, sebab itulah saya di sini,” kata Penyelaras Program Rumah Perlindungan HIV Ukhuwah, Rosnani Ibrahim.

Tidak pernah terfikir tentang risiko yang dihadapi apabila setiap hari perlu berdepan dengan pesakit-pesakit AIDS/HIV, Rosnani yang telah berkhidmat di situ lebih setahun sentiasa berfikir positif.

“Saya berkongsi pinggan mangkuk dengan mereka. Saya juga turut serta dalam aktiviti dan program yang melibatkan mereka.
“Mengapa perlu takut sebab HIV tak berjangkit dengan mudah. Ramai jururawat beritahu saya banyak lagi virus lain yang mudah berjangkit dibandingkan HIV,” katanya, serius.

Beruntung kerana keluarga tidak pernah membantah, Rosnani berkata masyarakat harus faham bagaimana penyakit ini menjangkiti orang lain.

Beliau turut bangga kerana mampu berkhidmat dan membantu golongan tidak bernasib baik termasuklah pesakit AIDS/HIV yang tersisih.

“Mereka adalah insan yang sedang berdepan dengan ujian dan musibah.

“Apa yang dapat saya belajar, tak semua penagih ‘diberi’ penyakit ini dan tak semua orang sanggup untuk berdepan dengan mereka setiap hari,” katanya.

Beberapa program telah dianjurkan bagi memupuk kesedaran masyarakat terhadap keperluan membantu golongan ini termasuklah Simposium Jangan Tinggal Daku iaitu program kerjasama dengan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Hari Terbuka Jangan Tinggal Daku dengan kerjasama Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Sungai Buloh dan Hi-Tea Amal Aidilfitri bersama Pusat Hemodialisis Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Jalan Templer, Petaling Jaya.


Siapa mahu bantu kalau bukan kita?

Aishah Ahmad, 70, yang berkhidmat membantu memantau kelancaran operasi rumah perlindungan ini menganggap khidmat yang diberikannya sebagai amal jariah.

Tanpa dipaksa sesiapa untuk berkhidmat di sini, lama-kelamaan Aishah mesra dan berhubungan erat dengan penghuni-penghuni Darul Ukhuwah.

“Saya anggap mereka sebagai anak angkat. Kalau mereka buat salah saya tegur dan bagi nasihat. Tak pernah saya rasa takut-takut dengan penyakit mereka. Bukan cakap besar, tapi saya serah semuanya kepada takdir.

Saya selalu fikir, kalau bukan kita yang bantu mereka, siapa lagi?,” katanya.

Walaupun menerima saguhati daripada MAIS setiap bulan, namun bukan itu yang diharapkan Aishah sebaliknya beliau lebih memikirkan nasib pesakit-pesakit yang hilang tempat bergantung terbabit.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 8-11-2010 10:15 PM | Show all posts
Reply 10# Syd


Tak Bimbang Mati Tepi Jalan         
                     
Oleh IZRA ABD RAHMAN


LAUNGAN azan menandakan masuknya waktu solat Asar berkumandang di Darul Ukhuwah. Hati amat tersentuh apabila pengurus rumah perlindungan itu memberitahu lontaran azan merdu itu keluar dari mulut penghuni rumah itu sendiri. Siapa sangka!

Sebelum menantikan masuknya waktu Asar, penulis sempat minum petang bersama-sama mereka. Malu dan tersipu-sipu mereka cuma seketika sahaja. Walaupun tidak pernah bersua, mereka tetap mesra, menyambut baik kehadiran insan yang dinamakan tetamu.

Nyata, kesemua 15 penghuni yang ada menyimpan pelbagai kisah dan cerita. Ada yang berkongsi bersama penulis dan ada juga yang sebaliknya, segan barangkali.

Yang pasti, cerita Pak Ya, penghuni berusia 50 tahun ini agak tragis. Pak Ya, atau nama sebenarnya Yahya Hasan merupakan salah seorang daripada penghuni yang terpaksa menggunakan ‘empat kaki’ untuk bergerak.

Waktu makannya bertemankan tongkat, tongkat jugalah menjadi teman tidurnya. Paling mengagumkan, dengan tongkat itu jugalah Pak Ya menunaikan solat.

Sebelum ke Darul Ukhuwah, dia pernah menumpang kasih di gereja selama dua tahun kerana hilang tempat berteduh gara-gara dia menghidap HIV.

“Masa itu saya tiada pilihan. Saya tak mahu mati di tepi jalan dan merempat. Hanya gereja yang terima orang macam saya,” Pak Ya membuka cerita.

Sebagai penghuni paling lama di Darul Ukhuwah, dia bersyukur kerana akhirnya ada juga saudara seagama yang prihatin terhadap nasib dia dan rakan-rakan bernasib sama.

Pak Ya, bekas penagih dadah dan pernah beberapa kali keluar-masuk Pusat Serenti ini mengakui kehidupannya lebih baik selepas berpindah ke Darul Ukhuwah.

“Di gereja pun bagus, mereka layan macam menatang minyak yang penuh. Tapi di sini hidup saya lebih bermakna sebab aktiviti yang dapat membentuk peribadi mulia. Ada ceramah, solat jemaah dan sebagainya. Penjagaan kesihatan pun tak diabaikan,” katanya.

Menurutnya, dia hidup sebatang kara sejak sekian lama.

“Saya pernah ada isteri tapi dah bercerai. Anak pun ada, tapi mereka tak sanggup nak jaga saya sebab mereka pun belum stabil dan kehidupan sendiri yang perlu dijaga,” katanya, pilu.

