SINGAPURA: Rakyat Singapura didapati mempunyai kualiti hidup paling teruk berbanding penduduk di negara Asia yang lain.
Pendedahan itu berdasarkan Kajian Kesejahteraan Evolusi yang dijalankan oleh peneraju industri kecergasan global, Fitness First yang melibatkan lebih 10,000 responden dari Singapura, Indonesia, Thailand, Malaysia, Filipina dan Hong Kong.
Kajian itu berakhir pada Oktober tahun lalu dan dapatan laporan itu dikeluarkan pada bulan ini.
Memetik laporan
Channel News Asia, Singapura dilaporkan mendapat skor lebih rendah berbanding purata Asia dalam laporan tersebut.
Dalam ranking keseluruhan, Singapura menduduki tempat kedua terakhir dengan 69 mata, menewaskan Hong Kong yang mendapat 67 mata.
Indonesia berada di tempat pertama dengan meraih sebanyak 79 mata, diikuti Thailand dengan 77 mata.
Berikut beberapa fakta yang menyebabkan Singapura mendapat skor lebih rendah berbanding purata Asia.
LEBIH PENAT BERBANDING NEGARA JIRAN
Kajian menunjukkan hanya 55 peratus rakyat
Singapura bertenaga sepanjang hari.
Kajian itu turut menyatakan `faktor luaran seperti kekurangan masa mungkin menghalang golongan berkenaan daripada mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat’.
Kekurangan tidur juga boleh menjadi antara punca kurang tenaga dalam kalangan warga Singapura.
Hanya 36 peratus rakyat mempunyai tidur yang mencukupi setiap malam dan kira-kira satu pertiga daripada mereka rasa segar selepas bangun.
Sebagai perbandingan, purata skor Asia mencecah hampir 50 peratus bagi kedua-dua faktor tersebut.
MENGAMBIL BANYAK MAKANAN SEGERA
Rakyat Singapura dilaporkan tidak mengamalkan cara pemakanan yang baik.
Kajian mendapati warga Singapura mempunyai tabiat pemakanan yang paling teruk dalam kalangan enam negara yang lain.
Kira-kira separuh responden mengakui makan makanan tidak diproses berbanding yang sudah diproses.
Hampir separuh lagi pula mengambil makanan yang seimbang.
Bagaimanapun, sebahagian besar responden dikatakan minum air yang mencukupi sepanjang hari.
SANGAT TERTEKAN
Berbanding dengan negara Asia lain, Singapura mendapat skor lebih rendah dari segi proaktif dalam pembangunan peribadi.
Berkaitan daya ketahanan mental, warga Singapura dikatakan mempunyai pandangan lebih negatif dan perasaan bahawa tidak dapat mengawal kehidupan.
Hampir 30 peratus warga Singapura berasa tertekan berbanding 24 peratus responden di negara lain.
Berdasarkan kajian, golongan `baby boomers’ iaitu individu berusia 55 tahun ke atas secara keseluruhannya didapati mampu mengawal tekanan dengan lebih baik berbanding Gen Z.
ALASAN TIDAK CUKUP MASA
Ramai beranggapan rakyat Singapura mementingkan penetapan matlamat dan kehidupan yang teratur, namun hasil kajian menunjukkan sebaliknya.
Hanya 66 peratus warga Singapura menetapkan matlamat berbanding purata Asia 75 peratus.
Ia sekaligus menunjukkan ada kalangan rakyat republik itu juga yang hidupnya kurang teratur berbanding yang lain.
Seperti negara Asia lain, rakyat Singapura juga gemar menghabiskan masa dengan individu yang boleh membantu mereka mempertingkatkan diri.
Namun, apabila mencari peluang dan cara untuk mempertingkatkan diri, warga negara itu dilihat tidak begitu berjaya.
Mereka juga lebih berkemungkinan tidak berpuas hati dan tidak mempunyai masa yang mencukupi sepanjang hari.
HARGAI SISTEM SOKONGAN
Menurut kajian, warga Singapura berusaha banyak untuk memperkukuhkan hubungan peribadi meskipun kurang sedikit berbanding negara lain.
Walaupun lebih 70 peratus rakyat Singapura menyifatkan diri mereka positif, lebih 30 peratus pula tidak berpuas hati dengan kehidupan mereka.
Warga Singapura juga dikatakan agak menyepikan diri apabila lebih satu pertiga responden tidak gemar mengenali individu baharu.