|
Putrajaya: Harga tiket penerbangan domestik dan antarabangsa yang mahal ketika ini turut dipengaruhi kenaikan harga minyak dunia kesan peperangan antara Rusia-Ukraine yang berlarutan sejak Februari lalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata isu peningkatan harga tiket penerbangan juga dialami di seluruh dunia, yang menyaksikan peningkatan mendadak oleh semua syarikat penerbangan.
Beliau berkata, di seluruh dunia penentuan harga tiket penerbangan menggunakan mekanisme harga dinamik.
"Sebelum ini, tiket penerbangan ke China hanya beberapa ribu ringgit tetapi sekarang ini tidak mungkin (dapat harga demikian), berpuluh ribu ringgit.
"Bukan kata mereka (sengaja) berbuat begini, tetapi disebabkan kesan kenaikan harga minyak.
"Kedua kita melihat permintaan. Di Malaysia, disebabkan kerajaan, atas permintaan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), kita minta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) supaya dalam tempoh 29 April hingga 8 Mei untuk pantau," katanya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini.
Wee berkata, kawalan terhadap harga tiket penerbangan boleh dilaksanakan terhadap penjualan tiket yang awal, namun jika ia dibeli pada saat akhir, ia tidak boleh dikawal.
Pada masa sama, beliau meminta pengguna yang mendakwa membeli tiket penerbangan domestik mencecah RM2,000 dan RM3,000 perlu menunjukkan tarikh ia dibeli, sama ada dalam tempoh dua minggu sebelum penerbangan atau pada saat akhir.
Beliau turut mengingatkan pengguna yang mahu pulang menyambut Tahun Baharu Cina supaya membeli tiket penerbangan yang sudah dijual ketika ini bagi memastikan ia dapat dibeli pada harga murah.
Diminta mengulas mengenai aduan ada waktu dan tarikh penerbangan yang ditukar pada saat akhir, Wee meminta pengguna membuat aduan secara khusus sekiranya ia membabitkan pertukaran secara tidak munasabah.
Beliau berkata, ia bagi membolehkan Mavcom mengambil tindakan terus.
Katanya, syarikat penerbangan tidak boleh beralasan tidak cukup tenaga kerja kerana seharusnya sudah menjangkakan permintaan pada waktu puncak.
"Dulu ketika penularan Covif-19, syarikat penerbangan mengatakan tidak cukup penumpang, itu memang berlaku, tetapi kalau waktu ini saya tidak rasa begitu.
"Ini berikutan destinasi yang ditawarkan sekarang adalah destinasi yang ada permintaan.
"Ia tidak akan tawarkan penerbangan di kawasan tidak ada permintaan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/amp/mutakhir/2022/05/839737/kenaikan-harga-minyak-dunia-antara-punca-tiket-penerbangan-mahal
|
|