Pak Ya terdiam seketika apabila ditanya tentang masa depannya sebelum menjawab: “Kalau boleh saya nak keluar dan bekerja macam orang lain. Tapi saya tak mampu nak buat macam tu,” ujarnya.

Pun begitu, Pak Ya mengakui dirinya semakin pulih, sihat dan bersemangat sejak berada di Darul Ukhuwah.

Malah, dia bertambah gembira kerana anaknya juga sudi beberapa kali menjenguk dirinya di situ walaupun tidak selalu.
        
Walau sakit dan bertongkat, Pak Ya tidak pernah lupa tanggungjawab menunaikan solat



Ibu bapa malu

Fara (bukan nama sebenar), 27, merupakan wanita pertama yang mendapatkan perlindungan di Darul Ukhuwah.

Dia yang disahkan menghidap HIV ketika kandungannya berusia tujuh bulan akhirnya disisihkan ibu bapa dan keluarga kerana tidak sanggup menanggung malu.

“Ibu bapa boleh terima kenyataan saya ada HIV. Tapi sampai sekarang mereka tak bagi saya bawa balik anak ini ke kampung sebab malu dengan jiran dan sanak saudara,” katanya.

Selepas melahirkan bayi luar nikah, Fara tiada tempat untuk dituju. Atas saranan pihak hospital, dia bersetuju dibawa ke sebuah pusat penjagaan khusus untuk mereka yang senasib dengannya.

“Saya terkejut bila dihantar ke gereja, tapi saya tiada pilihan. Selepas seminggu di situ, mujur ada orang Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) datang dan bawa saya keluar,” katanya.

Cerita Fara, pada mulanya ‘bapa’ kepada anaknya yang berusia 10 bulan itu menunjukkan tanda-tanda untuk bertanggungjawab walaupun tahu dia menghidap HIV. Tetapi sejak kebelakangan ini sikapnya mula berubah.

“Saya tanya dia, sebab apa? Sebab saya sakit ke? Dia jawab tidak dan bagi alasan. Tapi saya tahulah dia nak tinggalkan saya sebab saya sakit. Bukan semua lelaki nak terima orang macam saya sebagai isteri,” katanya sedih.

Mengimbas kisah silamnya, Fara yang berasal dari Pantai Timur pernah bekerja sebagai pelayan di sebuah hotel di ibu kota.

Setiap malam, dia akan bertukar-tukar pasangan dan melakukan hubungan seks walaupun dengan lelaki yang baru dikenali.Apa yang mahu dilakukannya sekarang ialah membesarkan anaknya itu walau sesusah mana sekali pun.

“Masa mengandung dulu, ada juga perancangan nak gugurkan kandungan. Tapi bila dah selamat lahir, saya rasa tak sanggup kehilangan dia. Ramai yang nak ambil sebagai anak angkat pun saya tak bagi,” katanya.

Fara juga mengaku menyesal terhadap perbuatannya yang lalu dan berazam tidak akan mengulanginya lagi.

“Penyakit ini adalah balasan kepada perbuatan saya yang lalu. Saya nasihatkan kepada remaja di luar sana supaya berfikir sebelum bertindak,” katanya.


Sakit, tapi mahir menjahit
        
Menjahit juga menjadi salah satu aktiviti penghuni di sini

  
Zack, 54, melahirkan rasa syukur kerana wujudnya rumah perlindungan seperti ini.

Selepas sembilan bulan terlantar di hospital, dia akhirnya dibawa ke Darul Ukhuwah oleh pengasas rumah ini.

Berbeza dengan penghuni lain, Zack mahir menjahit pakaian dan menerima tempahan. Oleh kerana itu, setiap hari dia menghabiskan masanya menjahit baju kurung, kebaya dan baju Melayu yang ditempah orang ramai.

“Keluarga memang sisihkan saya, isteri pun tak ada. Syukur kerana ada tempat ini, malah pihak pengurusan menghargai bakat dan kemahiran saya.

“Duit upah itu bolehlah dijadikan duit poket dan disumbangkan kepada Darul Ukhuwah,” katanya.

Disahkan menghidap HIV pada 2006, dia tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan dirinya jika dia tidak berada di situ.

Pernah terlibat dengan dadah, dia mengaku sudah banyak berubah berbanding dirinya yang dahulu.
Reply

Use magic Report

Post time 25-6-2012 11:05 AM | Show all posts
hai nak tanya ada tak pusat jagaan utk wanita islam dewasa with Aids, sebatang kara, takde waris..
Reply

Use magic Report

Post time 25-6-2012 11:06 AM | Show all posts
tolong pm saya, wanita tersebut berusia lingkungan 50an... terbuang dan tersisih..
Reply

Use magic Report

Post time 19-12-2017 12:56 PM | Show all posts
Syd replied at 8-11-2010 10:07 PM
Post Last Edit by Syd at 8-11-2010 22:13

Reply 9# Syd

Salam. Boleh saya tahu di mana mahu hubungi rumah anak-anak pesakit hiv aids ye? Kerana saya mahu buat program dengan mereka
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 22-12-2017 09:03 AM | Show all posts
AppropriateNick replied at 19-12-2017 12:56 PM
Salam. Boleh saya tahu di mana mahu hubungi rumah anak-anak pesakit hiv aids ye? Kerana saya mahu  ...

Syed Azmi Aktivis ada buat aktiviti dengan mereka bbrapa hari lepas.

Melibatkan anak-anak hiv di Chow Kit
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 09:06 PM GMT+8 , Processed in 0.282502 second(s), 41 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list