|
Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton ketika sesi latihan F1 dekat Circuit de Barcelona, Barcelona. - REUTERS
BARCELONA: Mercedes masih belum mengalah dalam usaha mempertahankan gelaran pengeluar Formula Satu (F1) walaupun mengharungi permulaan musim yang sukar, kata pengarah teknikal pasukan, Mike Elliott hari ini.
Pasukan berkenaan yang menang lapan kejuaraan dunia sebelum ini, kini di tangga ketiga keseluruhan selepas lima perlumbaan dan 63 mata di belakang pendahulu, Ferrari dengan Red Bull kedua, 57 mata di depan Mercedes.
"Sudah tentu. Jika tidak kami tidak akan berada di sini," kata Elliott ketika ditanya pada Grand Prix Sepanyol sama ada Mercedes percaya mereka masih boleh menang gelaran 2022.
"Sehingga secara matematik ia berakhir, ia masih belum tamat. Kami tidak jauh ketinggalan. Jika kami boleh membawa jentera ke posisi yang kami boleh kompetitif dan saya harap kami boleh berada di depan, akan ada peluang.
"Tapi kami perlu ada tahap merendah diri. Mereka (Red Bull) membuat permulaan yang bagus, Ferrari juga bagus dan bukan mudah mengejar mereka."
Juara bertahan dari Red Bull, Max Verstappen menang tiga daripada lima perlumbaan setakat ini dan pendahulu buat Ferrari, Charles Leclerc menang dua kali. - REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan ... -pertahan-kejuaraan |
|