CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4767|Reply: 2

pertahankan WARISAN kuno!!

[Copy link]
Post time 20-12-2009 07:09 AM | Show all posts |Read mode
Mempertahan warisan kuno




SEDANG enak menjamu selera dengan bermacam-macam pilihan kulinari Jawa di sebuah hotel butik bergaya tradisional bernama Mustokoweni, hati berbukit rasa kagum melihatkan orang tempatan yang beriltizam tinggi.

Iltizam yang dimaksudkan itu dipacu sehabis daya demi memastikan kelestarian tradisi dan budaya mereka.
Kalau pun bukan untuk menagih pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), memastikan kelangsungannya agar dapat dihayati dan diteruskan generasi akan datang sudah dikira suatu kejayaan.

Krew Jurnal yang dipelawa ke Jogjakarta, Indonesia baru-baru ini cuba mentafsir semangat penduduk tempatan yang mempunyai pelbagai cerita dan cita-cita melonjakkan nama destinasi itu dalam peta pelancongan dunia.

Semua itu sedikit sebanyak dapat diterjemahkan melalui kesantunan mereka dalam berbahasa, dan gaya hidup sesama masyarakat sekeliling.

Apa yang nyata, keinginan mereka sungguh kuat untuk menjadikan setiap elemen yang dikandung Jogjakarta meninggalkan kesan dalam hati dan ingatan tetamu yang berkunjung ke bumi kelahiran budaya Jawa itu.
Kerukunan Kotagede

Antara destinasi terawal Jurnal adalah di Kotagede yang terletak di selatan kota Jogjakarta. Lingkungan tanah yang menjadi saksi pengasasan bekas kerajaan Mataram Islam itu begitu unik kerana pola petempatannya dicorakkan lot rumah berkelompok yang dibina dekat antara satu sama lain.



PERMAINAN dan tarian kuda kepang adalah antara bentuk hiburan yang
lazim dipersembahkan oleh kanak-kanak di Kampung Dipowinatan.

Lantaran itu, sisa ruang di antara rumah dan tembok tinggi bertindak sebagai lorong laluan yang menghubungkan keseluruhan kawasan Kotagede.

Bercabang dan terangkai laksana sebuah strategi binaan kubu perang, orang asing boleh tersesat di tengah-tengah petempatan rumah kalang itu jika tidak diiringi penduduk ke tempat tujuan.

"Lorong yang sempit dan tembok pemisah ini bukan bermakna masyarakatnya tidak bercampur antara satu sama lain.

"Tetapi ia menunjukkan sifat penduduk yang malu-malu dan berwaspada dengan kehadiran orang luar suatu masa dahulu," kata Erwito Wibowo, wakil dari Yayasan PUSDOK iaitu Pusat Kajian, Dokumentasi dan Pengembangan Budaya Kotagede.

Walaupun sejarah menjadikan mereka begitu, penduduk Kotagede yang berpopulasi sekitar 25,000 orang itu tetap berhubung sesama mereka melalui mesyuarat kejiranan, majlis kebudayaan, waktu sekolah dan pertemuan di tempat kerja.
Pendek kata, rukun yang menyatukan mereka adalah amalan saling peduli dan hormat-menghormati.

Pasti kerukunan itu paling dipraktikkan ketika bencana gempa bumi menggegarkan Kotagede dan memusnahkan sebahagian strukturnya sekitar tahun 2006.

"Jika diteliti, di sebalik setiap tembok pembahagi kawasan mungkin terdapat lebih daripada sebuah rumah. Rumah-rumah tersebut dihuni oleh orang yang mempunyai pertalian saudara misalnya ahli keluarga yang sudah berkahwin atau saudara seketurunan.

"Hanya dengan cara itu, hubungan antara anak dan ibu bapa tidak renggang walaupun sudah menjalani hidup berkelamin," terangnya yang menambah bahawa lebih 90 peratus penduduk di Kotagede ialah orang berketurunan Jawa dan beragama Islam.

Bercakap tentang skil kehidupan, Erwito memberitahu bahawa Kotagede terkenal dengan hasil pertukangan perak yang diusahakan warga tempatan.

Tidak kurang juga, sudah ramai yang menimba ilmu dalam bidang lain seperti seni pertukangan kayu dan pembinaan bangunan.

Sementara itu, generasi baru yang berkelulusan tinggi pun telah layak mengisi jawatan dalam sektor kerajaan dan swasta.
"Hubungan erat dengan keluarga di dalam kota padat ini secara tidak langsung menguatkan sahsiah anak-anak.

