CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 15765|Reply: 0

cat air impressionis

[Copy link]
Post time 11-7-2009 05:20 AM | Show all posts |Read mode
Post Last Edit by amazed at 11-7-2009 05:21

Perjalanan seni Mansor Ghazali

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF

Pemergian beliau sehari sebelum hari perasmian pameran solonya mengundang rasa pilu peminat seni dan pengunjung pameran.




TATKALA meninjau ruang legar Galeri RA Fine Arts, Ampang, yang menganjurkan pameran lukisan Mansor Ghazali, perasaannya bercampur-baur. Sedang asyik melihat kesemua hasil karya mentor kesayangannya, tiba-tiba riak wajah lelaki itu berubah.

Perasaan sedih mula singgah kerana kegemilangan pameran tersebut tidak sempat dinikmati oleh Mansor Ghazali sendiri apabila Allahyarham pergi menghadap Ilahi sehari sebelum hari perasmian pameran solo itu.

"Sedih apabila mengenangkan pak cik (panggilan terhadap arwah) yang tidak sempat melihat pameran karya seni beliau sejak tahun 1953 lagi.

"Namun, perasaan sedih itu sedikit terubat apabila rata-rata pengunjung galeri yang hadir memuji hasil lukisan pak cik yang menarik dan dekat dengan masyarakat," luah pelukis Faizal Zainal, 33, mengenai mentor seninya, Allahyarham Mansor Ghazali yang meninggal dunia pada 10 Jun lalu ketika usia menginjak 79 tahun.


LUKISAN yang bertajuk Kedai Runcit (Village in Bangi).

Jika diperhatikan, kewujudan Mansor sebagai seniman tempatan agak sepi berbanding penggiat seni seperti Raja Azhar Idris, Ibrahim Hussein, Bayu Utomo Radjikin atau Datuk Syed Ahmad Jamal.

"Tidak dinafikan nama pak cik agak tenggelam berbanding pelukis lain. Lebih menyedihkan kehebatan beliau melukis dengan menggunakan medium cat air seperti dipinggirkan dan dianggap kurang moden.

"Sedangkan pada hakikatnya karya-karya cat air beliau sebaris dengan pelukis Sir Russel Flint, Andrew Wyeth, Singer Sargent mahupun Winslow Homer," kata Faizal yang menimba ilmu dan memperoleh pengalaman melukis daripada Mansor sekitar tahun 1999 sehingga allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 10 Jun lalu.

Tiada sokongan

Siapakah Mansor Ghazali sehingga karya beliau mendapat perhatian Galeri RA Fine Art untuk menganjurkan pameran solo khas beliau?

Diputerakan pada 6 Januari 1930, Mansor Ghazali merupakan anak kelahiran Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak dan merupakan anak sulung daripada sembilan orang adik-beradik.


Pemandangan Kampung Hulu Langat.

Kecenderungannya melukis mula dikesan sejak menuntut di Sekolah Melayu Bukit Chandan. Malangnya, minat beliau dalam bidang lukisan langsung tidak mendapat sokongan daripada guru-guru kolonial.

Namun bapa kepada dua orang cahaya mata iaitu Dr. Dzaharudin dan Maizan itu tidak pernah patah semangat. Sebaliknya, Mansor terus melukis dan melukis sehingga melanjutkan pengajian di Sekolah Clifford Kuala Kangsar sebelum menyertai Institut Latihan Perguruan di Johor pada 1952.

Kemudian, Allahyarham menyertai Institut Perguruan Ilmu Khas di Kuala Lumpur. Lebih membanggakan, beliau merupakan pelajar Melayu terawal dihantar menuntut dalam jurusan seni reka di Brighton, England pada 1962.


MANSOR Ghazali sentiasa melukis pemandangan dan persekitaran kampung.

Beberapa nama besar seperti pelukis John Lee Joo, Khalil Ibrahim, Tan Choon Ghee, Jolly Koh, Ismail Zain dan Grace Selvanayagam merupakan rakan seangkatan Allahyarham di kolej yang sama.

Dalam pada itu, ahli Persatuan Pelukis Cat Air Malaysia itu pernah merangkul pelbagai anugerah seperti Anugerah Kejora, Johor (1984) dan Anugerah Pelukis Terbaik Perak daripada Yayasan Kesenian Perak pada tahun 2000.

