CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 17418|Reply: 0

seni tanglung; tanglung bentuk haiwan

[Copy link]
Post time 3-10-2009 03:13 AM | Show all posts |Read mode
Guna pelbagai karakter haiwan

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR





HARI ini, seluruh masyarakat Cina meraikan perayaan Kuih Bulan. Ia disambut pada setiap hari ke-15 dalam bulan kelapan mengikut kalendar Lunar Cina.

Mengikut sejarah, perayaan itu bertujuan meraikan kemenangan orang China dalam menumpaskan penjajahan Mongolia pada akhir Dinasti Yuan, kira-kira 600 tahun dahulu.
]
Menjadi salah satu perayaan terpenting selain Tahun Baru Cina, ia lazim disambut dengan berkumpul bersama keluarga sambil menikmati juadah kuih bulan yang menjadi menu wajib perayaan tersebut.

Di samping itu, setiap keluarga akan memasang atau menggantung tanglung di kawasan rumah untuk memeriahkan suasana. Amalan itu dipercayai mampu memberi tuah atau kehidupan yang lebih baik kepada mereka.

Seiring dengan peredaran zaman, tanglung juga melalui transformasi yang tersendiri. Dahulu, masyarakat lebih gemar menggunakan tanglung tradisional yang diperbuat daripada kertas dan diletakkan lilin di dalamnya. Bentuknya juga terhad kepada segi empat atau bulat sahaja.

Tetapi pada zaman yang semakin moden dan canggih ini, tanglung boleh direka menjadi pelbagai bentuk objek dan karakter haiwan yang digemari.

Tanglung haiwan buatan tangan yang dihasilkan oleh Khoo King Eng adalah antara yang popular di Lembah Klang. Mesra disapa sebagai King, beliau menerima purata tempahan 100,000 unit setahun. Bahkan, tempahan tanglung bagi perayaan Kuih Bulan mula diterima setahun sebelum perayaan itu diraikan.

Kreatif. Tanglung berbentuk sotong berwarna merah pekat ini mampu menarik perhatian kanak-kanak.

Menurut King, beliau menerima tempahan dari seluruh negara.

King, 36, mengakui dirinya lebih gemar menghasilkan tanglung berbentuk karakter haiwan. Ini kerana katanya, tanglung sebegini semakin diminati dan mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat terutamanya kanak-kanak.

Karakter haiwan yang pelbagai seperti ikan, naga, sotong, rama-rama, arnab, lembu, kuda laut dan banyak lagi membolehkan pembeli mempunyai variasi pilihan untuk membeli tanglung yang disukai.

"Sambutan yang diterima juga amat menggalakkan. Malah, saya mula menerima tempahan menghasilkan tanglung sejak tahun lalu bagi sambutan perayaan Kuih Bulan pada tahun ini.
"Situasi ini membuatkan saya tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan sedia ada.

Namun, dengan bantuan 16 orang pekerja, saya mampu menyiapkan kira-kira 100,000 tanglung setahun," ujar King ketika ditemui di kedainya yang terletak di Jalan Hang Lekir, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mungkin kerana itu, King mengakui dirinya sendiri tidak sempat membuat sebarang persiapan untuk meraikan perayaan tersebut.

"Yalah, tempahan yang terlalu banyak membuatkan saya tidak terfikir langsung untuk melakukan persediaan meraikan perayaan Kuih Bulan. Apa pun, saya akan cuba berkumpul bersama keluarga sambil menikmati kuih bulan yang siap dibeli," ujarnya.

Mengimbau sejarah awal penglibatan King dalam perniagaan membuat tanglung, ia bermula pada tahun 2004. Sebelum itu, King menjalankan perniagaan menjual barangan hiasan atau dekorasi bermusim dan mempunyai 15 buah kedai dari Johor hingga Kuala Lumpur.

Namun, disebabkan masalah kewangan yang dihadapi terutama apabila mengetahui anak tunggalnya, Khoo Yu Fun menghidap masalah jantung sejak dilahirkan, beliau terpaksa menjual 14 buah kedai tersebut.

"Ia satu keputusan yang sukar untuk dibuat, tetapi saya dan isteri tiada pilihan kerana kami tidak mempunyai masa untuk menguruskan perniagaan tersebut kerana perlu memberi tumpuan pada Yu Fun.