"Jika suatu hari nanti mereka meninggalkan Kotagede, semangat kekeluargaan dan kemahiran hidup itulah yang menjadi bekalan walau di mana pun mereka mahu memulakan hidup baru," jelas Erwito.

Kalau orang Betawi dikenali sebagai masyarakat yang tidak gemar merantau jauh kerana lebih selesa menjalani kehidupan di kalangan kelompok sendiri, orang Jawa pula sebaliknya.

"Mereka tidak takut berkelana jauh dari tempat asal mereka demi rezeki, baik di sekitar Pulau Jawa mahupun menyeberang sempadan antarabangsa. Pada masa yang sama, mereka membawa bersama kekayaan budaya mereka yang teguh.

"Di Malaysia juga pasti budaya Jawa sudah lama bertapak dan berkembang, seterusnya diadaptasi menjadi resam tempatan, bukan?" kata Erwito kepada Jurnal.



ANAK-ANAK yang peramah ini baru selesai mengikuti pelajaran
di salah sebuah sekolah agama di tengah-tengah Kotagede.

Tradisi Dipowinatan

Menggali inti pati kehidupan masyarakat Jawa dikatakan paling ideal jika berpeluang untuk melawat Kampung Wisata Dipowinatan.

Kewujudan kampung berpopulasi 3,000 orang yang diisytihar pada 4 November 2006 itu menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara kerana ia menawarkan konsep homestay.

Walau tidak sepadat dan sebesar Kotagede, persekitaran Kampung Dipowinatan tetap subur dengan pelbagai aspek kehidupan dan kemanusiaan.

"Sudah ramai yang dipelawa bertamu di kediaman keluarga di sini. Mereka akan dipakaikan pakaian Jawa serta dijamu dengan hidangan tradisi khas Jawa," ujar salah seorang penduduk Dipowinatan, Winarsih, 44.

Keramahan Winarsih yang mesra dipanggil sebagai Ibu Win begitu menyenangkan, lebih-lebih lagi ketika membawa kami berjalan ke sekeliling kampung sambil menyampaikan penerangan ringkas.

Disambut oleh penduduk kampung pelbagai lapisan usia yang tidak lokek dengan senyuman, Ibu Win antara lain memberitahu bahawa keteguhan institusi keluarga adalah tonggak kekuatan bangsa Jawa.

Rata-rata penduduk di situ, sama seperti keseluruhan warga Jogjakarta, bangga menyarungkan batik untuk pemakaian seharian mereka.

Jelas, batik bukan sekadar kosmetik pelancongan, tetapi tekstil itu sudah menjadi 'darah daging' mereka sejak beratus-ratus tahun dahulu.

Malah diberitahu, kalau memakai sahaja belum cukup 'berjiwa', maka orang tempatan sangat proaktif dalam mengambil tahu serba-serbi tentang penghasilannya.

Misalnya, ramai orang tempatan begitu kreatif mempelajari kaedah pengindahan batik yang dipanggil seni prodo (emas).
Ia lazimnya bertujuan mempercantikkan tekstil batik bagi kelengkapan pengantin dan keraian khas.

"Sebenarnya, batik di sini juga mempunyai lakaran motif yang tersendiri. Dikenali dengan nama corak Parang, ia membezakan batik Jawa Jogja dengan motif batik di wilayah Indonesia yang lain," tambah Winarsih.

Tidak salah kalau dikatakan nilai estetika batik mendahului elemen lain bagi memercu simbol pelancongan dan jati diri mereka.

Begitupun, tiada siapa dapat menafikan betapa hebatnya warga Dipowinatan menyemai kecintaan anak-anak mereka terhadap warisan bahasa Jawa, muzik gamelan dan skil kraf tangan. Ibaratnya, setiap orang ialah seniman.

Apatah lagi kalau semangat cinta seni itu terus berupaya memusatkan perhatian ramai, misalnya sanjungan terhadap langkah lincah kuda kepang atau lenggok tari si gadis yang layak dipersembahkan di keraton.

Lenggok di Keraton

Jejak Jurnal diteruskan ke Keraton Jogjakarta yang menjadi nukleus sosiopolitik dan kemuncak apresiasi budaya di wilayah selatan Pulau Jawa itu. Halaman istana yang menjadi saksi pewarisan kesultanan Jogjakarta itu membuka mata tetamu yang mahu menyelusuri sejarah, fungsi dan lambang pemerintahan agung.

