|
DETIK pertemuan Li dengan ibunya. FOTO Agensi
Beijing: Seorang lelaki yang diculik ketika kecil lebih 30 tahun lalu bersatu semula dengan keluarganya selepas melakar peta kampung asalnya yang sebelum ini tular di media sosial.
Portal Independent melaporkan Li Jingwei dilaporkan baru berusia empat tahun apabila dia diculik berhampiran rumahnya di barat daya China dan dijual kepada satu keluarga lebih 1,600 kilometer dari kampungnya.
Selama bertahun-tahun, dia mencari keluarga kandungnya tetapi ibu bapa angkatnya dan tiada jawapan diperoleh menerusi data pangkalan data asid deoksiribonukleik (DNA).
Diilhamkan oleh dua kisah berprofil tinggi, baru-baru ini, mengenai lelaki muda yang bersatu semula dengan ibu bapa kandung mereka dalam keadaan yang sama, Li memutuskan untuk beralih dengan memanfaatkan penggunaan internet.
Pada 24 Disember lalu, lelaki berusia 37 tahun itu menyiarkan gambar peta yang dilukis dengan tangan di Douyin, aplikasi seperti TikTok versi China dan meminta petunjuk mengenai lokasinya.
Lakaran terperinci kawasan tempat dia dibesarkan termasuk ciri-ciri seperti kolam kecil, hutan buluh, dan bangunan yang dipercayainya sebagai sekolah.
Dalam video yang dikongsi beribu-ribu kali dalam talian, Li berkata, dia sedang mencari rumahnya selepas dibawa ke Henan, di tengah China, oleh 'jiran botak' sekitar 1989.
Polis berjaya mengecilkan kawasan itu ke sebuah perkampungan kecil berhampiran bandar pergunungan Zhaotong di wilayah Yunnan, menurut South China Morning Post.
Selepas memberikan sampel darah yang sepadan dengan DNA seorang wanita di kampung itu, Li akhirnya bertemu semula dengan ibunya pada Tahun Baharu, tetapi malang, bapanya sudah meninggal dunia.
Li dilaporkan berterima kasih kepada mereka yang membantu menjejaki keluarganya sebelum pertemuan semula yang penuh emosi.
Dia menulis: "Selama 30 tahun menunggu, malam kerinduan yang tidak terkira banyaknya, dan akhirnya peta yang dilukis dengan tangan dari ingatan, ini memori sempurna selepas 13 hari."
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|