CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 521|Reply: 0

[Jenayah] 'Kaki rasuah dah tak takut'

  [Copy link]
Post time 16-1-2022 12:13 PM | Show all posts |Read mode
'Kaki rasuah dah tak takut'


GAMBAR HIASAN

Sejak kebelakangan ini, pelbagai kes jenayah membabitkan penjawat awam terutama yang bertugas dalam agensi penguatkuasaan dilaporkan.

Isu rasuah menjadi perkara pokok dalam kalangan pegawai serta anggota sesebuah agensi berkaitan.

Susulan itu, kepercayaan rakyat semakin berkurang terhadap agensi yang terpalit dengan isu terbabit.

Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas berkaitan isu 'defisit kepercayaan' ini, wartawan Kafe Ahad, MUHAMMAD SAUFI HASSAN mewawancara Penasihat Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) PROF DR MOHD MIZAN ASLAM.



Apakah gambaran gejala rasuah dalam negara ini mengikut data dan statistik semasa badan penguatkuasaan?

Jika kita melihat kepada gambaran keseluruhan gejala rasuah di negara ini, memang kita akui berlaku trend penurunan, namun ia tidak begitu signifikan dan gejala ini masih banyak berlaku.

Data tangkapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperlihatkan pada 2019, 1,101 tangkapan dibuat.

Diikuti pada 2020 iaitu ketika pandemik Covid-19 mula melanda, jumlah tangkapan ialah 998 individu dan pada 2021, jumlah tangkapan merekodkan 847 individu.

Ini adalah statistik tangkapan membabitkan penjawat awam, orang awam, pekerja sektor swasta dan kategori lain.

Apabila kita bandingkan semua angka ini, memang kita perlu akui berlaku trend penurunan, namun sebanyak mana ia turun?

Apakah signifikan penurunan berkenaan. Apa yang saya maksudkan signifikan ini adalah perbandingan tahun ke tahun mencecah penurunan 50 peratus atau sebaliknya?

Jawapannya adalah berlaku penurunan namun ia hanya sedikit. Ini memang membimbangkan kita.



Jika kita perincikan statistik berkenaan untuk penjawat awam dan individu di luar sektor awam, bagaimanakah keadaannya?

Ini yang agak menakutkan. Jumlah tangkapan membabitkan penjawat awam daripada tiga tahap iaitu kakitangan sokongan, pegawai di peringkat profesional dan pengurusan tertinggi adalah 467 orang pada 2020.

Jumlah berkenaan menurun sedikit pada tahun lalu iaitu 411 orang berbanding tangkapan orang awam iaitu seramai 531 serta 436 masing-masing pada 2020 dan 2021.

Namun, perkara yang menggerunkan ialah, kebanyakan penjawat awam yang ditangkap membabitkan mereka yang bertugas di peringkat kakitangan sokongan iaitu seramai 349 orang untuk 2020 dan 282 orang pada 2021.

Kakitangan di peringkat sokongan menyumbang kira-kira 70 hingga 80 peratus jumlah tangkapan keseluruhan untuk penjawat awam berbanding mereka yang bertugas di peringkat pengurusan serta profesional atau pengurusan tertinggi.

Jadi, saya rasa wujud persoalan yang besar dan perkara ini perlu didepani dengan cermat dan cepat supaya tidak membarah.



Sejak akhir-akhir ini, banyak kes rasuah membabitkan agensi penguat kuasa didedahkan di media bersama tangkapan?

Saya melihat ini adalah masalah yang sudah lama berlaku dalam sistem sosial dan pentadbiran negara ini.

Bagaimanapun, pendedahannya hanya berlaku secara meluas pada akhir-akhir ini.

Ya, memang ini amat menggusarkan kita. Rupa-rupanya, apabila ditelusuri daripada satu jabatan ke jabatan lain, memang ada masalah rasuah dan kehilangan integriti yang amat parah.

Sebab itu saya mengatakan bahawa sebenarnya rasuah dan masalah integriti ini bukan perkara baharu dan bukan sahaja dikhususkan kepada penjawat awam, akan, tetapi semua pihak, pelbagai lapisan terlibat secara sedar mahupun tidak.

