CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4105|Reply: 2

Ketuk-ketuk bangun sahur

[Copy link]
Post time 2-9-2009 11:31 AM | Show all posts |Read mode
Post Last Edit by Syd at 2-9-2009 11:33

Ketuk-ketuk bangun sahur
Oleh NAS NORZIELA NASBAH
utusanmelaka@utusan.com.my

penduduk Kampung Jalan Putri HangLi Po, Bukit Cina berkumpul untuk memulakan aktiviti ketuk-ketuk bangun sahur baru-baru ini. - utusan/ Nas Norziela Nasbah

MELAKA 1 Sept. - Sebut sahaja bulan Ramadan pasti ramai antara kita akan memikirkan mengenai amalan-amalan wajib dan sunat dalam bulan mulia iaitu berbuka puasa, solat tarawih, moreh dan lain-lain.

Bagaimanapun, di sebuah kampung di sini, kedatangan Ramadan seakan-akan tidak lengkap tanpa penganjuran satu aktiviti yang dikenali sebagai 'ketuk-ketuk bangun sahur' yang menjadi tradisi masyarakat di situ sejak lebih 50 tahun lalu.

Walaupun tidak diketahui secara tepat sejarah awal penubuhan aktiviti 'ketuk-ketuk bangun sahur' itu, namun bagi kira-kira 20 buah keluarga Kampung Bukit Cina di sini, ia merupakan satu aktiviti tradisi nenek moyang mereka yang menjadi amalan sehingga kini.

Sehinggakan anak-anak kecil yang berusia empat tahun pun sudah cukup bersedia untuk menjalankan aktiviti yang menjadi satu kemestian bagi penduduk kampung tersebut.

Aktiviti ketuk-ketuk bangun sahur merupakan aktiviti tradisi bermula 1 Ramadan sehingga akhir Ramadan yang melibatkan sekumpulan antara 10 dan 20 penduduk kampung terdiri daripada kanak-kanak, remaja dan warga emas.

Mereka akan berkumpul bersama peralatan muzik tradisional dan menyanyikan beberapa lagu di hadapan rumah penduduk kampung.

Ini merupakan cara tradisional penduduk kampung membangunkan jiran tetangga untuk bersahur bagi menjalankan ibadah puasa.

Caranya cukup mudah serta menghiburkan yang mana penduduk kampung yang terlibat akan berkumpul di satu tempat dengan kelengkapan peralatan muzik masing-masing dan mereka akan bergerak dalam satu kumpulan menyanyikan beberapa lagu dari rumah ke rumah.

Kebiasaannya, aktiviti ketuk-ketuk bangun sahur ini bermula pukul 2 pagi.

Ini adalah cara kumpulan ketuk-ketuk bangun sahur mengejutkan tuan rumah dan setelah tuan rumah sedar daripada tidur dengan membuka lampu rumah, kumpulan itu akan bergerak beramai-ramai ke rumah penduduk kampung yang lain dan mengulangi perkara sama sehingga selesai semua rumah pada pukul 4 pagi atau 5 pagi.

Apa yang menarik mengenai ketuk-ketuk bangun sahur ini, jika bernasib baik, kumpulan berkenaan akan mendapat 'bol' iaitu hidangan makanan ringan untuk bersahur seperti roti jala, roti canai, mihun goreng, bubur dan air panas.

Ketua aktiviti ketuk-ketuk bangun sahur, Senin Samad, 48, berkata, beliau mengikuti aktiviti tersebut sejak berumur 10 tahun yang diwarisi daripada nenek moyangnya.

"Dahulu, kami hanya menggunakan sebatang buluh untuk diketuk sambil berjalan sekeliling kampung untuk mengejutkan penduduk bangun sahur.

''Boleh dikatakan hampir setiap rumah dahulu akan memberikan bol sehingga membuatkan kumpulan ketuk-ketuk bangun sahur terlalu kenyang,"katanya berseloroh.

Menurut beliau, ketuk-ketuk bangun sahur kini mempunyai lebih ramai pengikut dengan membawa lebih banyak peralatan muzik tradisional yang lain.

