|
Post Last Edit by Syd at 15-12-2009 10:10
Keunikan Hospital Falkon Abu Dhabi
Oleh AU YEONG HOW
Replika seekor burung falkon terdapat di perkarangan utama Hospital Falkon Abu Dhabi.
SALAH satu tarikan utama di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) ialah Hospital Falcon Abdu Dhabi (ADFH), sebuah hospital khusus untuk burung falkon yang menjadi lambang kebangsaan negara.
Sebagai hospital yang pertama seumpamanya di UAE, ia dibuka sembilan tahun lalu dan telah berkembang pesat dengan merawat lebih 35,000 ekor burung falkon.
Selain UAE, pelanggannya datang dari Arab Saudi, Qatar, Kuwait dan Bahrain.
Burung-burung falkon ditutup matanya agar tidak bertindak agresif menyerang lain-lain burung sama spesiesnya.
Pengarah ADFH, Dr Margit Gabriele Muller (doktor perubatan veterinar) berkata, hospital itu dibuka pada 3 Oktober 1999 sebagai pusat veterinar khusus untuk burung falkon, tetapi hari ini telah mempelbagaikan perkhidmatannya.
"Hari ini, ia berfungsi sebagai pusat pelancongan yang menarik, pusat jagaan haiwan peliharaan (seperti hotel haiwan), dan program latihan veterinar," katanya ketika ditemui di ADFH baru-baru ini.
Dalam satu demonstrasi yang diadakan di sebuah makmal hospital itu,Dr Muller memantau stafnya memotong kuku dan paruh seekor burung falkon yang dibiuskan terlebih dahulu.
Jelasnya: "Bila paruh terlalu panjang, ia tidak dapat makan lalu mati kebuluran. Kuku yang terlalu panjang menyebabkan ia tidak dapat mencengkam mangsanya.
Dr Mueller memantau pegawai-pegawainya memotong kuku burung falkon yang terlampau panjang.
"Burung falkon liar tidak hadapi masalah sebegitu kerana paruhnya 'terhakis' sendiri apabila mematuk permukaan kasar," katanya.
Di bahagian tengah makmal itu puluhan burung falkon bertenggek diatas beberapa palang. Bagaimanapun, mata burung-burung tersebut ditutup dengan penutup khas.
"Mata burung falkon perlu ditutup agar mereka tidak saling menyerang sesama sendiri memandangkan naluri spesis ini yang luar biasa.
"Burung falkon akan menganggap burung-burung lain sebagai mangsa dan akan menyerang kecuali mereka membesar secara berkelompok sejak kecil,"jelas Dr Muller.
Burung falkon yang jinak menjadi burung peliharaan dan kesayangan sesetengah pihak, namun bila berhadapan dengan mangsa ia akan menunjukkan kekuatan yang luar biasa.
Dr Mueller memberi penjelasan berhubung tempat khas untuk burung falkon menukar bulu-bulu pelepahnya.
Sebagai contoh, Dr Muller memberitahu, bila memburu gazel (sejenis spesies antelop) di kawasan gurun, burung falkon boleh mencengkam dan menerbangkan gazel yang ditangkap.
Sebab itulah, jelas Dr Muller, burung falkon spesies Saker dijadikan lambang kebangsaan bagi UAE kerana ia tidak mudah mengaku kalah atau putus asa bila memburu mangsa.
"Pada wang kertas UAE, iaitu dirham, terdapat logo burung falkon," kata Dr Muller.
Apa yang pasti, burung falkon adalah lambang kemegahan UAE. Ia adalah burung kesayangan pengasas dan bekas Presiden negara itu, Allahyarham Sheikh Zayed Sultan Al Nahyan.
Lebih memeranjatkan, Dr Muller memberitahu, burung falkon boleh terbang pada kelajuan maksimum antara 250 hingga 300 kilometer sejam(km/j) secara horizontal.
"Semasa terbang menjunam pula, ia mencapai kelajuan sehingga 350km/j. Ini menjadikan burung falkon antara burung yang terbang paling laju di dunia," katanya.
Melawat ADFH memberikan suatu kepuasan yang amat tinggi. Orang ramai pastinya kagum melihat bilik rawatan rapi (ICU) yang dibuka 24 jam sehari serta ruang untuk burung falkon menggantikan pelepah-pelepahnya.
Selain itu, ADFH mempunyai dewan konvensyen untuk persidangan, muzium burung falkon, serta 'khaima' (khemah tradisional Arab) - tempat berlangsungnya majlis keraian. |
|