BERLIN: Penyerang Jerman, Lukas Podolski bakal mengucapkan selamat tinggal kepada Cologne hujung musim ini dan menyertai Arsenal dengan nilai 13 juta euro (RM51 juta).
Kelab Jerman yang menduduki tangga ke-14 Bundesliga itu tidak mengesahkan berita itu tapi pemain itu berkata dia sudah menerima setiap syarat kontrak bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Podolski, 26, bersetuju dengan perjanjian empat tahun bersama Arsenal sekali gus bakal menerima habuan tahunan kira-kira 7 juta euro (RM27 juta).
Dia berpindah dari Bayern Munich ke Cologne pada 2009, kembali ke kelab pertama kariernya.
Sementara itu, pemain pertahanan Gunners, Per Mertesacker berkata, Podolski teruja untuk menyertai pasukan Liga Perdana itu.
“Dia amat berminat menyertai kami hingga menghantar dua SMS kepada saya,” kata Mertesacker. - AFP