10 nelayan pantai berpengkalan di jeti Singkir Laut di Yan kecewa apabila lesen nelayan dimohon sejak 10 tahun lalu belum diluluskan.
Disebabkan itu, mereka terpaksa keluar menangkap ikan tanpa lesen dan berhadapan risiko ditahan dan dikenakan tindakan pihak berkuasa.
Seorang nelayan dari Kampung Singkir Genting, Mohd. Zukir Abdulah, 60, berkata, dia telah memohon lesen nelayan melalui Jabatan Perikanan sejak tahun 2011 namun sehingga kini masih belum diketahui statusnya.
Sebahagian bot nelayan pantai berpengkalan di jeti Singkir Laut, Yan, Kedah. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
“Borang permohonan saya semuanya telah lengkap dan mengikut syarat yang dikehendaki tetapi masih mengambil masa yang lama untuk diluluskan.
“Kalau tidak ke laut kerana menantikan lesen, saya akan hilang mata pencarian untuk menanggung lima beranak kerana hanya pekerjaan ini yang mampu dilakukan di kampung ini,” katanya semasa ditemui di sini hari ini.
Nelayan pukat udang dan ketam, Sadam Rusli, 30, berkata, sebelum ini dia menumpang perahu rakannya untuk ke laut mencari rezeki.
“Berkat berjimat cermat akhirnya 10 tahun lalu saya berjaya membeli bot sendiri dan memohon untuk mendapatkan lesen.
“Namun sehingga kini lesen yang dinanti gagal diperoleh menyebabkan saya menyerahkan nasib kepada Allah tiap kali turun ke laut kerana jika tidak berbuat demikian dapur di rumah saya tidak akan berasap,” katanya yang mempunyai seorang anak.
Seorang lagi nelayan, Mohd. Zainuddin Zainol, 47, berkata, dia mendapati karenah birokrasi dipercayai punca lesen dipohon oleh nelayan di sini lewat diproses.
“Kami amat memerlukan lesen itu bagi mengelak ditahan di laut ketika memukat dan bukan kerana mahu mengambil kesempatan daripada pelbagai subsidi yang disediakan kepada nelayan yang memiliki lesen.
“Ini merupakan satu-satunya mata pencarian untuk menyara keluarga dan berharap pihak berkuasa prihatin dengan nasib kami yang masih menanti
untuk mendapatkan lesen itu,” katanya.
Sumber: UTUSAN ONLINE |