Walaupun bukan sultan atau gabenor yang dapat ditemui bagi mengulas tentang survival budaya tradisional, pertemuan dengan seorang penari keraton, Sari Widianingrum, 19, sudah cukup merumus pengembaraan ini.



LORONG di Kotagede ini akan terasa sempit jika dua buah motosikal
berselisih. Pejalan kaki perlu mencari ruang berdiri bagi memberi laluan.

"Saya akui ada di kalangan teman-teman sebaya saya yang mengatakan bahawa saya ini kuno kerana menghabiskan banyak masa mempelajari tarian kebudayaan seperti ini.

"Namun, saya berbesar hati malah tidak sesekali menyesal sejak menceburinya," ujar Sari yang 'mengabdikan' diri dengan rutin latihan penari sejak berusia enam tahun.

Sari ditemui seusai menerima tepukan gemuruh pengunjung keraton selepas mempersembahkan tarian Golek di sebuah pentas khas.

Tarian yang baru saja mencuri perhatian hadirin itu bersifat naratif iaitu menggambarkan seorang gadis remaja yang sedang suka bersolek seperti berbedak, mengenakan hiasan, berdandan rambut dan sebagainya.

"Rutin latihan tarian untuk persembahan di keraton sangat teliti dan memenatkan. Tapi ia perlu dihadapi demi kesempurnaan.

"Rumitnya tuntutan sebagai penari itu bagaimanapun telah mengajar saya menjadi lebih berdisiplin dan sentiasa bersedia dalam hidup.


Sama seperti Winarsih, si cilik Dwi Cahyo Herdanu bangga mengenakan pakaian tradisi Jawa selain petah bercerita tentang kampungnya.

"Lama-kelamaan ia mengukuhkan perasaan bangga saya terhadap asal-usul diri serta kekayaan budaya yang turut diwariskannya. Kalau bukan anak muda seperti saya mencintainya, kepada siapa lagi harapan itu boleh disandarkan?" tegas Sari.
Seperti mana orang lain, Sari juga mempunyai cita-cita: "Saya mahu berperanan sebagai duta yang aktif mengetengahkan keistimewaan tarian Jawa ke seluruh dunia. Biar dunia membuka mata terhadap variasi keindahan budaya di negara saya ini."

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 24-12-2009 10:57 PM | Show all posts
yeah pertahankan warisan kuno!!!!!!!!!!!!!!!
Reply

Use magic Report

Post time 30-12-2009 08:16 AM | Show all posts
mama rasa ini bukan warisan kuno tp tinggalan zaman berzaman yg perlu dipelihara dan diteruskan sebab budaya melambangkan masyarakat itu bertamadun.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic
Dividen KWSP 2023 5.4% dan 5.5%
AbahmungDividen KWSP 2023 5.4% dan 5.5%
Views : 1718 Replies : 0
'Raja Jalanan' Myvi tewas kepada Bezza pada 2023
ultra78'Raja Jalanan' Myvi tewas kepada
Views : 9488 Replies : 28
Emma Maembong mohon maaf, tersilap langkah 'voice note' Ruhainies isu Bella Astillah
YgBenarEmma Maembong mohon maaf, tersilap langk
Views : 5956 Replies : 63
Belum masanya Malaysia laksana aturan waktu kerja fleksibel
ultra78Belum masanya Malaysia laksana aturan wa
Views : 6218 Replies : 20
Janji manismu
maklukpenggodaJanji manismu
Views : 25419 Replies : 2
Kekecohan Ada pemandu yg membunyikan hon sewaktu ketibaan jenazah komander firdaus di masjid sungai nibong
YgBenarKekecohan Ada pemandu yg membunyikan hon
Views : 4714 Replies : 15
Penyondol Tetap Isteri Sah, Boleh Tuntut Hak’ – Kenyataan Watak Imani Dalam ‘Lelaki Itu’ Mula Dibenci Netizen
YgBenarPenyondol Tetap Isteri Sah, Boleh Tuntut
Views : 13226 Replies : 172
'Diam sajalah Sanusi'
maklukpenggoda'Diam sajalah Sanusi'
Views : 5021 Replies : 8
Restoran Kantan Datin Isma
AngelFreakyAFRestoran Kantan Datin Isma
Views : 17996 Replies : 89
Betul ke tu….cinter?
stingerkentotBetul ke tu….cinter?
Views : 16382 Replies : 15

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

25-4-2024 12:56 PM GMT+8 , Processed in 0.410563 second(s), 29 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list