View: 3439|Reply: 0
|
Beradu tenaga tawan patin Mekong
[Copy link]
|
|
PENULIS bersama patin Mekong seberat 12.6 kg yang berjaya dijinakkan.
Beradu tenaga tawan patin Mekong
KETIKA Pantai Barat Semenanjung dilanda peralihan monsun pada penghujung Oktober lalu, penulis beberapa kali menunda trip memancing yang dirancang bersama rakan kerana keadaan cuaca tidak menentu.
Beberapa trip dirancang pada minggu pertama bulan November di beberapa lokasi ditunda disebabkan paras air agak tinggi.
Jadi, penulis berpakat dengan rakan untuk menukar lokasi memancing bagi mengatasi ‘ketagihan’ di sebuah kolam air tawar di Seksyen 24, Shah Alam, Selangor yang dikenali sebagai Kolam 24 untuk memburu ikan bersaiz mega.
Terletak kira-kira 20 minit pemanduan dari pusat bandar raya, kami tiba di destinasi sekitar pukul 10 pagi dan disambut Zuhaili Zulkefli selaku staf pengurusan kolam terbabit.
Menurut Zuhaili, jika pemancing yang baru pertama kali berkunjung ke Kolam 24, disaran menggunakan joran aksi berat dengan kekuatan tali 20 lbs keatas bagi mengelakkan pemancing ‘dibuli’ ‘penghuni’ kolam.
Terdapat beberapa spesies yang menjadi buruan kaki pancing di situ termasuk patin, baung ekor merah, patin Mekong atau Pla-buk, patin Chao Phraya serta pacu.
“Boleh dikatakan, pemancing dari seluruh negara datang ke Kolam 24 untuk merasai sendiri cabaran menaikkan ikan bersaiz mega.
“‘Penghuni’ terbesar pernah dinaikkan di kolam itu adalah patin Mekong seberat 42 kilogram (kg), didaratkan menggunakan umpan palet.”
“Pemancing hanya boleh menggunakan maksimum dua mata kail. Penggunaan lebih daripada dua mata kail dilarang keras, selain penggunaan rapala dan umpan perut ayam yang belum diproses juga dilarang,” ujarnya.
TERPANCAR kepuasan di wajah pemancing yang berjaya mendaratkan seekor patin Mekong seberat 25.6 kg di Kolam 24, Shah Alam.
Kolam yang mula dibuka pada tahun 2010 itu mengenakan caj RM40 bagi sebatang joran bagi tempoh 12 jam.
Ia dibuka setiap hari termasuk cuti umum, selain terdapat kemudahan lain seperti kedai makan yang beroperasi dari pukul 5 petang, tandas dan juga surau.
Untuk permulaan, penulis menggunakan potongan keli hidup sebagai umpan untuk memburu spesies patin Chao Phraya, kerana mengikut maklumat diterima, spesies itu menyambar apa sahaja yang dihidangkan kerana sifatnya yang pelahap.
Penulis memilih set pancing seberat 15 hingga 30 lbs, panjang 2. 4 meter untuk balingan jauh, selain dipadankan dengan mesin bersaiz 4000 dan tali utama berkekuatan 30 lbs disambung tali serap hentak 50 lbs.
Selain keli potong, kulit, hati dan tongkeng ayam turut diguna sebagai alternatif bagi menjerat spesies itu.
Cubaan menggunakan potongan keli berhasil apabila drag mesin bersaiz 4000 bergetar, mujur sempat memegang rod dengan kemas sambil melihat ikan ‘memecut’ ke tengah kolam.
Tangan penulis sedikit lenguh menahan pecutan tanpa henti selama 10 minit.
Tiba-tiba joran terasa ringan di hujung tali, rupanya kekili ‘terkangkang’ dikerjakan pemangsa.
Balingan umpan potongan keli seterusnya tiada sambutan, lalu menukar kaedah pancingan.
Kali ini menggunakan palet peram khas yang boleh didapati di kaunter dengan penggunaan dua mata kail.
Belum sempat duduk selepas melakukan balingan, umpan terus disambar.
Penulis dapat mengagak, kali ini yang menyambar umpan adalah patin Mekong kerana tekanan hebat diberikan kepada rod dan mesin pancing.
Daya lawan yang kuat membuatkan penulis bergerak hampir separuh kolam menahan asakan kerana ikan patin Mekong terkenal dengan daya lawan yang agresif dan kuat.
Jika tersalah langkah, tali pancing akan terbelit dengan tali pemancing lain, sekaligus menyukarkan misi menewaskan ikan bersaiz mega tersebut.
Lega rasanya selepas 15 minit berjuang untuk melemahkan ikan, akhirnya patin Mekong seberat 12.6 kg berjaya didaratkan.
Rakan penulis sendiri beberapa kali ‘dibuli’ ikan di kolam itu, hanya sempat merasa tarikan beberapa saat sebelum mata kail berumpan palet diluahkan kembali pemangsa.
Sekitar jam 5 petang, suasana di Kolam 24 bertukar riuh.
SEORANG pemancing mencuba nasib untuk mendapatkan ikan bersaiz mega.
Di bahagian kanan sudut kolam, kelihatan seorang pemancing ‘bekerja keras’ menahan asakan ikan.
Daripada riak percikan air dan pecutan ke tengah kolam, penulis mengagak ikan tersebut adalah patin Chao Phraya, tambahan pula umpan yang digunakan pemancing tersebut merupakan kulit ayam.
Tekaan penulis ternyata tepat, apabila patin Chao Phraya seberat 27 kg berjaya didaratkan setelah mengerah kudrat selama hampir 30 minit.
Selang beberapa minit, di sudut lain pula, seorang lagi pemancing berjaya mendaratkan patin Mekong seberat 25.6kg, dua kali ganda daripada saiz yang berjaya didaratkan penulis.
Terdengar sindiran sinis daripada rakan, mentertawakan saiz ikan penulis tidak layak memasuki carta ikan terberat harian.
Kepada pemancing yang berhasrat menguji kekuatan Raja Sungai Mekong ini, pastikan anda membawa set peralatan yang betul, selain mempunyai daya tahan yang tinggi.
Ini kerana, untuk mengelakkan anda ‘dibuli’ oleh ‘penghuni’ Kolam 24 yang begitu agresif.
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2021/11 ... tawan-patin-mekong/
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|