Masalah rasuah dan integriti ini memang bersifat endemik di Malaysia.

Setiap individu, agensi kerajaan dan swasta termasuk jabatan dan kementerian, semuanya mempunyai masalah rasuah dan integriti.

Akhirnya, masing-masing mengambil pendekatan jaga tepi kain masing-masing dan elemen 'engkau jangan kacau aku, aku juga tak kacau engkau'.



Kita turut didedahkan dengan kegiatan penyeludupan yang berleluasa di sempadan. Apakah bukti tangkapan rasuah membabitkan pegawai serta anggota agensi penguatkuasaan ini bukti jelas bahawa kita sedang berdepan krisis integriti yang parah?

Semua permasalahan dalam negara ini berpunca daripada integriti.

Apa sahaja masalah di sempadan negara termasuk penyeludupan, pemerdagangan manusia mahupun kegiatan pengganas, semuanya berpunca daripada integriti yang sirna dalam kalangan penjawat awam dan penguasa yang menjaga sempadan negara.

Bukan sahaja negara yang akan diancam keselamatannya, malah kejadian jenayah dan penularan penyakit menjadi sangat parah apabila integriti dikesampingkan.

Malaysia bakal menjadi negara gagal jika tiada usaha sewajarnya dilakukan bagi mengatasi masalah di pintu sempadan negara.

Golongan penguasa yang bersekongkol dengan penjenayah adalah pengkhianat negara dan petualang yang perlu dihapuskan.



Bagaimana dengan kepercayaan dalam kalangan masyarakat kepada agensi penguatkuasaan?

Walaupun kita sedari hanya segelintir yang terbabit, tetapi nila setitik merosakkan susu sebelanga.

Agensi penguatkuasaan pula akan dipandang hina, dikeji malah dibenci masyarakat.

Saya meneliti dan menerima laporan daripada teman pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bahawa di sisi bukan Melayu dan warga asing, penguat kuasa dilihat sebagai 'boleh dibeli'.

Tiada apa yang mustahil bagi mereka asalkan mempunyai wang.

Namun, masih wujud figura pegawai tinggi agensi penguatkuasaan tetap dihormati kerana mengutamakan prinsip serta integriti.



Apakah langkah terbaik yang boleh diambil untuk mengurangkan pesalah rasuah dalam agensi penguatkuasaan?

Pada pandangan saya, masalah rasuah dan integriti ini boleh ditangani dengan beberapa cara.

Inisiatif yang diambil seperti Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang membuka pendaftaran dan janji temu secara dalam talian adalah bagus, e-bid oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi tender nombor juga adalah baik dan agensi lain juga dilihat sudah bergerak ke arah berkenaan.

Malah, tender kerajaan dan apa sahaja berkaitan perlu dilakukan secara dalam talian dan bersistem yang akan dapat mengurangkan interaksi dengan manusia maka ia akan dapat mengurangkan peluang rasuah.

Selain itu, perlu wujudkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau tahanan tanpa bicara untuk pencegahan terutama kepada pesalah rasuah ini.

Golongan penerima rasuah ini perlu diajar kerana mereka tidak takut, malah kejadian rasuah semakin menjadi-jadi.

Tahanan ISA adalah peluang untuk pasukan penyiasat menyelidik lebih mendalam tentang pembabitan pelbagai individu dan pihak berkaitan kerana kebanyakan jenayah berkaitan dadah, pelacuran, pengubahan wang dan sebagainya saling berkait dan membabitkan unsur rasuah.

Tangkapan terhadap pimpinan penguat kuasa dan individu VIP juga mestilah dilakukan agar dapat memberikan contoh kepada masyarakat umum.

Apa yang berlaku hari ini adalah, undang-undang seolah-olah dilihat hanya untuk golongan marhaen saja.

Ini menyebabkan sedikit sebanyak terhakisnya kepercayaan masyarakat terhadap sistem perundangan negara.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/utama/ ... asuah-dah-tak-takut

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

7-5-2024 10:38 PM GMT+8 , Processed in 0.061934 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list