|
Adam tekad bangkit di Sepang selepas gagal menyinar di Pusingan 1 ARRC Mac lalu.
KUALA LUMPUR: Pelumba negara, Adam Norrodin percaya aksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan memberi kelebihan buat dirinya dalam misi menaiki podium pada dua perlumbaan Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) yang bermula esok.
Dia yang beraksi bersama pasukan ONEXOX BMW TKKR Team berkata, pengalaman berlumba di Sepang mampu membantu dirinya untuk berada di kelompok depan kelas Asian Superbike 1000cc (ASB1000).
"Seperti pelumba Malaysia yang lain, saya sudah arif dengan selok belok Litar Sepang. Harap dengan segala pengalaman yang saya ada, ia dapat membantu untuk cuba menaiki podium.
"Ia sememangnya bukan perkara yang mudah kerana barisan pelumba lain juga pasti mahu menamatkan perlumbaan di kedudukan podium tetapi saya percaya pasukan dan saya sendiri sudah bersedia sepenuhnya untuk Pusingan 2," katanya yang turut memiliki pengalaman berlumba di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dan Kejuaraan Eropah (CEV).
Adam berkata, dia mahu menjadikan Sepang sebagai medan kebangkitan selepas keputusan kurang memberangsangkan di perlumbaan Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Chang, Thailand, Mac lalu yang menyaksikannya dia menamatkan kedua-dua perlumbaan di tempat ketujuh.
"Beberapa masalah berlaku ketika itu, banyak kru pasukan yang didapati positif COVID-19. Jadi kami kekurangan kru dan saya hanya dapat menggunakan kru sedia ada untuk mempersiapkan jentera.
"Kali ini, saya akan memperoleh kru yang lengkap dan harap mereka dapat membantu saya untuk menaiki podium," katanya.
Adam ketika ini menduduki tempat keenam keseluruhan kedudukan pelumba dengan mengumpul 18 mata manakala rakan sepasukannya yang juga juara bertahan ASB1000, Azlan Shah Kamaruzaman di kedudukan ke-10 dengan mengumpul 10 mata.
Pelumba negara, Zaqhwan Zaidi dari pasukan Honda Asia-Dream Racing with Showa memimpin kedudukan pelumba dengan mengumpul 45 mata selepas memenangi Perlumbaan 1 dan podium kedua pada Perlumbaan 2 di Thailand.
https://www.bharian.com.my/sukan ... m-harap-tuah-sepang |
|
|
|
|
|
|
| |
|