|
Trulli yakin kemampuan Lotus F1
LONDON - Pasukan Lotus F1 Racing mampu mencipta kejutan.
Demikian tegas Jarno Trulli apabila pasukan tersebut membuat penampilan sulung pada Grand Prix Bahrain musim ini.
Lotus F1 bersama Virgin Racing, USF1 dan Campos Meta menambah jumlah persaingan di atas litar kepada 26 jentera pada perlumbaan Formula Satu (F1) musim 2010.
Trulli yang turut mengikuti perkembangan jenteranya di kilang pengeluarnya di England minggu ini, percaya bahawa status sebagai pasukan terbaik di kalangan empat pasukan baru ini mampu dimiliki oleh Lotus.
"Kami semua tahu bahawa kami bermula dari bawah, jadi saya rasa pertengahan pertama musim ini mungkin agak sukar," kata Trulli.
"Saya yakin kami akan mencatat beberapa keputusan yang baik dalam perlumbaan.
"Jika kamu lihat kepada bahagian kejuruteraan kami, senarai pemandu kami dan juga bajet kami, kami mampu menjadi antara pasukan (baru) terkuat."
Antara faktor yang dilihat memihak kepada Lotus ialah pengarah teknikalnya, Mike Gasocyne yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan Trulli di Jordan, Renault dan Toyota.
Malah Gasocyne juga individu yang menyakinkan pemandu Itali itu bahawa Lotus adalah destinasi sesuai bagi dirinya.
"Saya mengambil sedikit masa untuk berfikir dan membuat perancangan semula, tetapi oleh kerana Mike di sana, saya kemudian setuju untuk menyertainya.
"Jika pasukan lain yang tawarkan, saya mungkin akan menolaknya." - Agensi |
|