|
Seorang pelayar membawa papan luncur ke dalam air di sebelah papan tanda yang mengisytiharkan amaran jerung di Pantai Manly di Sydney, Australia. - Foto REUTERS
SYDNEY: Seorang perenang maut dalam kejadian serangan ikan jerung berhampiran pantai Sydney.
Menurut jurucakap pihak berkuasa, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 4.35 petang (waktu tempatan) berhampiran Buchan Point, Malabar di timur Sydney.
"Pegawai dari Eastern Beaches Police Area Command dengan bantuan dari Marine Area Command and Surf Life Saving NSW mengesan mayat mangsa di dalam air," katanya.
Bagaimanapun, tiada maklumat terperinci diberikan mengenai identiti mangsa.
Sementara itu, jurucakap ambulans NSW berkata, petugas kesihatan yang dikerah ke lokasi kejadian memaklumkan mangsa mengalami kesan kecederaan yang amat serius.
Media tempatan melaporkan, kejadian itu menjadi serangan ikan jerung pertama di Sydney sejak tahun 1963. - REUTERS |
|