|
Yudi hanya menyerahkan sepasang selipar dan segelas air kosong sebagai mas kahwin untuk Helmi. – Warga Lombok
Dahulu tular kerana beri mas kahwin selipar, kini berpisah kerana curang
JAKARTA – Sepasang suami isteri yang pernah tular di Indonesia kerana memberikan selipar dan air kosong sebagai mas kahwin, dilaporkan telah berpisah kerana orang ketiga, lapor portal berita Wolipop.
Yudi Anggata dan Helmi Sumiati berkahwin pada 3 Julai 2020 tetapi mereka berpisah tahun lalu.
Menurut Yudi, bekas isterinya itu pernah curang dengan lima lelaki dengan memberi alasan mahu pulang ke rumah ibu bapanya.
“Dia juga ada bercakap perkara buruk mengenai ibu bapa saya,” kata Yudi.
Tambahnya, mereka berdua telah terputus hubungan dan kini, dia cuba bangkit daripada kegagalan perkahwinannya dengan menghasilkan kandungan di YouTube setiap hari.
“Helmi juga telah berkahwin dan bercerai sebanyak dua kali selepas itu. Kawan-kawan memberitahu bahawa dia telah menjadi model,” ujarnya.
Pada 2020, kisah Yudi dan Helmi menjadi tular di media sosial Indonesia kerana lelaki itu menyerahkan sepasang selipar selain segelas air kosong kepada Helmi sebagai mas kahwin.
Yudi berkata, ia dilakukan atas kehendak Helmi sendiri yang enggan menyusahkannya ketika itu.
“Selipar itu berharga 10,000 rupiah (RM2.94). Memang lucu kerana tidak menyangka (bekas) isteri hanya meminta selipar sebagai mas kahwin.
“Saya juga berasa bahagia kerana isteri memahami keadaan ekonomi saya ketika ini. Menurutnya, selipar itu adalah untuk kegunaan ketika pergi bersolat,” kata Yudi. – AGENSI
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2022/04 ... isah-kerana-curang/
|
|