"Bagaimanapun, satu-satunya alasan kami tidak menutup kedai yang terdapat di Jalan Petaling ini adalah kerana ia terletak berhampiran dengan hospital," tutur King sambil menambah idea untuk membuat tanglung muncul sebagai usaha terakhir untuk menambah pendapatan memandangkan bil perubatan Yu Fun semakin meningkat.

Tambahan pula, pasangan suami isteri itu mendapati kos untuk menghasilkan tanglung tidak terlalu mahal jika menggunakan bahan-bahan tempatan berbanding tanglung siap yang diimport dari negara China.



SESIAPA pun pasti akan tertawan melihat tanglung comel ini.

Setelah keputusan dibuat, maka empat bulan sebelum tibanya perayaan Kuih Bulan pada tahun tersebut (2004), King dan isterinya mula menghasilkan tanglung buatan sendiri. Mereka berjaya menyiapkan 20 rekaan tanglung yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan karakter termasuk haiwan.

Namun, King serta pekerja terpaksa mencuba beratus-ratus kali sebelum mereka menemui proses yang betul dan tepat dalam penghasilan tanglung tersebut.

Hasilnya, pengeluaran pertama tanglung King berjaya terjual sebanyak 5,000 unit sekali gus memberi semangat kepadanya untuk terus menghasilkan tanglung seperti itu.

Kini, tugas menyiapkan tanglung sudah menjadi satu perkara biasa dalam rutin harian King. Ketika menyaksikan demonstrasi membuat tanglung, penulis dapati tangan King begitu ligat menghasilkan rangka tanglung dengan menggunakan dawai yang dibentuk pada papan yang telah dipaku mengikut karakter haiwan tertentu.

Ditanya adakah sukar membuat tanglung tersebut, King sambil ketawa berkata: "Sangat mudah. Semua orang boleh melakukannya. Ia seperti membuat kad hari lahir."

Kenyataan itu bagi King mungkin tidak boleh dinafikan, tetapi bagi orang-orang biasa yang tidak pernah mengetahui cara membuat tanglung, ia mungkin agak janggal termasuklah penulis.

Menggunakan bahan-bahan seperti dawai, kertas lutsinar yang berwarna-warni, gam dan pen hitam untuk melukis mata atau muka haiwan, setiap hari King dan pekerjanya boleh menyiapkan kira-kira 100 buah tanglung.


KING sudah begitu sebati dalam penghasilan tanglung buatan tangan.

Setiap tanglung berharga di antara RM5 hingga RM28 satu mengikut saiz dan corak. Tidak ketinggalan, King turut menghasilkan tanglung berbentuk kartun yang menjadi kegilaan kanak-kanak. Biasanya, setiap tahun permintaan tanglung berbeza mengikut karakter haiwan atau kartun.

"Ada ketika, tanglung berbentuk naga dan ikan menjadi pilihan dan banyak dijual. Namun pada tahun berikutnya, karakter haiwan lain pula yang menjadi kegemaran," katanya sambil memberitahu satu tanglung mengambil masa di antara lima hingga lapan minit untuk disiapkan.

Namun, selain tanglung berbentuk haiwan, kedai King turut menjual pelbagai jenis tanglung tradisional serta pelbagai barang perhiasan untuk empat musim.

Salah seorang pelanggan setia King yang ditemu bual, Ng Hong Chong, 67, berkata, dia tidak ketinggalan untuk membeli tanglung sebagai persediaan menyambut perayaan tradisi ini.

"Saya suka kedai ini kerana di sini terdapat banyak pilihan dan mudah untuk pelanggan memilih jenis tanglung yang digemari.

"Selain membeli tanglung, saya juga akan membeli kuih bulan yang terdiri daripada pelbagai perasa untuk dinikmati bersama keluarga," kata Hong Chong yang mempunyai dua anak lelaki dan seorang cucu.




yg tanglung bentuk ikan tu...... aku macam penah tengok ajer  masa kecik2 dulu... aku suka tengok tanglung... mcm ada cahaya dalam dia sumer..... mmg cantik, mate!!!
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 07:20 PM GMT+8 , Processed in 0.059101 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list