Faizal yang setia menemani Mansor melukis di dalam dan di luar negara menyifatkan Allahyarham sebagai pelopor cat air aliran impresionis yang begitu mengagumi kumpulan pelukis cat air dari Rusia.

Ini kerana Mansor menyukai teknik lukisan pelukis Rusia yang lebih bebas.


MANSOR GHAZALI merupakan pelajar Melayu terawal menuntut jurusan seni di Brighton, England pada tahun 1962.

Sebagai pelukis cat air generasi kedua, selepas generasi pertama Abdullah Ariff, A.B Ibrahim, Yong Mung Sen, Kaw Sia dan Choo Soo Peng, Allahyarham membawa pendekatan baru dalam tradisi cat air di Malaysia. Tekniknya berbeza sama sekali daripada pengaruh Nanyang dan warna cat air Inggeris.


ALLAHYARHAM Mansor juga gemar melukis ketika berada di luar negara.

"Saya tabik hormat kerana beliau begitu peka dan teliti ketika melukis. Pak cik kerap menegur sekiranya saya silap melukis.

"Beliau sentiasa memastikan raut wajah, postur dan cara berjalan antara orang bandar dan masyarakat kampung berlainan. Penduduk kampung memiliki postur badan yang sedikit bongkok berbanding orang bandar berbadan tegap dan berjalan pantas," jelas Faizal yang terharu atas kesungguhan Galeri RA Fine Art mengadakan pameran untuk Allahyarham.



NAIB Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob (kiri) melihat lukisan Mansor Ghazali sambil diberi penerangan oleh Raja Ahmad Aminullah (kanan) dan Kurator Jemputan,Prof Dr. Zakaria Ali (tengah) pada majlis perasmian pameran seni Mansor Ghazali di Galeri RA Fine Arts baru-baru ini.

Faizal menyifatkan pameran ini secara tidak langsung membantu memberi keseimbangan seni lukis tradisional yang sering dipinggirkan.

Rahsia

Sementara itu, Pengarah Galeri RA Fine Arts, Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah turut kecewa apabila mendapati karya Allahyarham Mansor Ghazali seolah-olah seperti sebuah rahsia yang tersimpan rapi dalam kalangan para seniman, sekumpulan peminat dan pengumpul seni.

"Mansor merupakan seniman yang begitu merendah diri dan tawaduk. Beliau tidak suka menyusahkan orang lain. Barangkali sikap ini terbentuk kerana pengaruh keperibadian keluarga beliau.

"Ayahnya, Haji Ghazali merupakan guru agama Malay College Kuala Kangsar (MCCK) dan pengarang buku Suluh Ugama. Datuknya pula suatu ketika dulu pernah menjadi mufti negeri Perak manakala ibunya, pembuat tekat untuk orang kenamaan di Kuala Kangsar, Perak," tutur Raja Ahmad yang mendapati Mansor memang rapat dengan anak-anak muda dan golongan berpendapatan rendah.

Keprihatinan beliau kepada masyarakat lebih jelas dengan lukisan imej perkampungan nelayan, kanak-kanak bermain atau masyarakat berbanding perumahan elit di Bukit Damansara atau bangunan-bangunan pencakar langit.


[img]KATALOG Seni Mansor Ghazali yang menghimpunkan koleksi lukisan dan perjalanan beliau sepanjang bergelar seniman.

Ia terbukti menerusi lukisan beliau yang bertajuk Kampung Setinggan yang memaparkan rumah pelarian Kemboja di Pekan, Pahang dan Rumah Kaum Jakun dan Kampung Nelayan.

Bukan itu sahaja, Mansor juga gemar melukis destinasi sejarah perjalanan tamadun manusia seperti lukisan Dried Up River at Petra, Jordan dan Roman Ruins at Jeras Jordan.


FAIZAL ZAINAL merupakan anak didik Mansor Ghazali sejak mereka saling mengenali sedekad yang lalu.

"Saya melukis cat air untuk menghayati keindahan alam. Kepuasan diperoleh setelah berjaya mencatat ciri-ciri setempat.

"Ia dirakam dari segi suasana kesunyian atau ketenangan pada suhu sejuk yang ditokok keadaannya dengan warna-warna sejuk."

Demikian kata-kata seniman itu yang dipetik daripada Katalog The Art of Mansor Ghazali keluaran Galeri RA Fine Arts.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-3-2024 08:55 PM GMT+8 , Processed in 0.060805 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list