Ditanya mengenai kebisingan yang mungkin akan menganggu ketenteraman awam, Senin berkata, itu tidak dapat dinafikan, tetapi seperti yang mana kita tahu, ini merupakan aktiviti tahunan setiap kali Ramadan dan penduduk sekitar Bukit Cina sudah mengetahuinya sejak dahulu lagi.

Bagi Sharifah Zahra Syed Ali, 65, pula ketuk-ketuk bangun sahur itu merupakan aktiviti tradisi sejak zaman berzaman lagi.

Sejak kecil lagi, dia sudah didedahkan dengan aktiviti ini setiap kali menjelang bulan Ramadan.

''Dahulu hampir semua penduduk akan turun untuk turut serta dalam ketuk-ketuk bangun sahur ini," katanya.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 2-9-2009 11:41 AM | Show all posts
Warisan tradisi sejak 50 tahun

MELAKA 1 Sept. - ''Ini warisan tradisi kampung kami yang sudah 50 tahun berlalu dan kami bangga meneruskan tradisi ini.''

Inilah jawapan penduduk Kampung Bukit Cina di sini setiap kali ditanya mengenai keistimewaan tradisi 'ketuk-ketuk bangun sahur' yang rata-rata menyifatkannya sebagai satu keunikan yang tidak terdapat di mana-mana kampung pada masa kini.

Bagi Abdul Karim Aman, 43, dia bukanlah berasal dari situ, namun setelah berkahwin, dia menetap di kampung tersebut dan mendapati aktiviti itu adalah unik dan tidak ada kampung lain yang melakukan aktiviti sebegini.

''Bagi mereka yang bukan berasal dari kampung ini, mungkin akan menyatakan ini adalah aktiviti mengarut serta menganggu ketenteraman awam, tetapi berbalik kepada motif utama, ini adalah untuk 'suka-suka' dan tradisi kampung kami.

''Anak-anak muda seronok untuk berkumpul seawal 2 pagi dan saya melihat sudut positif, mereka tidak akan terdedah dengan kegiatan yang tidak sihat seperti pecah rumah dan sebagainya," katanya.

Seorang penduduk serta ahli kumpulan ketuk-ketuk bangun sahur, Irwan Ibrahim, 30, berkata, dia mula turut serta dalam aktiviti itu sejak kecil lagi apabila melihat keletah penduduk kampung yang menyanyi, berjoget dan berseronok.

''Bukan seronok saja, malah apa yang penting, kita dapat membantu penduduk kampung bangun dari tidur untuk sahur, bukankah ini satu amalan yang mulia," katanya.

Khairi Hanapi, 24, pula memberitahu, dia mula mengikuti aktiviti itu sejak berusia 10 tahun dan dia berasa seronok menjadi sebahagian daripada kumpulan ketuk-ketuk bangun sahur.

''Apabila dapat berkumpul serta bermain alat muzik bersama-sama rakan lain, hati saya menjadi puas dan seronok kerana bulan Ramadan hanya menjelma setahun sekali,'' katanya.

Bagi Sharizan Salleh, 29, aktiviti itu paling dinantikan setiap Ramadan tiba.

''Sejak kecil lagi, saya mengikuti aktiviti gendang sahur ini dan sampai ketika ini, walaupun bekerja di Kuala Lumpur saya akan merindui saat bersama penduduk kampung bagi sama-sama turut serta dalam aktiviti ini,'' ujarnya.

Fahmi Sulaiman, 13, berkata, dia mula mengikuti aktiviti gendang sahur ini sejak berusia lima tahun dan ini merupakan saat-saat yang dinantikan ketika Ramadan.

''Bulan Ramadan tiba setahun hanya sekali dan saya tidak pernah melepaskan saat bersama rakan-rakan lain untuk menjayakan aktiviti ini kerana ia seronok,'' katanya.

Menurutnya lagi, dia berasa bangga kerana menjadi salah seorang penduduk di kampung tersebut meneruskan tradisi yang sudah lama terpelihara itu.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 10-9-2009 11:02 AM | Show all posts
semalam buat dajal kejut anak dgn mercun pop pop..ala ala ketuk-ketuk dulu dulu lah
ingatkan dia nak bangun terkejut..ghupa2 nya bangun lagi suka hati dan penuh keterujaan
heheheheheh
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

25-4-2024 07:01 PM GMT+8 , Processed in 0.758090 second(s), 32 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list